Pages

Saturday, February 11, 2012

Lihatlah Betapa Ramainya Manusia yang dikeluarkan oleh ALLAH dari Neraka..!


Potongan hadis riwayat Al Hafiz Abu Ya'la Al Mushili yang dinukil oleh Ibn Katsir di dalam kitabnya Bidayah Wan Nihayah, dari Abu Hurairah RA :

Rasulullah SAW bersabda :

" Apabila semua penghuni nereka telah masuk, maka masuklah ke sana makhluk-makhluk Tuhanmu yang lain, yang celaka disebabkan perbuatan mereka.

Di antara mereka ada yang terbakar, api hanya sampai ke tapak kakinya sahaja, tidak lebih. Ada yang sampai ke perutnya. Ada pula yang sampai ke sekujur tubuhnya, kecuali wajahnya, kerana Allah SWT telah mengharamkan api membakar rupa orang itu. "Rasulullah bersabda : " Aku berkata Ya Tuhanku, terimalah syafaatku terhadap umatku yang masuk neraka. " Allah pun berfirman : " Keluarkan orang-orang yang kamu kenal. " Lalu keluarlah mereka sehingga tidak ada seorang pun yang tertinggal.

Kemudian Allah mengizinkan lagi kepadaku untuk mengajukan syafaat, sehingga tidak ada seorang Nabi atau seorang syahid pun melainkan dapat pula memberi syafaat ( untuk orang lain ). Allah SWT berfirman : " Keluarkan olehmu sesiapa sahaja yang kamu dapati iman dalam hatinya, walau hanya seberat satu dinar sekali pun." Maka mereka pun keluar, sampai tidak ada yang tertinggal.

Kemudian Allah SWT menerima pula syafaat dari yang lain seraya firmanNya :

" Keluarkan olehmu orang yang kamu dapati iman dalam hatinya seberat dua pertiga dinar." Kemudian berfirman : " Dan sepertiga dinar."

Kemudian berfirman " Satu qirat." Kemudia berfirman : " Sebutir biji sawi . " Setiap daripada mereka pun keluar, sehingga tidak ada yang tertinggal.

Akhirnya tidak tertinggal lagi dalam neraka orang yang pernah melakukan kebaikan apa pun kerana Allah SWT, dan tidak ada seorang pun yang patut memberi syafaat melainkan diterima syafaatnya. Bahkan sampai Iblis sempat menjulur-julurkan dirinya, ketika melihat betapa besar rahmat Allah SWT, dengan harapan akan dapat pula memperoleh syafaat.

Kemudian Allah SWT berfirman: " Kini tinggal Aku, sedang Aku adalah yang maha pengasih di antara mereka yang pengasih." Dimasukkan-Nya tangan-Nya ke dalam Jahannam lalu dikeluarkan dari neraka itu sekian ramai orang, yang tidak diketahui entah berapa jumlahnya selain Allah SWT sendiri. Mereka bagai biji-bijian.

Allah SWT kemudian menaburkan mereka ke sungai yang disebut " Nahr Al-Hayawan " ( sungai kehidupan ). Di sana mereka tumbuh bagaikan biji-biji yang tumbuh di antara sampah-sampah yang dibawa arus sungai. Yang terkena sinar matahari yang berwarna hijau. dan yang tertutup bayangan berwarna kuning.

Mereka terus tumbuh, sehingga menjadi seperti mutiara. Pada leher mereka tertulis : " Bekas Penghuni Jahannam Yang Dibebaskan oleh Allah Yang Maha Rahman."

Mereka dikenali oleh penghuni syurga yang lain dengan adanya tulisan itu. Mereka dahulunya sama sekali tidak pernah beramal kebaikan kerana Allah SWT namun demikian mereka tinggal dalam syurga.

[ Potongan hadis yang panjang di dalam Bidayah Wan Nihayah oleh Ibn Katsir yang diambil di dalam Kitab Huru Hara Hari Kiamat ( sub bab dalam Bidayah ) , m/s 201-201, cetakan Al Hidayah ]

_______________________________________________________________________________

Nota untuk penuntut ilmu :

Ibn Katsir menyebut bahawa hadis ini diriwayatkan juga di dalam Tafsir Al Thabari oleh Ibn Jarir, At Thabrani dalam Muthawwalatnya, Al Baihaqi dalam Al Ba'tsu wa An-Nusyur, dan Abu Musa Al Madini dalam Muthawwalatnya dari pelbagai jalur sanad dari Ismail Bin Rafi'.

Namun setelah saya semak Ismail Bin Rafi' ini dikatakan dhaif oleh sebahagian muhaddisin seperti Tirimizi, Ahmad, Ibn Majah, Yahya Bin Ma'in, dan Ad Daruquthni.

Namun Al Bukhari mengatakan " ia orang yang thiqah ( jujur ) dan mendekati benar " seperti yang dikatakan telah disebut oleh Ibn Qayyim dalam bukunya " Temasya Ke Syurga ".

Mungkin ada ilmuan lain yang boleh memberi komentar tentang kedudukan Ismail bin Rafi'. Saya berpandangan kalaulah Ismail Bin Rafi' itu dhaif, namun ia tidak membawa hadis ini ke darjat terlalu dhaif kerana beliau dibela oleh ahli hadis yang lain seperti Al Bukhari. Isi kisah di dalam hadis ini juga boleh dikuatkan dengan hadis-hadis sahih dan hassan lain yang mempunyai makna khabar yang seakan-akan sama jika ianya dikumpulkan. Wallahua'lam.

by Muhammad Nasri on Friday, February 10, 2012

No comments:

Post a Comment