Pages

Sunday, December 18, 2011

Panduan Membicara Sejarah Para Sahabat


Panduan Membicara Sejarah Para Sahabat

Ramai yang menganggap sejarah adalah satu bidang yang mudah. Bagi yang menulisnya, ia sekadar mencatit peristiwa yang telah berlaku sementara bagi yang membacanya, ia sekadar novel pengembaraan yang menyeronokkan. Anggapan di atas tidaklah tepat. Sejarah adalah satu bidang ilmu yang memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Al-Allamah Ibn Khaldun rahimahullah (808H) menjelaskan hakikat ini:

“Suatu yang harus diketahui ialah bahawa sejarah itu adalah disiplin ilmu yang memiliki pelbagai pendekatan. Aspek penggunaannya adalah sangat banyak. Tujuannya pula dapat dibeza-bezakan. Sejarah membuat kita faham akan hal-ehwal sesuatu bangsa yang terdahulu kerana ia tercermin melalui perilaku mereka. Melalui sejarah kita dapat mengetahui biografi para nabi, sesebuah kerajaan dan dasar-dasar raja-rajanya. Ia membolehkan sesiapa yang berminat menteladani contoh-contoh sejarah sebagaimana dalam bidang agama dan perkara-perkara duniawi.
Untuk menulis sesuatu sejarah menghendaki sumber yang banyak dan pengetahuan yang bermacam-macam. Ia memerlukan agakan yang tepat dan ketekunan yang membolehkan para sejarawan itu menemui kebenaran dan menjauhkan daripada melakukan pelbagai ketersasulan dan kesalahan. Sekiranya seseorang sejarawan itu menerima catatan sejarah dalam bentuk yang dinukilkan dan tidak mempunyai pengetahuan yang jelas tentang prinsip-prinsip yang didasarkan oleh kebiasaan, tentang fakta-fakta politik yang asas, tentang watak peradaban, atau keadaan-keadaan yang mempengaruhi organisasi sosial manusia, dan sekiranya lanjutan daripada itu, dia menilai antara bahan yang terpencil atau lama, melalui perbandingan di antara yang baru atau semasa, maka pastinya dia tidak akan dapat mengelak daripada tergelincir dan menyimpang daripada jalan yang benar.
Ramai ahli sejarah tafsir dan ulama terkenal telah melakukan kesalahan ketika menyampaikan hikayat-hikayat dan peristiwa-peristiwa. Hal itu terjadi kerana mereka mengambil dengan begitu sahaja tanpa memikirkan nilainya. Mereka tidak memeriksa prinsip-prinsip yang berlaku pada situasi historis, juga tidak memperbandingkannya dengan bahan-bahan yang serupa. Mereka juga tidak menyelidikinya mengikut ukuran falsafah, dengan bantuan pengetahuan tentang watak alam semesta atau perenungan, dan dengan pengetahuan yang mendalam tentang peristiwa-peristiwa sejarah.” [Muqaddimah, ms. xix-xx]
Pencermatan ke atas kata-kata Ibn Khaldun di atas akan membantu kita meletakkan garis panduan untuk membicara sejarah para sahabat. Terdapat lima garis panduan yang utama dan ia adalah seperti berikut:


Panduan Pertama:
Menyedari bahawa sejarah yang bakal dibicara melibatkan sekumpulan manusia yang paling mulia sesudah para Rasul dan Nabi.

Pembicaraan sejarah para sahabat hendaklah dimulai dengan penetapan asas yang kukuh bahawa sejarah yang bakal dibicarakan bukanlah melibatkan calang-calang orang. Akan tetapi ia melibatkan sekumpulan manusia yang telah dipersaksikan kedudukan mereka oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Salah satu daripada sekian banyak persaksian tersebut adalah firman Allah (yang bermaksud):
Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:100]


Dalam ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyebut para sahabat daripada kalangan Muhajirin, Ansar dan yang selepas mereka, Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah. Allah juga menjanjikan syurga yang kekal kepada mereka semua. Ayat di atas membuktikan kedudukan istimewa para sahabat yang dipersaksikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Persaksian Allah adalah berterusan daripada zaman kehidupan Rasulullah sehinggalah kepada zaman kewafatan para sahabat itu sendiri. Ini kerana Allah Maha Mengetahui perbuatan semua sahabat, sama ada yang sudah, sedang atau akan dilakukan.
Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) mengulas:
“Para sahabat seluruhnya adalah adil di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Allah telah memuji mereka dalam kitab-Nya (al-Qur’an) dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah memuji mereka melalui sabda baginda. (Pujian ini merujuk kepada) seluruh akhlak dan perbuatan mereka. Juga terhadap pengorbanan harta dan jiwa yang mereka persembahkan demi membela Rasulullah, semata-mata mengharapkan balasan yang besar dan pahala yang mulia di sisi Allah.” [al-Ba‘its al-Hatsits (الباعث الحثيث) Syarh Iktishar ‘Ulum al-Hadits (diteliti dan disyarah oleh Ahmad Syakir, Dar al-Fikr, Beirut, 1996), ms. 127]
Oleh itu al-Imam Ibn Baththah rahimahullah (387H) mengingatkan:
“(Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) bersaksi bahawa seluruh kaum Muhajirin dan Ansar dijamin masuk syurga, mendapat keredhaan, diterima taubatnya dan memperoleh rahmat daripada Allah. Hendaklah anda meresapkan ilmu ini benar-benar dan engkau yakini dengan hatimu bahawa seorang yang telah melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, menyertai baginda, beriman kepada baginda dan mengikuti baginda meskipun sesaat adalah lebih utama daripada orang yang belum pernah melihat baginda dan belum pernah menyertai baginda sekalipun dia mengerjakan seluruh amal syurga.” [al-Syarh wa al-Ibanah ‘ala Ushul al-Sunnah wa al-Diyanah (diteliti oleh Redha bin Na’san Mu’thi; Maktabah al-Faisal, Mekah), ms. 263]
Justeru panduan yang pertama adalah menetapkan asas yang kukuh dalam diri kita bahawa apa yang bakal dibicara ialah perihal sejarah orang-orang yang diredhai dan dijamin kedudukan syurga oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Disebabkan mereka adalah orang-orang yang diredhai oleh Allah, hendaklah kita membicara sejarah mereka agar dengan itu kita juga memperoleh keredhaan Allah, bukan kemurkaannya. Disebabkan mereka adalah orang-orang yang dijamin kedudukan dalam syurga, hendaklah kita orang-orang yang belum terjamin kedudukannya membicara sejarah mereka agar dengan itu kita juga memperoleh tempat di dalam syurga, bukan neraka.

Panduan Kedua:
Mengenali sikap para sahabat bahawa mereka bukanlah sekumpulan orang yang suka berperang.

Panduan kedua sebelum memulakan perbicaraan tentang sejarah para sahabat adalah mengenali sikap mereka, bahawa mereka bukanlah sekumpulan orang yang suka berperang sesama sendiri. Memang, mereka pada awalnya hidup berkabilah dan lazim bercakaran sesama mereka. Akan tetapi setelah Islam masuk ke dalam hati mereka, sifat saling bercakaran berubah menjadi saling bersatu dan bersaudara. Ini semua adalah nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. [Ali Imran 3:103]


Hasil daripada nikmat Allah ini, para sahabat bukan sahaja saling bersatu dan bersaudara, mereka juga berkasih sayang sesama mereka. Pada waktu yang sama mereka bersikap keras lagi tegas kepada orang-orang yang memusuhi Islam. Allah Subhanahu wa Ta‘ala bersaksi ke atas sikap yang mulia ini:
Nabi Muhammad ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). [al-Fath 48:29]


Berdasarkan sikap saling bersatu, bersaudara dan berkasih sayang, dapat kita sedari bahawa peperangan yang berlaku di antara mereka, yakni Perang Jamal dan Siffin, bukanlah sesuatu yang berlaku di atas pilihan dan kesukaan mereka. Namun ia berlaku di atas faktor-faktor yang tidak disengajai oleh mereka semua sehingga menyebabkan kekeliruan dalam melakukan takwil dan kesalahan dalam berijtihad. Hal ini sepertimana yang penulis terangkan dalam artikel-artikel sebelum ini. al-Imam Abu al-Hasan al-Asya’ari rahimahullah (324H) menegaskan:
“Adapun apa yang terjadi antara Ali, al-Zubar dan Aisyah radhiallahu 'anhum, maka ia tidak lain adalah takwil dan ijtihad. Ali adalah imam (pemimpin saat itu) manakala setiap daripada mereka adalah orang yang layak berijtihad. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah bersaksi bahawa mereka adalah ahli syurga dan (sebahagiannya) akan gugur syahid. Maka ini menunjukkan bahawa setiap daripada mereka adalah benar dalam ijtihad mereka. Demikianlah juga apa yang terjadi antara Ali dan Muawiyah radhiallahu 'anhuma, ia adalah takwil dan ijtihad.
Semua sahabat adalah imam dan terdiri daripada orang yang dipercayai, tanpa dicurigai agama (mereka). Demi sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah memuji mereka keseluruhannya serta menyuruh kita untuk menghormati, mengagung dan mencintai mereka sebagai satu bentuk ibadah. Hendaklah berlepas diri daripada setiap orang yang mencela seorang jua daripada mereka, radhiallahu 'anhum ajma‘in. [al-Ibanah ‘an Ushul al-Diyanah (Univ. Islam Madinah), ms. 224-225]
Lebih dari itu, sekalipun Perang Jamal dan Siffin benar-benar berlaku, jumlah sahabat yang terlibat dalamnya amatlah sedikit. Ini bukan sahaja disebabkan sikap mereka yang saling bersatu, bersaudara dan berkasih sayang, tetapi juga disebabkan peringatan yang diberikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada mereka sejak dari awal. Baginda pernah bersabda:
Akan terjadi fitnah. Duduk ketika itu adalah lebih baik daripada berdiri, berdiri ketika itu adalah lebih baik daripada berjalan dan berjalan ketika itu adalah lebih baik daripada berlari. Orang yang menyaksikannya (peristiwa fitnah) akan tertarik ke dalamnya. (Oleh itu) sesiapa yang mendapati tempat berlindung maka hendaklah dia berlindung di dalamnya. [Shahih Muslim – hadis no: 2886]


Berkenaan jumlah sahabat yang terlibat dalam Perang Jamal, al-Sya’bi rahimahullah (104H) menerangkan:
“Tidak ada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang turut serta dalam Perang Jamal kecuali Ali, Ammar, Thalhah dan al-Zubair. Jika dikatakan ada orang kelima, maka aku berdusta.” Adapun Perang Siffin, maka Muhammad bin Sirin rahimahullah (110H) menegaskan: “Api fitnah (Perang Siffin) membara sementara para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berjumlah puluhan ribu. Tidak sampai seratus orang yang terlibat di dalamnya, bahkan tidak sampai tiga puluh orang.” [Kedua-duanya diriwayatkan oleh Abu Bakar al-Khallal dalam Kitab al-Sunnah (Dar al-Rayah, Riyadh, 1410H), riwayat no: 729 & 728 dan sanad kedua-duanya dinilai sahih oleh peneliti kitab: Dr. ‘Athiyah al-Zaharani]
Berdasarkan Panduan Kedua ini, dapat dikenali sikap para sahabat radhiallahu 'anhum bahawa mereka bukanlah sekumpulan manusia yang suka berperang sesama mereka. Perang Jamal dan Perang Siffin benar-benar berlaku akan tetapi ia bukanlah di atas pilihan mereka. Lebih penting, yang terlibat secara tidak sengaja dalam kedua-dua peperangan tersebut hanya segelintir sahabat yang terkeliru dalam melakukan takwil dan ijtihad. Majoriti sahabat mengecualikan diri daripadanya.
Panduan Pertama dan Kedua di atas membentuk asas yang penting kepada setiap individu yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat dalam membicarakan sejarah para sahabat. Tanpa kedua-dua asas ini, seseorang itu akan cenderung kepada membicara sejarah para sahabat dengan pandangan yang negatif, sekaligus menjerumuskan dirinya untuk membuat kesalahan-kesalahan yang fatal.


Panduan Ketiga:
Setiap peristiwa sejarah hendaklah dinilai sama ada ia adalah sahih atau tidak.

Perlu diketahui bahawa sumber yang lazim digunakan untuk membicara sejarah para sahabat terbuka kepada pelbagai manfaat dan mudarat. Sumber yang dimaksudkan ialah kitab-kitab sejarah itu sendiri. Ini kerana tidak ada kitab sejarah yang ditulis ketika berlaku sesebuah peristiwa sejarah pada zaman sahabat. Kitab sejarah hanya ditulis beberapa dekad atau kurun selepas berlaku sebuah peristiwa berdasarkan riwayat-riwayat yang dicerita daripada seseorang kepada orang yang lain. Riwayat-riwayat inilah yang memenuhi kitab-kitab sejarah kita. Orang-orang yang menyampaikan peristiwa sejarah ini, hanya segelintir yang dipercayai dan boleh diambil pengkhabaran mereka. Bakinya yang majoriti terdiri daripada orang yang tidak dapat dipercayai, pendusta, pemfitnah, pengampu pemerintah, tukang cerita yang menokok tambah dan sebagainya.
Memang, para pengarang kitab sejarah telah mengemukakan nama-nama penyampai peristiwa sejarah agar orang-orang terkemudian dapat mengkajinya dan membezakan antara yang benar dan salah. Pun begitu, pada hakikatnya tidak ramai yang mampu atau mahu melakukan kajian dan pembezaan sedemikian. Tanpa kajian dan pemeriksaan ini, ditambah dengan kejahilan akan Panduan Pertama dan Kedua di atas, ramai penulis buku atau artikel sejarah hanya mengambil cerita-cerita yang menyeronokkan para pembacanya. Tidak ketinggalan adalah para penulis daripada aliran Syi‘ah, mereka memilih cerita-cerita yang dapat dijadikan sumber fitnah ke atas para sahabat.
Justeru melalui Panduan Ketiga ini, hendaklah setiap yang ingin membicara sejarah para sahabat terlebih dahulu menilai kesahihan sesuatu peristiwa sejarah yang bakal dibicarakan. Hendaklah peristiwa sejarah itu dirujuk kepada kitabnya yang asal agar dengan itu dapat ditemui nama para penyampainya. Kemudian dikaji sama ada para penyampai tersebut boleh dipercayai atau sebaliknya.
Tugas ini pasti amat memberatkan. Ia hanya mampu dilakukan oleh para tokoh yang menguasai kesemua kitab hadis dan sejarah dengan pengkhususan kepada ilmu sanad dan al-Jarh wa al-Ta’dil. Disebut “kitab-kitab hadis” kerana sumber-sumber sejarah para sahabat juga terhimpun di dalam kitab-kitab hadis dan ianya lebih terjamin kesahihannya berbanding kitab sejarah. Maka dengan itu ambillah sejarah para sahabat daripada para tokoh yang penulis sebutkan ciri-cirinya di atas. Manhaj ini jugalah yang diguna oleh penulis (Hafiz Firdaus) dalam artikel-artikel sebelum ini berkenaan pendirian para sahabat di sebalik Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Hasan dan Husain. Penulis tidak merujuk terus kepada kitab sejarah, sebaliknya terus kepada para tokoh yang telah meneliti kitab-kitab sejarah tersebut dan seterusnya membezakan antara yang hak dan batil.
Jika menghadapi kesukaran untuk mempraktikkan Panduan Ketiga ini, memadailah dengan Panduan Pertama dan Kedua di atas. Tenangkanlah diri dengan kedudukan para sahabat yang telah dipersaksikan oleh Allah dan Rasul-Nya serta pelbagai jasa mereka untuk membela dan menegakkan Islam. Janganlah diberi perhatian atau disebar-sebarkan riwayat tentang sejarah pertikaian para sahabat yang ditemui di sana sini. Ini kerana riwayat-riwayat sejarah tersebut kemungkinan besar adalah dusta atau ditokok tambah manakala kesaksian Allah dan Rasul-Nya adalah bebas daripada semua itu.
Al-Imam Ibn Baththah berpesan:
“Kita wajib menahan diri daripada pertikaian yang terjadi di antara sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Sebabnya, mereka telah melalui pelbagai peristiwa bersama Rasulullah dan telah mendahului manusia yang lain dalam hal keutamaan. Allah telah mengampuni mereka dan memerintahkan agar (umat Islam terkemudian) memintakan ampun untuk mereka dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan mencintai mereka. Semua itu Allah wajibkan melalui lisan Rasul-Nya.
Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, bahawa mereka akan saling berperang. Mereka memperoleh keutamaan daripada yang lainnya kerana segala kesalahan dan kesengajaan mereka telah dimaafkan. Semua pertikaian yang terjadi di antara mereka telah diampuni.
(Oleh itu) janganlah melihat (memberi perhatian) ulasan-ulasan tentang Perang Siffin, Perang Jamal, pertikaian di Dewan (Bani Sa‘idah) dan selainnya yang terjadi di antara mereka. Janganlah anda tulis untuk dirimu sendiri atau orang lain. Janganlah anda meriwayatkannya daripada seorang jua dan jangan pula membaca serta menyampaikannya kepada orang lain. Itulah perkara yang disepakati oleh para ilmuan umat Ini. Mereka sepakat melarang perkara yang kami sebutkan (di atas).” [al-Syarh wa al-Ibanah, ms. 268-269]


Panduan Keempat:
Setiap peristiwa sejarah hendaklah dinilai kewajarannya.

Jika kesahihan sesebuah hadis dinilai dari sudut sanad dan matannya, demikianlah juga kesahihan sesebuah peristiwa sejarah. Ia tidak sahaja dinilai dari sudut para penyampainya tetapi juga apa yang disampaikan. Di sini sesebuah peristiwa sejarah yang disampaikan hendaklah dinilai kewajarannya berbanding faktor tempat, zaman dan keadaan manusia saat itu. Jika faktor-faktor ini adalah tidak wajar, dapat dikenali bahawa peristiwa tersebut sebenarnya adalah tidak sahih. Sering kali sesebuah peristiwa sejarah didapati tidak wajar kerana ia telah dibesar-besarkan (exaggeration). Lebih menarik, peristiwa sejarah yang sering dibesar-besarkan ialah apa yang menyangkut peperangan dan harta benda. Al-Allamah Ibn Khaldun menerangkan hakikat ini:
“Apabila seseorang pembicara pada sesuatu zaman ingin menggambarkan tentang jumlah tentera sesuatu kerajaan itu atau semasanya dan apabila mereka bercakap fasal tentera Islam atau Kristian, atau ketika hendak menggambarkan hasil-mahsul dan jumlah wang yang dibelanjakan, apa yang dilakukan oleh orang kaya, semuanya itu didapati bagai sengaja dilebih-lebihkan, sesuatu yang melampaui apa yang sepatutnya, dan sesuatu yang hanya untuk membangkitkan perhatian umum semata. Apabila seseorang pegawai yang bertanggungjawab disoal tentang jumlah tenteranya, apabila barang-barang dan harta benda itu ditaksirkan, dan apa yang dibelanjai oleh si kaya-raya dilihat mengikut keadaan biasa, ternyata jumlah itu hanya mencapai 1/10 daripada apa yang telah dinyatakan tadi. Sebabnya mudah sekali, ia sengaja direka-reka untuk menarik perhatian.” [Muqaddimah, ms. xxiv]
Contoh terbaik peristiwa sejarah yang dibesar-besarkan sehingga melebihi batas kewajaran adalah jumlah pasukan yang terlibat dalam Perang Jamal dan Siffin serta jumlah yang terkorban daripadanya. Ambil sahaja Perang Siffin, disebut-sebut kononnya pasukan Ali berjumlah 90,000 orang manakala pasukan Muawiyah berjumlah 120,000 orang. Jumlah yang terkorban daripada kedua-dua pihak ialah 70,000 orang. Sedikit penelitian yang kritis akan mendapati jumlah di atas telah dibesar-besarkan berkali ganda sehingga lebih mirip kepada sebuah mitos dongeng. Perhatikan poin-poin berikut:
· Sebelum ini diterangkan bahawa jumlah sahabat yang terlibat dalam Perang Siffin adalah tidak lebih daripada 30 orang. Maka siapakah yang membentuk baki selebihnya? Adakah mereka terdiri daripada orang-orang yang baru memeluk Islam? Hal ini tidak mungkin kerana orang-orang yang baru memeluk Islam akan menjadikan para sahabat yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada mereka sebagai tempat rujukan. Jika para sahabat ini tidak turut serta dalam Perang Siffin, maka mereka juga tidak akan turut serta.
· Mungkinkah baki selebihnya adalah tentera upahan? Jawapannya tetap tidak mungkin kerana menggerakkan pasukan tentera dengan jumlah sebesar itu adalah sesuatu yang amat sukar lagi mustahil dari sudut logistik. Setiap anggota perlu terlebih dahulu dilatih dan diberi kelengkapan yang sesuai. Kemudian ketika bergerak ke medan peperangan, perlu disediakan bekalan makanan dan minuman yang mencukupi kepada setiap anggota pasukan, termasuk kepada haiwan tunggangan mereka. Perlu diingatkan bahawa pada zaman itu tidak ada kemudahan logistik yang membolehkan persiapan dan pergerakkan pasukan tentera secara besar-besaran dalam masa yang singkat.
· Seandainya benar dua pasukan umat Islam yang amat besar telah terlibat dalam Perang Siffin, sudah tentu ia akan melemahkan kedudukan umat Islam secara keseluruhannya di mata musuh. Seterusnya pasti musuh-musuh ini akan mengambil kesempatan untuk menyerang mana-mana wilayah Islam. Ternyata hal ini tidak berlaku. Musuh Islam tetap gerun kepada umat Islam sepanjang tempoh itu, menunjukkan tidak ada dua pasukan umat Islam yang amat besar telah saling bertempur sesama mereka.
· Disebut bahawa jumlah korban adalah 70,000 orang. Siapakah orang terpercaya yang menghitung jumlah ini? Jawapannya tidak ada.
· Seandainya 70,000 orang telah menjadi korban, nescaya proses pengkebumian akan mengambil masa yang tersangat lama. Ini kerana pada zaman itu tidak ada jentera berat yang dapat mempercepatkan proses ini. Anehnya tidak ditemui kitab sejarah yang mencatit proses pengkebumian ini.
· Akhir sekali, seandainya 70,000 orang gugur di Siffin, sudah tentu tempat itu akan menjadi lokasi arkeologi besar-besaran yang amat masyhur sekarang ini. Ia akan dibanjiri dengan para pengkaji arkeologi bagi meneliti susuk manusia, pakaian, kelengkapan mereka 1400 tahun yang lalu. Akan tetapi hal ini jelas tidak berlaku.
Berdasarkan penelitian yang adil terhadap poin-poin di atas, benarlah kenyataan al-Allamah Ibn Khaldun bahawa jumlah yang sebenar hanyalah 10 peratus daripada apa yang disebut-sebutkan. Malah tidaklah menjauhi kebenaran jika dikatakan jumlah yang sebenar adalah lebih kecil daripada 10 peratus. Sebagai contoh, kitab-kitab sejarah menyebut bahawa jumlah korban Perang Jamal adalah 10,000 orang. Akan tetapi Dr. Muhammad bin Shamil al-Sulami dalam kajian tesisnya mendapati jumlah yang sebenar adalah tidak lebih daripada 300 orang. [Tartib wa Tahzib Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari; Darul Haq, Jakarta, 2004), ms. 476] Jumlah ini hanyalah 3 peratus daripada jumlah yang disebut-sebut dalam kitab sejarah. Setakat ini penulis tidak menemui kajian khas tentang jumlah korban Perang Siffin. Namun tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa jumlahnya adalah sekitar satu hingga lima peratus daripada jumlah 70,000 yang disebut-sebutkan.
Pengajaran penting Panduan Keempat ini adalah, apabila ingin membicara sejarah para sahabat, hendaklah diperhatikan kewajarannya berbanding faktor tempat, zaman dan keadaan manusia saat itu. Hendaklah berbicara dengan pemikiran tajam yang bersifat menganalisa, lebih-lebih lagi apabila ia menyangkut peristiwa peperangan dan harta benda. Ini kerana pada kedua-dua peristiwa ini, lazimnya telah berlaku tokok tambah yang berganda-ganda. Ingat, sejarah para sahabat bukanlah novel pengembaraan yang boleh ditulis dan dibaca begitu sahaja dengan pemikiran yang tumpul lagi mendatar.

Panduan Kelima:
Peristiwa sejarah yang sahih dan wajar hendaklah dibicara dengan minda yang positif.

Sesuatu peristiwa sejarah yang lulus Panduan Ketiga dan Keempat hendaklah dibicara dengan minda yang positif agar ia menepati Panduan yang Pertama dan Kedua. Sebagai contoh, di dalam Shahih al-Bukhari – hadis no: 3670, diterangkan bahawa berlaku kekecohan di dewan Bani Sa‘idah ketika membincangkan pengganti Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Para penulis dan pembaca yang cenderung membicarakan sejarah para sahabat dengan minda yang negatif akan menafsirkan “kekecohan” tersebut sebagai suasana perpecahan yang dahsyat dan pemilihan Abu Bakar radhiallahu 'anh yang terhasil daripadanya adalah pemilihan yang tidak adil.
Padahal jika dibicarakan dengan minda yang positif, dapat difahami bahawa “kekecohan” tersebut timbul tidak lain kerana kesungguhan para pembesar sahabat ketika itu untuk membincangkan pengganti Rasulullah. Ini kerana isu kepimpinan adalah satu persoalan yang amat penting untuk agama dan umat. “Kekecohan” tersebut reda apabila Abu Bakar dipilih menjadi khalifah yang pertama. Seandainya pemilihan tersebut berlaku dalam suasana yang tidak adil, sudah tentu “kekecohan” akan berterusan sesudah itu.
Demikian lima panduan kepada sesiapa yang ingin membicarakan sejarah para sahabat. Ringkasnya untuk membicarakan apa-apa sejarah para sahabat, hendaklah terlebih dahulu menyedari bahawa yang bakal dibicarakan melibatkan sekumpulan orang yang diredhai oleh Allah dan dijamin masuk syurga. Selain itu mereka juga adalah sekumpulan orang yang saling bersatu, bersaudara dan berkasih sayang sesama mereka hasil daripada nikmat Allah kepada mereka. Justeru apabila ingin membicarakan sejarah mereka, hendaklah disemak terlebih dahulu sama ada peristiwa tersebut adalah sahih sumbernya dan wajar berlaku pada zaman, tempat dan keadaan manusia pada saat itu. Seandainya sahih dan wajar, maka bicaralah dengan minda yang positif agar ia menepati ciri-ciri mereka yang diredhai oleh Allah dan ahli syurga. Semoga dengan panduan ini, kita juga termasuk dalam golongan yang diredhai Allah dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.
Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah



No comments:

Post a Comment