Pages

Thursday, August 18, 2011

Malam al-Qadar (Lailatul Qadar) Di Bulan Ramadhan


Keutamaan Lailatul Qadar sangat besar kerana malam tersebut menyaksikan turunnya al-Qur’an al-Karim, iaitu kitabullah yang menjadi petunjuk bagi mereka yang berpegang dengannya kepada jalan kemuliaan dan mengangkat ke darjat yang mulia dan abadi. Umat Islam yang mengikuti sunnah Rasulnya tidak perlu mengguna pakai tanda-tanda tertentu dan tidak pula memasang lampu-lampu pelita untuk memperingati malam ini, akan tetapi mereka wajar untuk berlumba-lumba bangun di malam harinya dengan penuh iman dan mengharap pahala dari Allah.

Berikut ini adalah di antara keutamaan malam Lailatul Qadar berdasarkan dalil-dalil yang sahih.

1. Keutamaan Lailatul Qadar (Malam al-Qadar)

Cukuplah untuk mengetahui tingginya kedudukan Lailatul Qadar dengan mengetahui bahawasanya malam itu lebih baik dari seribu bulan dan merupakan malam yang diberkahi, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an pada malam al-Qadar, tahukah engkau apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Rabb mereka (untuk mengatur) segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (al-Qadar, 97: 1-5)

Dan pada malam itu dijelaskan segala urusan yagn penuh hikmah:

“Sesungguhnya Kami menurunkan pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (ad-Dukhan, 44: 3-6)

2. Waktunya

Diriwayatkan dari Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa malam tersebut terjadi pada tanggal malam ke 21, 23, 25, 27, 29 dan malam-malam terakhir dari bulan Ramadhan. (Pendapat-pendapat yang terdapat dalam masalah ini berbeza-beza, Imam al-Iraqi telah mengarang suatu risalah khusus yang diberi judul Syarhush Shadr bi Dzikri Lailatil Qadar yang membawakan perkataan para ulama berkaitan permasalahan ini)

Imam asy-Syafi’i berkata, “Menurut pemahamanku, wallahu a’lam, Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab bertepatan dengan yang ditanyakan, ketika ditanyakan kepada beliau, “Adakah kami mencarinya di malam ini?” Beliau menjawab, “Carilah di malam tersebut”.”

Pendapat yang paling kuat, terjadinya Lailatul Qadar itu pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan berdasarkan hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan beliau bersabda:

“Carilah Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/225) dan Muslim (1169))

Jika seseorang merasa lemah atau tidak mampu, janganlah sehingga terluput dari tujuh hari terakhir, kerana riwayat dari Ibnu Umar, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka janganlah sampai terluput tujuh hari yang selebihnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/221) dan Muslim (1165))

“Aku melihat mimpi kalian telah terjadi, barangsiapa yang mencarinya carilah pada tujuh hari terakhir.”

Telah diketahui di dalam as-sunnah, pemberitahuan ini wujud adalah kerana pada masa itu berlaku perselisihan di antara para sahabat. Dari Ubadah bin Shamit Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada malam al-Qadar, ada dua orang sahabat berdabat, beliau bersabda:

“Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))

Telah banyak hadis yang mengisyaratkan bahawa Lailatul Qadar itu pada sepuluh hari terakhir, yang lainnya menegaskan di malam-malam ganjil sepuluh hari terakhir. Hadis yang pertama sifatnya umum, manakala hadis kedua adalah khusus, maka riwayat yang khusus lebih diutamakan daripada yang umum. Dan ada beberapa hadis yang lain turut menjelaskan bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada tujuh hari terakhir bulan Ramadhan dan yang ini terikat kepada yang mengalami ketidakmampuan dan kelemahan, sehingga tidak ada masalah. Makanya, di sini hadis-hadis yang berkaitan adalah saling bersesuaian dan tidak bertentangan.

Kesimpulannya, jika seorang muslim ingin mencari Lailatul Qadar, maka carilah ia pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, 21, 23, 25, 27 dan 29. Sekiranya tidak berupaya mencarinya pada sepuluh hari terakhir, maka carilah pada malam-malam ganjil tujuh hari terakhir iaitu 25, 27 dan 29. Wallahu a’lam.

3. Bagaimana Mencari Lailatul Qadar

Sesungguhnya malam yang diberkahi ini barangsiapa yang terhalang dari mendapatkannya, maka bererti dia telah terhalang dari seluruh kebaikan (baginya). Dan tidaklah terhalang dari kebaikan itu melainkan (bagi) orang yang rugi. Oleh kerana itu dianjurkan bagi kaum muslimin (agar) bersemangat dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah untuk menghidupkan Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan terhadap pahala-Nya yang besar, jika telah berbuat demikian niscaya akan diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa berdiri (solat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/217) dan Muslim (759))

Disunnahkan untuk memperbanyakkan do’a pada malam tersebut. Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya,
“Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadar (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” Beliau menjawab,

“Ucapkanlah, Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)

Semoga Allah memberkati dan memberi taufiq kepada kita dalam usaha mentaati-Nya. Berdasarkan beberapa penjelasan tadi, maka kita telah mengetahui serba sedikit bagaimana keadaan Lailatul Qadar dan keutamaannya untuk berusaha mendapatkannya. Maka wajarlah kita berusaha untuk bangun (menegakkan ibadah, solat, dan berdoa) pada sepuluh malam-malam yang terakhir. Bersungguh-sungguhlah dalam menghidupkannya dengan ibadah dan menjauhi hubungan suami isteri. Juga perintahkanlah kepada keluarga kita untuk tujuan yang sama iaitu memperbanyakkan perbuatan ketaatan.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:

“Adalah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam apabila memasuki sepuluh hari (terakhir bulan Ramadhan), beliau memperkuatkan ikatan kainnya sambil menghidupkan malam tersebut dan membangunkan keluarganya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/233) dan Muslim (1174))

Juga dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

“Adalah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersungguh-sungguh (dalam beribadah) apabila telah masuk sepuluh malam terakhir yang tidak beliau lakukan pada malam-malam pada bulan selainnya.” (Hadis Riwayat Muslim (1174))

4. Tanda-Tandanya

Mudah-mudahan Allah membantu kita dengan pertolongan-Nya dalam memahami datangnya malam al-Qadar. Dalam hal ini, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam menggambarkan (menyifatkan) paginya Lailatul Qadar agar seseorang muslim dapat mengetahuinya.

Dari ‘Ubai radhiyallahu ‘anhu ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinar), seakan-akan ia bejana sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim (762))

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu ia berkata, “Kami menyebutkan malam Lailatul Qadar di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan beliau bersabda:

“Siapa di antara kalian yang masih ingat ketika terbit bulan yang ianya seperti syiqi jafnah (separuh mangkuk).” (Hadis Riwayat Muslim (1170). Kalimat syiqi jafnah, syiq membawa erti setengah, jafnah pula ertinya bejana. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, “Dalam hadis ini menunjukkan isyarat bahawa Lailatul Qadar hanya di akhir bulan, kerana bulan tidak akan berbentuk (berupa) sedemikian rupa ketika terbit melainkan ketika di akhir-akhir bulan”)


Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar mataharinya kelihatan melemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat ath-Thayalisi (394), Ibnu Khuzaimah (3/231), al-Bazzar (1/486) dan sanadnya hasan)


http://fiqh-sunnah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment