Pages

Sunday, July 31, 2011

Kembara Rohani IKIMfm ke Bandung Penuh Bermakna


Hampir kesemua 25 orang peserta yang mengikuti Kembara Rohani Bandung Indonesia melahirkan kesyukuran kerana telah berjaya menimba ilmu pengetahuan dan menambah pengalaman ketika bersama dalam rombongan IKIMfm ke Bandung pada 22-24 Julai lalu. Selama di sana, mereka ditempatkan di MQ Guest House berdekatan dengan Masjid Darut Tauhid yang diasaskan oleh Pak AA Gym, seorang tokoh motivasi yang terkenal yang pernah menjadi tetamu undangan untuk stesen satelit negara kita ini. Masjid yang beliau bangunkan itu bersama penduduk tempatan melalui derma umat Islam sejak lebih sepuluh tahun lalu telah dilancarkan semula setelah mengalami proses penambahbaikan dan renovasi yang menjadikannya sebuah masjid yang moden dan canggih.

Setiap pagi bermula dari selepas solat Subuh, Pak Aa Gym akan mengendalikan Kuliah Subuh atau apa yang dipanggil Manejemen Qolbu yang disiarkan secara langsung melalui radio Manajemen Qolbu FM. Bukan itu sahaja, ianya dijalankan secara interaktif dengan pendengar yang boleh berinteraksi dengan Pak Aa Gym dan bertanyakan soalan secara langsung.

Suasana Subuh di Darut Tauhid juga cukup meriah dan indah sekali dengan para jemaah melimpahi Dewan Solat sehingga terpaksa bersembahyang di atas jalanan seumpama suasana yang sering kelihatan di Tanah Suci.

Dalam lawatan yang disertai oleh sepuluh para penyampai IKIMfm ini, pihak IKIMfm telah memulakan langkah awal menjalinkan hubungan kerjasama dengan Manajemen Qalbu FM atau MQfm, sebuah stesen radio yang berkonsepkan dakwah Islami dan motivasi. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyalurkan berita-berita semasa yang melibatkan kejayaan umat Islam di kedua-dua negara untuk disiarkan di radio masing-masing. Begitu juga pertukaran program-program yang sesuai sedang dikaji.

Lawatan yang dalam siri PENGEMBARA MUSLIM musim baru ini adalah dengan kerjasama dari sebuah syarikat pelancongan milik bumiputera Islam sepenuhnya, Zeel Wafa Sdn. Bhd. Yang menariknya, kembara ini bukan seperti lawatan biasa, tetapi lawatan yang turut diberikan pengisian rohani sesuai dengan namanya "Kembara Rohani". Moga-moga lawatan ini membawa berkat untuk semua.

ikimfm

No comments:

Post a Comment