Pages

Wednesday, July 25, 2012

Mazhab Islam


 Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:

 “Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ianya bukan sesuatu yang wajib seperti yang dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah. Al-Quran dan al-Sunnah tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. 

 Maka tidak menjadi halangan untuk seseorang muslim bebas dari terikat dengan mana-mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa sahaja di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuan sahaja tanpa bertanya orang lain

Inilah jalan para sahabah dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun.

 Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini.

 Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah sesiapa yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang tidak diwajibkan Allah ta’ala. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fekah yang memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu”.( Al-Qaradawi: Dr Yusuf, Kaif Nata’amal Ma’ al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah).


KATA AL-SYEIKH DR WAHBAH AL-ZUHAILI: “Kata majoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafi’i atau selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. 
Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab. Ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan Allah dan RasulNya. Allah dan RasulNya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu. Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan hanya tokoh tertentu, dan bukan yang lain. 
 Firman Allah: (maksudnya): “Maka bertanyalah kamu kepada Ahl al-Zikr jika kamu tidak mengetahui.” Ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabah dan tabi’in tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanya sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja. 
Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) dari mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam, atau mengikut mazhab tertentu dalam semua masalah. 
Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat. Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh.
 Maka jelas dari pendapat ini, bahawa yang paling sahih dan rajih di sisi Ulama Usul al-Fiqh adalah tidak wajib beriltizam dengan mazhab tertentu. Boleh berbeza dengan imam mazhab yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan –seperti yang dijelaskan-.
 Berdasarkan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh mazhab-mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau pendetilannya”. (Al-Zuhaili, Dr Wahbah, al-Rukhas al-Syar’iyyah, m.s. 17-19, Beirut: Dar al-Khair)

No comments:

Post a Comment