Pages

Sunday, March 6, 2011

Lima Tanda Hati di Sayangi Allah

[Panduan Rasulullah daln menghadapi tiga perkara] :
"Jika datang perasaan hasad dengki kepada kamu- maka beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial berlaku, abaikan dan jangan endahkannya"

( Hadis Riwayat At-Tabrani)


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Kehidupan yang kita tempuhi pada saat ini merupakan kurniaan Allah S.W.T. yang berharga dan amat tinggi nilainya. Sejajar itu sebagai seorang mukmin hendaklah kita sentiasa kembali mentaati perintah Allah S.W.T., mematuhi suruhan-Nya, menjauhi larangan-Nya, menyerahkan wala' (ketaatan) hanya kepada-Nya dan jadikan agama-Nya sebagai satu-satunya cara hidup yang syamil dan kamil. Bagi memenuhi tuntutan ini, maka hati mestilah diambil berat, dijaga, dikawal, dibentuk, diproses dan dididik sebaik-baiknya.

Hati merupakan bekas yang bersedia menerima apa saja sama ada petunjuk atau kesesatan, futur atau takwa. Maka ia mestilah terlebih dahulu agar ia menjadi sihat dan mulia dengan Islam. Hati yang Rabbani akan setiap masa dan ketika berhubung dengan Allah S.W.T. dan mematuhi titah perintah-Nya.


Di antara tanda yang memperlihatkan dan menunjukkan hidupnya hati ialah sentiasa mengingati Allah S.W.T.

Sahabat yang dimuliakan,

Hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

"Di dalam jasad itu ada seketul daging, apabila rosak, maka rosaklah badan seluruhnya dan apabila sihat maka sihatlah badan seluruhnya, dia adalah hati."

Untuk melihat dan mengetahui sejauh mana keras atau lembut, kontang atau subur, mati atau hidup hati kita, terdapat beberapa tanda yang menjadi bukti.


Antara tanda-tandanya ialah :

Pertama : Sentiasa mengingati Allah S.W.T. dan Zikrullah :

Dalam ertikata yang luas seperti membaca al-Quran, zikir waktu pagi dan petang dan menunaikan ibadah khusus yang lain.

["Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai." (Al-A'raaf 7:205)
(sentiasa mengingati Allah- setiap masa dan keadaan )

"Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu apabila saja engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini". (Al-Kahfi 18:24)

"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). " (Al-Jumu'ah 62:10) ]


Sayyidina Ali r.a pernah meriwayatkan satu hadis dari Nabi s.a.w yang bermaksud :

"Apabila engkau mendapat sesuatu musibah (kecelakaan) bacalah 'Bismillaahi'rrahmaanirrahiim, wa laa haula walaa quwwata illaa billaahil 'aliyil 'aziim'. Nescaya Allah menjauhkan daripadanya 70 pintu dari segala macam bala, kesusahan dan dukacita. (Hadis Riwayat Ibnu Sunny dan Addailamy)

Sabda Nabi S.A.W. lagi yang bermaksud :

"Barangsiapa mendatangi (pulang) kerumahnya, maka dibacanya akan surah al-Hamd (surah al-Fatihah) dan surah al-Ikhlas, maka menafikan Allah daripadanya fakir dan mendapat ia kebajikan yang banyak di tempat itu."

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :

Semaikanlah perasaan takwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. 'Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat '.

Kedua : Kuat berpegang kepada Deen Islam.

Menyampaikan kebenaran didalam apa jua suasana dan ketika.Untuk mendapat pegangan yang kuat perlu kepada proses yang betul.

Pegangaan yang kuat sebenarnya merupakan hasil yang lahir dari Iman yang betul.

'Hati laksana bekas yang paling disukai Allah S.W.T. Ia perlu diproses hingga menjadi lembut, bersih, kuat pegangan terhadap Deen Allah dan lembut terhadap saudara-saudaranya.'

Firman Allah S.W.T. maksudnya :

"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan Kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian (istiqamah) mereka, maka Malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu". Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya kamu memperolehi apa yang kamu inginkan dan memperolehi (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. sebagai hidangan (bagimu) dari Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Fushilat ayat 30-32)

Dari Abu Amrah Sufyan bin Abdillah r.a berkata :

Ya Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan sahaja yang aku tidak akan bertanya kepada siapapun selain engkau! Jawab Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Katakan, aku beriman kepada Allah, lalu istiqamahlah. (Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Menjauhkan diri daripada perkara yang sia-sia.


Pemilik hati yang takut kepada Allah akan menjauhi larangan-Nya dan meninggalkan perkara yang sia-sia.

"Dari Abu Hurairah r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Diantara kebaikan Islam seseorang ialah ia meninggalkan apa saja yang tidak memberi manafaat baginya"

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Huraian hadis di atas :

1. Berkata Ibnu Rajab rahimahullah: "Hadis ini adalah salah satu prinsip agung (ushul) dari prinsip-prinsip Adab (etika)."

2. Anjuran memanfaatkan waktu sebaik-baiknya dengan hal-hal yang bermanfaat di dunia dan di akhirat.

3. Anjuran agar seorang hamba menjauhkan dirinya dari perkara-perkara sia-sia dan menyibukkan dirinya dengan perkara-perkara yang mulia lagi berguna.

4. Anjuran untuk selalu melakukan mujahadah (perjuangan) menaklukkan nafsu(tidak memperturutkannya ) dan memperbaiki diri dengan menjauhkannya dari perkara-perkara hina dan rendah yang disukainya dan merupakan seleranya.

5. Ikut campur dalam urusan orang lain yang tidak ada sangkut pautnya dengan seseorang adalah menyebabkan terjadinya permusuhan dan persengketaan.

6. Menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang tidak ada kepentingannya dengan seseorang adalah perbuatan sia-sia dan tanda lemahnya iman.

7. Hati yang sibuk dengan Allah pasti menjauhi semua urusan makhluk yang tidak berguna.


Keempat : Bersih dari hasad dengki, marah dan menipu.

Ditanya Nabi s.a.w yang bermaksud ,

" Wahai Rasulullah s.a.w siapakah sebaik-baik manusia?"Jawab baginda, " Setiap orang yang beriman."Ditanya apakah itu?Jawab baginda, "Yang bertakwa, tidak ada penipuan, melampau dan hasad."

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"

(Hadis Riwayat Baihaqi)

Firman Allah S.W.T. maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah oleh kalian kebanyakan dari persangkaan (zhan) karena sesungguhnya sebagian dari persangkaan itu merupakan dosa.”(Surah Al-Hujurat: 12)


Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

"Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "Apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"

Jawab Nabi S.A.W.: "Jika kamu datang perasaan hasad dengki - beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya"

( Hadis Riwayat At-Tabrani)


Kelima : Tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah S.W.T.


Hati akan merasa reda, puas dan izzah (mulia) dengan sistem Allah S.W.T. sepanjang hayat.

Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syarak, dan tidak seharusnya diambil nilai-nilai lain.

Kabaikan dan keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syarak berdasarkan kaedah: “Yang baik ialah apa yang dipandang baik oleh syara dan yang buruk ialah apa yang dipandang buruk oleh syarak.

Terdapat banyak perintah Allah yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syarak dan melarang daripada mengambil nilai yang lain daripada syarak.

Antaranya Firman Allah SWT maksudnya :

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan) daripada urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.

(Surah al-Jaatsiyah ayat 18)


[Apabila sudah ada ketetapan di sisi Allah dan RasulNya berkenaan sesuatu perkara, maka sudah tiada pilhan lagi bagi orang-orang yang beriman ; tiada lagi ijtihad kerana suda jelas..

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan/ketetapan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." (Al-Ahzaab 33:36)]

Firman Allah S.W.T maksudnya :

"Ikutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadaNya).

(Surah al-A’raf ayat 3)

Firman Allah S.W.T. maksudnya :

“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, pada hal mereka telah diperintahkan agar mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka sejauh-jauhnya.”(Surah an-Nisa’ ayat 60)


Sahabat yang dikasihi,

Oleh itu marilah sama-sama kita bersihkan dan proses hati kita supaya lima tanda-tanda hati yang disayang Allah S.W.T. akan kita miliki. Semoga Allah campakkan cahaya iman dalam hati kita hingga hati kita menjadi luas, lapang dan tenang.

Sesungguhnya setiap sesuatu itu ada pembersihnya, pembersih hati ialah mengingat mati dan sentiasa mengingati Allah. Tidak boleh menyelamatkan seseorang itu azab Allah melainkan hati yang disayangi dan dirahmati-Nya.

by Abu Basyer February 19, 2011

No comments:

Post a Comment