Pages

Friday, March 4, 2011

Bersendiri dalam menyoal diri


بســــــــــم الله الرحمن الرحيم

Assalamu’alaikum warahmatullah


Buat jiwa-jiwa yang mencari kebenaran.

Allah Azza Wajalla berfirman :


A046
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranku)". Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat). (QS -Saba' 34:46) |


dan FirmanNya lagi :
A030

(Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk. (QS - An-Najm 53:30)


Persoalan

[dalam menanggapi ..]

Pendapat itu dan ini...


Pendapat yang dipegang

Adakala terfikir, dalam memilih sesuatu pendapat apakah perkara utama yang menjadi sandaran. Apakah perkara utama yang dijadikan sebagai sebab kepada pemilihan pendapat. Atau apakah alasan sesuatu itu dikatakan perkara dalam agama?

Apakah sesuatu itu dipilih sebagai pendapat atas dasar orang yang bercakap itu orang yang kita sanjung atau kita hormati?

Apakah sesuatu pendapat itu dipilih kerana orang yang mengeluarkan pendapat itu sama aliran/kefahaman dengan kita?

Apakah kerana orang itu kenalan atau guru kita?

Atau kita pernah terhutang budi kepadanya?

Apakah kerana ilmu yang ada padanya?

Atau kerana kita senang dengan caranya?

Atau mungkin kerana tiada kesalahan pada dirinya di mata kita ?

Atau dia diterima oleh orang ramai?

Atau masyarakat mengiktirafnya?

Atau kerana jawatannya?

Atau sebab kita takut dengannya, takut akibat membantahnya?

Atau mungkin kerana ijazah dan sijil yang ada padanya?

Atau kelayakan yang ada bersamanya?

Atau mungkin kerana petah bicaranya?

Atau kuat hujjahnya?

Mungkin juga kerana dia bawakan sesuatu yang kita inginkan lalu kita benarkannya?


Atau

Apakah pendapat itu dipilih kerana ia pendapat yang mudah untuk difahami?

Ataukah kerana ia pendapat yang mudah untuk dipraktik?

Ataukah kerana pendapat itu ramai orang ikut maka kita memilihnya atau mungkinkah kerana itu sahajalah pendapat yang ada?

Atau mungkin kerana ia pendapat yang paling dekat dengan keinginan kita atau ia pendapat yang paling logik?

Atau mungkin kerana ianya pendapat yang popular atau mungkin kerana tidak ramai memilihnya, maka kita ingin berpendapat lain dari orang lain?

Ataukah kerana pendapat itu dipengang oleh keluarga kita ataukah kerana rakan dan taulan?

Ataukah kerana masyarakat sekeliling memilihnya lantas kita tidak mahu rasa tersisih?

Ataukah kita memilihnya kerana itu kehendak kita, lalu kita mengawalkan nafsu sebagai pembicara agama buat diri kita?

Ataukah kerana kita tidak mahu sesuatu yang sukar dan memeningkan juga tidak mahu sesuatu yang menyusahkan, lalu kita pilih sesuatu yang senang lagi menyenangkan?

Ataukah kerana ianya pendapat nyang paling tepat setelah kajian dilakukan, setelah perbandingan dibuat dan setelah dilihat dari pelbagai sudut, ternyata walau bukan kehendak tetapi itulah kebenaran?

Ataukah kerana kita disuruh memilihnya jika tidak terimalah padahnya?

Ataukah sememangnya kita tidak tahu lalu kita ikut ikutan, ataukah kita ikut walau kita berilmu, kerana telah dipujuk dan dirayu?

Atau mungkin kerana pendapat itu selari dengan pemikiran dan pegangan kita?


Pendapat yang ditolak/dibangkang

Adakala terfikir, dalam menolak/tidak menerima pendapat, apakah sandaran utama yang digunakan? Samada tidak menerimanya namun menghormatinya, atau menolaknya dan tidak mengiktirafnya.

Apakah pendapat itu tidak diterima kerana pendapat itu tidak releven?

Ataukah kerana tidak praktikel?

Atau mungkin kerana pendapat itu tidak memudahkan malah menyusahkan?

Ataukah selepas pelbagai pendapat dikumpul, lalu pendapat tertentu ditolak kerana tidak tepat selepas kajian yang benar dilakukan?

Ataukah kerana pendapat itu tidak berdasarkan ilmu yang benar?

Atau mungkin kerana ia tidak relevan dengan keadaan semasa?

Ataukah kerana pendapat itu tidak selari dengan kehendak kita?

Atau mungkin kerana ada orang menyatakan bahawa pendapat itu tidak benar, maka kita mengikuti sahaja?

Ataukah kerana kita telah dilarang oleh orang tertentu agar tidak mengambil pendapat itu?

Ataukah ia tidak diterima kerana kita tidak suka, tidak serasi dengan kehendak kita, tidak menepati harapan kita?


Atau

Adakah pendapat itu ditolak kerana pendapat itu bertentangan dengan pendapat orang yang kita kenali, kita sanjungi?

Ataukah kerana pendapat itu adalah pendapat musuh kita, maka tidak kisah samada benar atau salah, ia tetap ditolak, kerana ia datang dari musuh kita?

Atau mungkin kerana pendapat itu dikeluarkan oleh orang yang kita benci, lalu setiap perbuatan dan perkataannya kita benci dan adakala kita maki, tanpa kita kaji dan selidiki, tanpa kita dengar hujah-hujah yang diberi?

Atau mungkin kerana orang yang mengeluarkan pendapat itu kurang ilmunya, atau kurang adabnya, atau mungkin juga kerana kurang kredibiliti dan kelayakannya?

Atau mungkin kerana kesilapan silam yang pernah dilakukan oleh orang itu, lalu setiap kata-katanya selepas itu tidak akan diterima dan semuanya tertolak belaka, atau mungkin sekadar salah faham sahaja, namun hati kita yang terasa?

Atau mungkin juga kerana individu tertentu telah berkata sesuatu berkenaan kita, atau keluarga kita, atau mungkin kenalan atau orang yang kita hormat, dan disebabkan itu, pendapatnya tidak kita terima?


Monolog seorang insan..

Bertanyalah kita kepada diri kita sendiri, dikala sunyi dan sepi, dikala bersendiri. Apakah sandaran kita dalam memilih, dan apakah sandaran kita dalam menolak pendapat?

Ingatlah bahawa kita ingin mencari kebenaran, bukan menolak ketidak samaan.

Dalam mencari kebenaran, ilmu didahulukan, nafsu dan emosi diketepikan. Jangan dilupa peranan syaitan, yang sentiasa mencari jalan, menyesatkan dan memesongkan.

Bertanyalah kita kepada diri kita sendiri, dikala sunyi dan sepi, dikala bersendiri. Apalah tujuan kita memilih pendapat dan apakah tujuan kita menolak pendapat. Apakah kebenaran yang kita kejar? Atau kepuasan yang kita dambar?

Juga bertanyalah kepada diri kita wahai insan, dikala berseorangan, berteman kesepian. Apakah setiap pendapat yang tidak selari dengan kebenaran, perlu dijatuhkan, dihina dan diperli? Apakah setiap individu yang mengeluarkan pendapat yang salah, perlu dihentam, dikutuk dan dimaki?

Jangan juga kita lupa wahai insan, bahawa sesungguhnya kebenaran milik Allah, dan Dia memberikan kepada siapa Dia inginkan.

Kerana itu bertanyalah kita kepada diri wahai hamba, apakah kita sangat yakin bahawa kita di atas kebenaran, sedang pendapat lain kesemuanya kesesatan dan kesalahan?

Apakah kita yakin kitalah yang dipilih Allah untuk menegakkan kebenaran sehingga dengan mudah kita merendahkan orang lain ? Apakah kita yakin bahawa di sisi kita kebenaran, sehingga kita menolak siapa sahaja tidak sependapat dengan kita? Sungguh hebat keyakinan kita bahawa kita benar, sehingga kita menjatuhkan, dan mengasari siapa sahaja yang berbeza dengan kita. Sungguh ajaib.

Bertanyalah kita kepada diri sendiri, dikala sunyi dan sepi, dikala bersendiri. Benarkah kita di atas kebenaran, jika menjaga hak tidak kita tegakkan? Benarkah kita di atas kebenaran, jika keadilan sekadar hiasan, di dalam kitab dan penulisan, sedang ia sekadar melalui lisan menjadi ucapan, tetapi tidak ternampak pada perbuatan?


Mari kita pelajari dari insan mulia. Amirul Mu’minin ‘Umar namanya. Sungguh hebat pekertinya. Sering dia mengukur diri apakah dia berlaku adil. Sering dia mengukur diri, apakah dia menunaikan hak. Sering dia mengukur diri, bertanyakan kepada penyimpan rahsia, apakah namanya termasuk di dalam senarai orang munafiq. Apabila terdengar amaran dari Al Qur’an, cepat dia mengukur diri, dan menyatakan amaran itu mengarah kepada diri.


Bertanyalah kita wahai hamba, apakah kita mengikut jejak langkah mereka yang telah diberi janji bahawa syurga itu pasti dimiliki? [ atau sekadar mangikut nafsu amarah..]


Nasihat kepada setiap insan

Lontarlah persoalan demi persoalan kepada dirimu insan. Apakah tujuan kita dijadikan? Apakah perbuatan dan perkataan kita, selari dengan tujuan tersebut? Apakah setiap tindak tanduk kita, merealisasikan tujuan itu, ataukah sebaliknya?

Bukankah setiap perbuatan dan perkataan itu hanya mempunyai dua natijah, samada menjadi hujjah bagi kita, dan menyelamatkan kita dari azab dan siksa, serta membawa kita ke syurga, atau menjadi hujjah ke atas kita, lantas membinasakan kita, melayakkan diri untuk diazab dan disiksa, dan dihumban ke dalam neraka?

Bukankah kita telah diberitakan, perihal mereka yang muflis, yakni bukan mereka yang tiada harta, bahkan cukup dalam beribadat, namun perbuatan dan perkataannya sesama insanlah yang membawanya ke pintu kemusnahan?

Bertanyalah kepada diri, apa yang sedang kita cari? Dan jalan apakah yang kita harungi dalam usaha kita mencari? Berapa kerapkah kita menasihati diri sendiri dan mencari kesalahan diri?

Begitu juga dalam berinteraksi, apakah kita mendahulukan usaha mendengar untuk memahami, sebelum mengeluarkan tafsiran sendiri? Sudahkah kita mendengar sebelum kita ingin didengari? Tidak ingatkah kita bahawa tidak sempurna iman sehingga kita menginginkan untuk saudara kita seperti mana untuk kita?

Bertanyalah kita lagi kepada diri, bukankah tindakan seseorang itu, adalah atas ilmunya dan kefahamannya? Tindakan seseorang itu bukankah atas kemampuan dan kesanggupannya?

Jika ianya salah atau tidak tepat, bukankah lebih mulia bagi kita untuk menasihatinya dengan lembut dan berhikmah tanpa sebarang unsur merendah juga menjatuhkan?

Jika dia tersalah bukankah lebih mulia jika kita menolak kesilapannya dengan akhlak dan adab mulia? Jika dia silap, bukankah lebih mulia jika kita mendoakannya juga mendoakan diri kita?

Bertanyalah lagi wahai insan kepada diri, bukankah kita ini manusia yang penuh dengan kelemahan? Bukankah kita ini hamba yang penuh cacat cela?

Bukankah kita makhluk yang tidak sempurna (dari segi ilmu dan kemampuan)? Bukankah setiap manusia itu berbeza tahap keilmuannya? Juga tahap kemampuannya? Juga tahap pemahamannya? Juga tahap pemikirannya? Bukankah manusia itu tidak maksum kecuali yang terpilih sahaja?

Dengan setiap persoalan ini wahai insan, tidak diberi jawapan, kerana kitalah yang harus menjawapnya dengan penuh keikhlasan, dengan penuh keinsafan.


Mungkin kelihatan, bahawa tulisan ini ditujukan kepada satu-satu kumpulan. Bahkan tidak, sesungguhnya setiap persoalan di sini, ditujukan buat diri sendiri dan buat setiap jiwa yang mencari kebenaran, [demi menyahut suruhan Allah agar kita saling MEMPERINGATI ;berdasarkan firman Allah :


A055
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman. (Adz-Dzaariyaat 51:55)

Bukanlah tulisan ini menyatakan kesalahan atau kebenaran sesiapa, tetapi sekadar satu peringatan agar kita tetap berfikir, dan terus berfikir di samping mempelajari Ilmu yang berguna dan mentadabbur , mempelajari dan mengambil pertunjuk dari Al Quran . Kerana Al Qur’an juga mengulangi persoalan dan arahan agar kita berfikir...[sehingga kita tak akan berkata maupun bertindak seperti orang yang hilang aqal ..]

Hikmah dan kebijaksanaan itu diberikan kepada orang yang Dia kehendaki...


A269

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Al-Baqarah 2:269)

Mengambil contoh dari mereka yang pasti/terjamin di sisi Allah sebagai berpetunjuk, selamat dan berjaya..

A090
Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya. (Al-An'aam 6:90)


Semoga kita dikurniakan rasa kasih dan rasa takut kepada Allah (dari azab dan putusnya rahmat darinya )

A011

Sesungguhnya peringatan dan amaran ( berkesan dan mendatangkan faedah) hanya kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (dari azab dan terjauh dari rahmat) Ar-Rahman( walaupun dia tidak melihatNya ). Oleh itu berilah kepadanya berita gembira dengan keampunan dan pahala yang mulia. (Yaa Siin 36:1)


Semoga Al Quran menjadi penawar (syifa ) kepada segala penyakit yang mungkin ada dalam hati-hati kita; disamping menjadi hujjah /keselamatan (atas keimanan kita ) dan tidak mentadi hujjah yang menjerumuskan kita ke NerakaNya ( na'uzubillahi min zalik)....

-Yang membershikanya dari segala karat yang menutupinya, yang melembutkannya ; bersama zikir dan istighfar yang ikhlas kerana-Nya , beserta ingatan bahawa kitapasti akan menemuiNya
untuk dipertanggung-jawabkan atas apa yang kita lakukan di atas dunia.

Sekian, semoga bermanafaat .

Wabillahi at taufiq, wassalamu'alikum wr.

credit to : Abu ‘Aisyah Yusof Yahaya (2011-02-17)

No comments:

Post a Comment