Pages

Monday, September 17, 2012

Antara musibah, ujian dan sial

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya


 
 


Wujud satu stigma dalam masyarakat yang membuat andaian bahawa jika seseorang itu ditimpa musibah atau kesusahan, ia dikaitkan dengan tuduhan seperti pernah melakukan perkara yang tidak elok. Adakah kesusahan yakni musibah yang Allah berikan itu kerana kesalahan dan dosa kita atau adakah ianya ujian daripada Allah SWT?
Di dalam Islam wujud istilah kaffarah, yakni penghapus dosa. Dalam hadis-hadis Nabi SAW memang Nabi menyebut apabila seseorang ditimpa kesakitan, walaupun terkena duri, dengan terkena duri itu diampunkan dosanya yang lalu. Sabda Nabi, “Tiada seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, kecuali Allah mencatat baginya kebaikan dan menghapus darinya dosa.” (riwayat Imam al-Bukhari)


Amalan penghapus dosa

Maksudnya ia ujian yang Allah SWT berikan sebagai satu kaffarah atau pengampunan. Cuma dosa mana yang diampunkan kita tidak tahu. Kita buat banyak dosa. Selain dari ujian dan musibah ada banyak lagi amalan yang disebutkan oleh Nabi sebagai penghapus dosa. 

Antaranya termasuk berwuduk, sepertimana disebutkan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud;

“Mahukah kalian aku tunjukkan tentang sesuatu amalan yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa, dan mengangkat darjat?” Mereka berkata, “Mahu, wahai Rasulullah!” Baginda bersabda, “Amalan itu adalah menyempurnakan wuduk di waktu yang tidak kamu sukai.” (riwayat Imam Muslim, no.586)

Abul Hasan As-Sindiy rahimahullah menjelaskan amalan-amalan yang terdapat dalam hadith ini,

 “Amalan-amalan ini akan menutup pintu-pintu syaitan dari dirinya, menahan jiwanya dari nafsu syahwatnya, permusuhan jiwa, dan syaitan sebagaimana hal ini tak lagi samar. Inilah jihad besar yang terdapat pada dirinya. Jadi, syaitan adalah musuh yang paling berat baginya”. (lihat; Hasyiyah As-Sindiy ala Sunan An-Nasa’iy, 1/114)

Demikian juga, dosa-dosa kecil boleh diampunkan dengan umrah. Nabi bersabda yang bermaksud,

 “Antara satu umrah ke satu umrah yang lain menghapuskan dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.” (riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Kita menerima dan percaya bahawa ianya sebagai pengampunan dosa tetapi kita tidak mengetahui dosa mana yang diampunkan, yang pasti ia adalah pengampunan dosa-dosa yang kecil.

 Begitu juga dengan hadis Nabi SAW, maksudnya: 
“Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada. Dan susulilah keburukan dengan kebaikan, kerana sesungguhnya kebaikan akan menghapuskan keburukan. Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia. (riwayat Imam Tirmizi dan Imam Ahmad)

Itu juga dalil penghapusan dosa. Para ulama bersepakat bahawa hadis-hadis seperti ini membicarakan tentang pengampunan dosa-dosa yang kecil. Adapun dosa-dosa besar yang telah dilakukan perlu kembali kepada taubat nasuha.


Taubat nasuha

Taubat nasuha tidak ada kriteria tertentu cuma ia merupakan satu taubat yang dinamakan nasuh sebab wujud di sana beberapa syarat seperti melahirkan rasa bersalah dalam diri, memohon pengampunan Allah SWT dan berjanji untuk tidak mengulanginya, serta sudah semestinya dilakukan secara ikhlas kerana Allah SWT dan bukan kerana paksaan. Empat syarat ini merupakan syarat penting dalam seseorang itu hendak bertaubat kepada Allah SWT. Itu yang dipanggil taubat nasuha, bertujuan untuk menghapus dosa besar.

Allah menguji manusia untuk memberi ruang pengampunan dosa bagi hamba-hamba-Nya. Orang sakit memang diampunkan dosanya. Sebab itu Nabi SAW memberikan khabar gembira bagi orang yang sakit. 


Kepercayaan sial

Saya pernah berkhidmat di IJN dan saya melihat masyarakat kita ada yang percaya kepada sial, contohnya mengatakan perkara ini berlaku sebab terlanggar biawak atau sebagainya. Perkara seperti ini dinamakan Ath-Thiarah yakni percaya kepada sial. Kata Nabi di dalam hadis, maksudnya: “Percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada sial itu syirik.” (riwayat Imam Abu Daud)

Perkataan Thiarah itu berasal daripada perkataan at-thair yang bererti burung. Orang arab jahiliyah dahulu sebelum mereka keluar daripada rumah mereka akan melepaskan burung. Mereka mempercayai sekiranya burung itu terbang ke arah kanan bererti nasib pada hari itu baik dan jika burung terbang ke sebelah kiri menunjukkan nasib buruk atau sial dan tidak boleh keluar rumah pada hari itu. Inilah asal kepercayaan kepada sial.

Unsur-unsur seperti ini turut meresap dalam masyarakat melayu seperti kepercayaan melanggar binatang, anjing hitam melintas perlu patah balik dari perjalanan, biawak melintas, kupu-kupu masuk rumah, kemalangan berlaku disebabkan hal-hal seumpama itu, maka dia melihat keburukan yang berlaku kepadanya disebabkan perkara-perkara ini. Ini dinamakan percaya kepada sial dan di dalam Islam ia membawa kepada kesyirikan.

Ini perkara yang serius kerana kita seharusnya beriman bahawasanya Allah SWT menguji dan menentukan baik buruk dalam kehidupan manusia untuk memastikan siapakah di kalangan hamba-Nya yang memiliki amal perbuatan yang terbaik seperti yang Allah sebutkan di dalam surah Al-Mulk, maksudnya:
  “(Dia) Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah di antara kalian yang mempunyai amal yang terbaik.” (Surah Al Mulk, ayat 2)



(Siaran akhbar sinar harian,  Ahad 16 September 2012)



No comments:

Post a Comment