Pages

Monday, August 9, 2010

UK 160 – “Hikmah Dari Lisan Seorang Tok Mudim…”

Saya sepatutnya berprogram bersama UM Ced dan SIRIM pada hari Khamis dan Jumaat lepas (5 dan 6 Ogos 2010). Tapi semuanya tertangguh kerana kereta saya rosak di Sungai Dua Penang.

Saya menghadiri mesyuarat di Alor Star pada Rabu 4 Ogos 2010 dan sepatutnya terus pulang.

Tetapi, pada esok harinya, kenderaan saya rosak.

Kerosakan yang “major” menyebabkan saya duduk di sini dua hari dan banyak program dan urusan yang tertangguh. Sudah pasti, tentu ada hikmah di sebalik kejadian ini.

Sementara menunggu kereta dibaiki, saya sempat menziarahi beberapa orang di sekitar Kedah dan Penang.

Saya agak tertarik dengan seorang yang saya temui. Seorang yang cukup digeruni oleh kanak-kanak. Itulah seorang tok mudim yang terkenal di utara ini.

Pertemuan saya diserikan apabila beliau mengajak saya makan Mee Udang yang cukup terkenal di Sungai Dua ini.

Kami berbual mengenai kerjayanya yang banyak sudah diambil oleh para doktor sekarang ini. Tapi apa yang mengkagumkan ialah proses menyunat orang hanya mengambil masa tiga minit setiap seorang berbanding doktor yang mengambil lebih kurang setengah jam seorang.

“Cara tok mudim dan doktor sama tak?” tanya saya.

“Ada perbezaan ustaz, dia ada cara dia, dan kita ada cara kita” jawab tok mudim.

“Apa perbezaan yang paling utama” tanya saya lagi.

cara potong dan cara menahan darah dari urat” kata tok mudim lagi.

Lagi satu ustaz, saya dari dulu cukup jaga satu perkara” tok mudim memulakan kisah pengalamannya.

“Setiap kali ingin menyunat orang, saya akan bacakan doa untuk mereka” kata tok mudim.

“Doa macam mana?” tanya saya, minat untuk tahu.

Saya akan doa begini….

“Ya Allah, peliharalah anak ini dari melakukan maksiat dan zina, berikan kebaikan pada anak ini dengan kebaikkanMu agar lahir zuriat yang soleh dan solehah” tok mudim berkongsi.

Saya begitu tertarik amalan tok mudim ini. Selain dari menjalankan tugasnya menyunatkan orang, beliau tidak lupa untuk mendokan pada setiap kemaluan yang beliau pegang agar dipelihara dari melakukan zina.

Mustajab atau tidak itu perkara kedua, yang penting setiap kemaluan anak ini telah didoakan.

Nabi SAW pernah bersabda bahawa:

“Doa itu senjata ampuh bagi orang beriman”.

Persoalannya dari siapa?

Ya, doa mesti datang dari semua orang. Selain usaha yang perlu dimaksimakan, doa perlu dipanjatkan untuk Allah memelihara kita dari kejahatan.

Dalam konteks masalah sosial sekarang, selain dari penguatkuasaan yang hebat, doa perlu dipanjatkan oleh semua lapisan masyarakat.

Kadang kala, kita geram melihat anak-anak muda bercium di hadapan ramai. Rasa macam nak cepuk pun ada. Tapi, selain dari pencegahan secara lisan dan kuasa, berapa banyak dari kita yang mendoakan masyarakat Islam untuk lebih menjadi masyarakat yang baik.

Kita geram dengan orang gaji yang selalu lari, kita salahkan agensi, salahkan orang itu dan ini, tapi pernahkan kita berdoa pada Allah untuk dikurniakan orang gaji yang baik dan sentisa taatkan kita.

Kita marah dengan pekerja kerana tidak amanah, mengambil duit dan selalu tipu sana dan sini, selain dari tindakan undang-undang yang kita ambil, pernahkah kita berdoa pada Allah agar dikurniakan kepada kita seorang pekerja yang baik.

Pernahkah kita mendoakan anak kita atau cucu kita agar Allah pelihara kehormatannya ketika kita salinkan pampers dan cibukkan mereka?

Aduhai, kita telah lupakan Allah dalam banyak perkara, patutlah Allah juga melupakan kita.

Saya bersalaman dengan tok mudim di akhir pertemuan. Saya ucapkan terima kasih padanya di atas perkongsian pengalamannya.

Satu perkara yang kita dapat pelajar, walaupun tugasan seorang mudim itu nampak ringkas, tetapi amalan mendoakan orang lain itu, memang besar dan dituntut di dalam Islam.

Jika kita meningkatkan usaha dan memperbanyakkan doa, insyaAllah, semakin hari, kita akan semakin melihat kehidupan ini menjadi lebih baik.

Ramai orang lupa bahawa, di sebalik kebahagiaan sesuatu kehidupan , ada rahsia yang dilupakan. Itulah keberkatan, dan salah satu cara untuk mendapatkan keberkatan ialah, dengan memintanya dari Tuan yang menurunkan keberkatan itu.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Sumber :Utz Amin .com

29 Sya’ban 1431/10 Ogos 2010

IMG_1644

Kerosakan yang agak “major” hingga terpaksa turun enjin, rupanya nak dapat pelajaran dari sini….

No comments:

Post a Comment