IMAN adalah kedua-dua : cahaya dan kekuatan ; dengannya manusia meningkat setinggi-tingginya sehingga mencapai nilai yang melayakkannya ke Syurga. Dengan kegelapan KUFUR, ia jatuh serendah-rendah darjat yang membawanya ke Neraka..
Pages
▼
Wednesday, July 25, 2012
DIA (ALLAH) Bersama Kamu di Mana Sahaja Kamu Berada
Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang ada di bumi. Tiada perkataan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempat. Dan tiada (perkataan antara) lima orang melainkan Dialah yang keenam. Dan tiada (pula) perkataan antara (jumlah) yang kurang dari itu atau yang lebih banyak melainkan Dia ada bersama mereka di manapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitakan kepada mereka pada Hari Kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu". (QS: Al-Mujadalah, 58:7)
"Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada". (QS. Al-Hadid, 57:4).
Keseluruhan ayat ini sehinggalah ke akhir ayat memperkatakan "Pengetahuan Allah atau ilmuNya" iaitu "Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah Mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi".
Ayat ini dimulakan dengan pengkhabaran bahawa Allah Mengetahui (ilmuNya) tentang apa yang di langit dan apa yang di bumi. Dia Mengetahui bisikan dua orang yang berbisik-bisik atau yang lebih dari dua orang.
Ayat ini diakhiri dengan perkataan tentang ilmu Allah, iaitu firmanNya: "Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu". Ini membuktikan Allah sentiasa bersama kita ilmuNya, bukan zatNya.
1. Imam Ahmad menerangkan: "Dimulakan ayat ini dengan memperkatakan ilmu dan diakhiri juga dengan memperkatakan ilmu".
2. Imam Ahmad menjelaskan: Allah bersama hambaNya ialah yang bersama ilmuNya bukan zatNya",
3. Ibn Jarir dari Ad-Dahak menjelaskan: "Dia (Allah) di atas 'ArasyNya dan yang bersama dengan mereka (manusia) ialah ilmuNya. Bahawasanya Dia menyaksikan mereka dengan ilmuNya dan Dia (Allah) di atas 'ArasyNya".
4. Imam Ibn Katsir menjelaskan: "Oleh kerana yang demikian, telah menceritakan bukan seorang malah secara ijmak atas kesepakatan mereka bahawa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah Allah bersama seseorang ilmuNya".
5. Al-Hafiz Imam Ibn Katsir menjelaskan: "Tidak tersembunyi dari pengetahuanNya segala apapun perkara (urusan) mereka, oleh kerana itu Allah berfirman: Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada Hari Kiamat apa yang mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".
6. Sufiyan At-Tsauri: "Sesungguhnya (yang dimaksud) ayat tersebut ialah Ilmu-Nya sebagaimana yang telah diriwayatkan dari Bukhari".
7. Berkata az-Zahabi: "dari Ma'dan berkata: Aku telah bertanya kepada Sufiyan at-Thauri tentang firman Allah (Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada) beliau berkata: (Yang bersama ialah) IlmuNya".
8. Ibn Jarir menafsirkan: "Dia melihat kamu wahai manusia! Di mana sahaja kamu berada, Dia mengetahui tentang kamu dan mengetahui segala amal kamu.., dan Dia di atas 'ArasyNya dan 'ArasyNya di atas langit yang ke tujuh".
9. Ibnu Katsir: "Dia (Allah) mengawasi kamu, memerhatikan segala perbuatan kamu di mana sahaja kamu berada sama ada di daratan atau di lautan, dimalam hari atau disiangnya, di dalam rumah-rumah kamu atau di luar rumah. Maka segala-galanya itu dalam pengetahuanNya (ilmuNya) tanpa terkecuali. Segala-galanya adalah di bawah penglihatanNya, pendengaranNya, maka Dia mendengar percakapan kamu, melihat kedudukan kamu, mengetahui semua rahsia-rahsia kamu dan bisikan kamu kerana Dia telah berfirman: "Ingatlah, sesungguhnya (orang munafik itu) memalingkan dada mereka untuk menyembunyikan diri daripadanya (Muhammad)! Ingatlah, diwaktu mereka menyelimuti dirinya dengan kain, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka lahirkan! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati".
10. Imam Ibnu Katsir menjelaskan: "Tiada Ilah (yang wajib diibadahi) selain Dia, tiada Tuhan (Pencipta) selain Dia dan telah thabit di dalam hadis sahih bahawa Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam bersabda kepada Jibril semasa ditanya tentang ihsan, baginda bersabda: Hendaklah kamu menyembahNya (Allah) seolah-olah kamu melihatNya dan jika kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat kamu".
Semua keterangan di atas menjelaskan bahawa "Allah Maha Mengetahui" apa sahaja yang dilakukan oleh makhlukNya dan apa yang tersemat di hatinya kerana ilmu Allah bersamanya, bukan zatnya.
"Dan Dialah Allah (yang disembah), baik di langit atau di bumi, Dia mengetahui apa yang kamu lahirkan dan mengetahui apa yang kamu usahakan". (QS. Al-An'am, 6:3).
No comments:
Post a Comment