Pages

Saturday, October 20, 2012

Apabila perbuatan syirik diredhai



Delegasi Pas bersama bishop Sebastian


Tugas Para Nabi Dan Rasul

Untuk apa setiap Nabi dan Rasul diutus kepada setiap umat manusia sejak terciptanya Adam as? Dari belayarnya Nuh as hingga hijrahnya Rasulullah saw: semuanya menegakkan sebuah panji yang sama walaupun zaman mereka berbeza. Telah Allah sebutkan tugas utama setiap Nabi dan Rasul yang Dia utus dalam kitab suci: “Sesungguhnya Kami telah mengutus seorang Rasul pada setiap umat (untuk mengatakan): ‘sembahlah Allah dan jauhilah thoghut” (An Nahl 36).

Renunglah kisah Nabi Muhammad saw. Diusir dari Thaif dengan hujan batu hingga darah mengalir sampai membentuk bekas-bekas tapak kaki. Dipulau oleh masyarakat sehingga terpaksa makan akar kayu. Dikejar dengan kuda saat meninggalkan kampung halaman menuju Yatsrib. Hidupnya dipenuhi pergolakan dan peperangan. Pendek kata tidak ada masa santai seperti kita, jauh sekali punya masa untuk melawat dan kembara, melancong ke sana sini.

Itu belum lagi kita menghitung jumlah sahabat baginda yang gugur dalam medan tempur. Mereka perang melawan orang yang mereka kenali. Ada yang berpedang melawan teman karib dan jiran tetangga, ada yang memanah bapa saudara dan sepupu, malah ada yang menebas leher anak dan bapa sendiri. Bunuh dan terbunuh mereka hanyalah untuk sebuah kata: “Sembahlah Allah, sekali-kali tak ada Ilah bagimu selainNya”. (Al A’raf:59).


Syirik Lambang Kebodohan

Tidak tega hati Nabi membiarkan Allah Ta’ala disekutukan dengan apapun jua. Mendidih hatinya dan bergetar bibirnya saat melihat berhala disujud, manusia dituhankan dan bulan bintang dipuja. Malah kesyirikan adalah sebuah lambang kebodohan dan kehinaan yang paling nyata. Apakah semua makhluk yang dijadikan tuhan oleh kaum musyrikin itu mampu menghidupkan dan mematikan manusia? Pasti tidak! Justeru terbukti syirik itu lambang kebodohan.

Tatkala Nabi sampai di Yatsrib lalu baginda memansuhkan perayaan kaum musyrikin kemudian  Allah menggantikan dengan dua hari raya yang lebih mulia. Nabi mengingatkan kaum Muslimin agar berbeza dengan kaum Musyrikin kerana mereka itu adalah musuh Allah Ta’ala. Murka Allah atas mereka dan setiap hari kita mencela mereka dalam solat.

Sebuah pesan kepada sahabat baginda yang merupakan anak muridnya dan juga teman seperjuangan baginda; “Tidak boleh ada dua agama di Semenanjung Arab” (Al Muwatha’ Imam Malik)

  Sebuah wasiat kepada seluruh umat Islam betapa bencinya Rasulullah saw terhadap kesyirikan. Tidak ada kompromi untuk Allah dihina dan disekutu oleh sesiapa. Namun manusia bukanlah haiwan yang boleh dibuat sesuka hati. Setiap dari jiwa ini memiliki hak termasuk kaum Musyrikin.

Islam mengiktiraf hak dan perjanjian; pencabulan bererti ingkar kepada Allah dan sebuah sikap khianat. Oleh itu Rasulullah saw menjamin kekebalan para duta dari negara kafir. Ketika tiba deligasi yang dikirim oleh Musailamah al Kazzab maka Rasulullah saw berkata: “Sekiranya para utusan boleh dibunuh, pasti aku akan membunuh kalian berdua” (Sunan Ad Darimi). Justeru pembunuhan Duta Amerika di Libya bukanlah ajaran Islam.

Mahupun kebencian atas kesyirikan mendidih dalam hati Rasulullah saw, seorang utusan diplomatik tetap memiliki hak yang Allah tetapkan: menerima layanan yang baik dan pulang membawa hadiah. Sementara itu Rasulullah saw juga akan mengenakan pakaian yang indah dan menawan. Rumah Ramlah binti Al Harith An Najjariyah diubah menjadi tempat bertamu bagi para delegasi, dinamakan sebagai ‘Dar Ad Dhaifan’ (lihat At Tabaqat karya Ibnu Saad)

Nabi menghantar para utusan ke wilayah di sekitar Semenanjung Arab. Negeri yang bersetuju untuk menganut Islam maka seluruh rakyatnya mendapat hak-hak seorang Muslim. Manakala negeri kafir yang enggan menganut Islam maka wajib membayar ufti tahunan berupa 1 dinar emas (anggaran RM600.00) setiap jiwa. Sementara itu negeri kafir yang menentang akan diperang habis-habisan; tawanan dijadikan hamba, harta-benda dirampas, ternakan dipungut dan negeri tersebut akan dijadikan wilayah Islam.


Hukum Bunuh Untuk Murtad

Tawanan Badar yang tidak mahu menganut Islam perlu membayar wang tebusan seanggaran RM 60,000 sehingga RM 240,000 bergantung kepada taraf sosio-ekonomi tawanan jika mereka ingin lepas bebas. Namun sesudah itu turun wahyu menegur Nabi lantaran mengambil wang tebusan, walhal sepatutnya tawanan ini dibunuh semuanya oleh sebab kebanyakan mereka adalah ketua-ketua penentang Islam di kemudian hari. (lihat Al-Anfaal: 67)

Bagi sesiapa yang sudah menerima Islam sebagai agama dan cara hidupnya, dia memiliki hak atas lima perkara (Maslahah Ad Dharuriyah): (1) agama (2) jiwa (3) akal (4) harta (5) kehormatan dan keturunan. Namun seandainya dia murtad dan tetap tidak mahu kembali insaf dan taubat maka kesemua hak ini akan hilang. Pertamanya dia akan dibunuh dan seluruh hartanya akan dirampas oleh kerajaan.

Ketika Muaz Bin Jabal diutus ke Yaman untuk membantu pentadbiran Abu Musa, dia melihat seorang pesalah yang belum dijatuhkan hukuman. Abu Musa datang lalu menyodorkan kusyen kepada Muaz namun Muaz tidak mahu duduk sebaliknya bertanya: “Siapakah orang ini”? Abu Musa menjawab: “Dahulu dia seorang Yahudi lalu memeluk Islam kemudian menjadi Yahudi semula”. Abu Musa berkata lagi: “Duduklah wahai Muaz”. Namun Muaz tetap tidak mahu duduk lalu berkata: “Aku tidak akan duduk sampai dia dihukum mati”. (lihat Musnad Imam Ahmad dan Sahih Bukhari)

Lihatlah bagaimana para sahabat tidak akan bertoleransi dengan isu mempersekutukan Allah. Mereka tidak redha dengan kesyirikan kerana kesyirikan adalah sebesar-besar kezaliman. Allah menyebutkan dalam Al Qur’an: “Janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah sebesar-besar kezaliman” (Luqman : 13)

Kezaliman seorang penguasa yang memakan rasuah wang berbilion, atau memenjara musuh-musuh politiknya  itu masih tidak dapat menyamai kesalahan mengikat seutas benang hitam kepada anak kecil oleh orang tuanya dengan niat menghalau gangguan jin. Makna kata, kesesatan aqidah lebih zalim dari seluruh kemaksiatan. Seorang yang mengatakan bahawa isteri Rasulullah saw itu pelacur seperti Ajaran Syiah Rafidhah, lebih zalim dari penguasa yang tidak menegakkan hudud.


Menerima Penganut Agama Lain

Walaupun Rasulullah saw membenci kaum musyrikin namun baginda membenarkan pengamalan agama tersebut dengan beberapa syarat antaranya adalah lambang agama mereka tidak dipamerkan tatkala mereka keluar dari kampung halaman mereka. Pengamalan agama hanya dibenarkan di kawasan tempat tinggal mereka sahaja.

Manakala ketika Umar membuka Mesir, beliau menetapkan beberapa peraturan yang kemudiannya menjadi hukum Islam terhadap kafir Zimmi. Ini kerana sunnah Khalifah Ar Rasyidin adalah sebahagian dari sumber hukum. Antaranya adalah kafir Zimmi tidak dibenarkan membaca Al Qur’an, namun diperdengarkan kalam Allah kepada mereka. (lihat Majmu’ Fatawa oleh Ibn Taimiyyah). Lebih terlarang jika orang kafir pula yang membacakan ayat-ayat Al Qur’an untuk diperdengarkan kepada kaum Muslimin, atau memberi tazkirah di dalam masjid dan surau.

Begitu juga Rasulullah saw tidak pernah menghantar surat ‘tahniah’ atas sebuah upacara kesyirikan, malah tidak pernah mengunjungi para paderi atau pendeta untuk mengucapkan tahniah diatas perlantikan. Para sahabat dan tabi’in malah seluruh imam kaum muslimin tidak pernah melakukannya juga. Mereka semua tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk seperti ini; ia ibarat sebuah redha kepada mensyirikkan Allah Ta’ala. Jika perbuatan ini baik, pasti Rasulullah saw dan para salaf telah lakukan.

Terbaru tindakan Dr Mujahid Yusuf Rawa yang mengetuai delegasi PAS dalam kunjungan hormat kepada Bishop Diocese Pulau Pinang, Sebastian Francis yang baharu dilantik. Dalam sesi kunjungan PAS ke Katedral Ruh Kudus ini berlakulah sesi bertukar doa antara ulama’ PAS dan ulama’ Kristian. PAS dan Bishop berdoa agar hubungan Islam – Kristian makin erat. Kemudian PAS memberi hadiah buku dan kek “selamat berjaya” kepada Bishop Sebastian. Pendedahan ini boleh diambil dari laman sesawang kumpulan kristian sendiri: Catholic Lawyers Society Malaysia. Semoga Allah melindungi kita dari perbuatan meredhai syirik dan pelakunya.

Rujuk:  http://www.catholiclawyersmalaysia.org/news/pas-makes-courtesy-call-new-penang-bishop

Penulis adalah Pengkaji Perbandingan Mazhab, Tamadun, Falsafah dan Agama dan juga Setiausaha 1 Sekretariat  iLMU

Sila layari ilmuanmalaysia.com, ilmu-islam.com, dan abuaqifstudio.blogspot.com
Siaran akhbar Sabtu 20 Oktober 2012



Ilmuanmalaysia.com/2012/10/21/musibah-apabila-perbuatan-syirik-diredhai/
Mohd Radzi Othman

No comments:

Post a Comment