Pages

Tuesday, August 24, 2010

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2010/08/125-bagaimana-ahlus-sunnah-wal-jamaah.html

Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Mentaati Pemerintah (Pemimpin Negara)

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Salah satu prinsip di dalam i’tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama’ah adalah mentaati dan menghormati pemerintah (pemimpin) di mana dia duduk di bawah kepimpinan atau kekuasaannya.

Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada:

1 - Mentaati mereka dalam urusan kebaikan (ma’ruf), termasuk merealisasikan perintah mereka yang ma’ruf dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan,

2 - Menghormati dan Memuliakan kedudukan mereka sebagai pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka,

3 - Melaksanakan kebaikan bersama mereka,

4 - Membenci maksiat yang mereka lakukan dan mengingkari keburukan yang mereka lakukan dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syar’i,

5 - Serta tidak berusaha untuk menjatuhkan, membelot, dan menghinakan mereka walaupun mereka bertindak buruk dan zalim.

Ahlus Sunnah wal-Jama’ah bersepakat berkenaan kewajiban mentaati pemimpin dan pihak berkuasa. Mereka juga mewajibkan supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak pemimpin selagi mana ianya tidak bertentangan dengan dalil-dalil syara’. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

فلا طاعة في المعصية، إنَّما الطاعة في المعروف

“Janganlah kamu mentaati perkara-perkara maksiat. Ketaatan hanyalah di dalam perkara yang ma’ruf.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/218, no. 6716)

Perkara ma’ruf di sini adalah merujuk kepada urusan yang bukan maksiat dan bukan kemungkaran. Sama ada ianya perkara yang diwajibkan agama, yang disunnahkan, ataupun yang diharuskan. Sekiranya masyarakat diperintahkan supaya melaksanakan perkara-perkara yang diharuskan (tidak dilarang agama), maka hukum mentaatinya adalah wajib. Sebagai contoh, hukum mematuhi undang-undang jalan-raya yang digubal oleh pihak berkuasa adalah wajib selagi mana ianya bukan maksiat walaupun ianya tidak pernah diwajibkan oleh syara’ secara khusus.

Dalam sebuah hadis daripada Umamah radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan bahawa mentaati pemimpin adalah salah satu sebab mendapat jaminan Syurga. Ini adalah sebagaimana kata beliau:

سمعت رسول الله وخطبنا في حجة الوداع، وهو على ناقته الجدعاء، فقال: أيها الناس. فقال رجل في آخر الناس: ما تقول أو ما تريد؟ فقال: ألا تسمعون: إنه لا نبِي بعدي، ولا أمة بعدكم، ألا فاعبدوا ربكم، وصلوا خمسكم، وصوموا شهركم، وأدوا زكاة أموالكم، طيبة بِها أنفسكم، وأطيعوا أمراءكم تدخلوا جنة ربكم

Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyampaikan khutbah pada haji al-Wida’ dalam keadaan baginda menunggang untanya yang kepenatan. Sabda beliau:

“Wahai manusia!” Kemudian, seorang lelaki di belakang berkata:

“Apakah yang engkau perkatakan atau mahukan?” Sabda Rasulullah:

“Adakah kamu tidak mendengar, sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku dan tiada lagi ummat selepas kamu. Ketahuilah, hendaklah kamu sentiasa mengabdikan diri kamu kepada Tuhan kamu, solatlah lima waktu dan taatilah pemimpin kamu, pasti kamu akan memasuki Syurga Tuhan.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 36/487, no. 22161. Tahqiq Syaikh Syu’ab al-Arnauth: Isnadnya sahih berdasarkan syarat Imam Muslim. Diriwayatkan juga oleh at-Tirmidzi dan katanya hasan sahih)
Imam al-Hasan al-Bashri rahimahullah menyatakan berkenaan kepimpinan pemimpin umat Islam:

هم يلون من أمورنا خمساً: الجمعة، والجماعة، والعيد، والثغور، والحدود. والله لا يستقيم الدين إلا بهم، وإن جاروا وظلموا والله لما يصلح الله بهم أكثر مما يفسدون، مع أن طاعتهم – والله – لغبطة وأن فرقتهم لكفر

“Mereka menguasai (memimpin) kita dalam lima perkara, iaitu solat Juma’at, al-Jama’ah (penyatuan/perpaduan), hari raya, benteng pertahanan, dan perundangan. Demi Allah, agama ini tidak akan tertegak melainkan dengan kewujudan mereka, walaupun mereka melakukan keburukan dan kezaliman. Demi Allah, Allah menjadikan kebaikan dengan perantaraan mereka lebih banyak berbanding kerosakkan dengan sebab mereka. Ketaatan kepada mereka adalah suatu yang terpuji dan memisahkan diri daripada mereka adalah kekufuran.” (Ibnul Jauzi, Adab al-Hasan al-Bashri, m/s. 121. Dinukil dari: Syaikh ‘Abdussalam B. Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii Dhau’il Kitab wa as-Sunnah, m/s. 2)

Mendoakan Pemerintah Dengan Kebaikan

Al-Hafiz Abu Bakar al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) berkata:

ويرون الدعاء لهم بالإصلاح والعطف إلى العدل ، ولا يرون الخروج بالسيف عليهم ولا قتال الفتنة ، ويرون قتال الفئة الباغية مع الإمام العدل ، إذا كان وجد على شرطهم في ذلك

“Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyariatkan berdoa untuk kebaikan para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil dan mereka juga berpandangan tidak boleh memberontak terhadap mereka dengan senjata dan hendaklah orang muslim tidak turut serta berperang ketika terjadi fitnah (pertikaian di antara kaum muslimin sendiri) dan mereka juga berpandangan tentang wajibnya memerangi golongan yang zalim yang dilakukan bersama pemimpin yang adil apabila ditentukan kesesuaian dengan syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (Abu Bakar Ismaili, I'tiqad A'immatul Hadits, m/s. 75-76)

Disebutkan oleh imam al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) daripada Abu ‘Utsman:

فانصح للسلطان و أكثر له من الدعاء بالصلاح و الرشاد بالقول و العمل و الحكم فإنهم إذا صلحوا صلح العباد بصلاحهم

و إياك أن تدعو عليهم باللعنة فيزدادوا شرا و يزداد البلاء على المسلمين و لكن ادع لهم بالتوبة فيتركة الشر فيرتفع البلاء عن المؤمنين

“Nasihatilah para pemimpin, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Maka, apabila mereka baik, maka akan baiklahlah rakyatnya.

Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukkan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukkan ke atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk penguasa semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/26, no. 7401)

Menurut Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H):

Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku memiliki doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Beliau ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, maka ia hanya bermanfaat untuk diriku, tetapi apabila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad Abu Nu’aim adalah sahih)

Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, walaupun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya. (Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, Tahqiq Syaikh Khalid bin Qasim al-Roddadiy, Edisi Terjemahan Terbitan Dar El-Hijrah, Cet. Pertama, 1423H/2002M, m/s. 83-84)
Keutamaan Pemimpin Yag Adil Di Sisi Allah

Daripada Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam:

إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا

Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang adil di sisi Allah berada pada mimbar-mimbar dari cahaya di sebelah kanan ar-Rahman dan kedua Tangan-Nya adalah kanan, iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum mereka, keluarga dan kepimpinan mereka. (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 9/350, 3406)

Ancaman Kepada Pemimpin Yang Tidak Beramanah

Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam telah memberikan peringatan yang sangat keras bagi para pemimpin yang tidak amanah kepada Allah terdahap apa yang dipimpinnya, iaitu dalam mengurus hal-ehwal rakyatnya, sebagaimana sabdanya:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيْهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوْتُ يَوْمَ يَمُوْتُ وَهُوَ غَاشٌ لِرَعِيَّتِهِ إِلّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

“Tidak ada seorang hamba pun yang mendapat amanah dari Allah untuk memimpin rakyat, lalu ia meninggal pada hari meninggalnya di dalam keadaan mengkhianati rakyatnya melainkan Allah telah mengharamkan ke atasnya syurga.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/343, no. 203. 9/353, no. 3409)

Doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada pemimpin yang tidak amanah secara umum:

اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ

“Ya Allah, sesiapa yang menguruskan hal-ehwal umatku, lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia, dan sesiapa yang menguruskan hal-ehwal umatku, lalu dia mengasihi mereka, maka kasihilah dia.” (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 9/351, no. 3407)

Memuliakan dan Mentaati Pemerintah (Pemimpin)

Ahlus sunnah wal-jama’ah menetapkan bahawa wajib memuliakan dan menghormati pemimpin. Bahkan Islam amat memandang tinggi kedudukan seseorang pemimpin. Walaupun mereka bertindak zalim, tidak amanah, dan melakukan kefasikan.

Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menukilkan di dalam tafsirnya:

لا يزال الناس بخير ما عظموا السلطان والعلماء، فإن عظموا هذين أصلح الله دنياهم وأخراهم، وإن استخفوا بِهذين أفسدوا دنياهم وأخراهم

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menghormati sultan (pemimpin) dan para ulama. Maka sekiranya mereka menghormati keduanya ini, Allah akan memberikan kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka. Dan sekiranya mereka menghina keduanya, maka Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka.” (al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkamil Qur’an, 5/260)

Ini adalah sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut yang memerintahkan supaya kita memuliakan pemimpin:

Daripada Abu Bakrah radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

السلطان ظل الله في الرض فمن اهانه اها الله ومن اكرمه اكرمه الله.

“Sultan (pemimpin) itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinakannya dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/17, no. 7373. Dinyatakan hasan oleh al-Albani, Dzilalil Jannah fii Takhrij as-Sunnah li Ibn Abi ‘Ashim, 2/224, no. 1024)

سيكون بعدي سلطان فاعزوه من التمس ذله شغر شغرة فى الاسلام ولم يقبل منه توبة حتى يعيدها كماكانت

"Akan muncul selepas peninggalanku seorang pemimpin, maka muliakanlah dia, dan sesiapa yang mencari-cari kehinaannya (kesalahan dan keaibannya), bererti dia telah melubangi satu sendi dalam Islam dan tidak akan diterima taubatnya sehinggalah dia (mengembalikan keadaan sebagaimana asalnya). (Hadis Riwayat Ibn Abi ‘Ashim. Dinyatakan sahih oleh al-Albani, Dzilalil Jannah fii Takhrij as-Sunnah li Ibn Abi ‘Ashim, 2/261, no. 1079)

Saidina ‘Ali B. Abi Tholib radhiyallahu ‘anhu menyatakan:

لا يصلح الناس إلا أمير بر أو فاجر قالوا : يا أمير المؤمنين هذا البر فكيف بالفاجر؟ قال: إن الفاجر يؤمن الله عز و جل به السبل و يجاهد به العدو و يجبي به الفيء و تقام به الحدود و يحج به البيت و يعبد الله فيه المسلم آمنا حتى يأتيه أجله

“Tidak akan baik keadaan manusia (rakyat) melainkan dengan adanya amir (pemimpin), sama ada ia pemimpin yang baik atau pun fajir (buruk/jahat).”

Ada yang bertanya:

“Wahai Amirul Mukminin, sekiranya pemimpin tersebut baik (maka ia adalah wajar/boleh diterima akal), tetapi bagaimana sekiranya pemimpin tersebut fajir (buruk/jahat)?”

‘Ali menjawab:

“Sebenarnya Allah menjaga keamanan sesuatu kawasan melalui perantara pemimpin walaupun ia jahat (fajir), jihad melawan musuh agama mesti dilaksanakan, hal-ehwal perundangan dan jenayah dilaksanakan (hudud), haji berjalan, dan umat Islam masih boleh beribadah kepada Allah sehingga ajalnya.”.” (al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/64)

Dalam urusan mentaati pemimpin ini terdapat begitu banyak dalil-dalilnya daripada al-Qur’an dan as-Sunnah. Dan dengannyalah para ulama ahlus sunnah berhujjah serta menetapkan prinsip-prinsip tersebut. Di antara dalil-dalil tersebut adalah sebagaimana berikut:

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

اَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَاُوْلِى اْلاَمْرِ مِنْكُمْ

“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) di antara kamu.” (Surah an-Nisaa, 4: 59)

Daripada ayat ini kita dapat memahami di antaranya bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya kita mentaati pemimpin, dan Allah Subhanahu wa Ta’ala meletakkan ketaatan kepada pemimpin dalam rangkap yang sama setelah ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Ini adalah sebagai indikasi bahawa betapa penting dan tingginya kedudukan pemimpin.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) setelah menukilkan ayat tersebut beliau pun berkata:

فَأَمَرَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ بِطَاعَتِهِ وَطَاعَةِ رَسُولِهِ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ كَمَا أَمَرَهُمْ أَنْ يُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمُوا بَيْنَ النَّاسِ أَنْ يَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ. وَأَمَرَهُمْ إذَا تَنَازَعُوا فِي شَيْءٍ أَنْ يَرُدُّوهُ إلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ. قَالَ الْعُلَمَاءُ: الرَّدُّ إلَى اللَّهِ هُوَ الرَّدُّ إلَى كِتَابِهِ وَالرَّدُّ إلَى الرَّسُولِ بَعْدَ مَوْتِهِ هُوَ الرَّدُّ إلَى سُنَّتِهِ

“Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mentaati-Nya, mentaati Rasul-Nya, dan ulil Amri (pemimpin) di antara mereka, sebagaimana Dia memerintahkan mereka supaya menunaikan amanah kepada pemiliknya, dan jika mereka menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah menetapkannya dengan adil. Dan Dia memerintahkan sekiranya mereka berselisih tentang sesuatu perkara hendaklah mengembalikannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Para ulama berkata: Mengembalikan kepada Allah adalah mengembalikan kepada Kitab-Nya dan mengembalikan kepada Rasul-Nya setelah beliau wafat adalah mengembalikan kepada sunnahnya.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/6)

Beliau juga turut menyatakan:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا ؛ فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ }. فَذَلِكَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ وَرَسُولُهُ مِنْ طَاعَةِ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَمُنَاصَحَتِهِمْ: هُوَ وَاجِبٌ عَلَى الْمُسْلِمِ؛ وَإِنْ اسْتَأْثَرُوا عَلَيْهِ . وَمَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ وَرَسُولُهُ مِنْ مَعْصِيَتِهِمْ: فَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْهِ؛ وَإِنْ أُكْرِهَ عَلَيْهِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Dengarlah dan taatlah, kerana kewajiban mereka adalah apa yang dibebankan ke atas mereka, dan kewajiban kamu adalah apa yang dibebankan ke atas kamu.”

Perkara tersebut dari apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya dengannya, iaitu mentaati pemimpin dan menasihati mereka adalah wajib ke atas umat Islam, walaupun mereka mementingkan diri mereka. Menentang (memaksiati) mereka (ulil Amri) yang mana dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya adalah haram atasnya. Dan aku membencinya.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/9)

فَطَاعَةُ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاجِبَةٌ عَلَى كُلِّ أَحَدٍ ؛ وَطَاعَةُ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَاجِبَةٌ لِأَمْرِ اللَّهِ بِطَاعَتِهِمْ فَمَنْ أَطَاعَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ بِطَاعَةِ وُلَاةِ الْأَمْرِ لِلَّهِ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ . وَمَنْ كَانَ لَا يُطِيعُهُمْ إلَّا لِمَا يَأْخُذُهُ مِنْ الْوِلَايَةِ وَالْمَالِ فَإِنْ أَعْطَوْهُ أَطَاعَهُمْ ؛ وَإِنْ مَنَعُوهُ عَصَاهُمْ : فَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ

“Mentaati Allah dan Rasul-Nya adalah wajib ke atas sesiapa pun, dan mentaati pemimpin/pemerintah adalah wajib kerana Allah memerintahkan supaya mentaati mereka. Maka, sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya dengan mentaati pemerintah kerana Allah, maka pahalanya adalah dari Allah. Dan sesiapa yang tidak mentaati pemerintah, melainkan sekiranya ada jawatan dan harta yang diharapkan – sekiranya ulil Amri memberikan kepadanya, maka dia pun taat. Sekiranya tidak, maka dia pun bertindak menentangnya, maka dia tidak memiliki tempat di akhirat.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/16)

Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah turut menyatakan:

فجعل ذلك من مأموراته عزّ وجل، وما أمر الله تعالى به فهو عبادة. ولا يشترط في طاعتهم ألاّ يعصوا الله،فأطعهم فيما أمروا به وإن عصوا الله، لأنك مأمور بطاعتهم وإن عصوا الله في أنفسهم

Allah ‘Azza wa Jalla menjadikan ketaatan kepada mereka (pemimpin) termasuk di antara ketaatan kepada-Nya dan apa yang diperintahkan Allah Ta’ala adalah merupakan ibadah.

Dalam urusan mentaati mereka (pemimpin) tidak disyaratkan bahawa pemimpin tersebut mestilah yang suci dari maksiat kepada Allah. Taatilah perintah mereka (selagi mana yang bukan maksiat), walaupun mereka (pemimpin sendiri) bermaksiat kepada-Nya, kerana kamu hanya diperintahkan mentaatinya (dalam urusan yang tidak bertentangan dengan agama), walaupun mereka sendiri melakukan maksiat kepada Allah. (Ibnul ‘Utsaimin, Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah, hadis no. 7)

Hadis daripada ‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

انكم سترون بعدي اثرة وامورا تنكرونها. قالوا: فما تامرنا يا رسوالله؟ قال: ادوا اليهم حقهم واسالوالله حقكم

"Sesungguhnya, kamu akan menyaksikan selepas peninggalanku perbuatan mementingkan diri dan pelbagai perkara yang kamu ingkari (tidak suka).” Mereka (para sahabat) bertanya:

“Maka apakah yang engkau perintahkan kepada kami wahai Rasulullah?” Baginda bersabda:

“Tunaikanlah kepada para penguasa hak-hak mereka dan mintalah kepada Allah hak-hak kamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shohih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/441, no. 6529)

Dapat kita fahami dari hadis ini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedikitpun tidak memerintahkan kita semua supaya memberontak atau bertindak mengusahakan pertukaran tampuk kepimpinan sedia ada. Tetapi apa yang beliau perintahkan adalah supaya menunaikan hak-hak pemimpin (selaras dengan kedudukannya sebagai pemimpin) dan meminta hak-hak kita kepada Allah.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيْمَا أَحَبَّ وَكرَهَ إِلا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَّةٍ فَإِنْ أَمَرَ بِمَعْصِيَّةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ

“Wajib ke atas seseorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada apa-apa yang ia sukai atau ia benci, melainkan apabila penguasa tersebut menyuruh untuk melakukan kemaksiatan. Apabila ia menyuruh untuk berbuat maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat (dalam urusan maksiat tersebut).” (Hadis Riwayat Muslim, 3/370, no. 3423. at-Tirmidzi, 6/300, no. 1629)

Imam Muhammad ‘Abdurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah berkata:

وفيه: أن الإمام إذا أمر بمندوب أو مباح وجب . قال المطهر على هذا الحديث : (( يعني :سمع كلام الحاكم وطاعته واجب على كل مسلم، سواء أمره بما يوافق طبعه أو لم يوافقه، بشرط أن لا يأمره بمعصية فإن أمره بها فلا تجوز طاعته لكن لا يجوز له محاربة الإمام ))

“Dalam hadis ini mengandungi tuntutan bahawa jika imam/pemimpin itu memerintahkan untuk melaksanakan amalan sunnah atau mubah, maka wajib untuk melaksanakannya. Al-Muthahhar mengulas hadis ini: “Iaitu bahawa mendengar ucapan penguasa dan mentaatinya adalah perkara wajib bagi setiap muslim, sama ada dia memerintahkan kepada apa yang bersesuaian dengan tabiat muslim tersebut atau tidak. Syaratnya adalah pemimpin tersebut tidak memerintahkannya untuk melakukan maksiat. Sekiranya pemimpin tersebut memerintahkan kepada maksiat, maka tidak boleh mentaatinya (dalam perkara maksiat tersebut), namun juga tidak boleh membangkang/memerangi kepimpinan pemimpin tersebut.” (Muhammad B. ‘Abdurrahman al-Mubarakfuri, Tuhfatul Ahwadzi Syarah Sunan at-Tirmidzi, 5/298)

Al-Harb berkata di dalam kitabnya Al-‘Aqidah dengan menukil perkataan daripada sejumlah ulama salaf:

وإن أمرك السلطان بأمر فيه لله معصية فليس لك أن تطعه البتة وليس لك أن تخرج عليه ولا تمنعه حقه

“Dan sekiranya sultan (penguasa) memerintahkan kepada kamu tentang suatu perkara kemaksiatan di sisi Allah, maka tidak ada ketaatan bagimu terhadapnya. Akan tetapi, kamu juga tidak boleh keluar dari ketaatannya dan menahan haknya sebagai pemimpin.” (Ibnul Qayyim, Haadi al-Arwaah ila Biladil Afraah, 1/289)

Di dalam hadis seterusnya, Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَإِنْ اسْتُعْمِلَ حَبَشِيٌّ كَأَنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ

“Dengar dan taatilah, walaupun yang menjadi pemimpin kamu adalah hamba sahaya berbangsa Habsyi yang kepalanya seperti kismis.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/101, no. 652)

ألا من ولي عليه وال فرآه يأتي شيئا من معصية الله فليكره ما يأتي من معصية الله ولا ينزعن يدا من طاعة

“Ketahuilah, sesiapa yang diperintahkan ke atasnya (oleh) seorang wali (imam/pemimpin), kemudian dia melihat (imam/pemimpin tersebut melakukan) kemaksiatan kepada Allah, maka hendaklah dia membenci kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan imam/pemimpin tersebut). Dan tidak boleh baginya melepaskan tangan (keluar) dari ketaatan.” (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 9/404, no. 3448)

Bahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberi peringatan yang tegas dan keras sebagaimana berikut

من راى من اميره شيئا فكرهه فليصبر فانه ليس احد يفارق الجماعة شبرا فيموت الا مات ميتة جاهلية

“Sesiapa yang melihat pada amirnya (pemimpin) suatu yang dibencinya, hendaklah dia tetap bersabar dengan sebab tersebut. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari al-Jama’ah (tidak mentaati pemerintahnya) walaupun sejengkal lalu ia mati dalam keadaan tersebut (keluar dari ketaatan terhadap pemimpin), maka matinya itu adalah mati dalam keadaan jahiliyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shohih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, 22/51, no. 6610)

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) menjelaskan maksud hadis tersebut sebagaimana berikut:

قوله عن الطاعة أي طاعة الخليفة الذي وقع الاجتماع عليه وكأن المراد خليفة أي قطر من الأقطار إذ لم يجمع الناس على خليفة في جميع البلاد الإسلامية من أثناء الدولة العباسية بل استقل أهل كل إقليم بقائم بأمورهم إذ لو حمل الحديث على خليفة اجتمع عليه أهل الإسلام لقلت فائدته

وقوله وفارق الجماعة أي خرج عن الجماعة الذين اتفقوا على طاعة إمام انتظم به شملهم واجتمعت به كلمتهم وحاطهم عن عدوهم

قوله فميتته ميتة جاهلية أي منسوبة إلى أهل الجهل والمراد به من مات على الكفر قبل الإسلام وهو تشبيه لميتة من فارق الجماعة بمن مات على الكفر بجامع أن الكل لم يكن تحت حكم إمام فإن الخارج عن الطاعة كأهل الجاهلية لا إمام له

Sabda-nya “keluar dari ketaatan” maksudnya adalah ketaatan kepada khalifah (pemimpin) yang telah disepakati atasnya, atau merujuk pemimpin bagi daerah/wilayah atau negara di mana ia bernaung. Kerana tidak semua umat Islam pada masa daulah ‘Abbasiyyah tunduk dan patuh kepada khalifah ketika itu, malah setiap wilayah ada pemimpin yang bebas menguruskan wilayahnya masing-masing (mereka bebas melantik pemimpin bagi wilayah mereka sendiri), maka sekiranya makna hadis ini diperuntukkan kepada khalifah yang diakui untuk setiap wilayah Islam (umat Islam), sudah tentu hadis ini sangat sedikit faedahnya.

Sabda-nya “berpisah (keluar) dari al-jama’ah” maksudnya adalah keluar dari jama’ah/kumpulan yang telah sepakat mematuhi pemimpin yang menyatukan mereka dan menjaga mereka dari serangan musuh.

Sabda-nya “sekiranya ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyyah” perngertiannya disandarkan kepada orang-orang jahiliyyah, dan maksud dari jahiliyyah tersebut adalah sesiapa sahaja yang mati di dalam kekafiran sebelum Islam. Itu merupakan perumpamaan bagi yang mati dalam keadaan keluar dari jama’ah umat Islam yang diumpamakan seperti orang kafir yang mati sebelum ia menganut Islam, kerana kedua-duanya tidak tunduk dan tidak patuh kepada pemimpin. Orang yang tidak patuh/taat kepada pemimpin diibaratkan seperti orang-orang jahiliyyah yang tidak memiliki pemimpin. (ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 3/258)

Daripada Hudzaifah Ibn al-Yaman radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَكُوْن بَعْدِيْ أَئِمَّة لاَ يَهتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُوْنَ بِسُنَّتِيْ وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رجَال قُلُوْبُهُم قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنَ فِيْ جِثْمَانِ إِنْسِ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتَطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأطِعْ

“Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia”. Aku (Hudzaifah) bertanya: “Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku menemuinya?”. Beliau menjawab: “(Hendaklah) kamu mendengar dan taat kepada amir, walaupun ia memukul punggungmu dan merampas hartamu, tetap-lah mendengar dan taat.” (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 3/387, no. 3435)

Hadis ini adalah di antara yang paling jelas menjelaskan berkenaan bab ini, kerana baginda Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah menyebutkan sifat-sifat pemimpin, bahawa mereka tidak mengikuti petunjuk Rasulullah dan melaksanakan sunnah-sunnahnya. Itu adalah kemuncak kemungkaran serta penyelewengan dan kekerasan yang paling jelas dilakukan, di mana mereka tidak mengamalkan ajaran Rasulullah dalam urusan diri mereka, keluarga dan rakyat.

Namun demikian, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah memerintahkan supaya mereka ditaati, walaupun mereka bertindak menyeksa dan merampas harta-harta, sekalipun begitu keadaannya, tidak boleh kita meninggalkan ketaatan dan mengingkari perintah mereka (selagi mana bukan dalam perkara maksiat). Bahawasanya kesalahan mereka adalah urusan yang dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka sendiri yang akan dihisab dan diberikan pembalasan pada hari kiamat nanti.

Dalam sebuah hadis yang juga daripada Hudzaifah Ibn al-Yaman radhiyallahu ‘anhu di ketika beliau bertanyakan tentang keburukan, beliau bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?” Rasulullah menjawab:

“Benar, akan tetapi terdapat kedengkian padanya.” Aku bertanya:

“Apakah kedengkian tersebut?” Beliau bersabda:

“Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain daripada petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.” Aku bertanya:

Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Beliau bersabda:

“Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut mereka maka mereka akan mencampakkannya ke dalam jahannam (kebinasaan).” Aku bertanya:

“Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Beliau menjawab:

“Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku bertanya:

“Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Beliau menyatakan:

“Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.” Aku bertanya:

“Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemimpin bagi umat Islam?” Beliau menjawab:

“Jauhilah kelompok-kelompok itu semuanya walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu.”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shohih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/478, no. 6557)

Terkait dengan hadis tersebut, pada masa sekarang ini terdapat begitu banyak kelompok atau kumpulan-kumpulan tertentu yang bertindak menyelisihi para pemimpin sedia ada bagi kebanyakan wilayah atau negara tertentu. Walaupun pemimpin yang memimpin sesebuah negara itu adalah muslim dan tetap menegakkan solat, tetapi terdapat kumpulan-kumpulan serpihan ini yang sentiasa bertindak sebagai golongan pembangkang dan sentiasa berhasrat mahu merampas, merebut, atau menguasai tampuk kepimpinan sedia ada.

Dalam situasi ini, al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) menyatakan di ketika mensyarahkan hadis di atas ini dengan katanya bahawa:

وبالدعاة على أبواب جهنم من قام في طلب الملك من الخوارج وغيرهم والى ذلك الإشارة بقوله الزم جماعة المسلمين وامامهم يعني ولو جار ويوضح ذلك رواية أبي الأسود ولو ضرب ظهرك وأخذ مالك وكان مثل ذلك كثيرا في امارة الحجاج ونحوه قوله تلزم جماعة المسلمين وامامهم بكسر الهمزة أي أميرهم زاد في رواية أبي الأسود تسمع وتطيع وان ضرب ظهرك وأخذ مالك وكذا في رواية خالد بن سبيع عند الطبراني فان رأيت خليفة فالزمه وان ضرب ظهرك فان لم يكن خليفة فالهرب

“Para penyeru kepada pintu-pintu jahannam adalah mereka yang berusaha mencari kekuasaan, sama ada dari kalangan khowarij (pembawa idelogi pemberontakan) ataupun yang selainnya. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis “Bersamalah dengan jama’ah muslimin dan pemimpin mereka”. Maksudnya, walaupun seseorang pemimpin itu melakukan kezaliman. Lebih menjelaskan perkara ini adalah riwayat Abu al-Aswad “walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta kamu”. Situasi seperti ini banyak berlaku pada masa pemerintahan al-Hajjaj dan selainnya.

Bersamalah dengan jama’ah muslimin dan pemimpin mereka”, maksudnya adalah pemimpin (yang menaungi) mereka. Dalam riwayat Abu al-Aswad ditambahkan “hendaklah engkau mendengar dan mentaati walaupun dia memukul punggungmu dan mengambil harta kamu”. Demikian juga dalam riwayat Kholid B. Suba’i yang direkodkan oleh ath-Thabrani “sekiranya engkau melihat khalifah (pemimpin), maka bersama-samalah dengan mereka walaupun dia memukul punggung kamu”....

وقال بن بطال فيه حجة لجماعة الفقهاء في وجوب لزوم جماعة المسلمين وترك الخروج على أئمة الجور لأنه وصف الطائفة الأخيرة بانهم دعاة على أبواب جهنم ولم يقل فيهم تعرف وتنكر كما قال في الأولين وهم لا يكونون كذلك الا وهم على غير حق وأمر مع ذلك بلزوم الجماعة

... Ibnu Baththal berkata: “Di dalamnya terdapat dalil bagi sejumlah fuqaha’ tentang kewajiban berkumpul bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan tidak melakukan pembangkangan (penentangan) kepada para pemimpin yang zalim, kerana beliau menggambarkan kelompok yang terpisah daripada pemimpin sebagai “para penyeru di pintu-pintu jahannam”, dan mereka tidak dinyatakan oleh beliau “engkau kenal dan engkau ingkari”, sebagaimana beliau sabdakan berkaitan dengan kelompok pertama. Mereka tidak berada dalam keadaan seperti itu melainkan mereka di atas kebatilan. Walaupun begitu, kita tetap diperintahkan supaya bersama-sama dengan jamaah (pemimpin yang memimpin).” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/36-37)

Daripada Abi Umamah al-Bahili, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لينقضن عرا الإسلام عروة عروة فكلما انتقضت عروة تشبت الناس بالتي تليها وأولهن نقضا الحكم وأخرهن الصلاة

“Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Di setiap kali ikatannya terlepas, ia diikuti oleh manusia (ikatan seterusnya akan terlepas). Dan yang pertama kali terlepas adalah hukum dan yang terakhir sekali adalah solat.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Musnad, 36/485, no. 22160. Komentar Syaikh Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya Jayyid)

Berkaitan dengan hadis ini, apa yang hendak kita fahami adalah bahawa batas ketaatan kepada pemimpin adalah selagi mana mereka masih muslim dan tetap menegakkan solat. Perkara ini ditegaskan di dalam banyak hadis, di antaranya adalah sebagaimana berikut:

Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam daripada ‘Auf B. Malik radhiyallahu ‘anhu:

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فَقَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

“Pemimpin-pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.

Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara kamu ialah orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka pun membenci pada kamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu semua.”

‘Auf berkata: “Kami para sahabat lalu berkata: “Ya Rasulullah, apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Jangan menentang mereka dengan pedang, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua. Jika kamu melihat pada pemimpin kamu sesuatu yang kamu benci, maka bencilah perbuatan tersebut akan tetapi, janganlah kamu menarik ketaatan (daripada pemimpin tersebut). (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 9/403, no. 3447)

Daripada Ummu Salamah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إنه يستعمل عليكم أمراء فتعرفون وتنكرون فمن كره فقد برئ ومن أنكر فقد سلم ولكن من رضي وتابع قالوا يا رسول الله ألا نقاتلهم قال لا ما صلوا أي من كره بقلبه وأنكر بقلبه

“Akan diangkat para penguasa untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan kemudian engkau mengingkarinya (kerana ia telah melakukan maksiat). Sesiapa yang benci, maka ia telah berlepas tangan. Sesiapa yang mengingkarinya, benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan patuh terhadap pemimpin tersebut”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh memeranginya?”. Beliau menjawab: “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solat”. Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/401, no. 3446)

Dapat kita fahami dari hadis-hadis tersebut bahawa batas keataan ke atas pemimpin adalah selagi mana mereka masih muslim dan menunaikan solat. Dari hadis-hadis tersebut juga, sebenarnya ia telah membatalkan pandangan beberapa pihak yang menyatakan bahawa ketaatan kepada pemimpin gugur apabila pemimpin tersebut gagal atau tidak melaksanakan perundangan jenayah Islam tertentu seperti hudud dan qishash. Dengan itu juga, dapatlah kita fahami bahawa pandangan tersebut adalah keliru dan bertentangan pula dengan teks hadis-hadis yang sahih sebagaimana di atas yang menyatakan bahawa syarat yang paling minima yang perlu ada pada diri seseorang pemimpin untuk ditaati ialah selagi mana mereka (pemimpin) melaksanakan ibadah solat.

Daripada hadis Junadah B. Abi Umayyah radhiyallahu ’anhu, beliau berkata:

دخلنا على عبادة بن الصامت وهو مريض قلنا أصلحك الله حدث بحديث ينفعك الله به سمعته من النبي صلى الله عليه وسلم قال دعانا النبي صلى الله عليه وسلم فبايعناه فقال فيما أخذ علينا أن بايعنا على السمع والطاعة في منشطنا ومكرهنا وعسرنا ويسرنا وأثرة علينا وأن لا ننازع الأمر أهله إلا أن ترو كفرا بواحا عندكم من الله فيه برهان

Kami masuk ke rumah ‘Ubadah bin ash-Shomit ketika beliau dalam keadaan sakit dan kami berkata kepadanya: “Sampaikanlah hadis kepada kami dengan hadis yang telah engkau dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang dengannya Allah akan memberi manfaat kepada kami”.

Maka ‘Ubadah bin ash-Shomit berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memanggil kami kemudian kami membai’atnya. Dan di antara bai’atnya adalah supaya kami bersumpah-setia untuk mendengar dan taat ketika kami suka atau pun tidak, ketika dalam senang atau pun dalam susa, atau pun ketika kami diperlakukan secara tidak baik. Dan hendaklah kami tidak merebut/merampas/mengambil urusan kepimpinan dari ahlinya (orang yang berhak). Beliau Shallallahu ’alaihi wa Sallam berkata: “Kecuali sekiranya kamu melihat kekufuran yang jelas/nyata, yang mana kamu memiliki padanya bukti (burhan) di sisi Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 21/444, no. 6532. Muslim, 9/374, no. 3427)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

ومعنى الحديث لا تنازعوا ولاة الأمور في ولايتهم ولا تعترضوا عليهم إلا أن تروا منهم منكرا محققا تعلمونه من قواعد الإسلام فإذا رأيتم ذلك فأنكروه عليهم وقولوا بالحق حيث ما كنتم وأما الخروج عليهم وقتالهم فحرام بإجماع المسلمين وإن كانوا فسقة ظالمين

“Dan makna hadis ini adalah: Jangan kamu menentang kekuasaan ulil amri (pemimpin/penguasa) dan janganlah kamu membangkang melainkan apabila kamu melihat kemungkaran yang nyata daripada mereka, yang kamu ketahui bahawa perkara tersebut termasuk tunjang-tunjang Islam (min qawaa’idil Islaam). Apabila kamu melihat seperti itu, maka ingkarilah dan sampaikanlah yang benar di mana pun kamu berada. Adapun memerangi dan memusuhi mereka (pemimpin), tidak dibolehkan (haram) berdasarkan ijma’ muslimin (umat Islam), walaupun penguasa tersebut termasuk orang-orang yang fasiq dan zalim.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari, 13/8)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menambahkan (setelah menukil perkataan Imam an-Nawawi di atas):

وقال غيره المراد بالإثم هنا المعصية والكفر فلا يعترض على السلطان إلا إذا وقع في الكفر الظاهر

“Dan telah berkata para ulama selain beliau (an-Nawawi): “Bahawasannya yang dimaksudkan dengan dosa adalah kemaksiatan dan kekufuran. Maka dari itu, tidak dibolehkan melakukan penentangan ke atas sultan melainkan apabila ia telah terjatuh ke dalam kekufuran yang nyata (telah kafir secara terang-terangan tanpa dapat ditakwil – pen.).” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 13/8)

Beliau seterusnya berkata lagi:

والذي يظهر حمل رواية الكفر على ما إذا كانت المنازعة في الولاية فلا ينازعه بما يقدح في الولاية الا إذا ارتكب الكفر وحمل رواية المعصية على ما إذا كانت المنازعة فيما عدا الولاية فإذا لم يقدح في الولاية نازعه في المعصية بأن ينكر عليه برفق ويتوصل الى تثبيت الحق له بغير عنف ومحل ذلك إذا كان قادرا والله أعلم

“Dan yang jelas adalah membawa riwayat (yang menyatakan tentang) kekafiran dalam konteks bolehnya merebut/mengambil kekuasaan, sehingga tidak boleh dirampas semata-mata kerana adanya faktor yang mencemarkan kekuasaannya tersebut, melainkan sekiranya ia melakukan kekufuran. Dan membawa riwayat (yang menjelaskan berkaitan) kemaksiatan untuk merampas urusan di luar kekuasaan. Apabila kekuasannya tidak dicemari (dengan kekufuran), tetapi di sudut yang lain ia terkena satu kemaksiatan, maka cara menghilangkannya adalah dengan tatacara yang lemah-lembut dan menyampaikan kepadanya kebenaran tanpa kekerasan. Itu adalah sekiranya ia mampu. Wallahu a’lam.

ونقل بن التين عن الداودي قال الذي عليه العلماء في أمراء الجور أنه إن قدر على خلعه بغير فتنة ولا ظلم وجب والا فالواجب الصبر

Dan dinukil dari Ibnut Tiin daripada ad-Dawudi bahawasanya beliau berkata: “Yang menjadi kewajiban ulama kepada para pemimpin yang zalim sekiranya ia mampu untuk menurunkannya dari kedudukannya tanpa menimbulkan fitnah dan kezaliman, maka ia wajib melakukannya. Sebaliknya, sekiranya tidak mampu, maka wajib untuk bersabar.”

وعن بعضهم لا يجوز عقد الولاية لفاسق ابتداء فان أحدث جورا بعد أن كان عدلا فاختلفوا في جواز الخروج عليه والصحيح المنع إلا أن يكفر فيجب الخروج عليه

Dan daripada selainnya: “Kaedah asalnya, tidak dibolehkan untuk memberi kekuasaan/kepimpinan kepada orang yang fasiq. Apabila ia melakukan kezaliman di mana pada awalnya ia adalah seorang (pemimpin) yang ‘adil, maka mereka (para ulama) berbeza pendapat berkenaan bolehnya keluar dari ketaatan kepadanya. Dan yang benar adalah larangan untuk keluar dari ketaatan kepadanya (memberontak) melainkan apabila ia telah kafir. Maka dalam perkara ini (apabila ia kafir) wajib untuk keluar dari ketaatan kepadanya.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 13/8)

Badruddin al-‘Aini al-Hanafi (Wafat: 855H) menjelaskan ketika mensyarahkan hadis tersebut:

وقال الكرماني الظاهر أن الكفر على ظاهره

Dan al-Karmani berkata: “Secara zahir, bahawa kufur yang dimaksudkan di sini adalah kufur secara zahirnya (kufur yang terang-terangan/kufur akhbar).” (al-Aini, ‘Umdatul Qari Syarah Shohih al-Bukhari, 35/111)

Para ulama menjelaskan bahwa bolehnya untuk keluar dari ketaatan dan memerangi penguasa adalah karena penguasa tersebut telah melakukan kekufuran (kufur akbar) yang menyebabkan ia menjadi kafir. Itulah yang disimpulkan oleh Ibnu Hajar setelah membawakan beberapa riwayat tentang lafaz hadis (kufran bawaahan, kufran shuraahan, ma’shiyatallaahi bawaahan, dan itsmin bawaahan). Lafaz-lafaz hadis tersebut saling menjelaskan di antara satu dengan yang lain. Lafaz kufur lebih khusus/spesifik daripada lafaz maksiat ataupun dosa. Perkataan Imam an-Nawawi sebagaimana tertulis di atas (iaitu perkataannya: “kecuali apabila kamu melihat kemungkaran yang nyata daripada mereka, yang kamu ketahui bahawa perkara tersebut termasuk tunjang-tunjang Islam (min qawaa’idil-Islaam)), maka inipun juga tetap tidak bertentangan dengan makna kufur. Sesiapa yang melakukan kemaksiatan yang jelas yang termasuk dalam perkara tunjang agama (Islam), maka telah diketahui dan difahami bahawa ia boleh terjatuh ke dalam kekufuran. Akan tetapi, perkara ini memerlukan tafshil (perincian).

Sekiranya Pemerintah Menjadi Kafir

Telah ijma’ bahawa prinsip asas adalah pentadbiran dan pemerintahan (kepimpinan) tidak boleh diserahkan kepada orang kafir. Tetapi, bagaimana sekiranya tiba-tiba pemerintah yang sedia ada menjadi kafir atau mengistiharkan dirinya keluar daripada Islam?

Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah menyatakan:

وأما الكفار المستعمرون فلا طاعة لهم بل يجب الاستعداد التام مادة ومعنى لطردهم وتطهير البلاد من رجسهم

“(Sekiranya tiba-tiba negara dikuasai oleh penguasa kafir) Ada pun terhadap penguasa yang kafir, maka kita tidak wajib taat. Malah, menjadi kewajiban kita untuk bersungguh-sungguh mempersiapkan diri, sama ada moral mahu pun material untuk mengusir mereka sehingga tidak ada lagi kekotoran di negeri kita.” (Rujuk: al-Albani, Takhrij al-‘Aqidah ath-Thahawiyah, m/s. 69)

Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan:

قال القاضي عياض أجمع العلماء على أن الإمامة لا تنعقد لكافر

“Berkata al-Qadhi ‘Iyadh: Para ‘ulama telah berijma’ (bersepakat) bahawa imamah (kepimpinan) tidak boleh diserahkan kepada orang kafir.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 12/229)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:

انه ينعزل بالكفر إجماعا فيجب على كل مسلم القيام في ذلك فمن قوي على ذلك فله الثواب ومن داهن فعليه الإثم ومن عجز وجبت عليه الهجرة من تلك الأرض

“Bahawasannya mencabut/menjatuhkan (seorang pemimpin) kerana kekufuran merupakan ijma’. Maka wajib bagi setiap muslim untuk melakukan perkara tersebut. Sesiapa yang mampu melakukanya, maka ia mendapat pahala. sesiapa yang tidak mahu melakukannya (sedangkan dia mampu), maka ia mendapat dosa. Dan sesiapa yang lemah (tidak memiliki kemampuan), maka ia wajib berhijrah meninggalkan negeri tersebut.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 13/123)

Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin menjelaskan:

“Kita tidak dibolehkan terus sahaja dengan serta-merta memberontak, walaupun telah jelas darinya kekufuran yang darinya memiliki dalil daripada Allah (yang boleh dipertanggungjawabkan) melainkan sekiranya telah jelas padanya memiliki kemaslahatan (kemampuan/keupayaan). Tidak termasuk maslahat (kebaikan) sekiranya hanya kelompok yang kecil dengan senjata yang tidak seberapa untuk menghadapi sebuah kuasa negara yang lengkap dengan bala tentera dan persenjataannya. Ini adalah kerana ia hanya akan mengakibatkan pertumpahan darah dan menghalalkan yang haram (membunuh jiwa yang tidak berdosa), tanpa mendatangkan hasil. Padahal pada awalnya, mereka menghendaki keburukkan penguasa diubah, sebagaimana pemberontakkan yang dilakukan kaum khowarij di zaman Khulafa’ur Rasyidin radhiyallahu ‘anhum. Sehingga zaman ini. Di mana yang terhasil hanyalah keburukkan dan kehancuran yang tidak diketahui seorang pun melainkan oleh Allah, Tuhan para makhluk.

Namun, sebahagian pihak tetap menyalakan api kebencian di hati-hati mereka, kemudian mereka melakukan pelbagai jenis aksi/tindakkan yang buruk hasilnya. Ini adalah kesalahan yang besar.

Lalu kita bertanya, sekiranya demikian, apa ukuran kekufuranm kerana sebahagian kelompok yang menganggap kafir tetapi sebahagian yang lainnya tidak?

Jawabnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberikan peringatan yang penting dalam perkataannya, iaitu “Kuffran Bawwahan” (kekufuran yang jelas nyata) yang tidak lagi dapat ditakwil dengan maksud yang lain, seperti contohnya kamu melihat mereka sujud kepada patung, mendengar secara langsung dia mencela Allah atau Rasul-Nya atau yang seumpamanya (walaupun hujjah telah ditegakkan secara syar’i – pent.).” (Syaikh Ibnul ‘Utsaimin, Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah, hadis no. 7)

Bagi menutup perbahasan ini, penulis bawakan nasihat daripada Syaikh ‘Abdul Latif B. ‘Abdurrahman Alu Syaikh (rahimahullah) sebagai renungan khususnya buat kumpulan-kumpulan tertentu yang terus berdegil mempertikaikan validiti (keabsahan) akan kewajiban mentaati pemimpin. Berikut teks nasihat beliau:

ولم يد هؤلاء المفتونون أن أكثر ولاة أهل الإسلام – من عهد يزيد بن معاوية - حاشا عمر بن عبد العزيز ومن شاء الله من بني أمية – قد وقع منهم من الجراءة والحوادث العظام والخروج والفساد في ولاية أهل الإسلام ومع ذلك فسيرة الأئمة الأعلام والسادة العظام – معهم – معروفة مشهورة، لا ينزعون يد من طاعة فيما أمر الله به رسوله من شرائع الإسلام وواجبات الدين. وأضرب لك مثلاً بالحجاج بن يوسف الثقفي، وقد أشتهر أمره في الأمة بالظلم والغشم، والإسراف في سفك الدماء وانتهاك حرمات الله وقتل من قتل من سادات الأمة كسعيد بن جبير، وحاصر بن الزبير – وقد عاذ بالحرم الشريف -، واستباح الحرمة وقتل بن الزبير – مع أن بن الزبير قد أعطاه الطاعة وبايعه عامة أهل مكة والمدينة واليمن، وأكثر سواد العراق، والحجاج نائب عن مروان، ثم عن ولده عبد الملك ولم يعهد أحد من الخلفاء ألي مروان ولم يبايعه أهل الحل والعقد -، ومع ذلك لما توقف أحد من أهل العلم في طاعته والانقياد له فيما تسوغ طاعته فيه من أركان الإسلام وواجباته. وكان بن عمر – ومن أدرك الحجاج من أصحاب رسول الله - لا ينازعونه، ولا يمتنعون من طاعته فيما يقوم به الإسلام، ويكمل به الإيمان. وكذلك من في زمنه من التابعين، كابن المسيب والحسن البصري وابن سيرين، وإبراهيم التيمي، وأشباههم ونظرائهم من سادات الأمة. واستمر العمل على هذا بين علماء الأمة من سادات الأمة وأئمتها، يأمرون بطاعة الله ورسوله والجهاد في سبيله مع كل إمام بر أو فاجر – كما هو معروف في كتب أصور الدين والعقائد -. وكذلك بنوا العباس استولوا على بلاد المسلمين قهراً بالسيف ن لم يساعدهم أحد من أهل العلم والدين، وقتلوا خلقاً كثيراً وجمعاً غفيراً من بني أمية وأمرائهم ونوابهم، وقتلوا أبن هبيرة أمير العراق، وقتلوا الخليفة مروان، حتى نقل أن السفاح قبل في يوم واحد نحو الثمانين من بني أمية، ووضع الفرش على جثثهم وجلس عليها، ودعا بالمطاعم والمشارب. ومع ذلك فسيرة الأئمة كالأوزاعي، ومالك، والزهري، والليث بن سعد، وعطاء بن أبي رباح، مع هؤلاء الملوك لا تخفي على من لهم مشاركة في العلم وإطلاع. والطبقة الثانية من أهل العلم، كأحمد بن حنبل، ومحمد بن إسماعيل، وحمد بن إدريس، واحمد بن نوح، وأسحق بن راهوية، وإخوانهم... وقع في عصرهم من الملوك ما وقع من البدع العظام وإنكار الصفات، ودعوا إلي ذلك، وامتحنوا فيه وقتل من قتل، كأحمد بن نصر، ومع ذلك، فلا يعلم أن أحداً منهم نزع يداً من طاعة، ولا رأي الخروج عليهم

“Orang-orang yang terfitnah ini tidaklah mengetahui, mereka tidak membaca tarikh (sejarah) bahawa majoriti penguasa umat Islam semenjak jatuhnya Yazid B. Mu’awiyah (melainkan beberapa orang seperti ‘Umar B. ‘Abdul ‘Aziz) kesemuanya adalah penguasa yang banyak melakukan kezaliman dan kemungkaran yang menyelisihi agama Allah. Sekiranya mereka mahu membuka tarikh (kitab-kitab sejarah) umat Islam semenjak itu. Tetapi, apa yang lebih penting bukanlah cerita/tarikh tersebut, melainkan melihat apa sikap ulama, apa tindakan para a’immah Ahlus Sunnah wal-Jama’ah di waktu tersebut dari masa ke semasa, yang mereka hidup di bawah kepimpinan para penguasa yang zalim dan menindas. Lihatlah ia sebagai contoh dan cermin bagi kita. Dan sikap mereka masyhur dan ma’ruf (diketahui) adanya. Mereka tetap tidak melepaskan ketaatan dari penguasa tersebut dalam urusan yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya untuk tetap menjalankan syari’at Islam dan kewajiban-kewajiban agamanya di bawah kepimpinan penguasa tersebut.

Aku beri contoh seperti Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi, dan siapa yang tidak mengenali beliau yang memang terkenal dengan kezalimannya, kebengisannya, kekejamannya, bahkan sangat bermudah-mudah untuk membunuh dan menumpahkan darah umat Islam. Itu ma’ruf siapa Hajjaj. Bahkan terkenal pula banyak melanggar larangan-larangan Allah. Bahkan beliau berani membunuh orang-orang pilihan umat ini, seperti Said Ibn Jubair, seorang tokoh ‘alim di masa tabi’in, yang merupakan murid Ibnu ‘Abbas. Lebih keji dari itu, beliau berani mengepung ‘Abdullah B. Zubair B. Awwam (rahidyallahu ‘anhu) di ketika berlindung diri di Masjidil Haram, di Ka’abah. Seorang sahabat, anak seorang sahabat pula. Dia tidak mempedulikan keharaman Masjidil Haram, keharaman Ka’abah. Dia membunuh ‘Abdullah B. Zubair. Padahal Ibnu Zubair telah memberikan bai’atnya, bersedia taat kepadanya dan dia dibai’at oleh penduduk Makkah yang ketika itu di bawah kepimpinan ‘Abdullah B. Zubair iaitu Madinah, Yaman, dan mejoriti penduduk Iraq. Sungguh, beliau bersedia untuk taat kepadanya walaupun dikejar, dikepung dan dibunuh. Dan Hajjaj ini adalah seorang panglima perang yang dipilih oleh ‘Abdul Malik B. Marwan dari Bani Umayyah.

Tidak satu pun dari para Khulafa’ (pemerintah sebelumnya) yang mewariskan, memberi kepercayaan ke-khilafahan tersebut kepada Marwan (ayah ‘Abdul Malik), tidak pula dipilih oleh ahlul Halli wal ‘Aqdi (Ahli Syura). Hanya kerana dia memiliki kekuatan, memiliki pengikut, akhirnya kekuasaan berjaya dipegang olehnya. Sekali lagi, perkara tersebut tidaklah terlalu penting, yang lebih penting adalah bahawa tidak ada satu pun dari kalangan ulama yang kemudian tidak mahu taat dan patuh di bawah kepimpinan Marwan atau pun anaknya, ‘Abdul Malik dalam menjalankan syari’at Islam di bawah pentadbirannya.

Bahkan seorang sahabat - ‘Abdullah B. ‘Umar B. Khaththab (radhiyallahu ‘anhu), juga beberapa sahabat yang masih hidup di masa Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi, kesemuanya memberikan kepatuhan dan ketaatan kepada Hajjaj atau pun ‘Abdul Malik B. Marwan. Lebih penting bagi mereka adalah tetap menjalankan syari’at Islam walaupun sedang berada di bawah kepimpinan penguasa tersebut. Kriterianya, kerana dengan itu mereka meyakininya sebagai bentuk kesempurnaan iman mereka. Demikian pula di masa itu para ulama dari kalangan tabi’in, seperti Sa’id Ibnul Musayyib, Hasan al-Bashri, Muhammad B. Sirin, Ibrahim at-Taimi, dan para ulama lainnya, semuanya sepakat untuk taat dan patuh di bawah kepimpinannya.

Demikianlah, sikap ini adalah agama yang diwariskan secara turun-temurun, dari generasi ke generasi berikutnya dari para ulama salaf kepada ulama berikutnya. Mereka selalu mengingatkan dan mewariskan untuk taat kepada Allah, taat kepada Rasul-Nya, berjihad di jalan Allah bersama di bawah seorang penguasa, seorang imam, sama ada soleh mahu pun fajir. Ini adalah sesuatu yang ma’ruf dalam kitab-kitab ushuluddin (prinsip-prinsip agama), kitab-kitab ‘aqidah yang ditulis oleh para imam kita.

Selain itu, demikian pula dengan sejarah Bani ‘Abbasiyah. Mereka berjaya meraih kuasa dan menjadi pemimpin dengan kekuatan/pedang pada waktu tersebut. Mereka sampai ke tampuk kuasa bukanlah dengan bantuan/pilihan para ulama, tetapi dengan jalan ketenteraan, merebut kuasa dari Bani Umayyah. Sama, Abbasiyah untuk sampai ke tampuk kuasa itu juga banyak melakukan kezaliman, membunuh sekian banyak umat Islam, terutamanya dari Bani Umayyah, para menterinya, para gabernurnya dan para penjawat dari Bani Umayyah tersebut. Mereka membunuh Ibnu Hubairah, gabernur Iraq ketika itu. Mereka membunuh pula Khalifah Marwan.

Bahkan dinukilkan pula di dalam sejarah bahawa as-Saffah (gelaran Khalifah 1 Bani ‘Abbasiyah) dalam masa 1 hari ketika dia berjaya merebut kekuasaan dari Bani Umayyah, dengan tangannya dia bunuh lebih dari 80 orang. Mungkin orang akan berkata: “Masih wajar merebut kekuasaan, masih biasa kerana demikianlah dalam medan politik untuk saling merebut dan saling bercita-cita (berusaha) untuk mendapatkan kekuasaan tersebut”.

Bukan sekadar itu, setelah dia bunuh lebih dari 80 orang Bani Umayyah tersebut, Abul ‘Abbas memerintahkan kepada anak buahnya supaya mayat-mayat tersebut dikumpulkan dan dihimpunkan/ditimbunkan, kemudian dia meminta seperti tikar yang diletakkan di atas timbunan mayat tersebut dan dia meminta pula didatangkan hidangan makanan dan minuman. Lalu dia makan daging dan minum minuman yang lazat serta makanan yang enak di atas himpunan mayat Bani Umayyah. Demikianlah sejarah yang telah berlaku. Yang lebih penting dan lebih besar dari itu adalah:

Apakah sikap dan tindakan para ulama, para imam seperti al-Auza’i? Di zaman tersebut hidup al-Auza’i, Malik B. Anas, az-Zuhri Ibnu Syihab, Laits B. Sa’d, Atha’ B. Abi Rabbah, mereka adalah tokoh-tokoh ulama besar. Sikap mereka jelas, tidak menjadi keraguan bagi orang yang mahu mempelajarinya, di mana mereka tetap taat, tetap beribadah, tetap menjalankan syari’at Islam di bawah kepimpinan penguasa seperti itu.

Kemudian generasi berikutnya dari Ahlul Ilmi, seperti Ahmad B. Hanbal, Muhammad B. Ismail al-Bukhari, Muhamamd B. Idris asy-Syafi’i, Ahmad B. Nuh, Ishaq B. Rohuyah (atau Rahawaih), dan para ulama lainnya. Di masa mereka penguasanya banyak melakukan kemungkaran, bahkan kemungkaran yang besar, iaitu dalam soal prinsip-prinsip agama ini, mengingkari sifat-sifat Allah (Tauhid Asma’ wa Shifat). Bahkan yang lebih dahsyat lagi, para penguasa tersebut mengajak malah mewajibkan rakyatnya untuk mentaati (mengikuti) bid’ah tersebut.

Akhirnya para ulama mendapat ujian besar dan tidak sedikit yang terbunuh disebabkannya, seperti imam Ahmad B. Nasr (di masa Imam Ahmad). Sekali lagi, tidak kita dapati dari para ulama tersebut menentang, melawan, dan yang tidak mahu taat kepada penguasanya.

Demikianlah nasihat dari Syaikh ‘Abdul Latif Alu Syaikh rahimahullah.” (Rujuk: ad-Durar as-Sunniyyah fil Ajwibah an-Najdiyah, 7/177-178. Dinukil dari: Syaikh ‘Abdussalam B. Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii Dhau’il Kitab wa as-Sunnah, m/s. 7-6)

Wallahu a’lam...

Silakan baca juga tulisan bertajuk: Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama'ah Menasihati Pemerintah (Pemimpin Negara)

Disusun oleh Abu Numair Nawawi B. Subandi
22/08/2010



No comments:

Post a Comment