Pages

Saturday, December 15, 2012

KEKUATAN antara syarat utama untuk berjihad



Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji

 

Ajaran Islam amat mementingkan ilmu sebelum sesuatu perkara dan amalan  itu hendak dilakukan, kerana tanpa ilmu boleh jadi amalan yang dilakukan tersebut tidak menepati apa yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul. Jika ia tidak menepati ilmu seperti  apa yang diajarkan oleh  Islam maka sesuatu amalan itu menjadi sia-sia dan rugi.

Dalam hal jihad peperangan pun begitu juga, tidak boleh seseorang atau sesebuah  kerajaan itu hendak melancarkan jihad terhadap musuh Allah tanpa apa-apa ilmu yang diperlukan sebelum peperangan itu dilancarkan kerana dikhuatiri matlamat jihad iaitu supaya kalimah Allah itu tinggi gagal setelah jihad itu  dilancarkan.

Hari ini ramai manusia yang melaungkan slogan jihad supaya memerangi musuh Allah tetapi dalam masa yang sama mereka ini tidak mengetahui syarat-syarat dan persediaan yang perlu ditekankan dalam jihad. Jihad bukan perkara kecil dalam Islam bahkan jihad merupakan tuntutan yang besar apabila kekuatan dan persedian telah sempurna. Jihad bukan datang dari laungan emosi tanpa ilmu  tetapi  jihad datang dengan beberapa syarat-syarat yang digariskan oleh Islam.

Antara syarat-syarat jihad yang perlu diperhalusi, yang pertama mestilah ada persediaan kekuatan.“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal : Ayat 60).

Persediaan kekuatan ini ia merujuk kepada 2 aspek penting  iaitu yang pertama kelengkapan persenjataan yang dapat menggerunkan musuh. Tiada kelengkapan persenjataan ini boleh mengakibatkan mudarat kepada tentera-tentera Islam di medan jihad.

Malangnya hari ini tiada satu pun Negara Islam  yang dikenali mampu membuat senjata-senjata yang canggih yang dapat mengerunkan musuh samada kelengkapan senjata darat, udara dan laut. Hakikat yang tidak dapat kita nafikan, semua senjata dan kelengkapan perang ini terpaksa dibeli dari musuh. Mana mungkin musuh yang hendak kita perangi di atas seruan jihad ini menjual  kepada lawannya senjata-senjata yang terbaik.

Seperti kata Nabi saw : “Sesungguhnya ‘Kekuatan’ itu ialah pada balingan (panah dan sebagainya). Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim).

Hadis Nabi ini memberi kefahaman bahawa kekuatan persenjataan balingan dalam peperangan ini membawa maksud jenis senjata yang boleh dilepaskan dari jarak jauh seperti  tombak, panah, machine-guns, kereta kebal, jet pejuang dan peluru berpandu. Jika musuh memiliki semua senjata-senjata jarak jauh ini kita juga sewajarnya memiliki yang setanding dengannya atau lebih lagi bukan bermodalkan lastik dan batu.

Yang kedua mestilah memiliki kekuatan dari bilangan askar atau tentera yang terlatih yang tahu menggunakan senjata, teknik  dan strategi peperangan. Begitu juga jumlah tentera-tentera Islam yang berada di medan jihad tidak boleh kurang separuh dari jumlah tentera musuh. Misalnya, andai kata jumlah tentera  musuh 100,000 orang, tentera Islam tidak boleh kurang dari jumlah 50,000 orang.

Pada zaman Nabi,  Allah mewajibkan jihad walaupun jumlah musuh 10 kali ganda dari tentera Nabi. Allah swt mahu menguji kesabaran para sahabat Nabi saw di atas ketetapan ini. Hal ini seperti firman Allah dalam surah al-anfal ayat 65 yang bermaksud :
“Wahai Nabi, kobarkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu 20 orang yang sabar , nescaya mereka dapat menewaskan 200 orang(dari pihak musuh yang kafir)dan jika di antara kamu 100 orang nescaya mereka dapat menewaskan 1000 orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka yang kafir itu orang-orang yang tidak mengerti”.( Surah al-Anfal : ayat 65)

Namun setelah itu,  Allah meringankan  mereka(sahabat) dan kita yang datang sesudah para sahabat dengan ketetapan  jihad yang tidak membebankan apa yang tidak mampu hambaNya laksanakan. Maka, syarat wajib 10 kali ganda jihad telah Allah kurangkan dengan tidak boleh kurang 2 kali ganda dari tentera musuh seperti rentetan firman Allah swt dalam surah al-anfal ayat 66 yang seterusnya :
“sekarang Allah telah ringankan daripada kamu(apa yang diwajibkan dulu) kerana dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan, oleh itu jika ada di antara kamu 100 orang yang sabar nescaya mereka akan dapat menewaskan 200 orang dan jika ada di antara kamu 1000 orang nescaya mereka dapat menewaskan 2000 orang dengan izin Allah dan ingatlah Allah berserta orang-orang yang sabar”. (Surah al-Anfal : ayat 66)

Syarat yang kedua, seruan jihad peperangan ini hendaklah bersama dengan panji pemerintah Islam yang sah sesebuah Negara. Jika seruan jihad peperangan ini tidak diketuai oleh pemerintah tertinggi maka tidak boleh orang lain selain pemerintah yang menyeru kepada jihad. Jihad tidak boleh dilakukan tanpa izin dari pemerintah dan tidak boleh dilakukan atas keinginan individu-individu atau gerakan yang tidak mendapat mandat dari pemerintah.

Sudah pasti mudarat yang lebih besar akan terjadi. Dalam Islam seruan jihad perlu datang dari pemerintah  bukan selain dari pemerintah  kerana pemrintah lebih mengetahui kemampuan dan strategi yang diperlukan sebelum jihad itu dilancarkan.
Syarat jihad yang ketiga, ia merupakan syarat terpenting setelah ada persedian kekuatan secara fizikal, iaitu kekuatan rohani yang merujuk kepada aqidah Islam yang benar seperti aqidah para sahabat yang tidak syirik kepada Allah atau mempercayai perkara-perkara syirik dan khurafat yang boleh menyebabkan pertolongan Allah itu tidak akan sampai.

Kalaulah kita masih lagi mempercayai sentiasa balingan batu itu akan menjadi letupan bom atau apabila berlaku jihad masih ada kepercayaan yang mana musuh akan tewas dengan pedang-pedang terbang dan ke’keramat’an seseorang wali yang berjihad mampu memancung beratus-beratus musuh dalam satu-satu masa.

Seandainya semua syarat-syarat tersebut terpenuhi maka tiada alasan untuk tidak berjihad. Cuma persoalannya, apakah seruan jihad pada hari ini tanpa terpenuhi syarat-syarat tersebut boleh dikatakan seruan yang berada  di atas landasan ilmu!? Semoga Allah melindungi kita daripada kejahilan sebahagian fatwa yang merosakkan umat.

Nasihat yang boleh disampaikan pada rakyat palestin, rohingya, dan seluruh kaum muslimin  yang tidak mampu berjihad  sebaiknya berhijrah ke Negara Islam yang lain supaya tidak menjadi sembelihan oleh musuh Allah terhadap kalian. Sesungguhnya hijrah juga termasuk sunnah Nabi yang besar apabila tiada kekuatan dan syarat untuk berjihad.

Penulis adalah Ketua biro Pertubuhan Ilmuwan Malaysia (iLMU) berkelulusan Syariah Fiqh dan Usul UM

Credit to :
Ilmuanmalaysia.com/2012/12/15/kekuatan-antara-syarat-utama-untuk-berjihad/

Siaran akhbar Jumaat 14/12/2012

No comments:

Post a Comment