Pages

Saturday, April 21, 2012

Taqwa Bentuk Akhlak Mulia





BARU-BARU ini agama sudah menjadi sumber yang paling menonjol untuk menyelesaikan masalah masyarakat di dalam negara. Ia menjadi rujukan untuk membentuk akhlak, sikap dan nilai-nilai murni.
Tanda-tandanya sungguh banyak. Orang yang solat di masjid semakin ramai, pertumbuhan ekonomi berasaskan syarak makin diperkenalkan dan diamalkan, ramai wanita yang mula bertudung dan menutupi tubuh mereka dengan pakaian yang syarie dan masih banyak lagi yang tidak mungkin mampu dicatatkan di sini.
Tidak kira masa, zaman dan keadaan, ketakwaan harus dipelihara. Sabda baginda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Mu’adz bin Jabal r.a:
“Bertakwalah kamu kepada Allah walaupun di mana juga kamu berada, iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti (akhlak) yang baik.” (Riwayat Imam at-Tirmidzi)
Sekali lagi, hari ini perkataan takwa sudah dicemari. Dicemari dengan tafsiran dan diertikan dengan makna yang salah dan yang menyimpang. Takwa adalah sebuah konsep yang besar di dalam Islam.
Ia membentuk cara berinteraksi atau membina hubungan antara manusia dengan Tuhannya dan manusia dengan makhluk yang lain baik manusia, haiwan dan tumbuhan.
Erti takwa yang sebenar ialah melahirkan perasaan takut kepada Allah SWT hingga menjadikan kita orang yang senang beramal dengan perintah Allah.
Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab perihal makna takwa. Ubay berkata, “Bukankah engkau pernah melintasi jalan yang berduri? Jawab Umar, “Betul”. Ubay bertanya kembali, “Apa yang engkau lakukan ketika sedang melintasi jalan yang berduri itu? Jawab Umar, “Berhati-hati”, sahut Ubay “Itulah takwa”.
Takwa memberikan perasaan takut yang lahir dari hati seorang insan secara terus-menerus dan penuh berhati-hati. Berwaspada sepanjang masa daripada duri perjalanan kehidupan, duri syahwat (nafsu) dan syubhat (penyelewengan).
Ketakwaan seorang hamba kepada Tuhannya adalah dengan meletakkan perisai pelindung antara dia dengan azab dan kemurkaan daripada Allah.
Caranya bagaimana? Sudah tentu melalui cara yang syarie, yang mana Allah ajarkan kepada rasul-Nya, iaitu mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Takwa adalah kalimat dan seruan rasul yang pernah diutuskan oleh Allah daripada zaman-berzaman hinggakan ketika usia Rasulullah berbaki beberapa hari sebelum rohnya dicabut oleh malaikat, baginda masih menyeru untuk bertakwa.
Wasiat yang beliau tinggalkan di dalam hadis Irbadh bin Sariyah yang berbunyi:
“Aku wasiatkan kamu semua supaya bertakwa kepada Allah. Mendengar dan taat kepada walaupun kamu diperintah oleh seorang hamba Habsyi.” (Riwayat Imam at-Tirmidzi)
Allah berfirman kepada utusan-Nya agar risalah takwa ini dikumandangkan dan menjadikan Dia sebagai Tuhan yang tiada sekutu dalam kepemilikan dan penyembahan.
“Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku.” (Surah al-Mukminun ayat 51-52)
Tujuan utama takwa adalah untuk membentuk akhlak mulia iaitu faktor penting bagi kekuatan dan keagungan umat. Di dalam sebuah bait syair ada menyebut: “Sesungguhnya nilai suatu umat itu terdapat pada akhlaknya jika akhlak itu hilang, maka hilanglah nilai pada umat itu.” Baik buruk suatu bangsa dan masyarakat, ia tertakluk kepada ketakwaan ahlinya.
Sepatutnya kita sudah mendapat pengajaran daripada peristiwa pemberontakan di negara Arab – Mesir,Libya, Bahrin dan yang terbaru, Syria. Meskipun pemerintah di beberapa negara berkenaan berjaya digulingkan, namun keperitan dan kesedihan masih lagi menghinggapi rakyat hingga saat ini.
Negara porak-peranda, ekonomi menjunam, urus niaga tidak lagi berjalan baik, ada yang hilang nyawa, keluarga, anggota badan dan keamanan untuk beribadah. Akibatnya umat Islam dipecahkan kepada beberapa puak dan kumpulan.
Masing-masing berebut untuk menduduki takhta dan tampuk pemerintahan. Keamanan yang diidamkan sebelum ini, belum lagi bersinar, yang ketara adalah kegelapan dan kesedihan.
Semaklah firman Allah ini: “Jikalau penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A’raf ayat 96)
Wasiat Rasulullah untuk bertakwa dan bersatu di bawah satu pemerintah adalah jalan keluar daripada kemelut ini. Tidak ada ubat yang mujarab melainkan ia datang daripada Allah dan rasul.

Seorang tokoh tabi’in iaitu al-Hasan al-Bashri pernah memberi pesanan takwa kepada umat Islam di zamannya. Ketika itu mereka berdepan dengan gabenor yang zalim bernama al-Hajjaj.
“Sesungguhnya al-Hajjaj adalah seksaan daripada Allah, maka janganlah kamu menolak seksaan Allah dengan tangan kamu. Kewajipan kamu adalah merendahkan diri dan berdoa (kepada Allah).
Kerana sesungguhnya Allah berfirman,
“Dan sesungguhnya Kami menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Tuhan mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.” (Surah al-Mukminun ayat 76)
(Minhajus Sunnah)
Jadi perkara pertama yang perlu dilakukan adalah bertakwa. Siapa yang perlu bertakwa? Tiada siapa yang berkecuali sebenarnya, ia adalah tanggungjawab setiap individu.
Tidak mungkin masalah rasuah, kezaliman dan penindasan akan berlaku jika semua ahli masyarakat bertakwa. Baik pemimpin mahupun rakyat. Kembalilah kepada seruan agama.
Jadilah masyarakat yang bertakwa. Nantikan janji Allah sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah daripada langit dan bumi.
Wallahu a’lam
oleh :Ustaz Fathul Bari Mat Jahya, CEO iLMU
Penulis berkelulusan Sarjana Usuluddin Hadis, Universiti Yarmouk, Jordan
Harian Metro, Jumaat 20 April 2012
Sumber : http://ilmuanmalaysia.com/2012/04/21/taqwa-bentuk-akhlak-mulia/

------------------------------------------

Keutamaan Taqwa dan Akhlak Mulia


Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis, Maksudnya:
“Bertakwalah kamu kepada ALLAH SWT di mana sahaja kamu berada… Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat Imam Tirmidzi, no 1987)

Dalam hadis ini terdapat beberapa faedah penting perlu kita kongsi dan manfaatkan. Salah satu yang utama adalah akhlak mulia. Sabda Rasulullah SAW, “Berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”
Aisyah r.a ketika didatangi para sahabat yang bertanyakan akhlak Nabi SAW berkata, Maksudnya:
“Akhlaknya seperti akhlak al-Quran.” (Riwayat Imam Muslim no. 746)
Di manakah letak duduknya dan kaitan erat antara takwa dan akhlak mulia?. Para sahabat pernah bertanya kepada Nabi,
“Apakah amalan paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga?” Jawab Baginda “Takwa & berakhlak mulia.” Kemudian mereka bertanya tentang perlakuan yang banyak memasukkan seseorang ke dalam neraka. Baginda menjawab; ”kejahatan mulut & kemaluan.” (Riwayat Imam At-Tirmidzi)
Bacalah, lihatlah dan hayatilah al-Quran, nescaya kita akan dapati bagaimana Nabi SAW tampilkan akhlak Baginda melalui wahyu ALLAH SWT yang sangat mulia. Anas bin Malik r.a yang telah bersama-sama dengan Nabi sejak berusia 10 tahun, ketika menceritakan akhlak Nabi SAW berkata, Rasulullah SAW tidak pernah mempersoalkan mengapa engkau lakukan begitu dan mengapa tidak begini tetapi Nabi SAW menerima sahaja apa yang dilakukan oleh Anas. Jika tersalah, Nabi SAW menasihati.
Begitu juga kisah Muawiyah Ibn Al-Hakam As-Sulamy apabila beliau menjawab bersin ketika dalam solat bersama Nabi SAW dan para sahabat memandang ke arah beliau, lalu beliau berkata, “celakalah ibu-ibu kalian”. Setelah selesai solat Rasulullah SAW menasihati beliau dengan berkata, “wahai Muawiyah sesungguhnya solat bukan tempat untuk kamu bercakap, tetapi tempat untuk kamu membaca al-Quran dan tempat kamu bertasbih.”
Berkata Muawiyah,“Nabi SAW tidak mencercaku, tidak pernah memarahiku dan memukulku. Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih baik akhlaknya daripada Nabi SAW sebelum Nabi dan selepas Nabi SAW.” ( riwayat Imam Muslim)
Begitulah sikap Nabi SAW. Begitu juga apabila Nabi melihat seorang Badwi yang membuang air kecil di dalam masjid Nabawi. Para sahabat cuba menerpa dan menghalang lelaki tersebut. Nabi SAW melarang, sebaliknya membiarkan Arab Badwi itu selesai menunaikan hajatnya.
Setelah itu barulah Baginda SAW memanggil Arab badwi tersebut dan menasihatinya, “sesungguhnya masjid bukan tempat menunaikan hajat.” Kemudian Nabi SAW meminta sahabat membawa bekas air lalu Baginda SAW mencurah air tersebut di tempat kotoran tadi. Kisah ini boleh dibaca dalam Sahih Muslim, no. 429.
Lihatlah sikap dan akhlak Baginda SAW. Betapa ALLAH SWT telah memerintahkan kepada Nabi SAW dalam wahyu yang kedua, maksudnya:
“Dan penampilan kamu, sucikanlah ia.” (Surah al-Mudathir, ayat 4)
Para ulama tafsir membahaskan bahawa penampilan yang perlu disucikan merujuk kepada dua; pertama, penampilan takwa iaitu penampilan/pakaian takwa itu adalah sebaik-baik pakaian. Kedua, penampilan diri iaitu akhlak, pakaian dan sebagainya.
Nabi SAW sebelum diutuskan lagi dikenali sebagai seorang yang dimuliakan, bahkan digelar sebagai al-amin. Apatah lagi apabila Baginda dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Syaikh Khumais As-Sa’id menjelaskan kepentingan adab dan akhlak mulia dalam masyarakat:
Gambar ihsan : Galeriniaga
Gambar ihsan : Galeriniaga
“Apabila berbicara tentang pemikiran, kita akan dapati banyaknya perbezaan sesuai dengan perbezaan sumber dan cara memahaminya. Ketika berbicara tentang permasalahan fikah, kita cenderung tenggelam dalam perbezaan mazhab fikah, dan kita banyak berbeza dalam hal yang rajih (pendapat yang kuat) dam marjuh (pendapat yang lemah), pendapat yang muktabar (dianggap sah) dan yang tidak muktabar.
Begitu juga tatkala memerikan masalah akidah, maka pasti tidak akan terlepas daripada perbicaraan kelompok-kelompok, agama, keyakinan, kefasikan, pembid’ahan, atau pengkafiran.
Akan tetapi saat kita mengupas tentang adab dan akhlak, hampir semua akal manusia sepakat mana yang dianggap sebagai akhlak baik, dan mana dianggap akhlak buruk. Ruang perbezaan yang ada sangat kecil, baik dalam kalangan umat Islam sendiri ataupun interaksi dengan orang bukan Islam.
Orang paling mencintaimu akan lari saat kamu berhati batu. Manakala orang yang paling membencimu pasti akan berhukum kepadamu saat kamu bersikap jujur dan terpercaya.” (Lihat: Beginilah Rasulullah Mengajari Kami, oleh Syaikh Khumais Sa’id, ms. 40, Darus Sunnah, Jakarta, cet. 2, 2008).
Sinar Harian, Ahad 22 April 2012.
sumber:http://ilmuanmalaysia.com/2012/04/23/keutamaan-taqwa-dan-akhlak-mulia/

-----------------------------------------------------

No comments:

Post a Comment