Pages

Friday, June 17, 2011

Polemik Demonstrasi: Racun Yang Disangka Ubat.



Polemik dalam masalah demonstrasi menjadi hangat ketika ini,ada pihak yang mengharamkannya dan ada juga yang mengahalalkannya,masing-masing mereka membawakan dalil masing-masing,tidak kurang juga ada yang bertindak hanya mengikuti hawa nafsu,emosi dan kepentingan politik dan tidak memandangnya dengan neraca wahyu dan pandangan para pendahulu mereka iaitulah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam dan para sahabat diikuti mereka yg mengikuti mereka dengan ehsan .


Firman Allah Ta`ala menjelaskan wajibnya mengembalikan sesuatu yang diperselisihkan kepada Allah dan Rasul:


Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemerintah)di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

[ An-Nisa`: 59 ]


Sepatutnya dalam masalah ini juga semua kita bersikap sebagaimana firman Allah Ta`ala:


Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan atau pun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri(ulama`) di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah karena kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil sahaja (di antaramu).


[ An-Nisa`:83 ]


Maka ayat ini menjelaskan agar kita mengembalikan sesuatu urusan berupa urusan-urusan penting,dan kebaikan umum apa yang berkaitan dengan keamanan,kegembiraan kaum mukminin,atau ketakutan yang padanya terdapat musibah ke atas mereka agar mereka meneliti,tidak tergesa-gesa dalam menyebarkan khabar tersebut,bahkan mereka sepatutnya mengembalikannya kepada Rasul, kepada ulil amri di kalangan mereka iaitulah ahli ra`y dan ilmu,ahli nasihat dan mempunyai pemikiran serta ketenangan (iaitulah para Ulama`) yang benar-benar mengetahui urusan tersebut,dan mengetahui kebaikan-kebaikan serta apa yang berlawanan dengannya.


[ Rujuk Taysir Al-Karim Ar-Rahman, As-Sa`di,hlm 205 ]



Demonstrasi merupakan wasilah kepada khuruj(memberontak) kepada pemerintah bahkan ianya merupakan bentuk khuruj sendiri dan hal ini disepakati oleh para Ulama` Salaf pada zaman ini sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh Ibn Baz,Ibnu Uthaimin, Al-Albani,Muqbil dan lain-lain dari kalangan para ulama`salaf di zaman ini.



Dalil-Dalil Pengharaman Demonstrasi Dan Ianya Termasuk wasilah kepada Khuruj(memberontak):



Dalil-dalil daripada Al-Quran :


Segala ayat yang memerintahkan agar mentaati pemerintah maka ianya termasuk di bawah keumumuman wajib mentaati pemerintah dan mafhum mukhalafah( maksud sebaliknya) iaitulah haramnya keluar memberontak dengan apa cara sekalipun kecuali jelas pada pemerintah tersebut kufur bawwah(jelas yang mempunyai bukti akan kekufurannaya) .


Misalnya Firman Allah Ta`ala:


Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemerintah)di kalangan kamu.


[ An-Nisa`:59 ]


Dalil umum agar mentaati sunnah atau hadith-hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam,Firman Allah Ta`ala:


Apa yang dibawa oleh Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya.


[ Al-Hasyr:7 ]


Maksud Firman Allah Ta`ala:


Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hinggalah mereka menjadikan kamu hakim(pemutus) dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.


[ An-Nisa`:65 ]


Dalil-dalil daripada As-Sunnah As-Shahihah:


Daripada Abdullah bin Umar radiallahu`anhuma bahawa Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda:


“Wajib atas setiap muslim dengar dan taat (kepada pemerintah) dalam urusan yang dia suka atau benci melainkan dia disuruh melakukan maksiat maka jika dia disuruh melakukan maksiat maka tidak wajib dengar dan tidak wajib taat”.


[HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tarmidzi, An-Nasai, dan Ahmad]


Daripada Ubadah bin Somit radiallahu`anhu daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam baginda bersabda:

“Dengar dan Taatlah ketika susah dan senang, rela dan terpaksa, dan ketika keadaan yang merugikan kamu walaupun mereka (pemerintah) merampas hartamu dan memukul belakangmu”.
[As-Sunnah Ibn Abi Asim –Zilal al-Jannah- Shahih].


Daripada Abdullah bin Abbas radiallahu`anhuma bahawa Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda:

“Sesiapa yang membenci akan pemerintahnya kerana sesuatu maka bersabarlah kerana sesiapa yang keluar daripada pemerintah sekadar sejengkal dia mati dalam keadaan jahiliah”.


Dalam riwayat yang lain:

“maka hendaklah dia bersabar, kerana sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada al-Jamaah sekadar sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliah”.


[ HR Bukhari dan Muslim ].


Sangat banyak lagi hadith-hadith shahih yang memerintahkan agar bersabar terhadap kezaliman pemerintah iaitulah dengan melaksanakan tanggunjwab dengan menasihati mereka,serta tidak melampaui batasan yang telah Allah dan Rasul tetapkan iaitulah dengan khuruj(keluar) memberontak dengan apa cara sekalipun.




Dalil daripada Ijma` Ulama:


Ulama` besar Mazhab Syafi`i, Al-Imam Nawawi Rahimahullah menakalkan ijma`(kesepakatan) tentang haramnya keluar memberontak kepada pemerintah walaupun mereka zalim:

Adapun keluar memberontak kepada mereka( pemerintah) dan memerangi mereka maka ianya adalah haram dengan Ijma` kaum muslimin walaupun mereka( pemerintah) itu zalim . Sesungguhnya sudah jelas hadith dengan makna yang aku sebutkan, dan Ahli Sunnah berijma`(bersepakat) bahawasanya tidak terpecat seseorang pemerintah disebabkan kefasikan.

[Syarh An-Nawawi `ala Muslim 12/229 ]


Kata Al-Imam At-Thahawi rahimahullah:


Kita (Ahli Sunnah) tidak melihat bahawasanya bolehnya khuruj(keluar) memberontak terhadap para pemimpin kita dan waliyyul amri walaupun mereka zalim, dan kita tidak berdoa keburukan ke atas mereka dan tidak mencabut tangan daripada ketaatan ke atas mereka,dan kita berpegang bahawasanya ketaatan ke atas mereka merupakan daripada ketaatan terhadap Allah secara fardhu selagi mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat,dan kita mendoakan mereka dengan kebaikan dan keampunan.


[ Al-Aqidah At-Thohawiyyah hlm 428 ]


Ijma` kesepakatan akan haramnya keluar memberontak terhadap pemerintah yang zalim disebut juga oleh para Ulama` Ahli Sunnah lain seperti Al-Imam Abul Hasan Al-Asy`ari dalam Maqalat Islamiyyin 2/451,

Ibnu Taimiyyah dalam Minhajus Sunnah 2/87,

Al-Qurtubhi dalam Tafsir Al-Qurtubhi 2/108-109,

Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah Wa An-Nihayah 8/223-224,

Ibnul Qayyim dalam `Ilam Al-Muwaqi`in 3/4,

Al-Imam Al-Ajurri dalam As-Syari`ah 1/136,

As-Syaukani dalam Saylul Jarrar 4/556 dan ramai lagi.



Maka berwaspadalah bagi mereka yang menyelisihi ijma`kaum muslimin firman Allah Ta`ala mengancam sesiapa yang menyelisihi dan mengingkari ijma`:


Dan barang siapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkannya ke dalam Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.

[ An-Nisa`;115 ]


Khawarij Al-Qa`adiyyah dan Penjelasan tentang Khuruj( memberontak ) bermula dengan Lisan dan akhirnya dengan perbuatan.



Antara salah faham yang berlaku dikalangan sebahagian manusia apabila mereka menghadkan khuruj(memberontak) terhadap pemerintah hanya semata-mata berlaku apabila pemberontakan berlaku dengan senjata, Al-`Allamah Al-Faqih Syeikh Ibnu Uthaimin rahimahullah menjelaskan ketika memberi komentar terhadap hadith Zulkhuwaisirah:



Dan ini merupakan sebesar-besar dalil yang menunjukkan bahawasanya khuruj(keluar memberontak) terhadap pemerintah boleh berlaku dengan pedang(senjata) dan berlaku dengan perkataan dan percakapan iaitulah: dia ini(Zulkhuwaisirah) tidak menggunakan pedang (untuk memberontak)terhadap Rasul sallallahu`alaihiwasallam tetapi dia hanya mengingkari Rasul (dengan lisannya ).


Dan Kami mengetahui dengan ilmu yang yakin berpandukan keadaan tersebut bahawasanya tidak mungkin boleh terjadi khuruj(keluar memberontak ) dengan senjata melainkan ianya didahului dengan khuruj dengan perkataan dan percakapan.


[ Lihat Al-Khawari Du`at `Ala Abwabi Jahannam,hlm 96,dan Fatawa Al-Ulama` Al-Akaabir hlm 95 ]



Khawarij Al-Qa`adiyyah:


Kata Ibu Al-`Aarabi rahimahullah:


Al-`Qa`du : atau dikenali dengan As-Syuraah satu kelompok daripada kelompok-kelompok Khawarij, mereka adalah golongan yang menghukum( pemerintah) tetapi mereka tidak memerangi(pemerintah).

[ rujuk Mu`jam Tahzib Al-Lughah 3/3006 ]



Kata Al-Imam Ibnu Hajar Al-`Asqalani rahimahullah:


Dan Al-Qa`adiyyah mereka ialah orang-orang yang memperhiaskan (perkataan mereka) menggalakkan untuk keluar (memberontak) terhadap para pemerintah,sedangkan dia sendiri tidak melakukannya(keluar memberontak).


[ Lihat Hadyu Saari hlm 483, Al-Isobah ketika menjelaskan biografi `Imran bin Hattan ]



Secara istilahnya Khawarij Al-Qa`dah ialah: mereka yang menggalakkan dan menghasut manusia agar keluar memberontak kepada pemerintah mereka,mereka memilih untuk duduk dan beredar daripada memerangi pemerintah dan mengangkat senjata,tetapi mereka dianggap sebagai pergerakan daripada pergerakan khawarij revolusi.


[ Al-Khawarij Du`at `ala Abwabi Jahannam hlm 93 ]



Sikap Ulama` Salaf terhadap Khawarij Al-Qa`adiyyah:


Pada Zaman Imam Ahmad b.Hanbal rahimahullah( wafat 241H) ada seorang lelaki yang bernama Al-Hasan bin Soleh Ibn Hayy lelaki ini merupakan seorang alim yang sangat kuat dan khusyuk beribadah.Dia tidak pernah seumur hidupnya keluar mermberontak kpd pemerintah muslim namun dia hanya membolehkan keluar memberontak terhadap pemerintah, Maka para Ulama` Salaf ketika itu mentahzir(memperingati manusia agar berwaspada terhadap) beliau , beliau dan pengikutnya dinamakan Khawarij Al Qa`adiyyah.


Berkata Al-Imam Az-Zahabi: Al-Hasan bin Soleh bin Hayy, Imam yg besar, seorang yg dikenali, Abu Abdillah Al-Hamdani At-Thauri Al-Kufi, Faqiih `Abid( kuat beribadah) saudara kepada Imam `Ali bin Soleh.


Berkata Al-Imam Zahabi ketika mengulas biografi beliau:

" Dia (Al-Hasan) merupakan dari kalangan imam-imam Islam, kalau dia tidak diselubungi dengan bid`ah(KHAWARIJ)..

Imam Sufyan At-Thauri memasuki masjid dan Ibn Hayy( Al-Hasan) sedang solat, lalu beliau ( Ath-Thauri) berkata:

" Kami minta perlindungan kepada Allah daripada khusyuknya seorang munafiq" lalu dia mengambil dua seliparnya lalu berpindah ke tiang yang lain.

[ Rujuk Siyar `Alam An-Nubala 7/ 36 ]


Pada hari ini Khawarij Al-Qa`adiyyah datang dalam bentuk kumpulan-kumpulan tertentu seperti jamaah Ikhwan Muslimin dan mereka yang menempuh metod mereka dikalangan gerakan politik dan lain-lain,mereka sering menggalakkan,melakukan talbis dan putar belit terhadap manusia agar keluar memberontak terhadap pemerintah.


Ulama` Hadith Jordan Syeikh Salim bin `Eid Al-Hilali –hafizahullah- sering menakalkan perkataan Ulama` Hadith Mesir abad ini dan Muhaqqiq Musnad Ahmad Syeikh Ahmad Syakir –rahumahullah-yang hidup sezaman dengan era penubuhan Ikhwan Muslimin,beliau berkata;

“ Ikhwan Muslimin adalah Khawarij pada zaman ini!!”.


[ Lihat Al-Jamaat Al-Islamiyyah fi Dhau`Al-Kitab Wa As-Sunnah Bifahmi Salafil Ummah ]




Aspek-aspek Penting yang menunjukkan pengharaman Demonstrasi:


1) Menyalahi Nas-nas yang jelas serta Ijma`(kesepakatan) para ulama` Islam.


Ianya merupakan suatu wasilah yang tidak syar`i dan tidak ada asas sama sekali daripada syari`at Islam malah dianggap oleh para Ulama Salaf kontemporari sebagai wasilah kepada khuruj,hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Ulama` Hadith Madinah Syeikh Abdul Muhsin `Abbad -hafizahullah-.


Demonstrasi juga bercanggah dengan petunjuk Nabi sallallahu`alaihiwasallam, jika ianya dianggap sebagai wasilah untuk Amar makruf Nahi Mungkar maka jelas ianya termasuk dalam bid`ah sebagaimana yang disebut oleh Al-Imam As-Syatibi dalam kitabnya Al-`Itishom tentang definisi bid`ah:


طريقة مخترعة يقصد بالسلوك عليها المضاهة للشريعة والمبالغة في التعبد إلي الله


Suatu jalan yang direka bertujuan melakukannya untuk menyerupai syariat dan bertujuan melampau-lamapu dalam ta`abud(beribadah) kepada Allah.


Maka merupakan kesalahan yang sangat jelas apabila ada yang mengatakan demonstrasi tidak termasuk daripada hal ibadah atau bukan bid`ah kerana ianya adalah hal berkaitan muamalat dan bukannya ibadah, sedangkan jika kita bertanya mereka yang ingin turun menyertai demonstrasi dikalangan kaum muslimin maka mereka percaya bahawasanya penyertaan mereka dalam demonstrasi adalah jihad dan mereka meyakini mereka akan diganjari dengan pahala kerana mereka bertindak menentang pemerintah yang zalim dan hal ini berdasarkan dakwaan mereka demonstrasi melawan pemerintah yang zalim adalah jihad yang utama.


Kenyataan ini juga sangat bercanggah dengan kenyataan pemimpin agung mereka di kalangan pemuka-pemuka Ikhwan Muslimin seperti Qaradhawi,Abdul Majid Zindani dan selain mereka apabila mereka sendiri menyifatkan demonstrasi merupakan jihad yang agung, persoalannya: bukankah jihad termasuk salah satu ibadah malah Nabi sallallallahu`alaihiwasallam menyifatkan ianya merupakan kemuncak bagi Islam?.



2) Tasyabbuh dengan kaum Kuffar.


Sudut ini juga dilihat oleh para Ulama` Salaf sebagai salah satu penyebab yang kukuh menjadikan demonstrasi adalah perbuatan dan budaya yang menyerupai kaum kuffar,kerana ianya tidak pernah dikenali oleh para pendahulu dari kalangan Ulama` Salafussoleh, sedangkan jika kita teliti riwayat-riwayat sejarah menyebut bahawasanya mereka jelas akan keadaan pemerintah mereka lebih teruk jika hendak dibandingkan dengan keadaan pemerintah kita hari ini,


hal ini sebagaimana diketahui penderitaan Al-Imam As-Syafi`i,Ahmad bin Hanbal dan selain mereka yang diseksa oleh pemerintah ketika itu,namun mereka tetap tidak memerintahkan umat Islam keluar memberontak terhadap pemerintah ketika itu.



Kaitannya dengan Protokol Yahudi juga jelas dijelaskan oleh para Ulama` Salaf yang mengkaji tentang subjek dirasatul firaq( aliran-aliran menyimpang dalam islam) masa kini seperti Ulama`Hadith Mesir Syeikh Sa`id Ruslan hafizahullah, dan Ulama`Hadith Jordan Syeikh Dr Salim bin `Eid Al-Hilali hafizahullah.



3) Melemahkan dan menafikan konsep Al-Wala` dan Al-Bara`.


Apabila mereka sanggup bersama-sama orang kafir, para musuh-musuh Islam di kalangan Yahudi,Rafidhah,Liberalis,Sekularis,dan para ahli fasiq seperti kaum gay,lesbian dan sebagainya dimana kesemua mereka berhimpun bersama-sama menuntut hak yang pada zahirnya nampak tuntutan yang satu namun jelas kesemua mereka mempunyai tuntutan hak dan kesamaan yang berbeza mengikit hawa nafsu dan kepentingan kelompok masing-masing.



4) Keburukannya lebih besar daripada kebaikannya.


Jika disenaraikan keburukan-keburukan demonstrasi maka nescaya ianya tidak akan cukup untuk disenaraikan kerana keburukannya sudah disaksikan oleh realiti sebagaimana yang berlaku di Negara timur tengah di Libya,Mesir,Yaman,Syria dan Bahrain berupa mengganggu lalu lintas,ikhtilat(percampuran bebas) antara lelaki dan perempuan, kekacauan, keganasan, pergaduhan dan sebagainya ; daripada keburukan dan kemudaratan yang lain.


Sebagaimana dalam Kaedah Usul Fiqh menyebut:


لا ضرر ولا ضرار


Tidak boleh melakukan mudarat,dan hal yang boleh menimbulkan kemudaratan.


[ HR Ibnu Majah ]


5) Membuka Ruang Untuk Musuh-musuh Islam melemahkan Umat Islam.



Selain itu demonstrasi hanya akan membawa kepada permusuhan,huru-hara,pembuangan waktu dan hanya membuka ruang untuk musuh-musuh Islam menyelusup masuk ke dalam barisan kaum Muslimin,hakikat ini boleh dilihat sebagaimana keadaan yang berlaku di Libya, Mesir, Syria dan Bahrain.


Di Libya, Amerika Syarikat akhirnya berjaya menghantar tentera mereka untuk masuk campur dalam urusan dalaman Libya ,begitu juga di Bahrain, bagaimana kaum Rafidhah mengambil peluang untuk membantai Ahli Sunnah dan ingin mendapatkan pemerintahan di sana.


Mungkin mereka akan menafikan hal ini dan menyatakan "demonstrasi di Malaysia berlainan, kita lakukan secara aman, kita tidak membuat kekacauan".


Namun saya katakan bilangan berpuluh-puluh ribu para pendemo yang menyertai demonstrasi "adakah kesemua mereka boleh dikawal oleh pemimpin mereka?", malah mereka akan mengatakan dan menuduh pihak polis dan FRU adalah punca keganasan dalam demonstrasi,



Tidakkah mereka tahu : sangat mudah untuk musuh Islam memulakan pergaduhan hanya dengan menyelusupkan seseorang ke dalam kumpulan pendemo lalu dia yang akan mula bertindak ganas atau mencaci maki pihak polis atau bertindak membaling sesuatu objek kearah pegawai keselamatan maka akan berlakulah suasana out of control seterusnya berlakulah pergaduhan yang besar dan akhirnya ianya dirakam oleh media-media yang berkepentingan tertentu lalu ditayangkan pula ke seluruh dunia untuk menggambarkan betapa zalimnya polis,FRU dan menimbulkan kebencian masyarakat terhadap pihak polis atau kerajaan.


Hal ini samalah seperti api ibarat kata pepatah kecil jadi kawan besar jadi lawan.



Walaupun mereka yang menghalalkan demonstrasi ini dengan menggunakan pelbagai nama seperti “protes aman”,”perhimpunan aman”,” perhimpunan bersih” namun ianya hanyalah dilihat seperti perbuatan seseorang yang menghalalkan arak atau rokok dengan menamakan ia dengan nama-nama yang lain agar manusia tidak menganggap ianya adalah salah.


Kaedah dalam bahasa arab ada menyebut:


العبرة بالمسميات لا بالأسماء


"Sesuatu perkara diketahui dengan hakikatnya bukan diketahui dengan namanya."


Maka jika arak yang sifatnya memabukkan,selagi mana sifatnya jika diminum boleh memabukkan maka ianya tetap haram walaupun ianya diberi nama dengan arak halal,atau air yang tidak mabuk,dan nama-nama yang lain,maka hakikatnya yang memabukkan itu juga adalah tetap haram.



Mereka yang menggunakan kaedah talbis(penyamaran) nama ini sebenarnya sudah menempuh uslub atau metod yang juga pernah digunakan oleh Iblis ketika memperdayakan bapa dan ibu kita kita Nabi Adam `alaihissalam dan Hawa`dimana dia menamakan buah daripada pokok yang dilarang oleh Allah Ta`ala sebagai pokok yang “khuld’( kekal) iaitulah boleh mengekalkan mereka berdua di dalam syurga untuk selamanya sedangkan hakikatnya perbuatan tersebut hanya menyebabkan mereka diusir daripada syurga.Sila rujuk surah Thaha ayat 120.



Keburukan demonstrasi jelas ianya menggalakkan para pendemo agar menjadi seorang pencaci,pemarah dan penghasut.sedangkan Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:

"Seorang Mukmin bukanlah seorang yang suka mencela,juga bukan suka melaknat".

[ HR At-Thabrani dan asalnya di dalam Shahihain ]


Para ulama menjelaskan mencela di sini iaitulah celaan yang dilakukan hanya semata-mata emosi,bertujuan dunia dan bukan atas dasar membela syari`at.


Berapa ramai para pendemo yang dilihat menjerit dan mengeluarkan kata-kata kasar,jijik serta kejian yang hina dalam demonstrasi yang mereka sertai,hatta walaupun mereka menjerit sambil berzikir sekalipun ianya tetap tidak boleh dibuat hujjah dalam menghalalkan demonstrasi kerana jelas ianya bertentangan dengan nas-nas serta dalil yang disebutkan di atas.


Kesimpulannya, umat Islam wajib kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam, di saat berlaku perselisihan dan perpecahan dalam agama maka kembalikanlah ia kepada Ulama`yang benar-benat wara` dan takutkan Allah,

mereka yang tidak berfatwa melainkan dengan mengikuti dalil dan kefahaman yang jelas dan benar,

dan mereka yang berada di atas manhaj Salaf yang benar,

campakkanlah fatwa-fatwa sesiapa pun yang menyelisihi nas dan ijmak ke dinding,janganlah disebabkan pengaruh,kepentingan politik atau sikap fanatik menjadi penghalang kepada kita untuk mengikuti Sunnah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam dan manhaj para salafussoleh.


Rujuk Fatwa-Fatwa para Ulama` dalam Pengharaman Pemberontakan dan Demonstrasi:


1) Faedah Imam Ahmad bin Hanbal terhadap larangan Memberontak: klik sini


2) Ulasan Ibnu Khaldun terhadap Pemberontakan: klik sini

3) Nasihat Berharga Al-Imam Ibnul Qayyim bagi para pemberontak: klik sini


4) Hukum Demokrasi atau hukum kanun buatan Manusia,Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah :klik sini


5) Fatwa Ulama` Hadith Madinah,Syeikh Abdul Muhsin `Abbad-hafizahullah-tentang demonstrasi: klik sini


6) Fatwa Anggota Majlis Kibar Ulama Arab Saudi Syeikh Soleh Al-Fauzan dan Mufti Madinah,Syeikh Soleh bin Sa`ad As-Suhaimi-hafizahumallah-: klik sini


7) Penjelasan Ulama` Hadith Jordan Syeikh Salim bin `Eid Al-Hilali tentang syubhat-syubhat Demonstrasi:


InsyaAllah,akan diterjemahkan beberapa fatwa ulama lain dari Mesir,Yaman dan Jordan.



Faqir ila Allah,


Abul Hussein


16 Rejab 1432H/16 Jun 2011

Universiti Islam Madinah An-Nabawiyyah.


http://ibnabiashim89.blogspot.com/2011/06/polemik-demonstrasi-racun-yang-disangka.html


No comments:

Post a Comment