Pages

Tuesday, August 21, 2012

Hentikan Polemik Hudud – Siri 1




Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
 
Soalan 1: Wajarkah polemik hudud dihentikan?
Jawapan:
Isu berkaitan hukum hudud ini adalah merupakan suatu kepercayaan iaitu akidah. Menurut Dr. Abdul Wahab Khallaf, Islam itu terbentuk daripada tiga elemen yang besar, iaitu akidah, syariah, dan akhlak. Dan di bawah syariah itu terdapat isu berkaitan ibadah, muamalah, dan sebagainya, dan di bawah muamalah adanya jual beli, nikah kahwin, jenayah. Di bawah jenayah itulah terdapatnya kerangka hudud, ta’zir, qisas, diyat dan seterusnya. Jadi hudud merupakan satu cabang daripada cabang besar di dalam Islam.
Ia bukan satu hal yang boleh dianggap sebagai hal yang kecil. Jadi untuk berbincang, berwacana, berforum, ataupun untuk menganjurkan konvensyen, berbicara secara terbuka tanpa prejudis dan tanpa kecenderungan kepada mana-mana kelompok atau mana-mana pihak, saya kira ini satu hal yang sangat positif.
Akan tetapi apabila ia dijadikan sebagai satu isu untuk menjatuhkan pihak lain dan untuk mengangkat pihak tertentu, saya kira ini suasana yang negatif dan tidak sihat. Kita melihat dari sudut pandangan yang lebih umum, iaitu kita hendak menonjolkan agama melebihi mana-mana kelompok dan parti politik.
Namun apabila sesuatu yang dikaitkan dengan Islam itu dijadikan sebagai batu loncatan untuk mempopularkan golongan atau kelompok tertentu dan dijadikan sebagai batu loncatan untuk mempopularkan golongan tertentu, ini membawa kepada satu permasalahan atau dengan perkataan lain adalah berlakunya conflict of interest.
Jadi kita menyeru kepada pihak-pihak yang ingin mengulas tentang isu yang berkaitan dengan hukum ini, bahkan saya pernah mencadangkan supaya diadakan satu perbincangan yang bersifat antarabangsa iaitu dengan memanggil wakil-wakil daripada luar negara yang telah melaksanakan hukum ini di negara mereka sekian lama, panggil mereka untuk membincangkannya dalam keadaan suasana negara kita yang mengamalkan demokrasi.
Kita perlu melihat di mana ruang-ruang yang boleh dibicarakan dengan mengumpulkan penguatkuasa, pemimpin-pemimpin, serta agamawan-agamawan tanpa mengira parti politik, dan yang paling penting ialah raja-raja yang di bawah mereka ada kekuasaan untuk menentukan isu-isu yang berkaitan dengan agama. Hal ini perlu dibincangkan dan dibicarakan.
Seterusnya kita perlu memberi pendidikan kepada bukan Islam, di mana kalau kita lihat penentangan berlaku daripada pelbagai pihak; sama ada dari pemuda MCA dan juga DAP. Jadi perkara-perkara seperti ini menimbulkan pertembungan. Pertembungan sememangnya telah wujud, namun apa yang paling penting bagi kita sebagai muslim adalah untuk mendidik dan memahamkan mereka.
Mereka adalah orang-orang yang cerdik pandai, bukan orang yang tidak berpelajaran. Jadi sudah semestinya mereka apabila hendak menerima atau menolak sesuatu isu mereka akan membuat analisa. Maka kita perlu minta untuk mereka membicarakan juga isu ini, mereka perlu mendengar penjelasan daripada kita apa itu hukum ini sebelum mereka hendak menerima atau hendak menolak.
Ini tanggungjawab kita sebagai seorang muslim. Saya setuju dengan sebahagian tajuk ini; Hentikan polemik hudud sekiranya ia bertujuan untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu, dan sekiranya ia dibicarakan tanpa batasan. Maksud tanpa batasan ini ialah tanpa batasan-batasan syarak yakni membicarakannya kerana kepentingan. Tetapi sekiranya ia dibicarakan untuk mengangkat dan memuliakan hukum ini, serta untuk memahamkan dan mendidik masyarakat muslim dan bukan muslim, saya kira ia satu hal yang sangat positif. Wallahua’lam.
Soalan 2: Bagaimana pula dengan dakwaan YB Dr. Dzulkefly Ahmad yang mengatakan isu ini dimainkan untuk menjatuhkan parti lawan. Adakah itu yang berlaku di dalam UMNO?
Jawapan:
Saya kira kedua-dua parti ini sama ada Umno mahupun Pas masing-masing menggunakan isu ini sejak dulu lagi. Sebelum kemenangan Pas di Terengganu apabila TG Hj. Abdul Hadi Awang menyatakan secara tegas akan melaksanakan hukum ini sebelum ayam berkokok.
Apabila beliau memegang tampuk pemerintahan di negeri Terengganu beliau menyatakan secara terbuka atas asas maqasid syar’iyah dan fiqhu al-awlawiyat juga atas asas dharuriyat al-khams yang dibicarakan dalam maqasid syar’iyah itu, kata beliau hudud ini adalah 0.0001% daripada hukum Islam.
Jadi sebelum itu Pas mengatakan UMNO tidak mahu melaksanakan hudud dan sebagainya, kemudian apabila Pas mengambil tampuk pemerintahan ini satu peluang bagi Umno dari sudut mileage politik. Saya tidak mengatakan saya menyokong tindakan-tindakan seperti ini. Saya mengatakan daripada pertembungan ini, masing-masing mengambil peluang untuk melihat kelemahan dan kelemahan itu dijadikan sebagai satu senjata untuk menjatuhkan pihak lawan.
Pada hari ini apabila isu itu dibangkitkan kembali, sebenarnya saya kira ianya bermula daripada perdebatan antara saya dengan Ketua Pemuda Pas, apabila saya memberikan contoh yang bersifat umum, saya katakan kita berdepan dengan situasi di mana terdapat kelemahan-kelemahan sama ada dari pihak Umno mahupun Pas, dalam Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat. Kelemahan-kelemahan yang kita hadapi pada hari ini adalah mungkin berkaitan ketidaksetujuan tentang hukum hudud contohnya dari pihak MCA dan DAP yang tidak bersetuju. Kemudian Ustaz Nasruddin Hasan mengatakan saya tidak update maklumat, dan mengatakan bahawa DAP telah berada di ambang persetujuan dan telah berbincang sesama Pakatan di Pulau Pinang. Tidak sampai 24 jam setelah itu Karpal Singh terus menegaskan pendiriannya yang bercanggah dengan kenyataan Nasrudin. Jadi isu ini yang berkembang.
Sebenarnya saya di pentas tersebut berbicara secara terbuka. Saya katakan ini kelemahan yang ada pada Barisan Nasional dan ini juga kelemahan yang ada pada Pakatan Rakyat yang perlu kita akui sebagai seorang muslim yang mukmin, yakni kita perlu melihat kelemahan ini dan perlu memikirkan bagaimana cara untuk kita menyelesaikannya. Wallahua’lam.
Soalan 3: Adakah Ustaz bersetuju dengan kenyataan YB Dr. Zul bahawa Pas komited dengan hukum hudud sejak dahulu?
Jawapan:
Saya bersetuju bahawa Pas komited dengan perjuangan hukum hudud sejak dulu. Tetapi apa yang berlaku akhir-akhir ini, lebih kurang 3-4 kali pilihanraya yang akhir ini, isu hudud seringkali dibangkitkan ketika hampir-hampir pilihanraya.
Tidak kiralah ia dibangkitkan oleh mana-mana pihak dan saya sendiri melihat video YB apabila YB mengulas pada tahun 2011 isu hentikan perbincangan hukum hudud kerana kita ada maslahah yang lebih besar. Teguran YB seingat saya kepada beberapa orang pimpinan PAS yang tidak perlu saya sebut namanya.
Jadi saya bersetuju sekiranya perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar-dasar Islam ini dibicarakan bersama secara ilmiah tanpa ada kepentingan individu atau kelompok, dan di dalam pilihanraya yang akan datang kedua-dua pihak bertanding secara professional.
Untuk isu-isu berkaitan islam kita perlu merentas kepentingan politik. Saya berikan contoh, kami sendiri dari pihak iLMU pernah menganjurkan wacana bersama-sama dengan MCA secara terbuka di tempat mereka, bersama dengan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Dato Sri Dr. Ng Yen Yen dan juga Datuk Dr. Wee Ka Siong pada tahun lalu. Kami telah menceritakan dan berkongsi tentang apa itu hukum Islam.
Saya kira mereka ini orang yang cerdik pandai, cendekiawan, jadi kita mungkin boleh mulakan dengan langkah sedemikian iaitu dengan memberi penerangan dan penjelasan. Namun untuk salah menyalahkan antara satu sama lain, saya kira ianya tidak relevan lagi untuk kita lakukan.
Soal mahkamah syariah yang tertakluk dalam akta 1965, pada hari ini kita melihat usaha menteri agama sekarang, Dato Seri Jamil Khir Baharom untuk memartabatkan mahkamah syariah itu telah bermula. Cuma isunya adalah apabila hal-hal yang berkaitan dengan agama ini tertakluk kepada negeri dan di bawah kuasa raja-raja. Jadi proses perubahan itu mengambil masa.
Contohnya jika dikaitkan dengan isu sebatan kerana minum arak. Sebenarnya, sebatan kerana minum arak ini telah dimaklumkan kepada saya dan mungkin nanti akan diiklankan secara terbuka, yang telah berlaku adalah sebanyak lebih kurang 9 – 10 kes yang telah disebat. Jadi kita bermula secara berperingkat, dan untuk mengubah suatu perlembagaan yang telah digubal semenjak sekian lama untuk tempoh yang singkat saya kira mungkin agak sukar. Ia perlu kepada perpaduan dan penyatuan umat Islam terlebih dahulu, bersepakat dalam hal yang seperti ini maka barulah kita boleh janakan perubahan bersama-sama dan memanfaatkan suasana Islam itu bersama-sama.
Saya tidak menafikan ayat-ayat Al Quran yang dibacakan,
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Ertinya: “Sekali-kali tidak demi Rabbmu, tidaklah mereka beriman hingga mereka menjadikan engkau (Rasul) sebagai penentu keputusan atas segala perselisihan di antara mereka. Kemudian mereka tidak merasa keberatan di dalam diri-diri mereka atas keputusanmu, dan menerimanya dengan sebenar-benar penerimaan.” (surah An-Nisaa, 4: 65)
Jadi hal ini termasuk dalam seluruh aspek kehidupan. Apabila YB menyebut tentang keadilan yang perlu sama-sama kita praktikkan dan laksanakan, saya mungkin menyebut dari perspektif yang lain, yakni dari sudut akidah. Ia bermula dengan kepercayaan, bagaimana kita hendak laksanakan perintah diutuskan rasul itu. Firman Allah di dalam Al Quran,
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولاً أَنِ اعْبُدُوا اللهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
Ertinya: “Dan telah kami utuskan seorang Rasul pada setiap umat (untuk menyeru): ‘Beribadahlah kalian kepada Allah dan jauhilah oleh kalian thaghut’.” (An-Nahl: 36)
Jadi asas seruan Rasul itu adalah kepada akidah yakni tauhid, kerana apabila manusia memiliki asas akidah maka ia akan memberi impak kepada tindakan dan penerimaan setiap satu yang datang di dalam syariat. Jika tidak, sudah semestinya polemik ini akan berterusan. Wallaahua’lam.
Bersambung pada Siri 2.
Teks jawapan disalin dari rakaman Program Bual Bicara Let’s Talk, MOBTV.

Ustaz Fathul Bari mat Jahaya

No comments:

Post a Comment