Pages

Tuesday, October 26, 2010

Apa Itu Al-Quran ???



AL-QURAN adalah kalam Allah yang diturunkan melalui Malaikat Jibril , pembawa amanat yang jujur dan tanggungjawab , kepada Nabi Muhammad Saw . Al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi akhir zaman
ini mengandungi undang-undang dan petunjuk bagi umat Islam [bahkan untuk seluruh umat manusia ] dalam
memahami tujuan hidup dan dalam mengatur kehidupan sejagat.


Firman Allah bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan salah...” (Surah al-Baqarah, ayat 185)


Apakah al-Quran? ‘Quran’ menurut pendapat yang paling kuat seperti dikemukakan Dr Subhi Al Salih bererti ‘bacaan’, asal kata qara’a. Kata al-Qur’an berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul iatu maqru’ (dibaca).


Dalam al-Quran ada pemakaian kata ‘Quran’ seperti ayat 17 dan 18 surah al-Qiyaamah.

Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya mengumpulkan al-Quran (dalam dadamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan kami. Kerana itu jika kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikut bacaannya.”


Kemudian dipakai kata ‘Quran’ untuk al-Quran yang dikenal sekarang ini.

Adapun definisi al-Quran ialah:

“Kalam Allah yang juga mukjizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad dan yang ditulis di mushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah.”


Dengan definisi ini, kalam Allah yang diturunkan kepada nabi selain Nabi Muhammad tidak dinamakan al-Quran seperti Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Injil (Nabi Isa). Dengan demikian pula Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang membacanya tidak dianggap sebagai ibadah seperti hadis Qudsi, tidak pula dinamakan al-Quran.


Bagaimanakah al-Quran diwahyukan?

Nabi menerima wahyu mengalami pelbagai cara dan keadaan, antaranya:


Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hati Nabi.

Dalam hal ini Nabi Muhammad tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya. (Surah Asy Syuura, ayat 51).

Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi berupa seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepada baginda sehingga baginda mengetahui dan hafal kata-kata itu.

Wahyu datang kepada baginda seperti gemerincingnya loceng.

Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi. Kadang-kadang pada kening baginda keluar peluh walaupun ketika wahyu itu turun pada musim sejuk yang teruk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun.

Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi, tidak berupa seorang lelaki seperti keadaan di atas, tetapi benar-benar seperti rupanya yang asli. Hal ini disebut dalam ayat 13 dan 14 surah an-Najm.


Demikianlah ,Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.

sumber : http://makalah2u.blogspot.com

No comments:

Post a Comment