Pages

Friday, April 29, 2011

Buku :Siapakah Ahlus Sunnah Yang sebenarnya - 3



Penjelasan Teradap Tohmahan Zamihan Mat Zin Al Ghari terhadap Pegangan Ahli Sunnah dan Para Tokohnya


Penutup



Demikianlah penjelasan terhadap sebelas tohmahan yang dilontarkan oleh Ahli Bid’ah ke atas pegangan Ahli Sunnah dan para tokohnya. Berdasarkan keseluruhan penjelasan yang dibuat, dapat difahami bahawa pegangan atau iktikad Ahli Sunnah yang sebenar adalah mereka tidak mentakwil sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka beriman kepada apa jua sifat yang Allah sifati diri-Nya dalam al-Qur’an dan melalui lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Kemudian mereka menetapkan sifat tersebut, memahami maksudnya dan menyerahkan bentuk serta caranya kepada Allah.


Demikianlah pegangan atau iktikad beberapa tokoh Ahli Sunnah yang masyhur seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Al-Qayyim, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dan Al-Albani rahimahumullah. Demikianlah juga merupakan pegangan para pendukung Sunnah di Malaysia.

Penjelasan dalam bukuini tidak terhad kepada persoalan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah sahaja, akan tetapi meluas kepada persoalan ilmu tafsir, ilmu hadith, fiqh, usul fiqh dan sejarah. Hasil daripada keseluruhan penjelasan membuktikan bahawa para pendukung Sunnah di Malaysia benar-benar berpijak di atas landasan ilmu yang benar. Akan tetapi hal yang sama tidak boleh dikatakan kepada Al-Ghari dan para pendukung bid’ah, malah perkataan yang lebih tepat bagi mereka adalah mereka tidak berpijak langsung di atas landasan ilmu.

Berdasarkan penjelasan dan perbincangan dalam buku ini juga, dapat dikenal pasti bahawa gelaran Wahabi adalah sesuatu yang sengaja dicipta dan dipopularkan oleh para pendukung bid’ah semata-mata untuk memburuk-burukkan imej para pendukung Sunnah di Malaysia pada kaca mata orang ramai. Demikian juga segala tohmahan yang dilontarkan seperti mujassimah, musyabbihah, jahil terhadap ilmu fiqh dan usul fiqh, pemecah belah masyarakat, pengganas dan penentang kerajaan Islam. Semuanya adalah tuduhan palsu yang sekadar mengesahkan kejahilan, kejahatan dan pengkhianatan pihak yang membuat tohmahan itu sendiri.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَاناً وَإِثْماً مُّبِيناً

Maksudnya: “Dan orang yang menyakiti para mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul suatu pembohongan dan dosa yang nyata”[1].

وَمَن يَكْسِبْ خَطِيئَةً أَوْ إِثْماً ثُمَّ يَرْمِ بِهِ بَرِيئاً فَقَدِ احْتَمَلَ بُهْتَاناً وَإِثْماً مُّبِيناً

Maksudnya: “Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau dosa kemudian dia menuduh orang yang tidak bersalah dengannya, maka sesungguhnya dia telah memikul suatu pembohongan dan dosa yang nyata”[2].


Sebelum berpisah, penulis menyeru kepada pihak-pihak yang berwajib agar lebih prihatin terhadap penyelewengan agama dalam bentuk mentahrif (mengubah) maksud hadith, mengkafir para Sahabat dan mentohmah para ulama.

Ini kerana sesungguhnya cara pengkhianatan seumpama itu menyamai cara pengkhianatan Yahudi yang memesongkan ajaran para Anbiya’, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud: “Iaitu orang-orang Yahudi, mereka mentahrif (mengubah) perkataan dari tempat-tempatnya…”[3].

Justeru benarlah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:
“…Kemudian sesungguhnya selepas kamu ada satu kaum yang bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai, mereka berjanji tetapi tidak menepati, dan jelas pada mereka tanda-tanda as-Siman”[4]

Bacaan lengkap :

http://www.hafizfirdaus.com/ebook/SiapakahAhliSunnah/index.htm


[1] Al-Ahzab, 33: 58.

[2] An-Nisa', 4: 112.

[3] An-Nisa’, 4: 46.

[4] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Isma’il, Sahih Al-Bukhari (Bersama Fath Al-Bari), Tahqiq dan Tarqim: Muhib Ad-din Al-Khatib dan Muhammad Fuad ‘Abd Al-Baqi, Dar Al-Matba’ah As-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, No: 3650.

“As-Siman” bererti kegemukan disebabkan lemak yang banyak, mengisyaratkan kepada kehidupan yang mewah

http://www.hafizfirdaus.com/ebook/SiapakahAhliSunnah/index.htm

1 comment:

  1. saya hanya blogwalking
    jika berminat liat blog saya kunjungin balik jja!!!

    teriama kasii atas perhatian ny???

    ReplyDelete