Pages

Sunday, November 25, 2012

Tawassul - Antara yang Sahih dan yang Batil


Muhammad Asrie bin Sobri 
 

Tawassul adalah antara isu yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan Umat Islam dan sering pula menjadi kekeliruan dalam kalangan umat dan salah faham antara tawassul yang sahih dan tawassul yang batil. Dalam artikel singkat ini, penulis akan membentangkan secara ringkas permasalahan ini supaya menjadi panduan mudah untuk masyarakat awam dalam membezakan antara tawassul yang sahih dan tawassul yang batil.

Perkataan Tawassul adalah masdar daripada kata kerja dalam bahasa Arab: Tawassala-Yatawassalu dan dimaksudkan dengannya adalah: “Mendekatkan diri kepada perkara yang dikehendaki dan berusaha untuk sampai kepadanya dengan penuh pengharapan”. Seseorang yang melakukan amal ketaatan kepada ALLAH s.w.t dalam rangka mendekatkan dirinya kepada ALLAH maka dia dikatakan telah bertawassul kepada ALLAH yakni: “berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNya dengan amalan taat dan soleh”.

ALLAH s.w.t berfirman dalam surah al-Maidah ayat ke-35 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah dan carilah al-Wasilah (yang boleh menyampaikan kepadaNya) (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan. 

Kata Imam Abu Ja’far al-Tabari, maksudnya: “dan carilah kepadaNya al-Wasilah” dalam ayat ini adalah: “dan carilah kedudukan yang dekat kepadaNya dengan kamu beramal dengan amalan yang mendatangkan redhaNya” [Tafsir al-Tabari, 10/290].

Berkata pula Imam Qatadah rahimahullah, maksudnya adalah: “hendaklah kamu mendekatkan diri kepadaNya dengan mentaatiNya dan beramal dengan apa yang mendatangkan redhaNya”

 dan Imam Ibn Katsir rahimahullah menyatakan ia adalah tafsiran yang disepakati atas maknanya seluruh Ulama’ Tafsir. [Tafsir Ibn Katsir, 3/103].

Difahami daripada penjelasan ini maksud Tawassul pada Syarak adalah melakukan amalan-amalan ketaatan yang disyariatkan oleh ALLAH s.w.t dalam rangka mengharap redha ALLAH dan mencapai kedudukan yang dekat di sisiNya.

Diketahui juga bahawa Tawassul adalah Ibadah kepada ALLAH s.w.t maka hendaklah dilakukan dengan Ikhlas yakni ditujukan semata-mata kepada ALLAH jika ditujukan kepada selainNya maka ia adalah Syirik dan hendaklah sesuai dengan Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan kefahaman para Sahabat baginda r.a. jika tidak ia akan menjadi bid’ah yang menyesatkan.

Fokus perbahasan Tawassul dalam kalangan Ahli Ilmu menjurus kepada Tawassul dalam berdoa yakni perkara-perkara yang dijadikan sebagai sebab dan pendekat antara kita dengan ALLAH s.w.t dalam doa kita sehingga doa itu menjadi mustajab dan diqabul (diterima) ALLAH s.w.t.


Tawassul yang sahih

Dalam al-Quran dan as-Sunnah terdapat tiga jenis Tawassul dalam doa yang digalakkan dan dibenarkan bahkan diseru supaya kita beramal dengannya iaitu:

Pertama: Bertawassul kepada ALLAH s.w.t dengan nama-nama ALLAH yang Maha Indah dan sifat-sifat ALLAH yang maha tinggi seperti firman ALLAH s.w.t dalam surah al-A’raf ayat 180 yang bermaksud: “dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya dengan menyebut nama-nama itu…”. Maka kita digalakkan untuk menyeru ALLAH s.w.t dengan nama yang sesuai dan munasabah dengan permohonan kita seperti jika hendak memohon rezeki maka diseru: Ya RAZZAQ, berilah aku rezeki dan seumpamanya.

Kedua: Bertawassul kepada ALLAH s.w.t dengan menyatakan dalam doa kita amal-amal soleh yang kita lakukan dan ini tsabit dalam doa-doa al-Quran antaranya firman ALLAH s.w.t dalam surah Ali Imran ayat ke-53 berkenaan doa kaum Hawariyyin: “Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)”. Pada doa ini terdapat tawassul kepada ALLAH dengan menyatakan keimanan kepada ALLAH dan mutaba’ah (mengikut) Sunnah Rasul.

Ketiga: Bertawassul dengan memohon kepada orang-orang soleh yang masih hidup untuk mendoakan kita dan juga dengan doa saudara se-Islam antara mereka. Tawassul jenis ini adalah apa yang para Sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam r.hum lakukan dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam di mana mereka memohon supaya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mendoakan untuk mereka seperti dalam hadis daripada Anas bin Malik r.a bahawa ketika mana Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sedang berkhutbah maka datang seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, telah musnah kuda-kuda dan kambing-kambing (disebabkan tiada hujan) maka berdoalah kamu kepada ALLAH supaya Dia menurunkan hujan. Maka baginda mengangkat tangan lalu berdoa. [HR al-Bukhari & Muslim].

Demikian juga semasa berlaku musim kemarau di zaman Umar bin al-Khattab r.a beliau telah bertawassul dengan doa al-’Abbas bin Abdul Muttalib r.a untuk memohon hujan kepada ALLAH: Kata Anas bin Malik r.a bahawa Umar bin al-Khattab r.a jika tidak turun hujan maka beliau akan berdoa memohon hujan dengan perantara al-’Abbas bin Abdul Muttalib r.a, beliau berdoa: Ya ALLAH, adalah kami dahulu bertawassul kepadaMu dengan Nabi kamu lalu kamu menurunkan hujan kepda kami, maka sekarang ini kami bertawassul pula kepada kamu dengan bapa saudara Nabi kami maka turunkan kepada kami hujan. Maka mereka pun diturunkan hujan. [HR al-Bukhari].

Tawassul Umar bin al-Khattab r.a dengan al-’Abbas r.a di sini bermaksud Tawassul dengan doa beliau kerana beliau menyatakan dalam doanya bahawa mereka dahulu bertawassul dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan sekarang mereka bertawassul setelah kewafatan Nabi dengan al-Abbas r.a dan dimaklumi dalam hadis yang pertama tawassul mereka kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah dengan memohon baginda berdoa bagi pihak mereka.

Demikian juga dalam riwayat Zubair bin Bakkar bahawa setelah itu al-’Abbas r.a berdoa: “Ya ALLAH, sesungguhnya tidak turun bala’ melainkan disebabkan dosa dan tidak diangkat melainkan dengan Taubat, dan mereka ini telah bermohon kepadaMu melalui aku kerana kedudukanku di sisi Nabi Mu dan inilah tangan-tangan kami menadah kepadaMu dengan penuh dosa dan ubun-ubun kami terserah kepadaMu dengan penuh taubat maka turunkanlah kepada kami hujan”, seraya dengan itu juga hujan diturunkan. [Fathul Bari, 2/497].

Difahami juga daripada Hadis Umar bin al-Khattab ini bahawa Tawassul dengan doa orang soleh itu hanya dengan doa mereka semasa mereka masih hidup, disebabkan itu setelah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam wafat mereka beralih daripada bertawassul dengan doa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam kepada bertawassul dengan doa al-’Abbas r.a.  

Adapun tawassul dengan bermohon kepada ALLAH melalui kedudukan (jah) dan berkat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau orang soleh seperti dikatakan: Ya ALLAH, dengan berkat kemuliaan kedudukan Nabi-Mu di sisiMu…. dan seumpamanya maka ianya tidak tsabit dalam nas-nas hadis yang sahih sama sekali. 

Demikian juga bermohon doa kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau orang soleh atau sesiapa sahaja yang telah mati seperti dikatakan di sisi kubur orang mati: “Wahai wali fulan, doakan untuk kami..” dan seumpamanya maka ini adalah Syirik Akbar (besar) yang menjadikan pelakunya murtad daripada Islam, nauzubillah min zalik.

Penulis adalah Ahli Majlis Syura, Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU)
Siaran akhbar Sabtu 24 November 2012 

No comments:

Post a Comment