Pages

Wednesday, February 15, 2012

Fenomena gerakan tawhib (mewahabikan orang)




Penulis mulakan tulisan ini
dengan firman Allah SWT
dalam surah al-Baqarah ayat 10 :
فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ.
“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)”.

Penulis berlindung dengan Allah SWT daripada sebarang perasaan hasad dengki, niat buruk dan perancangan jahat daripada mana-mana orang yang "berpenyakit hati", semoga Allah memberi hidayah dan petunjuk-Nya kepada penulis dan mengampunkan dosa orang yang "berpenyakit hati".


Penulis sebenarnya amat yakin, antara punca segala kekeliruan, kekecohan, penyelewengan, pendustaan dan pembohongan adalah bermula daripada "penyakit hati". Seseorang tidak akan bertindak mengata, menuduh semberono, menempelak, memperlekeh, menjatuhkan maruah orang dan lain-lain jika hatinya benar-benar ikhlas, suci dan murni. Hanya hati yang rosak dan punah sahaja yang akan melakukan itu semua. Apatah lagi jika hati yang rosak itu datang daripada seorang bergelar 'ustaz', 'ahli tariqat', 'syeikh mursyid' dan pelbagai lagi gelaran keagamaan yg pastinya akan melambangkan kethiqahannya (kebolehpercayaannya) di kalangan para pengikut fanatik.



Dalam banyak-banyak fenomena, "gerakan tawhib" adalah salah satu fenomena yang jelas menunjukkan betapa implikasi hati yang rosak itu bertindak. Bak kata pepatah, 'membujur lalu melintang patah', golongan ini tanpa menghiraukan sesiapapun, apapun keadaan dan situasi yg sebenar, faktanya, kesahihannya..hanya jika boleh dikaitkan dengan Wahhabi maka dicoplah orang yang dituduhnya itu Wahhabi walaupun mungkin orang yang dituduh langsung tidak tahu menahu apa itu Wahhabi, bahkan mungkin orang itu juga sebenarnya adalah penentang Wahhabi!


Pada asasnya, gerakan tawhib bukanlah suatu fenomena yang pelik jika dilakukan oleh penganut Syiah. Ini kerana, golongan Syiah memang bijak mengkambinghitamkan fahaman Wahhabi untuk meloloskan diri mereka masuk bersama-sama golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (Asya'irah-Maturidiyyah). Mereka mendakwa hanya Wahhabi lah yang menolak Syiah, selain daripada Wahhabi mereka tidak akan menolak Syiah, malah akan rapat dan boleh berkawan serta menerima Syiah sebagai mazhab kelima.

Adapun yang menolak Syiah itu semata-mata adalah Wahhabi. Walaupun pada zahirnya mereka itu adalah penganut dan pendukung mazhab ASWJ Asya'irah Syafi'iyyah, namun hakikatnya di sisi Syiah mereka itu tetap Wahhabi penyamar yang merosakkan perpaduan umat Islam.




Bagi penulis, ini adalah taktik biasa Syiah untuk mengelirukan orang awam kalangan penganut Sunni. Sebagai contoh, dalam kes terbaru di Melaka, antara buku yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Melaka dalam serbuan tersebut adalah sebuah buku tanpa penulis dan penerbit berjudul "Benarkah Salafi-Wahabi Pemusnah Islam dan Pembunuh Umatnya".


Apa yang menarik adalah kerakusan dan kegelojohan puak Syiah Malaysia melabelkan ramai tokoh ilmuan dan para asatizah sebagai Wahabi secara membuta tuli termasuk Pengerusi Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Abdul Shukor Husin, Ketua Pengarah Jakim, Tn Hj Othman Mustapha, Dr. Zahazan Muhammad, Dr. Abdul Basit Abd Rahman, Prof. Zakaria Stapa, Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi, penulis sendiri dan lain-lain. Dalam memorandum Syiah kepada YDP Agong lebih mengejutkan apabila al-Fadhil Us. Uthman El-Muhammady yang amat tegas dalam mendepani Wahhabi turut dilabel oleh Syiah jadian sebagai Wahhabi nawasib.

Sebaliknya ustaz-ustaz yang turut sama membantai Wahhabi dan agak lunak terhadap Syiah tidak dimasukkan pula dalam senarai yang dikutuk Syiah, tetapi tulisan-tulisan mereka dijadikan hujjah sokongan terhadap kebenaran Syiah dan kebatilan Wahhabi. Nama-namanya tidak perlu disebutkan di sini kerana mereka itu memang pun terkenal di kalangan pengikutnya.


Itu kisah gerakan tawhib di kalangan Syiah, apa yang menjadi ralat, adalah kegelojohan mentawhib di kalangan ustaz-ustaz Sunni sendiri. Sehinggakan jika tiada bukti pun maka bukti palsu pun sanggup direkayasa, dicetak dan dijual kepada umum! Apa yang penting orang yang dituduh itu berjaya ditawhibkan, maka jadilah ustaz itu Wahhabi yang 'najis' di kalangan orang awam yang tidak tahu apa-apa.



Fitnah buku "Siapa sebenarnya Wahhabiy"


Penulis sebenarnya, tidak pernah terbayang akan menjadi mangsa tawhib. Masakan logik kerana penulis sendiri beraqidah Asya'irah dan bermazhab Syafi'i. Mempelajari Syarh Jauharat al-Tawhid karangan al-Laqqani dan kitab-kitab Syafi'iyyah secara talaqqi. Pernah mengajar kitab fiqh Syafi'i, Fathul Mu'in, Kifayatul Akhyar, Sifat Dua Puluh dengan syarh kitab Usuluddin al-Islami dll.

Bagaimanapun dengan dasar yang terbuka dan bersifat muqaranah ketika pengajian di peringkat BA di Jordan, maka penulis diajar untuk menilai setiap aliran yang lain secara ilmu, adil dan beradab. Bermakna apa jua hikmah yg boleh diambil dari aliran lain, maka tiada sebab untuk ianya tidak dimanfaatkan, tetapi hendaklah disesuaikan dengan waqi' dan keadaan setempat, lebih penting hendaklah meraikan aliran arus perdana sedia ada.




Isu buku Muhammad bin Abdul Wahhab


Antara punca tuduhan Wahhabi dikenakan kepada penulis, berpunca daripada satu risalah kecil karangan penulis berjudul Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab (SMAW) ketika menjadi Imam 1 di Masjid Jamik Sultan Abdul Aziz Petaling Jaya. Risalah itu ditulis atas permintaan para jemaah masjid yang ingin mengetahui apakah itu Wahhabi dan asal usulnya. Apa yang cuba penulis sampaikan adalah pandangan yang adil dan sederhana terhadap tokoh yang dikaitkan dengan terasasnya gerakan Wahhabi. Ini langsung tidak bermakna penulis bersetuju dengan uslub dakwah Wahhabiyah yang wujud di negara kita pada hari ini.

Kerana itu, banyak dalam kuliah-kuliah, penulis membetulkan tuduhan-tuduhan keras* pengikut Wahhabi seperti bid’ah tahlil, tidak sampainya bacaan al-Qur’an kepada si mati, wirid selepas solat dan lain-lain. Bagi penulis, mengambil sudut positif yang wujud pada dakwah dan pemikiran SMAW tidak bermakna penulis menerima semua pendekatan yang dibawa oleh beliau.


Perkara ini, dapat dilihat sebagaimana pendekatan yang diambil oleh ramai para ulama Asya’irah muta’akhirin yang memilih tidak berkonfrontasi dengan sejarah dan sumbangan SMAW yang pada hakikatnya telah pun pergi menemui Penciptanya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan Maha Menghakimi atas setiap perbuatan hamba-hamba-Nya. Oleh itu, tidak hairan kita melihat bagaimana para ulama tersebut mengambil sudut positif atas sumbangan yang telah diberikan oleh SMAW.


Antara ulama tersebut adalah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi yang banyak menyentuh tentang jasa dan sumbangan SMAW di dalam kitab-kitab dan tulisan-tulisannya. Contohnya, al-Qaradawi menyebut SMAW (dengan gelaran al-Imam) sebagai antara tokoh muslih yang mengutamakan penyucian aqidah dari perkara khurafat dan syirik di dalam kitabnya “Fi Fiqh al-Awlawiyyat”.


Manakala Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili pula pernah mengarang buku berjudul “Ta’aththur al-Da’awaat al-Islahiyyah al-Islamiyyah bi Da’wah al-Syaikh Muhammad bin Abd al-Wahhab”. Buku ini menyebut tentang sumbangan dan pengaruh dakwah SMAW terhadap gerakan-gerakan pengislahan Islam.


Begitu juga beberapa ulama al-Azhar yang terkenal seperti bekas Syeikh al-Azhar al-marhum Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq dan al-marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali. Antaranya Syeikh Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq menyebut dalam kitabnya “Bayaan linnaas”:

وقد ظهرت في القرن الثامن عشر الميلادي حركة إصلاحية بالجزيرة العربية عرفت باسم "الوهابية" نسبة إلى زعيمها "محمد بن عبد الوهاب" الذي ولد في العيينة من بلاد نجد سنة 1116 هـ "1704 م" الذي توفي في شوال سنة 1206 هـ "1792م" على ما جاء في بعض المصادر...تقوم هذه الدعوة على تنقية الدين من الشوائب عقيدة وسلوكا...
“Bahawa muncul pada kurun ke 18 miladi, satu gerakan islah di Semenanjung Tanah Arab dikenali sebagai Wahhabiyah sempena nama pengasasnya Muhammad bin Abdul Wahhab yang dilahirkan di Uyaynah, Najd pada tahun 1116/1704 yang wafat pada bulan Syawal 1206/1792 seperti yang disebutkan dalam sesetengah rujukan…dakwah ini (beliau) adalah berdasarkan penyucian agama daripada kekotoran aqidah dan akhlak…”.

Syeikh Muhammad al-Ghazali pula menyebut dalam kitabnya “al-Da’wah al-Islamiyyah tastaqbil qarnaha al-khamis ‘asyar” berkenaan dakwah SMAW:

" ومع أننا نعيب على العرب تقاعسهم في خدمة الثقافة الإسلامية الصحيحة إبّان هذه القرون الهامدة من الحكم التركي ، إلا أننا نذكر أن الحركة الوحيدة التي نهض بها العرب لإصلاح العقائد والعبادات ومحو ما شابها من زيغ وانحراف. . نعني حركة الإصلاح التي قام بها محمد بن عبد الوهاب في جزيرة العرب ... "
“Walaupun kita kecewa dengan orang-orang Arab atas kegagalan mereka berkhidmat bagi kebudayaan Islam yang sahih pada ketika kurun-kurun kejatuhan pemerintahan Turki, tetapi kita mengingati bahawa satu-satunya gerakan yang membangunkan orang Arab untuk pengislahan aqidah dan ibadah serta memadamkan apa yang dicemari oleh penyelewengan…kami maksudkan ialah gerakan islah yang dijalankan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab di Semenanjung Tanah Arab”.


Selain itu kita juga boleh melihat sanjungan tinggi yang diberikan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, salah seorang ulama Syam terhadap SMAW. Lebih mengagumkan pujian terhadap SMAW diberikan ketika beliau menulis kitab yang mengkritik beberapa tokoh aliran Wahhabi iaitu Syeikh Nasiruddin al-Albani dan beberapa lagi. Beliau menyebut dalam kitabnya “Kalimaat fi Kasyf Abathil wa Iftiraa’aat” berkenaan SMAW :

فأما الشيخ محمد بن عبدالوهاب رحمه الله تعالى ، فهو إمام الدعوة غير منازع ، وقد كان داعية الى الله تعالى ، وقام بالدعوة بحاله ومقاله وعلمه وقلمه
“Adapun SMAW rahimahullah ta’ala, beliau adalah imam dakwah tanpa ragu, beliau berdakwah menyeru kepada Allah ta’ala, beliau bangkit berdakwah dengan perbuatan, ucapan, ilmu dan tintanya…”


Bagaimanapun, dalam banyak-banyak pendirian ulama Asya’irah terhadap SMAW, pandangan Muhaddith al-Haramayn Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki di dalam kitabnya “Mafahim Yajib an Tusahhah” paling memberi kesan yang mendalam terhadap pendekatan penulis kepada golongan Wahhabi. Kita dapat lihat bagaimana pendekatan yang penuh hikmah dan bijaksana digunakan oleh beliau dalam berhadapan dengan ketaksuban dan kefanatikan golongan Wahhabi terhadap aliran mereka.

Beliau menggunakan pendekatan dengan membersihkan segala tuduhan yang dipalitkan kepada SMAW seperti tuduhan SMAW menolak mazhab, mengkafirkan umat Islam, menolak tawassul dan pelbagai lagi yang dikaitkan dengan SMAW dan menjadi ikutan kepada pengikut Wahhabiyah (inilah yang penulis bentangkan dalam risalah kecil tersebut).

Melalui pembersihan terhadap peribadi, dakwah dan pemikiran SMAW, Syeikh Muhammad ‘Alawi mengajak supaya pengikut aliran Wahhabi berpatah balik dan mengambil pendekatan yang sebenar sebagaimana yang dianjurkan oleh pengasas gerakan mereka, SMAW.

Malah antara ungkapan beliau yang memuji dan menunjukkan tazkiyah beliau terhadap SMAW adalah tulisannya :

وها هو إمام التوحيد ورأس الموحدين يقول : كلمته السديدة بحكمته الرشيدة التي بسببها انتشرت دعوته بين الأنام واشتهرت طريقته عند الخاص والعام

“Dan ini dia imam tauhid dan ketua golongan muwahhidin yang mengungkapkan ucapannya yang benar dengan hikmahnya yang bijaksana yang dengannya tersebar dakwahnya antara manusia dan termasyhur gerakannya di kalangan golongan agama dan awam”.


Ringkasnya, setelah disenaraikan beberapa tokoh ulama besar Asya’irah di atas dan pandangan positif mereka terhadap pengasas gerakan Wahhabi, dapat disimpulkan bahawa; Menyebut dan menyanjung sumbangan seseorang yang berbeza aliran atau mazhab bukan bermakna kita menganut aliran atau mazhab mereka. Adakalanya para ulama ingin menunjukkan sikap tasamuh (toleransi), hormat menghormati dan sangka baik mereka terhadap tokoh-tokoh yang telah meninggal dunia.

Adakalanya juga ia sebagai suatu pendekatan yang berhikmah dalam menyedarkan pengikut aliran tersebut daripada kefanatikan dan ketaksuban yang pada hakikatnya menyalahi pendekatan yang dibawa oleh pengasas aliran mereka sendiri.


Oleh itu, jika dengan pendekatan para ulama Asya’irah ini memuji dan menyanjung seorang tokoh yang berbeza aliran, maka dianggap mereka adalah penganut atau bias aliran tersebut, maka silalah kepada mereka yang dangkal pemikirannya untuk menuduh Syeikh al-Qaradawi, Syeikh Wahbah al-Zuhaili, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki dan ramai lagi seperti Syeikh 'Athiyyah Saqr (mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar), Syeikh Salim Muhammad Salim (Setiausaha Lajnah Fatwa al-Azhar) dll sebagai Wahhabi atau bias Wahhabi. Apa lagi terhadap penulis yang teramat da’if ini…


Sementara itu, Panel Kajian Aqidah Jakim sendiri, sekurangnya-kurangnya telah membentangkan isu Wahhabi sebanyak tiga kali iaitu pada mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-14 pada 21 Mac 2000, mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-20 bertarikh 29 April 2002 dan mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-23 bertarikh 13 Mac 2003. Kesemua mesyuarat telah memutuskan bahawa aqidah yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab tidak bersalahan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi pengikut Wahhabi membesarkan perkara bid’ah dan khilafiah.


Selain itu, ia juga telah dibincangkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Kesemua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan tersebut tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat.


Semua keputusan ini dibuat sebelum penulis mula bertugas di Jakim pada tahun 2005. Bermakna sebarang dakwaan yang mengatakan penulis bertanggungjawab sehingga menyebabkan Wahhabi tidak difatwakan sesat adalah satu pendustaan oleh orang yang menuduh. Kepada Allah jualah penulis serahkan urusan penuduh-penuduh itu.


Penulis sendiri sebenarnya, dalam banyak tulisan, cuba menegur dan menasihati rakan-rakan Salafi agar sentiasa menjaga adab dan disiplin ilmu dalam membahaskan masalah agama.

Antara tulisan-tulisan penulis yang mengkritik tokoh dan gerakan Wahhabi seperti isu tawassul , kritikan Asya'irah terhadap Salafi , pesanan buat pendukung salafi , isu mengintip , kritik mufti perlis , risalah Bahaya Anti Mazhab ,isu Maulidur Rasul , isu bid'ah dan lain-lain.



Tetapi penulis amat faham, gerakan tawhib memang tidak mengira sasarannya, sesiapa sahaja yang dianggap musuh, tetap saja akan diwahabikan.




Demi tawhib sanggup bercakap bohong

Dalam buku "Siapa sebenarnya Wahhabiy" juga mendakwa penulis 'menyusup masuk' ke taklimat MKN berkenaan isu Wahhabi dan dikhuatiri membongkar maklumat sulit berkenaan. Bagi penulis ini adalah tuduhan yang paling menjijikkan daripada seorang bergelar ustaz. Malah penulis yakin, si penuduh yang mengarang buku ini sedia maklum bahawa dia telah menipu dan berbohong kepada para pengikutnya. Tanpa apa-apa bukti, tiba-tiba membuat kenyataan palsu kononnya penulis ‘menyusup masuk’ ke taklimat tersebut sedangkan penulis diminitkan oleh Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim di atas surat jemputan MKN supaya menjadi wakil rasmi Jakim ke taklimat tersebut. Adakah pergi sebagai wakil rasmi dianggap sebagai ‘menyusup masuk’? Kedua, penulis dituduh membocorkan maklumat sulit tersebut kepada pihak media tanpa mengemukakan sebarang bukti. Penulis juga yakin penuduh tahu bahawa dirinya telah berdusta. Jika penuduh bercakap benar, sila laporkan tuduhan tersebut kepada polis supaya siasatan dapat dilakukan.

Oleh sebab itu, dalam blog ini juga penulis telah bersumpah atas nama Allah, bahawa Allah menjadi saksi akan tuduhan pengarang buku ini adalah dusta, palsu dan berniat jahat untuk menjatuhkan integriti penulis sebagai pegawai kerajaan.

Kepada pengarang buku "Siapakah Sebenarnya Wahhabiy", penulis ingatkan beliau dengan hadith-hadith Rasulullah SAW berikut :

Rasulullah SAW bersabda :
كفى بالمرء كذباً أن يحدث بكل ما سمع
Cukuplah seseorang dikatakan berdusta, jika ia menceritakan setiap yang dia dengar (tanpa saringan)". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dan hadith Rasulullah SAW :
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
“Tanda-tanda munafik itu ada tiga: jika bicara berdusta, jika berjanji menyelisihi janjinya, dan jika diberi amanah mengkhianati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Isu Jurnal Penyelidikan Islam

Penulis sebenarnya telah bawakan gambaran yang adil terhadap fahaman Wahhabiyah sesuai dengan keputusan Panel Kajian Aqidah Jakim yang mengatakan Wahhabiyah masih termasuk di kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ), tetapi isu-isu furu’ yang dibangkitkan perlu ditangani. Kerana itu, dalam tulisan jurnal tersebut, penulis cuba bentangkan pro dan kontra aliran Wahhabiyah. Bagaimanapun orang yang tidak berpegang pada keputusan Jakim mengenai Wahhabiyah sememangnya pada awal-awal lagi akan menolak tulisan ini kerana bagi mereka Wahhabiyah adalah sesat lagi menyesatkan dan terkeluar daripada ASWJ, malah sebahagiannya mengatakan terkeluar daripada Islam kerana mereka adalah golongan mujassimah.


Dalam satu artikel lain tentang Wahhabi, penulis sendiri pernah menyebut dengan jelas bahawa "Adapun doktrin yang melampau di dalam aqidah sehingga menjisimkan Allah SWT dengan perkataan-perkataan yang jelas seperti golongan Karramiyyah atau mencaci dan menghina pegangan kepada mazhab adalah dilarang dan terkeluar daripada prinsip Ahli Sunnah Wal-Jamaah". Perkataan penulis ini kemudiannya dinukilkan oleh ramai orang termasuk kalangan mereka yg mewahabikan penulis sendiri.

Untuk mengetahui pendirian lanjut penulis tentang soal tajsim dan mujassimah, sila dengar rakaman kuliah berikut. Klik di sini .


Isu al-Ahbasy

Berkenaan isu al-Ahbasy, pengarang buku mendakwa kononnya penulis telah menuduh dan menjaja ke sana ke mari bahawa Syeikh Abdullah al-Harari dan jemaahnya sebagai sesat. Seingat penulis, ketika kali pertama kertas kajian tentang al-Ahbasy dibentangkan dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jakim (PKA) kali ke-36 pada 15 November 2007, penulis sendiri telah menulis dalam kesimpulan kertas itu bahawa kumpulan al-Ahbasy dan yang sealiran dengannya adalah termasuk ke dalam golongan ASWJ kerana mereka beraliran Asya’irah dalam aqidah dan bermazhab Syafi’i dalam fiqh**. Apa yang ditolak adalah dasar beragama yang ekstrim sehingga mengkafirkan golongan yang tidak sependapat.


Isu Ahbasy sekali lagi dibentangkan dalam mesyuarat PKA kali ke-41 pada 8-10 Disember 2010 setelah satu kajian dibuat oleh penulis dan dua orang ahli PKA di Lubnan.

Hasil kajian memutuskan bahawa, m
etodologi dakwah Syeikh Abdullah al-Harari dan Jam’iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah serta yang sealiran dengannya berkemungkinan hanya sesuai dengan waqi’ setempat di Lubnan tetapi ia tidak sesuai untuk digunapakai di negara ini.

Walaupun dalam kajian tersebut, penulis dan ahli PKA telah mendengar kritikan yang sangat negatif terhadap Syeikh Abdullah al-Harari dan jemaah al-Ahbasy ketika menemuramah Prof. Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi, bagaimanapun kritikan itu diabaikan kerana ingin berlaku adil kepada al-marhum Syeikh Abdullah dan pengikutnya.


Jika penulis berniat jahat terhadap jemaah al-Ahbasy, mungkin boleh sahaja penulis sebarkan rakaman video temuramah bersama al-Buti itu yang sememangnya amat keras terhadap al-Harari dan jemaahnya. Malah penulis boleh sifatkan kritikan al-Buti terhadap al-Ahbasy jauh lebih keras berbanding kritikannya terhadap Wahhabiyah.


Oleh itu, tuduhan pengarang bahawa penulis menjaja ke sana ke mari kononnya jemaah al-Ahbasy adalah sesat hanyalah rekayasa beliau sendiri untuk mengambarkan seolah-olah penulis seorang Wahhabi tegar yang gemar menuduh orang secara membuta tuli.



Hentikan gerakan tawhib (mewahabikan orang)


Penulis melihat kebelakangan ini, wujud kecenderungan yang melampau untuk mewahabikan orang itu dan orang ini. Apakah sebenarnya faedah daripada gerakan ini?

Jika itu dikatakan dakwah ASWJ, ia sudah tentu batil kerana tujuan dakwah ASWJ adalah untuk mendekatkan diri seorang da'i kepada mad'u-nya, bukan menjauhkan atau menjatuhkan maruah orang lain dengan tuduhan-tuduhan dan label-label tertentu.

Gerakan ini seolah-olah ingin mengatakan sesiapa sahaja yang mempunyai apa-apa kaitan (dalam apa jua bentuk) dengan ulama kerajaan Saudi, universiti di Saudi, tokoh-tokoh Salafi seperti Muhammad b. Abdul Wahhab, Ibn Kathir, Ibn Qayyim, Ibn Taimiyyah dll maka dijangkiti virus Wahhabi, bahaya dan boleh membawa kepada keganasan.


Bagi penulis, ini bukan pendekatan yang digunakan oleh para ulama Sunni yang soleh dan ikhlas dalam berdakwah.

Kita boleh lihat bagaimana institusi Sunni (Asya'irah-Maturidiyyah) terkemuka dunia, Universiti al-Azhar dan seluruh para ulamanya menangani isu Salafiyyah/Wahhabiyyah dengan penuh hikmah dan bijaksana bukan secara membuta tuli, tuduh menuduh, fitnah memfitnah seperti sikap sesetengah pendakwah sunni di negara ini. Pengajaran ketika penulis berkursus di Masyiyakhah al-Azhar sangat bermanfaat dan menginsafkan dalam hal ini.



Soalnya, jika kegelojohan mentawhibkan orang ini terus berleluasa, siapa yang untung?

Ye, bukan Ahli Sunnah yg untung sebaliknya tentulah golongan seperti Syiah dan ajaran sesat lain yg untung. Ingat! Bagi puak Syiah, lagi ramai ustaz-ustaz yang berjaya diwahabikan, makin berjayalah gerakan mereka...


Wallahu a'lam.

Khamis, 8 sept 2011
Link

No comments:

Post a Comment