Pages

Saturday, December 24, 2011

Pencerahan Tentang Hadith Iftiraq Ummah

Abul Hussein Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi

http://ibnabiashim89.blogspot.com

Hadith berkenaan perpecahan umat islam kepada tujuh puluh tiga firqah atau kelompok merupakan hadith yang shahih dan dijadikan hujjah oleh ulama` islam zaman berzaman,ianya merupakan suatu bentuk perkhabaran daripada Nabi Muhammad sallalallahu`alaihiwasallam tentang perpecahan yang akan berlaku di kalangan umatnya,namun ada juga sebahagian musuh-musuh Islam dari kalangan ahli bid`ah dan mereka yang mengikuti hawa nafsu mempertikaikan keshahihan hadith ini dan menolaknya semata-mata ianya tidak menepati akal dan hawa nafsu mereka.

Hadith iftiraq(perpecahan umat) diriwayatkan oleh jamaah para sahabat seperti Abu Hurairah,Mu`awiyyah bin Abi Sufyan,Anas bin Malik,`Auf bin Malik Al-Asyja`I,Abu Umamah Al-Bahili,Sa`ad bin Abi Waqqas,Abu Darda` dan Watsilah bin Al-Asqa`-radiallahu`anhum ajma`in-

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah meriwayatkan dengan sanadnya:

حدثنا الحسين بن حريث أبو عمار قال: حدثنا الفضل بن موسى، عن محمد بن عمرو، عن أبي سلمة، عن أبي هريرة، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: «تفرقت اليهود على إحدى وسبعين أو اثنتين وسبعين فرقة، والنصارى مثل ذلك، وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين فرقة» وفي الباب عن سعد، وعبد الله بن عمرو، وعوف بن مالك: «حديث أبي هريرة حديث حسن صحيح»

Telah menceritakan kepada kami Al-Husain bin Harith Abu `Amaar katanya: Telah menceritakan kepada kami Al-Fadhl bin Musa,daripada Muhammad bin `Amru daripada Abi Salamah,daripada Abi Hurairah bahawasanya Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda: " Yahudi berpecah kepada tujuh puluh satu atau tujuh puluh dua firqah(kelompok),dan Nasrani seperti itu juga,dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kelompok" dan dalam Bab daripada Sa`ad dan `Abdillah bin `Amru,dan `Auf bin Malik" –hadith Abu Hurairah hadith hasan shahih " [ Sunan(Jami`) At-Tirmidzi 5/25 hadith no:2640 ]

Al-Imam Ibnu Majah rahimahullah meriwayatkan:

حدثنا عمرو بن عثمان بن سعيد بن كثير بن دينار الحمصي قال: حدثنا عباد بن يوسف قال: حدثنا صفوان بن عمرو، عن راشد بن سعد، عن عوف بن مالك، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «افترقت اليهود على إحدى وسبعين فرقة، فواحدة في الجنة، وسبعون في النار، وافترقت النصارى على ثنتين وسبعين فرقة، فإحدى وسبعون في النار، وواحدة في الجنة، والذي نفس محمد بيده لتفترقن أمتي على ثلاث وسبعين فرقة، واحدة في الجنة، وثنتان وسبعون في النار» ، قيل: يا رسول الله من هم؟ قال: «الجماعة»

Telah menceritakan kepada kami `Amru bin `Uthman bin Sa`id bin Kathir bin Dinar Al-Himsi,katanya: Telah menceritakan kepada kami `Abbad bin Yusuf katanya: Telah menceritakan kepada kami Safwan bin `Amru daripada Rasyid bin Sa`ad, daripada `Auf bin Malik katanya: Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda: " Yahudi berpecah kepada tujuh puluh satu kelompok,dan hanya satu di syurga dan tujuh puluh lagi di neraka,dan Nasrani berpecah kepada tujuh puluh dua kelompok dan tujuh puluh satu di neraka dan satu di syurga,dan demi yang jiwa Muhammad berada di atas tanganNya umatku pasti akan berpecah sebanyak tujuh puluh tiga kelompok,satu sahaja di syurga dan tujuh puluh dua di neraka".Dikatakan kepada Nabi: "Wahai Rasululullah siapakah mereka(yang di syurga atau yang terselamat)?.Jawab baginda: "Al-Jamaah". [ Sunan Ibnu Majah 2/1322 ,bab iftiraq Al-Umam ]

Walaupun hadith ini tidak sunyi daripada kritikan ulama-ulama` hadith tentang perawi dalam sanadnya namun ianya mempunyai riwayat yang lain yang mana sanadnya bersih dan sejahtera dari sebarang kecacatan dan ianya menjadi syawahid(penyokong) yang menguatkan hadith tersebut, misalnya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah,Mu`awiyyah bin Abu Sufyan,Anas bin Malik,`Auf bin Malik a-Asyja`I,Abu Umamah radiallahu`anhum.

Berikut disenaraikan kitab-kitab Ulama Ahli Sunnah yang meriwayatkan hadith iftiraq :

1 . Musnad Ahmad bin Hanbal 19/241, no:12208

2 . Sunan Abu Daud 4/197, no: 4596

3 . Sunan Ibnu Majah 2/1322, no: 3992

4 . Mushannaf Ibnu Abi Syaibah 7/554

5. Sunan(Jami`) Tirmidzi no:2640

6 . As-Sunnah Ibnu Abi `Ashim 1/32-35, no:45,63,69,71 dan 953.

7 . Musnad Al-Bazzar 4/37, no:1199

8 . As-Sunnah Al-Marwazi 1/21, no: 53

9 . Musnad Abi Ya`la Al-Musili 7/36, no: 3938, 3944

7 . Shahih Ibnu Hibban 14/140,no: 6247,6731

8 . As-Syari`ah Al-Ajurri 1/311,no: 26,27 dan 28.

9 . Mu`jam Al-Kabir At-Thabrani 8/274,no: 8054

10. Al-Ibanah Al-Kubra Ibnu Batthah 1/370,no: 266,267,270

11. Al-Mustadrak Al-Hakim 1/47,no: 10,441,445.

12. Syarh Usul `Itiqad Al-Lalakai 1/112,no: 148,149.

13. Sunan Al-Kubra Al-Baihaqi 10/351,no: 20901.

14. Al-Hujjah fi Bayan Al-Mahajjah Abul Qasim Al-Asbahani 1/117-122 no:16,17,19.

Antara ulama-ulama hadith yang menghasankan atau menshahihkan hadith ini ialah:

1 . Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah,beliau berkata : "Hadith hasan shahih " rujuk takhrij sebelumnya,dan Al-Hafiz Al-Munziri-rahimahullah menaqalkan tashih At-Tirmidzi dan beliau mengakuinya. [ rujuk Tuhfatul Ahwadzi 7/333 ]

2 . Al-Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 1/128: "Shahih di atas syarat Muslim" disepakati oleh Az-Zahabi. Kata beliau lagi ketika menilai hadith Mu`awiyyah : " sanad-sanad hadith ini boleh dijadikan hujjah untuk menshahihkan hadith ini"

3. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-`Asqalani ketika menilai hadith Mu`awiyyah dalam "Takhrij Ahadith Al-Kasyaf hlm 6": " hasan".

4 . Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam Majmu` Fatawa 3/345: " Hadith ini shahih masyhur dalam kitab-kitab sunan dan musnad".

5 . Al-Imam As-Syatibi dalam Al-`Itishom 2/186: " Shahih daripada hadith Abu Hurairah".

6 . Al-Imam Ibnu Kathir dalam Tafsirnya 2/482: " Sebagaimana datang(diriwayatkan) dalam kitab Musnad,dan sunan daripada jalan-jalan periwayatan yang saling kuat menguat antara satu sama lain: bahawasanya Yahudi akan berpecah…..

7. Al-Imam Abdul Qahir Al-Baghdadi dalam Al-Farqu bain Al-Firaq hlm 7: " Hadith yang warid menjelaskan perpecahan umat mempunyai sanad-sanad yang banyak".

8. Syeikh Al-Albani menjelaskan hadith ini dalam Silsilah Al-Ahadith As-Shahihah hadith no:203 dengan beberapa jalan periwayatan: " Maka sesungguhnya telah jelas dengan terang bahawasanya hadith ini thabit tanpa syak padanya,dan disebabkan itulah para Ulama kini mengikuti salaf dalam berhujjah dengannya sehinggakan Al-Hakim mengatakan di dalam awal kitabnya Al-Mustadrak: "Sesungguhnya ianya adalah hadith yang sangat besar dalam Usul " dan aku tidak mengetahui seorang pun yang mencela hadith ini melainkan sebahagian daripada mereka yang tidak boleh dikira sifat bersendiriannya(dalam pendapatnya) dan keganjilannya seperti Al-Kauthari."

Untuk menyenaraikan imam-imam hadith yang meriwayatkan hadith ini sangat banyak,sehinggakan ianya disifatkan oleh Ahli Hadith Syam Syeikh Salim bin `Eid Al-Hilali-hafizahullah-sudah mencapai tahap mutawatir atau hampir kepadanya,dan ianya sudah menjadi usul agama yang disebut oleh para ulama firaq dalam kitab mereka tanpa mereka mengingkari matan(teks) hadith tersebut seperti As-Syahrastani dalam kitab Al-Milal wa An-Nihal, Al-Farqu baina Al-Firaq oleh Al-Baghdadi, "Al-Fasl fi Al-Ahwa` wa Milal wa An-Nihal" oleh Ibnu Hazm,dan Maqalat Islamiyyin oleh Al-Imam Abul Hasan Al-Asy`ari –rahimahumullah-dan ramai lagi
.

Menjawab Syubhat Tentang Tadh`if Ibnu Hazm

Hadith ini disisi Ibnu Hazm (wafat 456H) dan Dr Yusuf Al-Qardhawi dianggap dha`if(lemah) mereka melemahkannya kerana hadith ini boleh dimaqlubkan atau diselewengkan maksudnya.

Jawapan:

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam takhrij serta membawakan senarai para ulama salaf yang menshahihkan hadith ini maka bilangan mereka,kedudukan mereka serta banyaknya jalan periwayatan hadith tersebut sudah memadai untuk menjawab syubhat golongan yang hanya bertaqlidkan kepada Ibnu Hazm semisal Qardhawi,juga perlu difahami keadaan Ibnu Hazm yang kita tidak menafikan ketokohan beliau dalam Islam namun tidak dinafikan banyak hadith yang dikritik oleh Ibnu Hazm dianggap oleh sebahagian ulama` hadith sebagai syaz(ganjil) dan menyelisihi imam-imam hadith yang jauh lebih alim dan mahir dalam bidang ini,misal yang paling mudah lihat sahaja masalah Ibnu Hazm mengkritik hadith pengharaman Alat-alat Muzik yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari dalam Shahihnya.

Malah Ibnu Hazm juga merupakan antara ulama` yang syaz dalam manhajnya menghukum hadith yang dha`if kerana beliau tidak berpendapat dengan `itibar dan syawahid(penyokong) dalam Ilmu hadith,maka disisi beliau hadith hasan lighairihi memang tidak wujud bahkan beliau mengingkarinya,justeru disebabkan itulah beliau mendha`ifkan(melemahkan) hadith tersebut disebabkan beliau hanya menghukum satu sanad hadith sahaja tanpa melihat dan meneliti jalan-jalan periwayatan yang lain,dan ini adalah salah satu faktor yang membawa kepada pendapat tersebut yang dianggap oleh para ulama` sebagai syaz(ganjil).Antara ulama yang menghukum pendapat Ibnu Hazm sebagai syaz ialah Az-Zarakasyi -rahimahullah-beliau berkata:

وشذ ابن حزم عن الجمهور فقال ولو بلغت طرق الضعيف ألفا لا يقوى ولا يزيد انضمام الضعيف إلى الضعيف إلا ضعفا

Ibnu Hazm telah berpegang dengan pendapat yang syaz(ganjil) daripada jumhur,kerana beliau berpendapat: kalau jalan-jalan periwayatan yang dha`if(lemah) mencapai seribu pun ianya tidak menguatkan(hadith) dan tidak menambahkan penggabungan dha`if kepada dha`if yang lain melainkan ia tetap dha`if(lemah)[ Rujuk An-Nukat `ala Muqaddimah Ibnu Solah oleh Az-Zarkasyi 1/322 ]

Begitu juga walaupun Ibnu Hazm melemahkan hadith tersebut namun beliau tidaklah sejahat Qardhawi dalam mengingkari matan hadith iftiraq(perpecahan) yang berlaku di kalangan umat Islam,kerana Ibnu Hazm -rahimahullah- tetap menyebutkan ifitraq ummah dalam Kitabnya "Al-Fasl fi Milal wa An-Nihal".

Sikap Al-Qardhawi dalam Hadith ini dan penjelasan tentangnya.

Sesiapa sahaja yang sudah mengenali Dr Yusuf Al-Qardhawi dan sikap serta kritikan ulama-ulama salaf terhadap beliau maka kita akan mendapati beliau bermanhaj dengan manhaj Ikhwan Muslimin,maka tidak hairanlah hadith iftiraq ini dilemahkan oleh beliau semata-mata untuk mempertahankan mazhabnya dan memuaskan hawa nafsunya,sebelum beliau Salman `Audah juga pernah mengkritik hadith ini,maka jika kita melihat tujuan mereka melemahkan hadith ini hanyalah semata-mata bersifat politik,kerana sebagaimana kita sedia maklum manhaj Ikhwan Muslimin adalah mereka menyeru kepada "Taqrib"(penyatuan) antara semua agama,begitu juga penyatuan antara mazhab-mazhab seperti Syiah dan Sunnah.

Adapun hujjah yang mengatakan hadith ini boleh dimaqlubkan(diselewengkan) maksudnya maka ianya sangat tidak berasas dan tidak boleh diterima akal,kerana secara zahirnya semua hadith berkemungkinan diselewengkan maksudnya,sebagaimana ayat-ayat Al-Quran boleh diselewengkan maksudnya oleh kelompok Muktazilah,Syiah Rafidhah dan ahli bid`ah yang lain maka begitulah juga hadith-hadith Nabawi,jika mengatakan hadith ini boleh diselewengkan tentulah semua hadith-hadith shahih yang pernah diselewengkan oleh ahli bid`ah harus dilemahkan kerana hujahnya " hadith tersebut boleh diselewengkan".

Begitu juga hadtih ini datang dalam bentuk tahzir(peringatan) agar tidak mengikuti jejak langkah kaum Yahudi dan Nasrani,maka ianya bukanlah sebagai tiket untuk digunakan bagi menyesatkan atau mengkafirkan umat Islam sewenang-wenangnya,namun ianya tidak lebih daripada menggalakkan kita agar terus menerus membuat penelitian dan kajian tentang siapakah Al-Jamaah yang dimaksudkan oleh Nabi sallallahu`alaihiwasallam,apakah ciri-ciri mereka,apakah Manhaj mereka dalam akidah,akhlak dan fiqh serta dalam segenap aspek kehidupan mereka serta bersatu di bawah kesatuan Al-Jamaah dan meninggalkan firqah-firqah yang menyimpang darinya,semua ini merupakan manifestasi dari firman Allah Ta`ala:

إن هذه أمتكم أمة واحدة وأنا ربكم فاعبدون

“Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku”. [ Al-Anbiya`:92 ]

ولا تكونوا من المشركين . من الذين فرقوا دينهم وكانوا شيعا كل حزب بما لديهم فرحون

“dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah,iaitu orang-orang yang memecah belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa kelompok.Tiap-tiap kelompok merasa bangga dengan apa yang ada pada mereka”. [ Ar-Ruum:31-32 ]

Berkenaan kefahaman tentang penetapan bilangan kelompok di dalam Islam berdasarkan hadith ini antara Ulama Salaf yang paling awal menentukan firqah-firqah sesat dalam Islam dan pembahagian mengikut usulnya ialah Yusuf bin Asbat,kemudian diikuti oleh Al-Imam `Abdullah bin Al-Mubarak sebagaimana disebutkan oleh Syeikhul Islam dalam Majmu` Fatawa 3/350:

Diriwayatkan oleh Al-Imam Ibnu Batthah -rahimahullah-(wafat 387H) dalam Al-Ibanah Al-Kubra 1/376 daripada Yusuf Asbat :

أصل البدع أربعة: الروافض، والخوارج، والقدرية، والمرجئة، ثم تتشعب كل فرقة ثماني عشرة طائفة، فتلك اثنتان وسبعون فرقة، والثالث والسبعون الجماعة التي قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «إنها الناجية»

Usul bid`ah ada empat: Ar-Rawafidh(rafidhah),Al-Khawarij,Al-Qadariyah dan Al-Murjiah kemudian setiap firqah(kelompok) berpecah kepada lapan belas(18) kelompok,maka jadilah ia tujuh puluh dua kelompok [ 18 x 4=72 ],dan kelompok yang ke tujuh puluh tiga adalah Al-Jamaah yang telah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam sebutkan "sesungguhnya ianya akan selamat".

قال حفص بن حميد: قلت لعبد الله بن المبارك: على كم افترقت هذه الأمة؟، فقال: " الأصل أربع فرق: هم الشيعة، والحرورية والقدرية والمرجئة فافترقت الشيعة على ثنتين وعشرين فرقة، وافترقت الحرورية على إحدى وعشرين فرقة، وافترقت القدرية على ست عشرة فرقة، وافترقت المرجئة على ثلاث عشرة فرقة " قال: قلت: يا عبد الرحمن: لم أسمعك تذكر الجهمية قال: «إنما سألتني عن فرق المسلمين»

Kata Hafs bin `Humaid: "Aku bertanya kepada Abdullah bin Al-Mubarak: " Umat ini berpecah kepada berapa kelompok? , Jawabnya: " Usul firqah ada empat: "Mereka adalah Syiah,Al-Haruriyah(Khawarij),Al-Qadariyyah,Al-Murjiah lalu berpecah Syiah kepada dua puluh dua(22) kelompok,Al-Haruriyah berpecah kepada dua puluh satu(21) kelompok,dan berpecah Al-Qadariyah kepada enam kelompok,dan berpecahnya Al-Murjiah kepada tiga belas kelompok" Aku berkata: "Wahai Abu `Abdur Rahman,aku tidak mendengar engkau menyebut Jahmiyyah" Jawabnya: " Sesungguhnya engkau bertanyakan aku tentang firqah kaum muslimin".

Manakala Ibnu Jauzi-rahimahullah- dalam Talbis Iblis hlm 25 pula membahagikan usul bid`ah kepada enam iaitu : Al-Haruriyah(Khawarij),Al-Qadariyah,Al-Jahmiyyah,Al-Murjiah,Ar-Rafidhah dan Al-Jabariyah,kemudian setiap firqah berpecah kepada dua belas(12),maka jadilah tujuh puluh dua(72) firqah [ 12 x 6= 72 ]

Maka perlu difahami kewujudan firqah-firqah,kelompok-kelompok serta Ahzab(parti-parti) pada hari ini maka ianya tidak akan lari dari usul yang disebutkan oleh para Ulama Salaf,Cuma mereka berbeza dari sudut pengiraannya secara tepat,namun bukanlah bermakna ianya hanya terhad kepada tujuh puluh dua,namun ianya bermaksud usul atau asas bid`ah dan kesesatan tidak akan lari daripada usul yang dibangunkan oleh keempat-empat atau keenam-enam firqah,maka tidak hairanlah jika kita katakan realiti yang ada hari ini membuktikannya dimana kita akan dapati misalnya Ikhwan Muslimin menghimpunkan semua firqah atau usul-usul bid`ah yang disebutkan oleh para ulama` iaitu di dalam ikhwan Muslimin kita akan mendapati adanya mereka yang berfahaman atau berfikrah Khawarij,Murjiah,Rafidhah,Al-Jahmiyyah dan lain-lain lagi dari bid`ah dalam agama.

Adapun perselisihan antara Ahli Sunnah As-Salafiyyah dengan Asya`irah bukanlah dalam masalah furu` akidah seperti yang didakwa bahkan ianya adalah dari masalah usul `Akidah kerana beriman dengan sifat-sifat Allah Ta`ala termasuk dalam usul `akidah sedangkan Asya`irah telah menempuh usul Jahmiyyah dalam menafikan sifat-sifat Allah Ta`ala,walaupun mereka(Asya`irah) masih tidak dihukum oleh ulama Islam sebagai kafir sebagaimana ulama` menghukum kafirnya Jahmiyyah,namun akibat perbezaan mereka dalam masalah sifat-sifat Allah Ta`ala dan kekeliruan mereka dalam memahami ayat-ayat sifat serta menyelisihi Manhaj Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah maka mereka termasuk dalam firqah(kelompok) yang tujuh puluh dua yang diancam oleh Nabi sallallahu`alaihiwasallam,juga jika kita mengikut usul bid`ah yang dibahagikan oleh Ibnu Jauzi maka jelas,Asya`irah adalah pecahan daripada Jahmiyyah sebagaimana disebutkan oleh Al-Imam Yahya bin `Ammar dan Syeikhul Islam Isma`il Al-Harawi yang mengatakan "Asya`irah adalah Jahmiyyah betina dan Muktazilah adalah Jahmiyyah jantan"


Berkhidmat untuk As-Sunnah

Abul Hussein Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi

Kuliah Dakwah dan Usuluddin Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah

28Muharam 1433H/23 Disember 2011.


No comments:

Post a Comment