Pages

Friday, September 28, 2012

Politik Islam gaya Rashid al-Ghanoushi vs gaya tradisi


Syaikh Ghanoushi

Baru-baru ini, meletus satu debat yang hangat di Tunisia.Ia meledak ekoran penolakan Hizb an-Nahdhah (HN) terhadap satu desakan aliran Salafiyyah negara itu.

Aliran tersebut mendesak agar Fasal Pertama Perlembagaan Tunisia, dipinda.

Fasal itu menyebut, “Tunisia adalah sebuah negara merdeka dan bebas, bahasanya ialah Arab dan agamanya ialah Islam”.

Pindaan ke atas Fasal Pertama ini mahu diusahakan, bagi memasukkan perkara yang menyebut ‘Syariat Islam adalah sumber perundangan negara’.

Walau bagaimana pun, desakan ini ditolak HN, parti yang menerajui Kerajaan Tunisia ketika ini. Kesudahannya, Fasal Pertama ini kekal seperti sedia ada, tanpa sebarang pindaan.

Secara tersuratnya, sikap HN ini boleh dicatatkan sebagai penolakan sebuah parti Islam yang muktabar, terhadap usaha memertabatkan Syariat Islam. Iaitu dengan cara mengangkat kedudukannya dalam perlembagaan negara ke tahap tertinggi, iaitu selaku sumber perundangan negara!

Justifikasi

Bagi yang terdidik dengan politik Islam yang ‘renggang’ dengan Feqh al-Maslahah, Feqh al-Awlawiyyat, Feqh Iltifat Ila al-Ma’al, Feqh al-Muwazanah dan seumpamanya, penolakan HN ini boleh dengan mudah dilabelkan sebagai tanda kelemahan iman,tidak yakin dengan janji-janji Allah kepada pejuang-pejuang agamaNya, taqiyyah politik dan seumpamanya.

HN disifatkan sebegitu, lantaran ia dilihat mengikut citarasa dan hawa nafsu masyarakat, mengutamakan kuasa politik, takut kehilangan kuasa atau kerusi, tunduk kepada tekanan manusia atau suasana dan sebagainya, sehingga ‘tergamak’ menolak usaha memertabatkan kedudukan Syariat Islam dalam perlembagaan!

Bagi menjustifikasi penolakan HN itu, presidennya, Syaikh Rashid al-Ghanoushi, mengimbau kembali zaman pemerintahan Bourqiba di Tunisia. 

Jelas beliau, sejak dahulu lagi, Perlembagaan Tunisia meletakkan prinsip ‘pengasingan kuasa’ sebagai dasar dan amalan Negara Tunisia.

Namun, realitinya, ketika menjadi presiden, Bourqiba juga mengetuai Majlis Kehakiman Tertinggi Negara!

Perlanggaran terang-terangan terhadap perlembagaan negara, jelas Ghanoushi, turut berlaku di Mesir dan Yaman.Perlembagaan kedua-dua negara ini menyatakan dengan jelas kedudukan Islam sebagai sumber perundangan negara.

Lebih ‘hebat’ lagi ialah Yaman, dimana perlembagaannya menyatakan bahawa Syariat Islam adalah satu-satunya sumber perundangan negara!

Namun, soal Ghanoushi, adakah dengan sebab kedudukan ‘istimewa’ Islam ini dalam perlembagaan Mesir dan Yaman, rakyat kedua-dua buah negara tersebut, bebas daripada perhambaan pemimpin-pemimpin kuku besi?

Jawapannya, sudah tentu tidak.

Pewartaan tidak memadai

Daripada contoh-contoh ini, Ghanoushi menyaring satu rumusan, iaitu kewujudan sesuatu peruntukan, atau fasal dalam perlembagaan semata-mata, tidak memadai dan tidak memberikan makna yang besar.Ini kerana, nadi yang ‘menghidupkan’ sesebuah perlembagaan itu ialah manusia yang melaksanakannya.

Beliau memperkukuhkan lagi kesahihan rumusan ini dengan menyoroti ‘nasib’dustur (perlembagaan) yang paling hebat di dunia, iaitu al-Quran.

Kehebatannya yang agung semata-mata, masih tidak mampu menjelmakan sepenuhnya segala ‘fasal’, ‘peruntukan’ dan ‘artikel’ yang terkandung di dalamnya, di alam realiti.

Kitab suci ini kekal sebagai sekadar dustur semata-mata, tanpa dikuatkuasakan sepenuhnya lantaran manusia tidak mahu berbuat demikian.

Dengan berpijak di atas kesedaran ini, HN mengambil sikap menolak desakan yang dikemukakan aliran Salafiyyah itu.

Bagi HN, dalam konteks suasana semasa, tiada faedahnya melayan desakan tersebut. Ini kerana, selain ‘pewartaan Syariat Islam sebagai sumber perundangan negara dalam perlembagaan’,tidak menjamin Syariat Islam akan terlaksana di alam realiti, ia juga akan memecahkan masyarakat Tunisia kepada dua kelompok. Iaitu kelompok yang menyokong pewartaan tersebut, dan kelompok yang menentang.

Tambahan pula, menurut Ghanoushi, undang-undang yang diguna pakai di Tunisia, diceduk daripada Feqh Islam.Ia seperti undang-undang berkaitan akad (kontrak), undang-undang tanah, undang-undang keluarga. Kesemuanya diceduk daripada Feqh Islam, kecuali beberapa aspek tertentu.

Dalam pemikiran Ghonushi, semua fakta ini ‘berganding bahu’ antara satu sama lain dalam membentuk satu kesimpulan, iaitu‘pewartaan Syariat Islam sebagai sumber perundangan negara dalam perlembagaan’, bukan suatu keutamaan atau agenda besar.

Pemikiran tokoh pemikir besar Islam ini jelas tidak seiring dengan pemikiran yang mengangkat ‘memperundangkan hudud (bukannya Syariat Islam)’, sebagai‘perjuangan yang besar’! 

Justeru, HN memutuskan untuk mengekalkan Fasal Pertama perlembagaan seperti sedia ada,kerana pengekalan itu akan mengekalkan kesatuan rakyat Tunisia.

Hal ini demikian kerana, menurut Ghanoushi, seluruh rakyat Tunisia bersepakat menerima peruntukan sedia ada Fasal Pertama tersebut, yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

Dari sini Ghanoushi mengatakan, “oleh itu, kami tidak mahu memecahkan masyarakat Tunisia menjadi dua kelompok, ‘kelompok Syariat’ dan ‘kelompok Islam’, sedangkan Islam menyatukan semua [rakyat Tunisia]”.

Kata-kata Ghanoushi ini diolah oleh wartawan onsilam.net dan dicatatkan sebagai “Syaikh Rashid Ghanoushi : ‘Syariat’ memecahkan rakyat Tunisia, Islam menyatukan mereka”.(Rujuk : islamonline.net)

Yang dimaksudkan dengan ‘kelompok Syariat’ ialah pihak yang mahu mewartakannya dalam perlembagaan sebagai sumber perundangan negara.

Manakala ‘kelompok Islam’pula, ialah kumpulan yang mahu mengekalkan peruntukan sedia ada Fasal Pertama perlembagaan, iaitu Islam sebagai agama rasmi Negara Tunisia, tanpa sebarang penambahan.

Feqhul Waqi’ & Feqhul Muwazanah

Penjelasan Ghanoushi ini mengirim mesej yang jelas, bahawa penolakan HN terhadap usaha ‘memertabatkan kedudukan Syariat Islam dalam perlembagaan’, adalah didasarkan kepada Feqhul Waqi’ dan Feqhul Muwazanah.

Ia bukannya didorong oleh kebimbangan hawa nafsu akan kehilangan kuasa politik, tunduk kepada hawa nafsu manusia yang menolak pemertabatan Syariat Islam, lemah iman,tidak percaya kepada janji-janji Allah kepada pejuang-pejuang agamaNya, taqiyyah politik dan seumpamanya.

Waqi’(realiti) yang ‘tercegat’ di depan mata membentangkan dengan jelas, bahawa ‘pewartaan Syariat Islam selaku sumber perundangan negara dalam perlembagaan’, tidak memadai dalam menjelmakan undang-undang dalam bentuk perlaksanaan di alam realiti.

Feqhul muwazanah pula memberi ‘arahan’, agar ditimbang aspek maslahah dan mafsadah yang bakal terhasil daripada pewartaan itu, sebelum pewartaan dilakukan.

Pewartaan itu akan menghasilkan maslahah, iaitu dari segi membuka jalan kepada perlaksanaan Syariat Islam. Namun, dalam masa sama, ia juga akan mengundang mafsadah, iaitu keterungkaian kesatuan rakyat Tunisia.

Bagi HN, mafsadah yang bakal ‘membiak’ dan ‘menular’ daripada pewartaan ini, lebih besar berbanding maslahah yang bakal ‘berputik’.

Justeru, bagi mengelakkan mafsadah yang lebih besar, iaitu perpecahan di kalangan rakyat Tunisia, HN memutuskan untuk menolak cadangan ‘pewartaan Syariat Islam sebagai sumber perundangan Tunisia dalam perlembagaan’.

Besar kemungkinan, HN antara lain, berpandukan ayat dalam surah Taha dalam membuat keputusan ini.
Ayat tersebut memperihalkan kemarahan Nabi Musa a.s terhadap Nabi Harun a.s. 

Ia ekoran sikap Nabi Harun a.s yang tidak menegah Bani Israel menyembah patung lembu ciptaan Samiri sepeninggalan Nabi Musa a.s.

Nabi Harun menjawab, beliau bertindak demikian bagi mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan Bani Israel. Berpandukan ayat-ayat surah Taha ini, alasan ini diterima oleh Nabi Musa a.s.

Kisah ini dirakamkan dalam firman Allah yang berbunyi :(Taha :92-94) :

قَالَ يَـٰهَـٰرُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوٓا۟ ﴿92﴾ أَلَّا تَتَّبِعَنِ ۖ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِى ﴿93﴾ قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِى وَلَا بِرَأْسِىٓ ۖ إِنِّى خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِىٓ إِسْرَ‌ٰٓءِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِى ﴿94﴾

Maksudnya : Sekembalinya, Nabi Musa berkata: “wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka telah sesat. Apakah engkau tidak mengikut aku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”.

Nabi Harun menjawab:“wahai anak ibuku! Janganlah engkau merenggut janggutku, dan janganlah menarik rambut kepalaku.

Sesungguhnya, aku takut bahawa engkau akan berkata:“Engkau telah memecah belahkan Bani Israil, dan engkau tidak mengambil berat pesananku”.

Sunnah & Feqhul Muwazanah

Sorotan ke atas sunnah Rasulullah s.a.w memperlihatkan,Baginda juga bertindak berasaskan Feqhul Muwazanah.

Antara contohnya, sikap Baginda s.a.w terhadap orang-orang munafik.

Dalam sahih Muslim dinyatakan, Baginda s.a.w tidak bertindak membunuh mereka, demi mengelak mafsadah yang lebih besar, iaitu salah faham masyarakat terhadap Baginda, iaitu Baginda membunuh sahabatnya sendiri!

Jabir Ibn Abdullah r.a meriwayatkan :

أتى رجل رسول الله صلى الله عليه وسلم بالجعرانة منصرفه من حنين وفي ثوب بلال فضة ورسول الله صلى الله عليه وسلم يقبض منها يعطي الناس فقال : "يا محمد اعدل!". قال : "ويلك! ومن يعدل إذا لم أكن أعدل، لقد خبتُ وخسرتُ إن لم أكن أعدل!". فقال عمر بن الخطاب رضي الله عنه : "دعني يا رسول الله! فأقتل هذا المنافق!". فقال : "معاذ الله أن يتحدث الناس أني أقتل أصحابي..."

Terjemahan : Seorang lelaki datang [menemui] Rasulllah s.a.w di Ja’ranah sekembalinya [Baginda saw] dari Hunain dan [pada waktu itu] terdapat [kepingan-kepingan] perak dalam baju Bilal r.a, sambil Rasulullah s.a.w menggenggam [sebahagian] daripadanya [dan] diagih kepada orang ramai.

Lantas [lelaki itu] berkata, “wahai Muhammad, [berlaku] adillah!”. Baginda berkata, “malang sungguh engkau! Siapakah [lagi yang mampu berlaku] adil, kalau aku [sendiri] tidak [berlaku] adil? Sesungguhnya, kecewa dan rugilah aku andai aku tidak [berlaku] adil.

Maka [Syaidina] Umar al-Khattab r.a berkata, “biarkan aku membunuh orang munafik ini, wahai Rasulullah!”.

Lantas Baginda bersabda, “aku berlindung dengan Allah [daripada] orang ramai mengatakan bahawa aku membunuh sahabat-sahabatku[sendiri]”.

Titik tolak

Bertitik tolak daripada Feqhul Muwazanah yang bertaut dengan Feqhul Waqi’ inilah, pada 22 Januari 2011, iaitu 8 hari selepas kejatuhan Ben Ali yang digulingkan pada 14 Januari 2011, Ghanoushi memberikan satu kenyataan kepada sebuah akhbar Jerman, Der Spiegel, bahawa partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia, jika berpeluang memerintah negara itu.

Apa yang menjadi objektif partinya, jelas beliau, ialah membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk sekalipun.

Kepimpinan parti Islam Tunisia itu juga mengumumkan akan berusaha membentuk sebuah masyarakat sekular pelbagai parti, yang menghormati hak-hak manusia! (Rujuk : warisan-semasa)

Tulisan ini tidak bermaksud menyokong segala pendirian dan keputusan politik yang diambil HN. Atau mengajak mana-mana pihak menurut sepenuhnya tindak tanduk parti Islam itu.

Apa yang cuba diangkat oleh artikel ini, adalah tentang keperluan kepada pelbagai jenis feqh dalam melaksanakan Islam, antaranya Feqhul Waqi’ dan juga Feqhul Muwazanah.

Inilah yang dinamakan Feqh al-Tatbeeq al-Syariah al-Islamiyyah!

warisan-semasa.blogspot.com

No comments:

Post a Comment