Pages

Thursday, April 28, 2011

Buku :Siapakah Ahlus Sunnah Yang sebenarnya -2





Penjelasan Teradap Tohmahan Zamihan Mat Zin Al Ghari terhadap Pegangan Ahli Sunnah dan Para Tokohnya


Pendahuluan

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا
من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له

وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله

اللهم صل على نبينا محمد وعلى اله وصحبه وسلم،
وبعد:

Perkataan Ahli Sunnah jika dilihat dari sudut istilah, bermaksud para pengikut Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Penggunaan istilah Ahli Sunnah dengan maksud ini bermula sejak dari zaman Sahabat radhiallahu 'anhum, setelah berlakunya ‘fitnah’ yang melahirkan pelbagai puak yang menyeleweng daripada ajaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sebenar. Dalam sebuah athar[1] yang sahih, Ibn Sirin rahimahullah (110H) berkata:

dir="RTL" style="text-indent: .5in; direction: rtl; unicode-bidi: embed; margin-left: .5in; margin-right: 0in; margin-top: 0in; margin-bottom: 6.0pt"> لم يكونوا يسألون عن الإسناد، فلما وقعة الفتنة قالوا: سموا لنا رجالكم فينظر إلى أهل السنة فيؤخذ حديثهم وينظر إلى أهل البدع فلا يؤخذ حديثهم.

Maksudnya: Mereka (para perawi hadith) tidak pernah usul periksa tentang sanad, tetapi tatkala berlakunya fitnah, mereka berkata: "Beritahu kami siapakah lelaki-lelaki (perawi-perawi) kamu?" Maka diperhatikan kepada Ahli Sunnah lalu diambil hadith (riwayat) mereka, dan diperhatikan pula kepada Ahli Bidah lalu tidak diambil hadith (riwayat) mereka"[2].

Kata-kata Ibn Sirin ini selain daripada menunjukkan permulaan penggunaan istilah Ahli Sunnah, ia juga menunjukkan permulaan penggunaan istilah Ahli Bidah sebagai gelaran terhadap puak-puak yang menyalahi Sunnah.

Istilah Ahli Sunnah dilihat lebih khusus daripada istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kerana istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah itu umum bagi seluruh umat Islam yang memperakui kekhilafahan Khulafa’ Rasyidin, Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali, meskipun mereka tidak mengikut Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam beberapa aspek yang lain[3]. Sedangkan istilah Ahli Sunnah itu pula menjurus kepada orang yang berpegang teguh dengan jalan pemikiran, pendekatan, perbuatan, perkataan, pembawaan dan pegangan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam semua hal ehwal keagamaan.

Definisi Dan Pembahagian Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam

Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bukan bermaksud hukum sunat yang menjadi lawan kepada hukum wajib, tetapi ia bermaksud: jalan pemikiran, pendekatan, perbuatan, perkataan, pembawaan dan pegangan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam beribadat dan beragama. Secara umumnya, Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam terbahagi kepada dua bahagian:

· Pertama, Sunnah Amaliyyah,

· Kedua, Sunnah Tarkiyyah.

Sunnah Amaliyyah bermaksud apa sahaja yang disuruh atau digalakkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ke atas umatnya supaya mereka melakukannya, seperti qiyamullail, berpuasa dan berkahwin.

Manakala Sunnah Tarkiyyah pula bermaksud apa sahaja yang ditinggalkan (tidak dilakukan) oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda tidak pernah menyuruh atau menggalakkannya.

Dengan perkataan lain, jika melakukan amalan (keagamaan) yang dilakukan oleh Nabi itu dilihat sebagai mengikut Sunnah, maka tidak melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi itu juga dilihat sebagai mengikut Sunnah. Asas bagi pemahaman Sunnah Tarkiyyah ini dapat diambil daripada beberapa dalil, antaranya ialah sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

dir="RTL" style="text-indent: .5in; direction: rtl; unicode-bidi: embed; margin-bottom: 6.0pt"> من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه.

Maksudnya: “Antara ciri keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak perlu baginya”[4].

Segala bentuk amalan keagamaan yang ditinggalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah termasuk dalam jenis perkara yang tidak diperlukan oleh seseorang muslim, kerana jika ia perlu nescaya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan melakukannya sebagai ikutan bagi umatnya. Tetapi bila sesuatu amalan itu tidak dilakukan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka ia menunjukkan bahawa amalan tersebut tidak perlu, dan meninggalkan perkara yang tidak perlu itu dilihat sebagai mengikut Sunnah, manakala melakukannya pula dilihat sebagai tidak mengikut Sunnah.

Antara contoh Sunnah tarkiyyah yang telah sedia dihayati oleh umat Islam ialah tidak mendahulukan khutbah ke atas solat hari raya, tidak melaungkan azan dan iqamah untuk solat Hari Raya, solat al-istisqa’ dan solat jenazah, tidak melakukan solat sunat rawatib secara berjamaah dan tidak berdoa secara berjamaah sebelum solat fardu.

Umat Islam tidak melakukan semua perkara itu kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah melakukannya. Justeru, prinsip ikutan terhadap Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sama ada dengan melakukan apa yang Baginda lakukan (dalam perkara keagamaan) atau meninggalkan (tidak melakukan) apa yang Baginda tinggalkan.




Kewajipan Dan Kepentingan Menghidupkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam

Setiap muslim wajib berpegang teguh dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia adalah manifestasi ajaran Islam yang sebenar, yang boleh menyelamatkan mereka daripada terpesong ke jalan kesesatan. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما إن تمسكتم بهما، كتاب الله وسنتي.

Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku”[5].

Setiap muslim juga semestinya menyedari bahawa menepati Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah satu daripada dua syarat penerimaan amalan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala[6], sebagaimana sabdanya:

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan mengikut (spesifikasi) cara kami, maka ia adalah tertolak”[7].

Bahkan setiap muslim juga semestinya menyedari bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mengaku umat bagi sesiapa yang tidak mengikuti Sunnahnya, sebagaimana sabdanya:

...فمن رغب عن سنتي فليس مني.

Maksudnya: “…Maka, sesiapa yang tidak ikut Sunnahku, dia bukan dari (kalangan umat) ku”[8].


Dalam satu khutbah yang bersemangat, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

فإنه من يعش منكم بعدي فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة

Maksudnya: “Maka, sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ Rashidin Mahdiyyin, gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham, dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana ia adalah bidah sedangkan setiap bid’ah itu adalah sesat”[9].


Dari sudut bahasa, ungkapan فعليكم yang bermaksud “hendaklah kamu berpegang” diistilahkan sebagai ism fi’l amar (kata nama suruhan) yang membawa konsekuensi hukum wajib. Kedudukan maksud suruhan yang terkandung dalam hadith ini sama seperti kedudukan maksud suruhan yang terkandung dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: كتب عليكم الصيام yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu berpuasa”[10]. Oleh itu, perintah supaya berpegang teguh dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang terkandung dalam hadith itu mesti difahami sebagai suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam sama seperti kewajipan solat, puasa dan lain-lain.

Khutbah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini dilihat mengandungi mukjizat ilmiah yang besar kerana ia menggambarkan suasana perselisihan yang akan berlaku kepada umat Islam selepas kewafatan Baginda. Justeru, Baginda dengan tegas mengingatkan kepada sesiapa yang hidup pada zaman perselisihan itu supaya menghadapinya dengan cara berpegang teguh dengan Sunnahnya dan juga Sunnah para Khalifah yang menggantinya.

Selain daripada menggambarkan suasana perselisihan, khutbah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu juga mengisyaratkan kepada bahaya pemikiran dan amalan bidah sebagai faktor yang menyebabkan berlakunya perselisihan tersebut. Menjelaskan kepentingan berpegang teguh dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini, Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata (maksudnya):

“Maka wajib ke atas setiap individu mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk mengetahui apa yang dibawa olehnya (Rasulullah) serta mematuhinya, kerana inilah saja jalan pelepasan daripada azab yang pedih dan juga jalan kejayaan bagi mendapat nikmat syurga”[11].

Kaedah usul telah menetapkan bahawa Ma La Yatim Al-Wajib Illa Bihi Fahuwa Wajib, maksudnya: "Perkara yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia juga adalah wajib"[12].

Justeru, oleh kerana kewajipan berpegang dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidak akan terhasil melainkan dengan adanya usaha untuk menghidup dan menegakkannya, maka usaha menghidup dan menegakkan Sunnah itu juga mesti dilihat sebagai suatu kewajipan ke atas setiap muslim.


Usaha menghidupkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dilihat sebagai amat penting kerana setiap Sunnah yang dihidupkan bererti mematikan satu amalan bidah manakala membiarkan hidupnya satu amalan bidah akan mengakibatkan matinya satu Sunnah. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

سيلي أموركم بعدي رجال يطفئون السنة ويعملون بالبدعة.

Maksudnya: “Urusan kamu selepasku akan dikuasai oleh kaum lelaki yang akan memadamkan Sunnah dan beramal dengan (amalan) bidah”[13].

Dalam sebuah hadith lain, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu Huzaifah Ibn Al-Yaman radhiallahu 'anh bahawa kebaikan yang ada pada umat Islam menjadi pudar kerana adanya unsur dakhan di kalangan mereka. Bila Huzaifah bertanya apakah unsur dakhan itu, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

قوم يستنون بغير سنتي ويهدون بغير هديي، تعرف منهم وتنكر.

Maksudnya: “Golongan yang tidak beramal dengan Sunnahku dan yang tidak berhidayah dengan petunjukku, kamu mengetahui dan mengingkari mereka”[14].


Seperti hadith sebelumnya, hadith ini juga mengandungi mukjizat ilmiah yang besar kerana ia menggambarkan kelemahan yang menimpa umat Islam disebabkan tindakan mereka meninggalkan Sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian menggantikannya dengan amalan bidah yang mereka ciptakan.

Justeru untuk memastikan prinsip berpegang dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu benar-benar mantap, umat Islam tiada pilihan melainkan terlebih dahulu menjauhi segala amalan bidah, kerana rawatan bagi sesuatu penyakit bermula dengan mencegah faktor yang menyebabkan timbulnya penyakit tersebut.

untuk bacaan selanjutnya :

http://www.hafizfirdaus.com/ebook/SiapakahAhliSunnah/Pendahuluan.htm


-------------------------

[1] Istilah yang biasa digunakan untuk menunjukkan perkataan atau amalan para Sahabat dan Tabiien.

[2] Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya' At-Turath Al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, 1: 15.

[3] Ada yang berpendapat bahawa istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah berasal daripada athar Ibn Abbas ketika beliau mentafsirkan maksud ayat 106 surah Ali Imran, dengan katanya yang bermaksud: “Maka adapun golongan yang putih berseri muka mereka ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan orang berilmu, manakala golongan yang hitam muka mereka pula ialah Ahli Bidah dan kesesatan”.

Tetapi ia adalah riwayat yang terlalu lemah kerana dalam sanadnya ada seorang perawi bernama Mujasyi Ibn Amr, yang dinilai oleh Ibn Main sebagai salah seorang pemalsu hadith, manakala Al-Bukhari pula menilainya sebagai mungkar majhul dan Al-Uqaili menilainya sebagai mungkar al-hadith. Lihat: Al-Lalakai, Hibatullah Ibn Al-Hasan, Syarh Usul I tiqad Ahl As-Sunnah Wa Al-Jamaah, Tahqiq: Ahmad Sad Hamdan, Dar At-Tayyibah, Riyadh, 1408H, 1: 71, No: 74. Az-Zahabi, Muhammad Ibn Ahmad Ibn Uthman, Mizan Al-Itidal Fi Naqd Ar-Rijal, Tahqiq: Ali Muhammad Al-Bajawi dan Fathiyyah Ali Al-Bajawi, Dar Al-Fikr Al-Arabi, t.th, 4: 356, No: 7066.

[4] At-Tarmizi, Muhammad Ibn Isa Ibn Saurah, Sunan at-Tarmizi, Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabi, t.th, 4: 558, No: 2317, 2318 dan Ibn Majah, Muhammad Ibn Yazid Al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, Dar Al-Fikr, Beirut, t.th, 2: 1315, No: 3976. Hadith ini telah dinilai hasan oleh An-Nawawi dalam Riyadh As-Salihin, tetapi dinilai sahih oleh Ibn Al-Qayyim dalam Al-Jawab Al-Kafi, juga oleh Muhammad Syakir dalam Musnad Ahmad dan juga oleh Al-Albani dalam Sharh At-Tahawiyyah, Sahih Sunan At-Tarmizi, Sahih Sunan Ibn Majah, Misykat Al-Masabih, Sahih At-Targhib dan kitab Al-Iman karya Ibn Taimiyyah. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

[5] Malik Ibn Anas, Al-Muwatta’ (bersama Syarh Az-Zarqani), Dar Al-Fikr, Beirut, t.th, No: 1727. Hadith dinilai sebagai masyhur oleh Ibn Abd Al-Barr Al-Qurtubi dalam At-Tamhid dan dinilai sebagai hasan oleh Al-Albani dalam Misykat Al-Masabih, At-Tawassul dan Manzilah As-Sunnah. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah. atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

[6] Syarat kedua ialah niat yang betul.

[7] Muslim Ibn al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar al-Ihya’ at-Turath al-‘Arabi, 1991, No: 1718.

[8] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, No: 4776, dan Muslim Ibn al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar al-Ihya’ at-Turath al-‘Arabi, 1991, No: 1401.

[9] Abu Daud, Sulaiman Ibn Al-Asy-‘Ath, Sunan Abi Daud, Dar Al-Hadith, Beirut, 1974, No:4607 At-Tirmizi, Muhammad Ibn Isa, Sunan At-Tarmizi, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, 1987, No: 2510 dan Ibn Majah, Muhammad Ibn Yazid Al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-‘Arabiyyah, Kaherah, t.th, No: 4036. Hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah As-Sahihah, Maktabah Al-Ma’arif, Riyadh, 1996, 6: 526, No: 2735.

[10] Al-Baqarah, 2: 183.

[11] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd Al-Halim Al-Harrani, Majmu al-Fatawa, Terbitan Waqaf, Arab Saudi, 1398H, 1:5-6.

[12] Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Fikr, Damsyik, Syria, 1986, 2: 67-71.

[13] Ibn Majah, Muhammad Ibn Yazid Al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-Arabiyyah, Kaherah, t.th, 2: 956, No: 2865. Hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, No: 2864 dan Sahih Sunan Ibn Majah, No: 2332. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

[14] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, 1987, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 3: 1319, No: 3411 dan 6: 2595, No: 6673. Muslim Ibn Al-Hajjaj t.th, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabiyy, Beirut, 3: 1475, No: 1847.

No comments:

Post a Comment