Pages

Wednesday, December 22, 2010

“Jangan Lupa Faktor ini….”



11 Disember 2010, semua rombongan Rain Forest Challenge mulai keluar dari Hutan Gunung Berlumut. Destinasi seterusnya ialah Hutan Simpan Tenee di Tanjung Leman Johor.

Jam 3.00 petang, ketika sampai di satu tempat di Jemaluang, rombongan Media melalui jalan lain tempat perkhemahan di satu tempat di Tanjung Leman. Bagi peserta, mereka kena melalui hutan berpaya yang penuh cabaran, jika tidak markah mereka akan dipotong sebanyak 200 mata.

Jalan yang kami lalui biasa sahaja, dan kali ini , kami melalui jalan laut, saya memerhatikan GPS jenama “Garmen” yang dipasang di kereta En. Othman, Presiden Kelab Sukan Dan Rekreasi 4x4 Lipan Bara.

Mengikut GPS ini, kami sedang berada di dalam laut. Rupanya memang jalan yang kami lalui sebenarnya di dalam laut. Kami hanya dapat melalui jalan ini jika air surut dan jika air pasang, semua jalan akan terputus. Jika ada kecemasan, maka helikopter polis akan datang, begitu juga speed bot polis, sentiasa bersedia tidak jauh dari destinasi kami.

Sampai di satu kawasan, pihak pengajur dan media mula membuat khemah masing-masing. Yang ajaibnya ciptaan Allah di sini, di satu kawasan, hanya beberapa langkah dari laut, ada sebuah kolam air tawar. Tidak sedikit pun masin, jernih dan segar dan semua yang ada mengambil air untuk masak dan mandi.


Saya memerhatikan tanah lembap tempat kami berkhemah.

“Ini kalau air pasang ni, naik air ni…” kata saya ketika melihat bekas lembap di kawasan khemah kami.

Tapi, hanya di sini sahaja kawasan tanah agak tinggi, di belakang kami hutan tebal berpaya dan di hadapan kami laut. Sama ada kami masuk ke dalam hutan untuk berkhemah atau tunggu nasib, kebarangkaliannya hanya dua, sama ada air naik atau tidak.

Agaknya, begitulah perasaan Panglima Tariq bin Ziyad ketika mengislamkan Spanyol. Setelah kapalnya berlaboh di Gibraltar Spanyol, beliau membakar semua kapalnya dan berkhutbah pada tenteranya:-

“Wahai tentera Islam sekalian, di belakang kami laut dan di hadapan kamu musuh, kamu pilihlah, mana satu yang kamu mahu mati…”

Oleh kerana tidak ada pilihan, maka pejuang Islam berjuang bersungguh-sungguh hingga 7000 ribu tentera Tariq bin Ziyad dapat mengalahkan puluhan ribu tentera Spanyol hingga akhirnya Spanyol dapat diIslamkan.[?]


Saya hanya memerhatikan air naik sedikit demi sedikit, menunggu untuk mengalihkan khemah dan beg-beg jika air naik, tapi Alhamdulillah, ketika air pasang penuh waktu malam, air tidak naik hingga ke khemah kami, rupanya yang menjadikan tanah ini lembab adalah air hujan.


Dalam pukul 10.00 malam, gempar satu berita salah seorang dari peserta telah cedera teruk di tengah hutan kerana dihempap pokok.

Ketika kenderaannya tersangkut di dalam paya, dia berusaha menggunakan teknik “Wincing” iaitu menggunakan kabel yang di ikat dipokok untuk menarik kereta, tetapi ketika usaha itu, pokok yang diikatnya tumbang dan menghempapnya.


Pasukan Paramedik tentera terus masuk ke dalam hutan paya itu. Helikopter tidak dapat turun kerana hutan yang tebal manakala ambulans pula tidak dapat masuk kerana air sedang pasang.

Satu-satunya cara untuk membawanya ke hospital adalah dengan menggunakan bot. Semua wartawan bersedia dengan kamera masing-masing.


Jam 2.30 pagi, pasukan Paramedik tentera baru dapat membawa mangsa keluar dari tengah hutan, bot telah menunggu dan dengan pantas, mangsa di usung ke bot. Semua yang ada membantu mangsa yang separuh sedar.


Setelah bersama-sama mengusung mangsa ke dalam bot, saya balik ke khemah. Merenung langit yang di hiasi dengan bintang-bintang, baru terasa sejuk dari basahan air laut ketika membantu menggangkat mangsa.


Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi, masih ramai yang tersangkut di dalam hutan paya ini. Paya separas dada dan pinggang menyebabkan beberapa kenderaan tidak berfungsi dan terpaksa menyerah kalah. Yang masih boleh hidup meneruskan usaha keluar dari hutan ini. Tetapi sehebat mana kenderaan, bahaya tetap menanti di mana-mana.


Rupanya, ketika berada di dalam apa keadaan sekalipun, selain dari ilmu, pengalaman dan kemahiran yang cukup, ada satu lagi perkara yang tidak boleh diketepikan. Itulah doa dan pergantungan kepada Allah.


Ini kerana, untuk selamat di dalam apa yang kita buat, bukan terletak pada tangan dan usaha kita semata, tapi kuasa dan kehendak Allah mengatasi segala-galanya.

Sebab itulah, Rasullullah selalu mengingatkan kita mengenai doa dan jika kita mahu berdoa, mintalah pada Allah yang baik-baik.

Allah empunya takdir kita, dia menetapkan perkara yang baik untuk kita sekalipun kita rasa perkara itu buruk. Oleh itu, selalulah minta pada Allah kebaikan yang banyak.


Doa yang paling banyak Nabi baca di dalam hidup Nabi ialah doa meminta kebaikan di dunia dan akhirat. Bacalah selalu doa ini,

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ya Tuhan kami, berikan kami di dunia kebaikan dan di akhirat kebaikan dan peliharalah kami dari azab api neraka

(HR al-Bukhari)

Dengan memperbanyakkan doa, insyaAllah, hidup kita akan terpelihara dari segala kejahatan dan mara bahaya.

Semoga kita menjadi orang yang memaksimakan usaha kita ke arah kebaikan, dan kita tidak melupai Allah sebagai sumber kebaikan. Dengannya segala usaha akan diiringi dengan doa.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

http://www.ustazamin.com/2010/12/universiti-kehidupan-180-jangan-lupa.html


No comments:

Post a Comment