Pages

Saturday, October 8, 2011

Hudud: Duduk sebelum berlunjur



Perlaksanaan HUDUD perlu bertahap demi keberkesanannya...

Awal tahun lalu seorang Ahli Parlimen pembangkang pernah mencadangkan agar Kerajaan Negeri Selangor memulakan proses untuk pelaksanaan syariah di negeri ini dengan pendekatan dakwah dari bawah bukannya terus melaksanakannya tanpa penerangan yang jelas (Harakahdaily, 17 Januari). Ini rentetan kemelut rampasan beberapa stok minuman beralkohol dari kedai serbaneka.

Ibarat berlunjur sebelum duduk, tindakan yang diniatkan baik akhirnya memberi kesan buruk kepada imej Islam apabila tidak dilaksanakan dengan cara betul.

Orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan Rasul meyakini semua perintah kitab suci al-Quran wajib dilaksanakan. Tatkala gawat dengan gejala buang bayi, sumbang mahram, penagihan dadah dan bermacam-macam kerosakan yang lain, ada cadangan drastik supaya hukum Islam yang salah satu daripadanya ialah hudud, dilaksanakan. Terlebih lagi ketika gawat politik.

Orang Islam meyakini wajibnya melaksanakan perintah ALLAH dan Rasul sebagaimana termaktub dalam al-Quran dan Hadis. Bukan sahaja hudud,malah termasuk juga hukum-hukum lain seperti yang utama mentauhidkan ALLAH, menjauhi syirik, mentaati pemimpin dalam urusan yang makruf, solat, puasa, zakat, dan hukum-hakam lain yang tertulis.


Lama masa diambil untuk memahamkan sebilangan ahli politik dan sebahagian pejuang yang menyandarkan diri kepada Islam bahawa menegakkan hukum Islam perlu dilakukan secara teratur dan bertahap. Menegakkan perundangan Islam perlu bermula dengan dakwah{trmasuklah dakwah bil hal}. Ini yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad, bahkan semua Nabi-Nabi sebelum baginda.


Para intelektual dan sarjana Islam dari zaman awal Islam (salafussoleh) sehingga hari ini telah menyusun sekian banyak makalah dan kitab membincangkan tahapan dan teknik dalam berdakwah. Antaranya termasuk Manhajul Anbiya di Da’wahi Ilallah fihil Hikmah wal ‘Aql (Cara Para Nabi Berdakwah) oleh Syaikh Prof Dr Rabi bin Hadi al-Madkhali dan Al Lin wa Ar Rifq (Lemah Lembut dalam Berdakwah) karya Prof Dr Fadhal Ilahi.


Metod bertahap ini disahkan oleh isteri kesayangan beliau yang juga ibu bagi orang-orang beriman (ummul mukminin) Aisyah binti Abu Bakar (semoga ALLAH reda kepada mereka berdua). Kata Aisyah seperti yang dilaporkan secara sahih,


“Sesungguhnya surah yang mula-mula diturunkan adalah surah pendek yang di dalamnya disebutkan adanya syurga dan neraka, sehingga manusia telah memeluk Islam, maka diturunkan ayat tentang halal dan haram. Seandainya ayat yang pertama kali turun adalah “janganlah kalian meneguk arak” pastilah mereka berkata “kami tidak akan meninggalkan arak selamanya”. Kalau ayat yang pertama kali diturunkan ; “janganlah kamu berzina”, pasti mereka akan menjawab; “Kami tidak akan meninggalkan zina selamanya”. (Hadis Bukhari)



Ilmu sebelum beriman, beramal dan berdakwah

Hadis yang dilaporkan oleh ibunda Aisyah di atas menunjukkan secara jelas perjalanan atau fasa dakwah Nabi Muhammad. Begitu dengan proses penurunan al-Quran. Ayat-ayat al-Quran fasa Mekah membawa tema dan pendekatan berbeza berbanding ayat-ayat al-Quran di Madinah.


Nabi Muhammad bahkan semua Rasul sebelum baginda diutus membawa risalah paling utama iaitu untuk mengajak manusia mentauhidkan ALLAH dan memurnikan akidah @ keyakinan umat manusia dari perbuatan syirik.


Ketika Jazirah Arab dilanda kerosakan umat, Nabi tidak datang terus membawa undang-undang dan hukuman. Namun Nabi Muhammad yang disifatkan ALLAH sebagai rahmat kepada seluruh alam itu nmembawa petunjuk dan pendidikan. Ayat-ayat al-Quran yang turun di Mekah sebelum hijrah penuh dengan agenda memurnikan keyakinan dan kepercayaan (akidah) umat manusia yang bergelumang dengan syirik.


Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz menulis satu makalah berkaitan metod dakwah seperti ditunjukkan oleh Nabi Muhammad. Beliau menjelaskan selepas Nabi Adam diturunkan ke muka bumi, anak keturunannya pernah melakukan bermacam-macam kesalahan dan kemungkaran. Namun begitu apabila perbuatan syirik mula muncul barulah ALLAH mengutus rasulnya Nuh Alaihissalam.


Sebilangan pendakwah melihat isu ilmu dan akidah sebagai hal yang kecil dan remeh-temeh. Walhal masih banyak lagi umat Islam yang zahir dan amalannya Islam, namun terlibat dalam perbuatan yang mendatangkan dosa paling besar di sisi ALLAH. Antaranya perbuatan bomoh, sihir, memakai tangkal/ azimat, pelaris perniagaan, pendinding, menganggap keramat tempat-tempat tertentu, menyeru selain kepada ALLAH ketika berdoa dan bermacam-macam lagi.


Apabila diperhalusi ternyata masih ramai lagi umat Islam yang terlibat dengan amalan-amalan syirik. Sebagaimana yang diingatkan oleh baginda Nabi :
“Tidak akan terjadi hari kiamat sampai beberapa qabilah (suku/kelompok) dari umatku bergabung dengan orang-orang musyrik dan sampai mereka menyembah berhala (segala sesuatu yang disembah selain ALLAH)”. (Hadis sahih Abu Dwud, at-Tirmidzi dan Ibnu Mjah)


Mesej perpaduan

Selepas agenda ilmu akidah dan membasmi syirik Nabi Muhammad berdasarkan hadis-hadis yang dilaporkan memberi fokus dan penekanan kepada isu perpaduan.


Tindakan Nabi yang bijak lagi berhikmah dalam dakwah dapat dilihat dalam satu hadis seperti dilaporkan oleh seorang sahabat berbangsa Yahudi Abdullah bin salam (semoga ALLAH redha kepada beliau),
“Wahai seluruh manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, sambunglah tali persaudaraan, solatlah pada malam hari ketika semua orang sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan damai.” (Hadis Tirmidzi, Ibnu Majah, ad Darimi)

Kembali kepada realiti semasa apa yang diberi penekanan oleh sebilangan orang agama dan pendakwah amat berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan generasi awal Islam.

Masyarakat dimomokkan dengan hukum-hukum agama seolah-olah Islam itu datang untuk menghukum semua orang yang berbuat salah tanpa belas dan ihsan. Sepertinya di dalam ‘kamus’ Islam tiada apa yang diistilahkan sebagai ‘ampun’ dan ‘taubat’.


Pengajian akidah yang membuahkan rasa cinta dan takut kepada ALLAH ditinggalkan. Umat lebih disogokkan dengan soal hukum, politik dan undang-undang semata-mata.


Jika hal ini berterusan kita meyakini apa yang disebutkan oleh ibunda Aisyah, umat selamanya tidak akan meninggalkan arak dan zina. Justeru tidak hairan mengapa sekian banyak kempen dan usaha dijalankan oleh pendakwah dan pemerintah tidak membuahkan hasil yang optimum. Kerana kita menyanggahi apa yang telah disunnah oleh Nabi Muhammad dan generasi awal Islam.

Syaikh Husain bin Audah al-Awaiyisyah menulis beberapa hal yang perlu diberikan perhatian dalam menerapkan syariat Islam. Antanya termasuk:

(1) Kepentingan membuat penelitian, pemilihan dan pembahasan ilmiah,

(2) Barang siapa yang mengenal Tauhid Asma’ Wa Sifat dengan sebenar-benarnya maka dia adalah orang yang paling mengetahui masalah berhukum dengan apa yang diturunkan ALLAH, dan

(3) Bagaimana menegakkan hukum ALLAH dan berkonfrontasi dengan aliran-aliran pemikiran yang rosak. (Kaifa Tahkumu Nafsaka wa Akhlaka wa man Talii Umuurahum bi Hukmillah, Menerapkan syarikat Islam dalam diri, keluarga dan orang-orang yang ada di bawah tanggungjawab anda menurut al-Quran dan As-Sunnah)


Memaksakan hukum ke atas masyarakat sebelum pendidikan yang benar diberikan adalah ibarat kata pepatah Melayu, “berlunjur sebelum duduk”.

Jangan lagi kita sibuk menghukum si anu kafir atau si anu murtad, sebaliknya lebih baik sibuk dengan majlis ilmu. Berbahagialah mereka yang terpilih oleh ALLAH untuk duduk-duduk dalam majlis ilmu yang menjabarkan isi kitab dan Sunnah berdasarkan pemahaman generasi salaf.


Mohd Riduan Khairi



Sumber :sinarharian.com.my/

No comments:

Post a Comment