Pages

Tuesday, June 21, 2011

Perkaitan Antara Asbab Nuzul Dan Asbab Wurud Hadis



Perkaitan Antara Asbab Nuzul Dan Asbab Wurud Hadis

Muhammad Hanief Awang Yahaya

www.darulkautsar.net

Asbab al-Nuzul ialah perkara yang ayat al-Qur`an menceritakan tentangnya atau menjelaskan hukumnya pada ketika ia berlaku. Ia bermaksud ayat al-Qur`an diturunkan sebaik sahaja peristiwa itu berlaku bagi menjelaskan hukumnya.


Ia merupakan ilmu yang penting dalam memahami al-Qur`an kerana tidak boleh mentafsirkan al-Qur`an melainkan setelah mengetahui sebab-sebab penurunannya.


Manakala asbab wurud hadis ialah ilmu yang membincangkan faktor-faktor yang mendorong terbitnya hadis Rasulullah s.a.w. sama ada dalam bentuk pengucapan, perbuatan dan pengakuan.


Terdapat hubungan yang utuh antara asbab nuzul dan asbab wurud hadis untuk mengetahui memahami makna nas secara sahih.


Kedua-duanya bergantung kepada periwayatan sekiranya ia berdasarkan kepada sanad yang sahih atau sekurang-kurangnya hasan maka ia boleh dijadikan asas untuk mengetahui latar belakang suasana datangnya nas. Dalam hal ini, tidak dapat tidak mesti terikat dengan kaedah ulama hadis dalam penerimaan dan penolakan riwayat.


Terdapat keadaan di mana sabab nuzul dan sabab wurud hadis adalah riwayat yang sama. Maksudnya turunnya ayat al-Qur`an kerana suatu peristiwa di zaman Rasulullah s.a.w. dan dalam masa yang sama ada hadis menyebutkan peristiwa yang sama.


Hal ini dapat dijelaskan dengan contoh berikut

عنْ كعب بن عجرة رضي الله عنه «أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَيْهِ وَرَأْسُهُ يَتَهَافَتُ قَمْلًا فَقَالَ: «أَيُؤْذِيكَ هَوَامُّكَ» قُلْتُ: نَعَمْ قَالَ «فَاحْلِقْ رَأْسَكَ» قَالَ فَفِيَّ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: ?فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِنْ رَأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِنْ صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ? فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ أَوْ تَصَدَّقْ بِفَرَقٍ بَيْنَ سِتَّةِ أَوْ انْسُكْ مَا تَيَسَّرَ

Daripada Ka’b bin ‘Ujrah bahawa Rasulullah s.a.w. melihatnya dalam keadaan kutu berguguran dari rambutnya lalu bersabda: “Adakah kutu pada kamu itu mengganggu kamu?” Saya menjawab: “Ya.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Cukurlah rambutmu.” Ka’b berkata: “Berkenaan sayalah turun ayat yang bermaksud: “Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam.” (surah al-Baqarah: 196). Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa tiga hari atau bersedekahlah dengan satu faraq (iaitu 3 gantang) yang dibahagikan kepada enam orang miskin atau sembelih bintang sembelihan yang mudah kepada kamu.” (al-Bukhari: 1815, Muslim: 1201)

Berdasarkan kepada hadis ini harus kepada orang yang berihram mencukur kepalanya apabila ada gangguan di kepalanya seperti kutu dan wajib kepadanya membayar fidyah dan kadarnya ialah dengan berpuasa, atau bersedekah sebanyak tiga gantang, atau menyembelih dam.

Pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada Ka’b sebagai memastikan wujudnya sebab atau ‘illah ya’ni sesuatu unsur yang menjadi gangguan kepadanya dalam mengerjakan haji. Apabila beliau memberitahu kesukaran yang dihadapinya maka baginda memberikan satu hukum yang ringan kepadanya. Dan ini bersesuai dengan qaedah shara’ al-Mashaqqah Tajlib al-Taysir (kesukaran akan menarik hukum yang memudahkan kepada mukallaf).

Hadis ini diletakkan oleh imam al-Bukhari di bawah tajuk:

بَاب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى) أَوْ صَدَقَةٍ( وَهِيَ إِطْعَامُ سِتَّةِ مَسَاكِينَ

Bab Firman Allah s.w.t. (atau bersedekah) dan ia adalah sedekah kepada enam orang miskin.

Sebelum mengemukakan hadis ini, Imam al-Bukhari memasukkan sebuah hadis yang lebih ringkas dari hadis di atas di bawah tajuk yang dibuatnya dari ayat al-Qur`an iaitu

بَاب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى{ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِنْ رَأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِنْ صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ } وَهُوَ مُخَيَّرٌ فَأَمَّا الصَّوْمُ فَثَلَاثَةُ أَيَّامٍ

Bab ayat yang bermaksud: ‘maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyahya’ni berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam.’ Seseorang itu diberikan pilihan. Adapun puasa maka ia adalah 3 hari.

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَعَلَّكَ آذَاكَ هَوَامُّكَ قَالَ نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْلِقْ رَأْسَكَ وَصُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ أَوْ أَطْعِمْ سِتَّةَ مَسَاكِينَ أَوْ انْسُكْ بِشَاةٍ

Daripada Ka’b bin ‘Ujrah daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bertanya kepadanya “Boleh jadi kutu pada kamu itu mengganggu kamu?” Saya menjawab: “Ya.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Cukurlah rambutmu, berpuasa 3 hari atau memberi makan kepada 6 orang miskin atau menyembelih seekor kambing.”

No comments:

Post a Comment