Pages

Monday, July 18, 2011

BESARNYA PENGERTIAN NIAT DALAM HIDUP BERAGAMA




Besarnya Pengertian Niat Dalam Hidup Beragama


عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رضي الله عنه قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Daripada Umar bin al-Khattab r.a katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya amalan itu dengan niat, setiap orang akan memperolehi apa yang diniatkannya. Oleh itu sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya, sesiapa yang hijrahnya untuk dunia yang akan diperolehinya atau perempuan yang akan dinikahinya, hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan. (hadis riwayat al-Bukhari: 1 dan Muslim: 1907))

Huraian:

Perkara yang menjadi ukuran kepada amalan seseorang ialah niat. Ia merupakan pencetus dan pendorong kepada amalan seseorang. Berdasarkan kepada niat, setiap amalan dikira baik, terpuji, buruk dan tercela.


  • Hadis ini mengemukakan kepada kita dua kumpulan manusia yang melakukan sesuatu amalan.Pertama, mereka yang mencari keredaan Allah s.w.t dan mereka adalah orang ikhlas. Kedua, mereka yang mencari dunia di sebalik amalan mereka.


  • Setiap kumpulan ini akan memperolehi apa yang mereka niatkan dan usahakan.


  • Sebagai seorang beriman dan berakal, kita hendaklah sentiasa memastikan niat kita ikhlas tanpa bercampur sebarang unsur yang menjejaskannya.

  • Hadis ini juga menegaskan, seseoarang itu akan menerima hasil daripada tindakannya bersesuaian dengan tujuannya.


Niat itu tempatnya di hati

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik maka seluruhan tubuh itu menjadi baik dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh itu. Oleh itu, ketahuilah itu adalah hati. (al-Bukhari dan Muslim)

Hati berperanan sebagai penentu hala tujuan diri seseorang dan menggerakkan anggota tubuh badan sama ada melakukan ketaatan kepada Allah atau sebaliknya.


Hati yang taat kepada Allah akan sentiasa merancang kebaikan-kebaikan yang akan dilaksanakan.


Mempelbagaikan niat dengan amalan yang sama

Hadis ini juga menunjukkan kepada kita jalan untuk mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Dengan menggandakan niat yang ikhlas dan baik kita dapat mencapai beberapa faedah dan pahala.


Contohnya, amalan ke masjid, niat kita ikhlas untuk keredaan Allah. Di samping itu tujuan kita ke masjid untuk sembahyang berjemaah, menghubungkan silaturahim, menuntut ilmu dan sebagainya. Walaupun dengan amalan yang sedikit, kita akan mendapat pahala yang berganda dengan kita memperluaskan niat dan tujuan kita. Di sinilah letaknya keistimewaan niat.

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى فِرَاشَهُ وَهُوَ يَنْوِي أَنْ يَقُومَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ حَتَّى أَصْبَحَ كُتِبَ لَهُ مَا نَوَى وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Daripada Abu Darda` katanya Rasulullah s.a.w. besabda: “Sesiapa yang pergi ke tempat tidurnya dalam keadaan berniat untuk bangun malam sembahyang tahajjud lalu dia tidak terjaga sehingga ke subuh maka ditulis untuknya apa yang dia niatkan. Tidurnya (yang dia mendapat pahala denganya) merupakan sedekah untuknya dari Allah s.w.t. (al-Nasa`i)

عَنْ يَحْيَى بْنِ الْوَلِيدِ بْنِ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَزَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَمْ يَنْوِ إِلَّا عِقَالًا فَلَهُ مَا نَوَى

Daripada Yahya bin al-Walid bin ‘Ubadah bin al-Samit daripada datuknya katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berperang di jalan Allah dan dia tidak berniat melainkan untuk memperolehi seutas tali maka dia memperolehi apa yang dia niatkan sahaja. (al-Nasa`i)

Niat yang baik akan setiasa menjadi sebab kepada kelancaran sesuatu perkara.

Dalam hal ini sebuah hadis menyatakan:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurayrah daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain dengan niat untuk membayarnya balik maka Allah s.w.t. akan menunaikan bagi pihaknya sebaliknya sesiapa yang mengambil dengan niat untuk merosakkannya (tidak mahu membayar balik maka Allah akan merosakkannya. (al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa yang mempunyai niat yang baik maka Allah s.w.t. akan mempermudah urusannya.

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُذَيْفَةَ قَالَ كَانَتْ مَيْمُونَةُ تَدَّانُ وَتُكْثِرُ فَقَالَ لَهَا أَهْلُهَا فِي ذَلِكَ وَلَامُوهَا وَوَجَدُوا عَلَيْهَا فَقَالَتْ لَا أَتْرُكُ الدَّيْنَ وَقَدْ سَمِعْتُ خَلِيلِي وَصَفِيِّي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ أَحَدٍ يَدَّانُ دَيْنًا فَعَلِمَ اللَّهُ أَنَّهُ يُرِيدُ قَضَاءَهُ إِلَّا أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ فِي الدُّنْيَا

Daripada ‘Imran bin Hudhayfah katanya, Maymunah selalu berhutang dan ianya banyak. Keluarganya menegurnya tentang perkara tersebut, mencelanya dan memarahinya. Beliau menjawab: “Saya tidak akan meninggalkan berhutang dan saya mendengar kekasihku Rasulullah s.a.w bersabda: “tidak ada seorangpun yang berhutang, maka Allah mengetahui bahawa dia mahu membayarnya melaikan Allah akan menunaikannya untuknya di dunia. (al-Nasa`i)

Kesimpulannya, niat ialah berfikir sebelum bertindak, merancang sebelum melaksanakan, kehendak sebelum kekemampuan dan merupakan kekuasaan dan pandangan yang memfokuskan matlamat. Sebelum memulakan urusan pekerjaan haruslah diletakkan matlamat di hadapan. Dengan kata lain, memulakan langkah untuk mencapai matlamat dengan mengikhlaskan amalan kerana itulah asasnya tercapai apa yang diniatkkan.

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ كَالْوِعَاءِ إِذَا طَابَ أَسْفَلُهُ طَابَ أَعْلَاهُ وَإِذَا فَسَدَ أَسْفَلُهُ فَسَدَ أَعْلَاهُ

Daripada Mu’awiyah katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya amalan-amalan itu seperti bekas. Apabila baik bahagian bawahnya maka baiklah bahagian atasnya. Apabila rosak bahagian bawahnya maka rosaklah bahagian atasnya (Ibn Majah)


Muhammad Hanief bin Awang Yahaya

www.darulkautsar.net

No comments:

Post a Comment