Pages

Tuesday, October 30, 2012

SOLAT JUMAAT PADA HARI RAYA



SOLAT JUMAAT
PADA HARI RAYA

Jika Eid ( Hari Raya ) jatuh pada hari Jumaat, apakah hukumnya solat Jumaat ? Untuk menjawapnya saya bawakan pandangan Panitya Tetap Pembahasan Ilmiyah dan Fatwa Kerajaan Saudi Arabia. (Ringasannya seperti berikut) :

Terdapat paling kurang lapan riwayat yang sahih tentang kedudukan solat Jumaat bagi sesiapa yang sudah melakukan solat Eid pada paginya. Jika disimpulkan maka dapatlah diambil kesimpulan seperti berikut :

1. Bagi sesiapa yang sudah melakukan solat Eid pada paginya tidak wajib melakukan solat Jumaat dan cukup baginya melakukan solat Zuhur jika masuk waktu Zuhur. Tetapi jika ia ingin juga melakukan Jumaat maka itu adalah lebih afdhal atau lebih baik.

2. Sesiapa yang tidak ikut solat Eid maka tiada rukhsah (keringanan) baginya meninggalkan solat Jumaat. Oleh itu ia wajib pergi segera melakukan solat Jumaat. Dan jika tiada solat Jumaat di kawasannya dan tidak mencukupi bilangan, maka barulah ia melakukan Zuhur.

3. Wajib ke atas imam menghadiri solat Jumaat untuk membolehkan solat Jumaat dilakukan bagi yang luput solat Eid. Kecuali jika bilangtan peserta jumaat tidak mencukupi bilangan maka ketika itu hanya perlu solat Zuhur.

4. Adapun pendapat yang mendakwa bagi sesiapa yang sudah solat Eid, maka TIDAK WAJIB baginya solat Jumaat dan juga tidak wajib baginya solat Zuhur adalah pandangan yang SALAH. Besar kemungkinan tidak sampai kepada mereka hadis dan athar yang sahih dari Nabi dan para sahabat.

Diantara lapan riwayat di atas ialah Hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Sesungguhnya telah berkumpul pada hari kamu ini, Dua Hari Raya (Hari Raya dalam seminggu yakni Jumaat dan Hari Raya dalam satu tahun yakni Eid Al-Fitriy / Eid Al-Adha), barangsiapa yang ingin melakukan solat Jumaat maka hendaklah ia melakukan solat Jumaat.

(HR Ahmad, Abu Daud, Al-Nasai, Ibnu Majah, Al-Daramiy, Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak ; Katanya : Hadis Sahih ; Dipersetuji oleh Al-Dzahabiy dan Imam Al-Nawawiy berkata di dalam kitabnya Al-Majmu' : Sanad hadis ini jayyid (bagus).

Ungkapan : Barangsiapa dalam hadis di atas membawa makna ada rukhsah (kelonggaran) atau hukumnya tidak wajib.

Demikianlah pandangan Panitya Tetap Pembahasan Ilmiyah dan Fatwa Kerajaan Saudi Arabia. Atas nama-nama berikut : Syeikh Bakar Bin Abdullah Abu Zaiyd ; Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Bazz Ali Syeikh ; Syeikh Abdullah Bin Abdul Rahman Al-Ghayyan ; Syeih Saleh Fauzan Al-Fauzan.
-
  by Abdullah Yasin on Friday, October 26, 2012

No comments:

Post a Comment