Pages

Sunday, August 14, 2011

Ringkas Tentang Zakat Fitri/Fitrah


Di penghujung Ramadhan, wajib bagi seorang muslim membayar Zakat Fitri sebelum dilaksanakan solat aidilfitri dan didalamnya ada beberapa permasalahan yang perlu diketahui :

1. Hukumnya

Adalah wajib .Rasul sallallahualaihiwassallam mewajibkannya kepada kaum muslimin sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar dan Ibnu Abbas radiallahuanhum oleh Abu Daud dan An Nasa’i rahimahumullah.


2. Kepada siapa diwajibkan?

Diwajibkan kepada anak kecil dan besar, lelaki dan wanita, hamba ataupun merdeka dari kalangan kaum muslimin.

Dan tidak wajib bagi wanita yang hamil untuk mengeluarkan zakat janin diperutnya kecuali jika untuk bersedekah dengannya maka tidak apa, karena Uthman radiallahu`anhu mengeluarkan zakat wanita hamil.

Dan demikian pula wajib mengeluarkan untuk dirinya dan demikian pula siapa yang menjadi tanggungannya seperti isterinya atau kaum kerabatnya.


3. Hikmahnya

Berkata Syeikh Ibn Uthaimin rahimahullah: adapun hikmahnya sangat jelas sekali iaitu

  1. untuk berbuat baik kepada faqir miskin dan mencegah dari mengemis di hari-hari raya sehingga mereka boleh merasai bersama-sama dengan orang kaya dalam kebahagiaan dan kesenangan sehingga merupakan hari raya bagi seluruhnya,
  2. dan juga sebagai bentuk rasa kebersamaan dan ukhuwah dengan akhlak yang mulia,
  3. dan juga untuk mensucikan bagi yang berpuasa dari apa yang dilakukan berupa keburukan,perbuatan sia-sia dan dosa,
  4. dan juga untuk menampakkan rasa syukur kepada nikmat Allah taala kepada mereka yang telah menyempurnakan puasa Ramadhan dan menghidupakannya dan melakukan apa yang dimudahkan dalam melaksanakan amal soleh. [MajlisRamadhan m/s 137]

4. Dengan apa kita mengeluarkan zakat?

Dikeluarkan zakat fitri dengan 1sho` dari gandum atau kurma atau kismis atau makanan disetiap negeri seperti beras atau tepung dan lainnya dari makanan asasi suatu negeri sebagaimana yang sahih daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam dan para ulama salaf. Demikian juga yang dipegang oleh para ulama` seperti Al-Imam As-Syafi`i dan Para Imam Mazhab yang empat kecuali Abu Hanifah

Syaikh Abdullah Al Bassam rahimahullah berkata dalam Taudihul Ahkam Syarah Bulughul Maram 3/78 : kadar 1 sho` bersamaan dengan 2.5 kilogram atau 2500 gram.

5. Kepada siapa dikeluarkan?

Seharusnya diberikan kepada yang berhak saja mendapatkannya dari kalangan faqir dan miskin seperti yang disebutkan dalam hadith Ibnu Abbas radiallahuanhuma yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari dan Muslilm dan ini yang pendapat yang benar yang dirajihkan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullahutaala sebagaimana dalam fatawa 25/71-78 dan muridnya Ibnul Qoyyim rahimahullahu ta’ala dalam Zaadul Ma’ad 2/44. Dan tidak ada disana dalil yang jelas yang disebutkan oleh sebagian ahlu ilmi yang membolehkan menyalurkan zakat fitri ini kepada 8 golongan yang disebutkan dalam surah At Taubah.

6. Waktunya

Kewajiban zakat fitri yaitu semenjak terbenamnya matahari dimalam aidilfitri

Dan waktu untuk mengeluarkannya ada 2 waktu : waktu yang afdal dan waktu yang boleh

Adapun waktu yang afdal adalah pagi hari sebelum solat raya.

Adapun waktu yang boleh adalah sehari atau 2 hari sebelum solat raya sebagaimana dalam hadith Ibnu Umar radiallahuanhuma yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasa’i dan dihasankan Albani dalam Irwa` Al-Ghalil 3/332.

Wallahu`alam,

Abul Hussein,

14 Ramadhan 1432H

credit to : Muhammad Fashan Ahmad Ziadi

No comments:

Post a Comment