Pages

Wednesday, November 3, 2010

Mengganti Sebuah Kehilangan


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,


Apa-apa yang hilang dari diri kita kadang-kadang berlaku kerana tindakan kita sendiri manakala sebahagian yang lain mungkin melalui sebab-sebab lain.

Memandangkan bahwa meneliti kepada apa yang hilang dari diri kita menjadi sesuatu yang sangat penting tetapi ada yang lebih utama lagi iaitu memahami bagaimana kehilangan itu berlaku kerana dengan pemahaman itulah pula kita mengetahui apa pengaruhnya bagi jati diri kita.

Banyak perkara yang mesti kita halusi tentang apa sahaja yang mungkin hilang dari diri kita.

Namun perkara-perkara berikut barangkali layak diperhatikan sekadar sebagai sudut pandang yang mungkin mampu memetakan di mana dan ke manakah kita akan melangkah di tengah-tengah persimpangan jalan-jalan yang telah melenyapkan dan menghilangkan banyak perkara dari ramai orang.


PERTAMA : KEHILANGAN GHAIRAH DAN SEMANGAT UBUDIYAH.

Ini mungkin nampak begitu klasik tetapi, mari sejenak kita berbicara tentang IMAN iaitu sebuah kenderaan yang dengannya kita berharap dapat sampai ke matlamat hidup yang sebenarnya yang juga menjadi tujuan akhir dari penciptaan diri kita iaitu :

  1. Menghamba abdikan diri kepada Allah.
  2. Mengharap ridhaNya.
  3. Memohon syurgaNya.
  4. Meminta dijauhkan dari nerakaNya.

Ghairah Ubudiyah. Itu adalah istilah yang boleh kita pakai untuk menggambarkan keadaan keimanan kita samada :

  1. Kuat atau lemah.
  2. Tinggi atau rendah.

Iman, memang sifatnya naik dan turun. Maka semangat kita untuk menghayati seluruh warna-warni kehidupan ini (sebagai apapun kita) dalam bingkai iman kadang-kadang juga turut naik atau turun. Itu berlaku kepada diri kita dan juga pada sesiapapun.

Jika begitu kenyataannya, pasti sentiasa akan ada yang terasa hilang dari ghairah ubudiyah itu pada sela-sela ketika iman itu sedang turun.

Dunia yang penuh tarikan dan gemerlapan ini boleh sahaja menyeret kita menjadi orang-orang yang lupa akan tujuan akhir hidup ini, Naudzubillah.


Oleh kerana itulah Abu Darda' pernah berkata :

"Sesungguhnya di antara tanda kefahaman seorang hamba adalah menjaga imannya dari perkara-perkara yang boleh menguranginya serta memahami apakah imannya sedang bertambah atau berkurang."

Kehilangan jenis ini, sebenarnya mesti difahami sebagai kehilangan yang paling besar kerana apalah ertinya hidup bila tidak ada lagi tujuan mengharap ridha Allah swt.


Dalam beribadah kepada Allah, mungkin semangat kita melakukan ibadah-ibadah tidak lagi sekuat dahulu seperti solat sunnah, puasa sunnah, membaca Al-Qur'an dan lain-lain.

Begitu pula dalam bentuk keyakinan di mana mungkin secara tiba-tiba kita menjadi seperti anak-anak yang masih belajar mengenal Tuhannya.

Ini berlaku apabila perasaan kita terasa begitu asing :

  1. Dengan kewujudan Allah.
  2. Tentang makna kematian.
  3. Berkenaan alam kubur.
  4. Dengan kedatangan hari kiamat.
  5. Dengan pembalasan syurga dan neraka.

Seolah-olahnya fikiran-fikiran tentang itu hilang dari pemikiran kita. Tiba-tiba hati kita menjadi begitu kering kontang seperti kemarau panjang yang panas menusuk tulang-belulang.


Mengukur sejauh mana kita kehilangan ghairah ubudiyah, itulah peta yang mesti kita pegang.

Tidak semua orang boleh memiliki iman yang tinggi, namun ada batas minima yang tidak boleh dikurangi.

Suatu hari, Ibnu Taimiyah ditanya :

"Dengan apakah seseorang menguatkan imannya hingga menjadi sempurna, Apakah dengan meninggalkan larangan Allah atau dengan ilmu atau dengan beribadah?"

Ibnu Taimiyah menjawab :

"Ia mesti mengambil batas wajibnya dari keimanan, batas wajibnya dari ibadah dan batas wajibnya dari meninggalkan larangan Allah. Setelah itu, manusia bertingkat-tingkat, sesuai cabang-cabang yang ada dalam keimanan dan sesuai dengan susah payahnya yang berbeza-beza."

Bila malam mulai larut dan saat kesunyian mulai meragut, cubalah bertanya :

Apakah yang hilang dari ghairah ubudiyah kita?


KEDUA: KEHILANGAN ‘KEASLIAN’DAN KEJUJURAN KITA.

Sebenarnya, dalam lubuk sanubari kita yang paling dalam, ada bisikan nurani yang tidak pernah berdusta.

Ia akan berkata apa adanya, tentang baik buruk langkah kaki kita. Itulah kejujuran kita, ketulusan kita dan bahkan itulah `keaslian' kita. Namun, bebanan hidup yang mengisar kita seringkali menghilangkan keaslian itu.

Diri kita yang asli, semestinya adalah diri kita yang berjalan di garis fitrah kemanusiaan kita.

Dalam konteks sosial, keaslian kita adalah kenyataan bahwa kita hanyalah manusia biasa meskipun mungkin secara tiba-tiba kita menjadi kaya-raya misalnya, setelah sebelumnya miskin dan tidak mempunyai apa-apa. Ini adalah kerana sebenarnya, kekayaan itu akan memberi nilai yang berbeza tentang kita, bukan pada bahagian yang kita makan dan kita nikmati, tetapi pada bahagian di mana harta itu menjadikan fungsi sosial kita memiliki wilayah manfaat yang lebih luas.


Dalam wilayah politik dan kekuasaan, misalnya, keaslian kita adalah kenyataan bahwa kita hanya manusia biasa meskipun secara tiba-tiba kita menjadi wakil rakyat, menteri, atau penjawat apa sahaja, padahal sebelumnya kita hanya rakyat biasa.

Tetapi alangkah ramai orang yang kehilangan keaslian pada wilayah sosial ini seperti kisah pemain bola di sesetengah negara yang terseret dengan pengedaran dadah kerana kagum dan tertarik dengan pendapatan yang begitu lumayan.

Begitu juga dengan ahli-ahli politik yang pada mulanya hanya orang biasa dan sesetengahnya hanya mempunyai ilmu yang sedikit, tiba-tiba berubah apabila ia memiliki kekuasaan politik yang besar.

Kebiasaannya, soal suku, darah keturunan, pangkat, jawatan, gelaran itu boleh menjadikan manusia kehilangan `keaslian'nya.


Mari kita bercermin kepada Umar bin Abdul Aziz, Khalifatul Mu'minin.

Suatu hari, Raja' bin Haiwah bermalam di rumahnya. Tiba-tiba lampu minyaknya padam. Raja' pun berdiri hendak membetulkannya tetapi khalifah itu melarangnya.

Umar pun membetulkan sumbu lampu itu lalu ia berkata kepada Raja';

"Aku berdiri (membetulkan lampu) dan aku Umar bin Abdul Aziz. Lalu aku duduk, dan aku juga Umar bin Abdul Aziz."

Ia ingin menjelaskan dengan bahasa lain bahwa sebenarnya dirinya hanyalah seorang Umar, meskipun ia seorang khalifah, pemimpin tertinggi. Tidak ada keaiban baginya untuk membetulkan lampu minyaknya yang penuh dengan kotoran.


Inilah makna yang nyata dari `keaslian', kejujuran dan ketulusan yang kita maksudkan.

Sesuatu yang mungkin telah hilang dari sebahagian kita, padahal, kita tidak mampu dan tidak akan mencapai darjat yang dicapai oleh Umar bin Abdul Aziz.

Oleh yang demikian, bagi orang-orang yang sombong yang kehilangan `keaslian', Al-Qur'an menggunakan bahasa yang sangat keras dan `kasar':

"Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembusi bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung." (QS Al-Isra': 37) Jika ada sedikit waktu untuk menyendiri, tanpa pakaian kebesaran, duduklah di kerusi kayu yang bukan kerusi kekuasaan sejenak, lalu bertanyalah :

Apakah yang hilang dari `keaslian' dan kejujuran kita?


KETIGA : KEHILANGAN PERKARA-PERKARA YANG DILUAR KEMAMPUAN KITA UNTUK MENAHANNYA AGAR TIDAK HILANG.

Kehilangan bentuk ini sesungguhnya tidak lebih dari merupakan sebahagian dari takdir-takdir hidup yang mesti kita jalani seperti kehilangan orang-orang yang kita cintai, ayah, ibu, anak, saudara atau sahabat handai dan kaum kerabat.

Kita boleh mencintai siapa sahaja tetapi kita tidak akan mampu memilikinya selama-lamanya.


Begitulah yang dirasakan oleh Rasulullah saw.

Alangkah sedihnya baginda apabila kehilangan isteri tercinta, Khadijah, radhiyallahu `anha. Ia meninggal hanya tiga bulan selepas bapa saudaranya, Abu Talib meninggal dunia. Kehilangan Khadijah, tidak sahaja kehilangan isteri tempat berteduh dari penat lelah dan tidak hanya kehilangan seorang perempuan mulia yang memberinya keturunan namun ia merupakan kehilangan orang yang memberikan seluruh jiwa dan raganya, hidup dan susah payahnya untuk menyokong perjuangan Rasulullah saw.

Kehilangan jenis ini, apabila telah tiba, tidak akan mampu ditolak dengan apa cara sekalipun.

Begitu juga kehilangan sahabat atau kehilangan masa dan zaman tertentu. Itulah yang dirasakan oleh para sahabat yang usianya panjang hingga menemui zaman baru di mana ia menemui penyimpangan- penyimpangan yang baru dan ia cukup terasa kehilangan yang mendalam akan sahabat-sahabat lama yang telah pergi terlebih dahulu.


Ini seperti yang dirasakan oleh Anas bin Malik apabila ia berkata kepada para tabi’en :

"Sesungguhnya, boleh jadi kamu melakukan sebuah kesalahan yang kamu anggap kecil dari sehelai rambut, tapi kami dahulu di masa Rasulullah saw menganggapnya sebagai dosa besar."

Di antara perkara-perkara yang dirangkum di dalam Al Qur'an tentang apa-apa yang mungkin hilang dari diri kita ialah :

  1. Kematian sanak saudara.
  2. Kekurangan harta.
  3. Hilangnya rasa aman.

"Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (QS Al-Baqarah : 155)

Kehilangan jenis ini, tidak ada pilihan lain kecuali menghadapinya dengan kesabaran.

Namun, justeru ramai yang gagal bertahan menghadapi kehilangan jenis ini. Hitunglah sejenak.

  1. Berapa usia kita hari ini?
  2. Siapa yang telah pergi mendahului kita?
  3. Siapa yang telah berpisah dan tidak lagi bersama kita?
  4. Adakah kehilangan itu semua telah mengubah dan mempengaruhi jalan hidup yang kita tempuhi?

atau justeru kehilangan tersebut memberi kita semangat dan kekuatan baru?


KEEMPAT : KEHILANGAN KESEMPATAN DAN PILIHAN-PILIHAN HIDUP.

Sebahagian dari jalan hidup kita adalah :

  1. Pilihan.
  2. Kesempatan.
  3. Selera.

Dalam istilah yang lebih tepat, Allah swt menjelaskannya di dalam Al Qur'an bahwa Dia tidak akan mengubah keadaan suatu kaum hingga kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri.

Mungkin disebabkan oleh sesuatu perkara atau keadaan, kita telah kehilangan sebuah kesempatan berharga. Sebuah kehilangan yang mungkin baru kita sedari apabila beberapa waktu berlalu setelah segalanya menjadi terlambat.

Ini boleh berlaku dalam urusan apa sahaja sehingga kepada perkara-perkara yang bersifat peribadi, bahkan yang mungkin hanya kita dan Allah sahaja yang tahu.


Termasuk dalam kategori ini adalah kehilangan keberanian untuk :

1. Memilih pilihan yang tepat.

2. Meninggalkan pilihan yang keliru.

Sentiasa ada sisi gelap seseorang dari masa lalunya walau sederhana apapun sisi gelap itu.

Kehilangan dalam bentuk ini tidak boleh dihadapi dengan cara yang salah.

Dengan menyesalinya secara berlebihan misalnya atau berandai-andai yang membuatkan kita justeru tenggelam dalam trauma masa lalu yang akan mengakibatkan :

  1. Hidup seperti berhenti.
  2. Harapan terasa mati.

Sebaliknya, kehilangan jenis ini juga tidak pula boleh dihadapi secara acuh tak acuh atau justeru dengan mengulangi lagi secara terus menerus akan kehilangan itu.

Pilihan-pilihan yang salah itu bukannya ditinggalkan bahkan malah diulang-ulang sepertimana perumpamaan seorang perempuan pemintal kain yang diceritakan oleh Al-Qur'an :

"Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi cerai berai kembali." (QS An-Nahl : 92)


Sahal bin Abdullah berkata :

"Sesungguhnya orang yang bodoh itu seperti mayat, orang yang lupa itu seperti orang tidur, orang yang bermaksiat itu seperti pemabuk, sedang orang yang terus menerus melakukan maksiat itulah orang yang binasa. Termasuk dalam erti terus menerus itu adalah mereka yang berkata `aku akan bertaubat esok.' Bagaimana mungkin ia berani berkata esok, padahal hari esok tidak berada dalam kekuasaannya. "


Kehilangan itu mesti menjadi pemacu agar :

  1. Kita tidak tergelincir pada lubang yang sama.
  2. Kita membayarnya dengan yang lebih baik.

Ada disebutkan kisah mahasiswa-mahasiswa Amerika yang masuk Islam seperti yang diterbitkan oleh `Muslim Students Association - University of South California' berkenaan orang-orang yang merasa terlambat memilih pilihan yang tepat iaitu masuk Islam. Itu ertinya, ada kehilangan waktu dan kesempatan untuk segera mengambil pilihan itu.

Namun, kebanyakan mereka kemudiannya membayar kehilangan itu dengan :

  1. Meningkatkan kefahaman Islam dengan lebih mendalam.
  2. Memperbanyakkan amal.
  3. Berdakwah kepada orang lain pula dengan sekuat tenaga

Untuk sebuah pilihan itu, ada sesetengah dari mereka yang menghabiskan waktu tiga tahun untuk melaksanakan perkara-perkara di atas yang melelahkan tetapi sekaligus mengkagumkan di mana sejumlah kepercayaan baru yang muncul dan sejumlah kepercayaan yang lama runtuh di mana bagi sesetengah dari mereka merasakan ketakutan akan kehilangan diri, namun di ketika lain merasakan bahwa jalan Islam ini adalah tujuan dan pegangan mereka.


Begitulah, selain empat perkara di atas, mungkin ada lagi dimensi-dimensi lain tentang erti sebuah kehilangan.

Namun, yang terpenting adalah bagaimana kemudiannya kita dengan tulus dan berbesar hati boleh memetakan kehilangan-kehilangan itu sebagai tempat berpijak dan meletakkan sikap yang betul yang akan kita ambil kemudiannya nanti.

Sesungguhnya roda zaman terus berputar dan bahwa hidup ini pasti ada pasang surutnya. Tinggal lagi bagaimana kita, secara berkala berani bersikap jujur dan bertanya tentang apa yang telah hilang dari diri kita, lalu sesudah itu, ia menjadi bahagian terpenting kita untuk belajar menjadi manusia yang lebih baik dan lebih dewasa.

Ya Allah, gantikanlah segala kehilangan-kehilangan sesuatu dari diri kami dengan yang lebih baik. Limpahkanlah semangat yang bergelora dan sikap tidak putus asa dalam mengisi waktu dan kesempatan yang telah diberikan kepada kami selama masa hidup kami di dunia dan kami mengharapkan balasan yang baik dariMu di atas segala usaha dan amal kami di dunia sehingga kami bertemuMu di akhirat nanti dalam keadaan ridha dan meridhai.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali

JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

No comments:

Post a Comment