Pages

Friday, October 8, 2010

Takziah buat Melayu

TAZKIRAH BUAT MELAYU!


(Keris Taming Sari yang diguna Hang Tuah membunuh Hang Jebat)

Salam 2 all.

Saya tertarik dengan artikel tulisan Datuk Mohd. Ariff (bekas ADUN Pulau Manis) di www.sakmongkol.blogspot.com mengenai kedudukan dan keadaan bangsa Melayu hari ini.

Saya bersetuju sangat dengan pandangan beliau. Pada saya, tindakan UMNO baru-baru ini menolak sebarang hubungan atau kerjasama dengan Perkasa adalah satu tindakan menggali kubor sendiri. Kata omputeh, "it's a self destructive move!". UMNO dilihat sebagai Si Tanggang yang lupa asal usulnya. Bukan itu sahaja, UMNO kini dilihat sebagai Hang Tuah yang menggunakan keris Taming Sari membunuh sahabatnya sendiri Hang Jebat!!

UMNO perlu sedar bahawa ia adalah sebuah parti politik yang berteraskan Melayu. Tanpa Melayu tiada UMNO, tapi tidak semestinya tiada UMNO hilang Melayu. UMNO perlukan sokongan Melayu, disitulah power base bagi UMNO. Itu adalah sifir politik yang budak Tadika Kemas pun boleh nampak.

Sebagaimana PAS harus sedar bahawa ia adalah sebuah parti politik yang berteraskan Muslim. Tanpa Muslim tiada PAS, tetapi tidak semestinya tiada PAS hilang Muslim. PAS perlukan sokongan Muslim, disitulah power base bagi PAS. Itu adalah sifir politik yang budak Pasti pun boleh nampak.

Tetapi hari ini, UMNO mengenepikan Melayu demi mengejar undi Cina! PAS mengenepikan Muslim demi mengejar undi Cina!

UMNO - Melayu = Cina!
PAS - Muslim = Cina!
Yang rugi Melayu Muslim, yang untung jelas siapa dia!!

Berbalik kepada UMNO, adalah tidak logik dan bertentangan dengan aqal yang waras kalau UMNO bertindak menolak kerjasama dengan sebuah badan saperti Perkasa yang memperjuangkan hak dan kedudkan bangsa Melayu. Apatah lagi jika pendirian itu dibuat kerana tekanan dan kehendak parti bukan Melayu.

Perkasa adalah umpama Hang Jebat bagi orang Melayu Muslim hari ini. Ia cuba mempertahankan hak dan kedudukan Melayu Muslim, membela bangsa dan agama yang dikhianati oleh parti-parti politik Melayu Muslim. Sebaliknya perjuangan murni itu ditikam oleh keris pedang parti-parti politik Melayu Muslim yang begitu ketakutan kehilangan undi dan sokongan kaum Cina. Akhirnya nanti, kedua-duanya akan berputih mata! Yang dikejar tak dapat, yang dikendung akan berciciran!

Sepatutnya dalam keadaan sekarang, UMNO mengambil pendekatan merangkum dan menjalin hubungan dengan mana-mana pihak yang boleh menobatkan bangsa Melayu Muslim semula sebagai kuasa unggul Tanah Melayu ini. Samada ianya NGO, parti politik, atau mana-mana pertubuhan, gerakan dan lain-lain.

Pada saya sifir politiknya mudah. Power base di Malaysia ini terletak kepada kekuatan dan keutuhan bangsa Melayu Muslim itu sendiri. Mana-mana pihak yang dilihat menguasai politik Melayu Muslim, maka pihak itulah yang akan berkuasa. Kerana kaum bukan Melayu Muslim ini umpama semut, mana letak gula disitulah dia akan pergi. Selama ini persepsi dikalangan bukan Melayu Muslim ialah kuasa Melayu Muslim terletak pada UMNO. Sebab itulah UMNO dihurungi.

Tetapi hari ini persepsi itu sudah berjaya dipecahkan, oleh orang Melayu Muslim sendiri. Kini mana-mana orang bukan Melayu Muslim tahu bahawa kuasa dominan politik Melayu Muslim sudah berpecah, hampir 50:50 kepada UMNO dan PAS/PKR. Dalam keadaan itu, mereka tahu power base Melayu Muslim sudah tiada. Kuasa tunggal Melayu Muslim di Tanah Melayu kini sudah jadi satu mitos.

Oleh itu, kaum bukan Melayu Muslim sudah dapat menghidu bahawa mitos Ketuanan Melayu Muslim sudah menjadi cerita dongeng. Mereka sudah nampak bahawa bukan sahaja pneguasaan ekonomi, kini penguasaan politik juga sudah hampir berada didalam genggaman. Dan ini diperburukkan lagi bukan sahaja oleh sikap segelintir Melayu Muslim yang bersedia menjadi barua, balaci dan sikitol, tetapi juga kerana UMNO sendiri tidak juga berubah.

Keangkuhan, kesombongan, rasuah, salahguna kuasa makin parah. Ditambah pula hari ini UMNO kelihatan makin lupa asal usul. Paksi kepada sumber kekuasaan UMNO iaitu bangsa Melayu Muslim sendiri diketepikan.

Kalau dahulu memang benar UMNO mewakili suara Melayu Muslim, atau lebih tepat lagi Melayu Muslim marhaen. Sebab itu Perhimpunan Agong UMNO dihadiri oleh perwakilan dari kalangan rakyat bawahan; petani, penoreh getah, peladang, pekebun, nelayan, pemandu teksi, termasuk khususnya guru-guru. Mereka ini adalah golongan yang tiada kepentingan, mereka benar-benar membawa suara rakyat bawahan, umat marhaen. Kepentingan mereka hanya untuk melihat Melayu Muslim marhaen dibela dan dipertahankan.

Maka muncullah dasar dan polisi yang menjaga kepentingan Melayu Muslim marhaen. Ujudlah Bank Bumiputera, Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat, Institut Teknologi MARA, Felda, Felcra, Risda, Bank Rakyat, Permodalan Nasional Berhad dengan segala skim amanahnya, dan banyak lagi institusi yang semuanya dilihat menjaga kebajikan dan kepentingan Melayu Muslim marhaen. Maka sokongan Melayu Muslim marhaen bulat kepada UMNO.

Tetapi hari ini Perhimpunan Agong UMNO dipenuhi dengan kereta mewah, perwakilannya para korporat dan teknokrat, yang suara dibawa bukan lagi suara Melayu Muslim marhaen, sebaliknya hanya untuk memastikan tembolok dan akaun bank mereka makin tebal. Muncul satu golongan baru dikenali sebagai Umnoputra; golongan yang jumlahnya sedikit tetapi mengaut keuntungan yang terlalu besar. Muncullah Renong Berhad, Fleet Group, UEM, 4 Budak Melayu, Budak Tingkat 4 dan banyak lagi kumpulan dan syarikat gergasi yang kantungnya berguni dengan duit subsidi dan kontrak projek!! Malah muncul Melayu penganggur paling kaya didunia dikalangan mereka. Kerja tiada tapi akaunnya tumbang dacing menimbangnya!!

Maka Melayu Muslim marhaen bangkit memberontak tidak berpuashati. Dan inilah isu yang dimainkan oleh pembangkang pun. Di Indonesia disebut "Kakane", KKN-Korupsi, Kulusi & Nepotis. Disamping itu pembangkang juga menakut-nakutkan golongan Melayu Muslim marhaen bahawa hak mereka juga sedang terhakis oleh golongan Umnoputra ini. Timbullah isu Felda bankrap, Felcra muflis, Mara nak bungkus, Bank Bumi sudah ghaib, baisiswa sudah hapus, dan banyak lagi isu yang menakutkan mereka. Dan saya yakin isu-isu saperti ini akan terus dipermainkan selagi UMNO tidak berubah.

Dalam keadaan itulah orang Melayu Muslim marhaen tercari-cari alternatif untuk mereka. Kalau waktu ini Parti Semangat Melayu 46 masih ujud, saya percaya UMNO sudah boleh ditalqinkan. Tetapi apa nak buat. Semangat 46 pun kubur tak tahu kat mane! Jadi orang Melayu Muslim marhaen meletak harapan kepada PAS. Namun PAS pula dilihat sebagai parti yang bukan sahaja bersedia menggadai bangsanya (sehingga ada yang tidak bangga jadi melayu), malah PAS dilihat sebagai sanggup mempermainkan dan menjual agamanya sendiri. Timbul isu talaq 3, kuil diizin bina kawasan Melayu Muslim, tempat sujud ruku' boleh diceroboh kafir tanpa tutup aurat, sehinggakan nama ALLAH pun jadi bahan politik kepartian!!

Dalam keadaan orang Melayu Muslim marhaen tercari-cari inilah munculnya kumpulan saperti Perkasa, yang dilihat benar-benar berusaha mahu mempertahankan hak orang Melayu Muslim marhaen samada dari segi agama Islamnya, mahupun kedudukan dan hak keistimewaannya. Maka tidak hairanlah orang-orang Melayu Muslim marhaen, termasuk dari kedua-dua parti politik besar melayu Umno & Pas, berbondong-bondong menyertai dan menyokong Perkasa. Dalam tempoh yang begitu singkat keahlian Perkasa kini sudah menuju ke setengah juta!!

Saya percaya fenomena ini berlaku bukan kerana kehebatan Perkasa, apatah lagi Datuk Ibrahim Ali. Saya ingat kalau atas nama Tok Him mau lari orang Melayu. Tetapi kerana orang Melayu Muslim marhaen sudah tidak nampak ada harapan kepada Umno mahupun Pas. Kedua-duanya kelihatan kuno dan melepas!

Sebab itu pada saya, adalah satu kesilapan besar bagi Umno untuk menolak Perkasa mentah-mentah. Malahan sebagai satu strategi politik yang bijak dan waras, Umno sepatutnya memberi ruang yang lebih kepada Perkasa, dan mana-mana Ngo dan pertubuhan yang mewakili akar umbi Melayu Muslim marhaen ini. Apatah lagi dengan kegagalan Pemuda Umno memainkan peranan yang sepatutnya. Pemuda yang dahulu terkenal dengan jolokan Singa Melayu, kini hanya menjadi kucing kurap yang lebih seronok menari gendang orang lain.

Saya lihat didalam Umno kini (termasuk juga Pas) memang ramai yang cerdik pandai, tetapi tidak bijak dan waras. Malah ada yang sudah mencecah kepada biol dan bahalul!

Sebab itu saya menyeru Umno (dan PAS) supaya balik ke pangkal jalan. Binalah semula kekuatannya sebagai "Malay-Muslim base party", yang mendapat sokongan mutlak bangsa Melayu-Muslim, terutama golongan marhaen dan bawahan. Lebih elok lagi kalau Umno dapat memperjuangkan dan memperkasakan Islam. Malah dalam kelesuan dan ketidakmayaan Pas hari ini, Umno sepatutnya merebut peluang untuk mengisi kekosongan perjuangan Islam yang ditinggalkan. Kerana tanpa Islam apa sangatlah bangsa Melayu ini. Kalau Umno boleh menukar strategi dan dasarnya sekarang, termasuk melakukan rebranding kepada beberapa slogannya yang kurang keislaman dan kemelayuannya, dan mengadakan lebih banyak dasar, polisi dan program yang lebih bersifat "Islamic & Malay Outreach", saya percaya ia boleh bangkit semula sebagai kuasa baru yang diterima oleh bukan sahaja oleh bangsa Melayu-Muslim, malah akan kembali dihurungi oleh kaum bukan melayu.

Jangan kita termasuk golongan yang disebut dalam peribahasa Melayu, "yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran". Terlalu mengejar sokongan dan undi bukan melayu, akhirnya sokongan dan undi Melayu-Muslim pun kehilangan.

Wassalam.

by :Zulkifli bin noordin

1 comment:

  1. "mansplanet said...

    salam YB.saya selama ini sering mengikuti pandangan YB sejak di PKR hingga menjadi BEBAS.sayalah pengkritik paling lantang terhadap YB. namun, saya bersyukur pada ALLAh kerana membukakan hati YB pada kebenaran. apa yg menarik, YB sentiasa konsisten pada perjuangan ISLAM kerana ia melebihi perjuangan dlm. politik. adalah menyedihkan kita masih bertelagah menerusi parti2 yg berbeza (UMNO dan PAS) namun golongan ultra kiasu sentiasa bersatu dlm diam. mereka seronok melihatkan kita mengkafirkan sesama bangsa,agama dan bahasa sedangkan perjuangan kita masih jauh. sebenarnya YB, perjuangan kita masih lagi berteraskan bangsa melayu kerana tanpa melayu hilanglah agama ISLAM di Malaysia. YB pelajarilah sejarah bagaimana Portugis menjajah Melaka sehingga berkubur sama sekali beratus-ratus masjid yg dimusnahkan sehingga tiada kesan sejarah yg masih tinggal. kita selalu tersilap, apabila memperjuangkan bangsa kita dilabel sebagai assabiyah, perkauman , rasis tetapi inilah senjata sulit pihak ultra kiasu utk mematikan perjuangan bangsa melayu dan agama islam di bumi ini. percayalah, jika kita bersatu, pihak ini akan gentar yg teramat sangat. kenapalah tuan guru Nik Aziz masih lagi menentang keras usaha2 berbaik2 antara PAS dan UMNO sedangkan inilah senjata kita utk terus berjuang demi survival bangsa dan agama islam.YB patut sedar kita mungkin berbeza pandangan politik namun matlamat dan visi kita sama. namun masih adakah orang2 kita yg sedar kekuatan ini. lihatlah DAP sentiasa konsisten dan MCA ibarat duri dalam daging dlm kerajaan, mereka sentiasa bersatu dlm diam. namun org melayu bertelagah di luar dan dalam, megambil org2 kafir sebagai penasihat dan rakan.subhanaallah"

    ReplyDelete