Pages

Friday, June 15, 2012

Yusof Qardawi & Ikhwanul Muslimin Memerangi Pemerintah Yang Sah



Qaradhawi, Ikhwanul Muslimin dan sikap mereka terhadap pemerintah:


Soalan:
Mengenai fatwa Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, adakah ustaz menolak apa yang beliau sampaikan? Apa pandangan ustaz tentang Ikhwanul Muslimin. Barakallahufeek.
Jawapan:


Saya tidak bersetuju dengan beliau dalam isu-isu berkaitan dengan pemerintahan dan politik. Wallahu-A’lam, minta maaf saya sebutkan bahawa saya melihat dan berpendapat di dalam isu-isu ini ideologi beliau seakan-akan pemikiran khawarij. Erti khawarij di dalam kitab-kitab seperti Al-Milal Wa An-Nihal yang membahaskan perpecahan kelompok yang dikaitkan dengan Islam, tulisan Al-Imam Syahrastani menyebut erti khawarij adalah golongan yang memberontak kepada pemerintah Islam yang sah.
Soal bagaimana pemerintah tersebut naik sama ada melalui demokrasi, rampasan kuasa, pembunuhan atau sebagainya seperti yang dibahaskan oleh Al-Imam Asy-Syathibi dalam Al-Muwafaqat, beliau menyatakan sekiranya pemimpin tersebut naik dengan cara membunuh sekalipun, dan beliau mempunyai kekuatan dan kekuasaan serta diiktiraf maka beliau adalah pemimpin yang sah. Itulah erti khawarij. Bukalah dan bacalah kitab. Jangan sekadar mendengar cakap-cakap orang dan terus menerima tanpa membuat analisa.


Khawarij Duduk dan Bantah

Kemudian dibahagikan khawarij kepada dua jenis. Satu dipanggil khawarij Qa’idiyyah iaitu khawarij yang duduk dan bantah, maksudnya mereka tidak keluar tetapi hanya melakukan provokasi, sebab itu dipanggil Qa’idiyyah.

 Qa’id berasal daripada perkataan qa’ada (duduk). Mereka duduk dan menimbulkan provokasi dan permusuhan,  menanamkan kebencian dalam jiwa rakyat terhadap pemerintah sedangkan ahlus sunnah menanamkan kecintaan dan kasih sayang kepada pemerintah dan hanya membenci kemungkaran. Kalau kamu sayangkan pemerintah dan negara maka doakanlah kebaikan agar pemerintah mendapat petunjuk dan hidayah.

 Mengapa kamu berdoa agar dia pecah perut, mendoakan laknat, kematian dan sebagainya?
Ucapkanlah perkataan-perkataan yang mulia lagi indah kerana begitulah sikap kita kepada saudara se-Islam termasuk pemerintah muslim.

Siapa berani mengeluarkan fatwa bahawa perdana menteri atau UMNO itu kafir?
Siapa berani mengeluarkan fatwa apa hukumnya orang melayu Islam masuk DAP? Tiada siapa berani mengeluarkan fatwa, semua diam.

 Tetapi kalau masuk UMNO akan dicop sekular, kafir. Keluarkanlah fatwa secara ilmiah, bukan secara emosi atau cakap-cakap untuk menimbulkan provokasi, memanaskan suasana yang akhirnya membawa kepada rusuhan dan huru-hara dalam negara.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi duduknya di Qatar, rumahnya besar, indah, berpangkat dan bergaji besar. Beliau membangkitkan semangat rakyat di Mesir yang hidup dalam keadaan miskin, menyatakan syahid bagi orang yang mati dalam demonstrasi dimedantahrir. Adakah ini syahid yang Nabi maksudkan di dalam hadis dan yang Allah maksudkan di dalam Al-Quran? Tidak kena penafsiran dan penjelasannya. Oleh kerana itu di dalam isu ini saya menolak pandangan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

Isu Ikhwanul Muslimin
Ya, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ada hubung kait yang sangat rapat dengan Ikhwanul Muslimin. Bagaimana Ikhwanul Muslimin memainkan peranan yang sangat penting dalam menjatuhkan Hosni Mubarak. Soal menjatuhkan bukan masalah utama, soalnya adalah bagaimana mereka sanggup menggadaikan prinsip-prinsip dan dasar Islam yang mereka perjuangkan selama ini.

Ikhwanul Muslimin puluhan tahun dahulu adalah kelompok, harakah dan gerakan Islam yang pertama memperjuangkan negara Islam, hukum Islam. Tetapi apabila mereka naik pada hari ini apa yang mereka katakan? Mereka mengatakan bahawa mereka tidak akan buat negara Islam. Ini semua retorik.

Ikhwanul Muslimin di Sekolah dan IPT
Gerakan Ikhwanul Muslimin di Malaysia sendiri khususnya sudah masuk ke peringkat sekolah. Di sekolah dan universiti ada modul-modul mereka. Sedangkan yang menyokong kerajaan UMNO kurang diberikan pendedahan dan modul pentarbiyahan, banyak hiburan. Ini yang perlu kita muhasabah. Sebab itu kita perlu perbanyakkan program-program ilmiah selepas ini.

Pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin iaitu Hasan Al-Banna menubuhkan gerakan tersebut atas alasan dan tujuan yang baik iaitu menyatupadukan umat Islam tetapi prinsip gerakan ini dalam beberapa hal bercanggah dengan prinsip dasar ahlus sunnah wal jamaah. Ahlus sunnah meletakkan akidah di peringkat tertinggi dan teratas, sedangkan Ikhwanul Muslimin meletakkan perpaduan mendahului akidah.

Mereka mengumpul seberapa banyak pengikut terlebih dahulu baru mereka akan perbetulkan. Oleh sebab itu Ikhwanul Muslimin boleh bersatu dengan syiah. Majlis Taqrib PAS boleh duduk berbincang mencari persamaan dan persatuan dengan syiah. Tetapi untuk bermuzakarah dengan UMNO mereka menolak walaupun kita telah menawarkannya kepada peringkat tertinggi mereka demi membincangkan kepentingan Islam dan Melayu secara ilmiah dan berhikmah.

Ahlus sunnah berbeza dengan mereka. Ahlus sunnah mendahulukan penyebaran ilmu dan memahamkan akidah kepada masyarakat kerana dengan cara itu secara automatik di mana sahaja kita berada kita akan bersatu di atas pegangan dan prinsip yang sama. Itu beza pendekatan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Ikhwanul Muslimin.

Kesimpulannya gerakan Ikhwanul Muslimin adalah gerakan yang bahaya, membawa ideologi menyimpang jadi kita perlu berhati-hati kerana ideologi yang dibawa seperti semangat membantah, membangkang akan membangkitkan emosi dan kebencian rakyat kepada pemimpin dan pemerintah, sehingga perkara baik pun mereka akan bangkang dan lenyapkan.
Perbuatan dan perwatakan mereka ini saling tidak tumpah seperti apa yang berlaku pada zaman Utsman Ibn Affan RA dan Ali bin Abi Thalib, di mana golongan khawarij pada zaman itu keluar dalam kelompok dengan membawa ayat-ayat Allah SWT serta mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi RA atas alasan sahabat Nabi meninggalkan Islam. Mereka membacakan ayat Al-Quran,
إن الحكم إلا لله
Maksudnya: “Tidak ada ketetapan hukum melainkan hukum Allah.” (surah Al-An’aam, 6: 57)
Lalu mereka menuduh Ali, Muawiyah RA tidak berhukum dengan hukum Allah dalam menyelesaikan permasalahan ummat dan menghukum mereka semua kafir. Kata Ali bin Abi Thalib terhadap mereka, maksudnya:
“Perkataan benar yang kalian sebutkan, tetapi hakikat maksud daripada perkataan kalian adalah satu kebatilan.”
http://ustazfathulbari.wordpress.com/2012/06/14/qaradhawi-ikhwanul-muslimin-dan-sikap-mereka-terhadap-pemerintah/
Juni 14, 2012
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Yusof Qardawi & Ikhwanul Muslimin Memerangi Pemerintah Yang Sah:

 http://www.youtube.com/watch?v=8IE8n4nWvSU



No comments:

Post a Comment