Pages

Sunday, August 22, 2010


Unsur Khawarij dalam politik - Memusuhi orang Islam lebih dari memusuhi orang kafir

Pelbagai cercaan, gelaran, tuduhan dan makian dihamburkan terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria oleh para penyokong Pas yang sering mendakwa merekalah pejuang Islam. Telatah mereka ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini terutama sejak Mursyidul Am mereka menulis satu surat terbuka memperlekeh peranan Mufti Perak dalam usaha mewujudkan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas selepas Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu.

Saya langsung tidak terkejut dengan gelagat pemimpin dan penyokong fanatik parti tersebut sekalipun mereka mempamerkan ‘pakaian agama’ kerana Nabi Muhammad s.a.w. telah banyak memperingatkan kita dengan golongan sebegini pasti akan wujud terutama di akhir zaman ini.

Eloklah kita mengambil ingatan dari Rasulullah s.a.w. berkenaan ciri-ciri Khawarij dalam banyak hadith sahih. Khawarij dianggap sebagai kumpulan sesat yang terkeluar daripada kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ideologi dan tindakan mereka dihukum sebagai menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar, meskipun pada zahirnya mereka nampak sangat beriltizam dengan ajaran agama.

Bukan maksud saya untuk menuduh bahawa mereka itu adalah Khawarij tetapi supaya mereka sedar bahawa mereka telah membayangi ciri-ciri Khawarij yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith berikut:


“Sesungguhnya akan lahir dari keturunan lelaki ini golongan yang berumur muda dan berakal pendek, mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya), bacaan al Quran, solat dan puasa kamu tidak setanding bacaan, solat dan puasa mereka, kamu akan rasa solat kamu lekeh berbanding solat mereka, mereka sangka al Quran yang mereka baca adalah hujah untuk mereka tetapi sebaliknya ia adalah hujah ke atas mereka, mereka membaca al Quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka, mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala, mereka terkeluar dari Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya, dilihat pada mata panah, pengikat mata panah, kayu panah dan sirip panah tiada sebarang kesan darah dan bulunya, sekiranya aku sempat bertemu mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti kaum ‘Ad, sekiranya kamu bertemu mereka maka perangilah mereka kerana memerangi mereka menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah pada Hari Kiamat.”
[Hadith Riwayat al Bukhari]


Bolehlah saya katakan bahawa mereka ini hampir menyerupai ciri-ciri Khawarij, iaitu mereka lebih memusuhi orang Islam lain yang tidak separti dengan mereka dari orang kafir, sekalipun mereka tidak memeranginya dalam ertikata membunuh saudara seagama secara fizikal. Apabila ada saudara seagama tidak sependapat dengan kelompok parti mereka akan dimusuhi sekalipun orang itu bukan ahli atau penyokong parti lawan. Keadaan berbeza apabila rakan politik bukan Islam dari parti seangkatan mereka lantang melaungkan penolakan terhadap cita-cita mereka sendiri untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah ‘Negara Islam’.

Perhatikanlah sikap mereka terhadap orang kafir yang sepakatan ini menghina Islam, mempertikaikan peruntukan kerajaan untuk pembangunan Islam, mempertahankan orang murtad dan memetik secara semberono ayat-ayat al Quran, namun mereka hanya membiarkan saja dan sebaliknya mengambil langkah kompromi demi kepentingan politik parti pakatan mereka. Mereka sanggup melakukannya sekalipun mereka tahu tindakan itu boleh memudharatkan kedudukan Islam dan umatnya di masa hadapan! Ambil saja isu kalimah Allah dan kedudukan politik orang Melayu-Islam di Perak sebagai contoh.

Dalam satu laporan oleh
Harakahdaily, pemimpin dan ulama besar mereka, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengungkapkan kata-kata berikut :

"DAP kalau hina Islam, pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam.”

Renungilah firman Allah Taala:

"Muhammad Rasulullah dan orang-orang yang bersamanya adalah orang-orang yang keras terhadap orang-orang kafir dan saling menyayangi di antara sesama mereka."
[Surah al Fath: 29]


Sebagai seorang yang beragama Islam kita wajib sensitif dengan keceluparan orang kafir apabila mereka menghina agama kita. Bersifat keras bukan semata-mata dengan maksud bertindak melulu atau emosional tetapi lantang dan tegas mempertahankan agama Islam dari tindakan tidak bertanggungjawab orang kafir.

Di atas faktor politik asobiyyah kepartian pakatan mereka, puak parti ini sanggup bersekongkol dan bertolak-ansur dengan sebuah parti sekular yang secara terang-terangan mempunyai dasar menolak ketuanan orang Islam, apatah lagi terhadap usaha untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh di negara ini.

Nampaknya mereka lebih suka berkawan rapat dengan parti orang kafir yang bersifat ultra-kiasu dan cauvinis bernama DAP ini. Bagi mereka matlamat politik lebih penting dari persaudaraan Islam.

Pemimipin dan ulama mereka sentiasa menggunakan ayat-ayat Allah yang ditujukan kepada orang kafir untuk ditujukan kepada saudara seagama yang berlawanan parti dengan mereka. Sikap ini juga menonjolkan jelmaan kepada ciri-ciri Khawarij seperti yang disabdakan oleh Nabi dalam banyak hadis sahih.

Perkara ini sebagaimana dikatakan Ibnu Umar r.a :

“Mereka
mengambil ayat-ayat yang berbicara tentang orang kafir dan mereka tujukan kepada kaum muslimin”. [Shahih Bukhari Kitab Istitaab Al-Murtadin Bab VI. Fathul Baari 12/282]

Mereka juga suka melaung-laungkah tentang perjuangan menegakkan hukum Allah di negara ini. Halnya sama seperti slogan yang sering dilaungkan oleh puak Khawarij dahulu dan sekarang iaitu ‘tiada hukum melainkan bagi Allah’. Dalam hal ini Khalifah Ali bin Abi Thalib r.a. pernah menghuraikan slogan sebegitu dengan katanya:

“Perkataan benar yang bertujuan batil (jahat)”



Solat golongan Khawarij seolah-olah kelihatan hebat pada mata umum sedangkan mereka secara tidak sedar melakukan kesalahan dalam agama. Jika kelompok parti ini menganggap solat hajat perdana mereka suatu anjuran Nabi dan berbangga-bangga dengannya maka bukankah ia adalah antara ciri-ciri Khawarij, walhal Nabi s.a.w. tidak pernah melakukannnya?


Puak yang menyerupai Khawarij ini kelihatan sangat kuat semangat agamanya, sepertimana ciri-ciri yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas.

Secara mata kasar dilihat seolah-olah solat, puasa dan bacaan al Quran mereka sangat hebat dibandingkan dengan orang lain, walhal mereka sebenarnya melakukan tindakan melanggar ajaran agama secara tidak sedar, melainkan ia boleh dikenalpasti oleh orang yang mendapat petunjuk yang benar dari al Quran dan as Sunnah.

Khawarij juga terkenal denga
n sikap memusuhi pemerintah dan suka menimbulkan huru-hara dalam masyarakat. Hari ini kita lihat adanya sebilangan penyokong parti yang menggunakan nama Islam ini sanggup terlentang di atas jalan raya, merusuh, memekik dan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap saudara seagama terutama pemerintah semata-mata disebabkan politik kepartian.

Sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh dengan ajaran al Quran dan as Sunnah, saya suka menasihatkan mereka supaya kembali ke pangkal jalan, beristighfar, memohon maaf atas keterlanjuran dan mengikuti ajaran Islam yang sebenar.

Ketahuilah Islam lebih dari politik kepartian. Islam memang tidak boleh dipisahkan dari politik, tetapi politik kebencian, fitnah-memfitnah, memusuhi sesama saudara agama, perpecahan adalah antara unsur-unsur politik kepartian yang wajib dipisahkan dari agama kita!

Selasa, 2010 Mac 09

Selasa, 2010 Mac 09

No comments:

Post a Comment