IMAN adalah kedua-dua : cahaya dan kekuatan ; dengannya manusia meningkat setinggi-tingginya sehingga mencapai nilai yang melayakkannya ke Syurga. Dengan kegelapan KUFUR, ia jatuh serendah-rendah darjat yang membawanya ke Neraka..
Pages
▼
Wednesday, June 27, 2012
Satu analisis yang adil tentang JT (Jemaah Tabligh)
Harap para ustaz dan ustazah dapat menerangkan sedikit tentang Jemaah Tabligh. Sebagai org yang tidak mendapat pendidikan agama secara formal kadang-kadang saya rasa terkeliru dgn aktiviti mereka. Bukan nak cari salah atau keburukkan tetapi atas dasar kerana saya tidak arif dlm hal-hal agama.
Semoga rakan di islah-net dapat membantu.
Assalamualaikum warahmatullah,
-----------------------------
Setiap jamaah atau aliran memiliki kelebihan dan kekurangan. Ini adalah lumrah kerana yang menganggotainya ialah manusia yang serba tidak bebas drpd kekurangan.
Hemat saya, kebaikan Jamaah Tabligh (singkatan JT) adalah seperti berikut:
[1] Hidup berjamaah dengan satu ikatan yang amat kuat.
[2] Sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang demi mencapai tujuan
mereka.
[3] Berjaya mendisiplinkan diri menjauhi perdebatan yang tidak bermanfaat dalam hal-hal agama yang diperselisihkan.
[4] Satu-satunya jamaah yang memiliki persiapan fizikal untuk turun ke medan jihad peperangan.
Kekurangannya hanya satu:
[1] Mencukupkan diri dengan satu sumber ilmu sahaja, iaitu kitab Fadhail Amal.
Kekurangan ini bagi saya tidak terbatas kepada JT sahaja kerana mana-mana jamaah atau aliran akan membataskan diri mereka kepada satu silibus sahaja. Jamaah tariqat kepada buku-2 Sufi sahaja, jamaah al-Albaniyun kepada buku-2 al-Albani sahaja, jamaah Ikhwan kepada buku-2 Ikhwan sahaja, Syiah dgn buku-2 Syiah sahaja dan demikianlah seterusnya.
Seandainya JT dan juga mana-mana jamaah lain dapat mengubah sikap ini, ia akan membawa manfaat yang besar kepada mereka khususnya dan umat Islam umumnya.
Beberapa fitnah yang biasa dilontarkan kepada JT:
[1] Buku Fadhail Amal (singkatan FA) banyak hadis dhaif dan maudhu.
Jawap: Tuduhan di atas lazim kedengaran tetapi setakat ini belum saya menjumpai sesiapa yang secara khusus mentakhrij hadis-hadis dlm kitab Fadhail Amal. Tanya takhrij yang lengkap, bagaimana mereka tahu di dalamnya ada "banyak" hadis dhaif dan maudhu ?
Sekadar kajian saya, Maulana rahimahullah ketika menyusun kitab FA merujuk hadis-hadis kepada 4 sumber berikut:
[a] Kitab hadis yang enam (al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai & Ibn Majah)
[b] Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri[c] Kitab Majma al-Zawaid oleh al-Haitsami
[d] Kitab Jami al-Shagheir oleh al-Suyuti.
Di dalam kitab FA memang terdapat hadis-hadis dhaif di mana:
[a] Maulana rahimahullah berpegang kepada pendapat jumhur yang membolehkan penggunaan hadis dhaif untuk Fadhail Amal.
[b] Darjat hadis dirujuk beliau kepada apa yang dinilai oleh tokoh-tokoh sepertimana dalam rujukan di atas.
Sikap yang benar di dalam masalah ini ialah memahami manhaj Maulana Zakaria dalam menyusun FA. Jika benar ada "banyak" hadis dhaif, maka itu memang merupakan manhaj beliau sebagaimana manhaj kebanyakan tokoh lain.
Jika benar ada hadis maudhu, maka adakah itu satu kesengajaan oleh Maulana ? Saya pasti tidak pasti.
[2] Buku Fadhail Amal memiliki banyak ajaran kurafat dan bidah.
Jawap: Sekali lagi, siapakah yang telah mentahqiq kitab FA secara lengkap sehingga dapat dikatakan jumlahnya ialah "banyak" ?
Kedua, kurafat dan bidah tersebut - adakah ia sesuatu yang disepakati atau masih ada perbezaan pendapat di dalamnya.
Ketiga, jika ada maka tugas kita ialah membetulkannya dan bukan mengkritik sehingga mengeneralisasikannya kepada seluruh kitab FA.
Keempat, Maulana Zakaria di akhir kitab Fadhail Solat ada menerangkan bahawa sebahagian kisah yang dibawanya itu bersifat "longgar" bertujuan untuk menarik atau menggerunkan hati. Beliau menegaskan ia bukannya hadis. Ini merupakan manhaj yang dipegang oleh sebahagian tokoh terdahulu.
Kelima, kurafat dan bidah adalah masalah yang terdapat di dalam pelbagai aliran, maka kenapa dikhususkannya kepada JT sehingga ditutupi segala kebaikan mereka yang lain ?
[3] JT tidak memiliki ilmu dalam berdakwah.
Jawap: Sekali lagi, siapakah yang memiliki ilmu yang mencukupi untuk berdakwah ? Jika ilmu mereka sudah cukup, kritikan sebegini tidak akan keluar drpd mulut mereka. Jika ilmu belum cukup, maka kenapa sibuk kritik orang lain ?
[4] Keluar 3, 40 hari bukan sunnah.
Jawap: Pada zahirnya, membicarakan hukum dengan istilah "wajib, sunat, harus, makruh, haram" bukan juga sunnah. Akan tetapi ianya diformulakan oleh para fuqaha untuk memudahkan pemahaman orang awam kepada kandungan hukum yang terdapat di dalam dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah.
Membicarakan fiqh dengan 5 istilah tersebut bukan sunnah akan tetapi ia memudahkan orang awam mengambil dan mentaati sunnah.Demikian juga, membataskan keluar berdakwah kepada sekian-sekian hari bulanlah sunnah. Akan tetapi ia hanya satu metode mendisiplinkan ahli JT dalam berdakwah mengikut sunnah. Jika ada ahli JT yang keluar sentiasa ia lebih baik. Memandangkan masing-masing sibuk dengan tanggung jawab lain, digariskan beberapa jumlah hari tertentu bagi memudahkan perancangan dakwah mereka.
Justeru 3 hari, 40 hari bukanlah sunnah akan tetapi ia hanyalah metode yang digunakan bagi mendisiplinkan diri mempraktikkan sunnah untuk berdakwah.
Demikian beberapa poin yang sempat saya ulas saat ini.
Pendek cerita, menjadi kelaziman manusia suka mencari dan membesarkan kekurangan seseorang atau sesuatu kumpulan. Di waktu yang sama mereka mengecilkan apa-apa kelebihan yang ada.
Prinsip yang penting apabila kita mengkaji aliran yang lain ialah berusaha untuk memahaminya dan bukan menjauhinya. Jika kita berusaha memahaminya, kita akan dapat menemui pelbagai kebaikannya. Jika kita berusaha menjauhinya, kita akan dapat menemui pelbagai keburukannya.
Jika ada perbezaan antara manhaj maka hendaklah diselidik, adakah perbezaan tersebut sesuatu yang khilaf atau sepakat. Jika khilaf maka kita bersikap toleran, jika sepakat kita berhikmah untuk membetulkannya. Sebelum melakukan itu semua, kita sendiri perlu ada ilmu untuk menilai antara khilaf dan sepakat.
Jadilah pendakwah, bukan penghukum. Berusahalah membetulkan orang, bukan menyalahkan orang. Ulasan saya di atas tidak khusus kepada JT sahaja tetapi umum kepada sesiapa yang ingin menilai lain-lain jamaah atau aliran seperti Sufism, Salafi, Syiah, Hizbi, Ikhwan dan lain-lain lagi.
Sumber: al-firdaus.com
MasyaAllah, saya benar2 tersentuh dengan tinggi kefahaman saudara dalam memahami keterbukaan terhadap perbezaan dalam. Andai semua orang seperti saudara, insyaAllah ummat ini akan bersatu padu. Saya agak terkedu apabila saudara nyatakan bhw tabligh adalah satu2nya jamaah yg sedia utk mnyahut seruan jihad apabila dilaungkn. Namun ia agak logik juga krn tabligh adlh satunya jemaah yang bergerak worldwide dgn keahlian yang jutaan org Islam dan displin serta ketaatan kpd Amir yang sempurna. Mungkin andai Imam Mahdi muncul utk memimpin jihad, jemaah inilah yang paling layak. Wallahua'lam
ReplyDelete