Pages

Sunday, December 9, 2012

Khidmat Bomoh Tolak Hujan?


Khidmat Bomoh Tolak Hujan?
Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun.

Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (konon: meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan dan anggapan supaya tempat diadakan majlis-majlis yang mereka adakan sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar. Ini biasanya banyak dilakukan untuk tujuan majlis-majlis kenduri-kendara perkahwinan (walimatul ‘urus).

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri…” (Surah al-An’am, 6: 59)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
“Sesiapa yang mendatangi seseorang tukang ramal atau dukun, kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, ath-Thabrani, al-Baihaqi, dan al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, al-Haitsami, dan al-Albani)

Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya:
وَلَا نُصَدِّقُ كَاهِنًا وَلَا عَرَّافُا، وَلَا مَنْ يَدَّعِي شَيْئًا يُخَالِفُ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ وَإِجْمَاعَ الْأُمَّةِ
Kami (ahli sunnah wal-jama’ah) tidak mempercayai dukun mahu pun tukang ramal, demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (‘Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, 2/90, Pustaka at-Tibyan)

Sebaliknya berkenaan turunnya hujan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajar kita supaya bersyukur kepada Allah dengan sebab turunnya ia. Ini antaranya sebagaimana kata ‘Aisyah radhiyallhu ‘anha:
“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila melihat hujan turun, beliau pun berkata:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Ya Allah, jadikanlah hujan yang turun ini bermanfaat.” (Shahih al-Bukhari, no. 1032)

Dari hadis ini menunjukkan apabila kita melihat hujan turun, adalah disunnahkan berdoa dengan ucapan Rasulullah tersebut, iaitu:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
“Ya Allah, jadikanlah hujan yang turun ini bermanfaat.” (Shahih al-Bukhari, no. 1032)

Dalam sebuah hadis yang lain, seorang sahabat, iaitu Zaid B. Khalid al-Juhani radhiyallahu ‘anhu berkata:
صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ الصُّبْحِ بِالحُدَيْبِيَةِ عَلَى إِثْرِ سَمَاءٍ كَانَتْ مِنَ اللَّيْلَةِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ، فَقَالَ: «هَلْ تَدْرُونَ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟» قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ” أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِي مُؤْمِنٌ بِي وَكَافِرٌ، فَأَمَّا مَنْ قَالَ: مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ، فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِي كَافِرٌ بِالكَوْكَبِ، وَأَمَّا مَنْ قَالَ: بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا، فَذَلِكَ كَافِرٌ بِي مُؤْمِنٌ بِالكَوْكَبِ
“Kami solat subuh bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di Hudaibiyah, di tempat yang basah kerana bekas hujan yang turun di malam hari. 

 Sebaik selesai solat, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menghadap ke arah para jama’ah lalu berkata:
“Adakah kalian tahu apa yang telah difirmankan Rabb kalian?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”

 Rasulullah pun bersabda:
“Sebahagian dari kaum-ku tetap beriman kepada-ku dan beberapa yang lain menjadi kafir. Mereka yang mengatakan, “Kami diberi hujan kerana anugerah dan rahmat Allah.” maka itu adalah orang yang beriman (kepada Allah) dan kafir terhadap bintang-bintang. Dan ada pun sesiapa yang berkata, “Kami diberi hujan kerana begitu dan begini (bintang itu dan ini).” maka itu adalah orang yang kafir (terhadap Allah), dan beriman dengan bintang-bintang.” (Shahih al-Bukhari, no. 1038)

Berdasarkan hadis ini, maka apabila hujan telah selesai turun, maka disunnahkan agar mengucapkan:
مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ
“Kami diberi hujan kerana anugerah dan rahmat Allah.” (Shahih al-Bukhari, no. 1038)

Iaitu bukan sebaliknya dengan bersikap benci terhadap hujan serta tidak pula menyandarkan turunnya hujan kerana itu dan ini sehingga meramal yang bukan-bukan yang mencemarkan kemurnian aqidah.

Apabila kita bersyukur dengan sesebuah nikmat dan manfaat, nescaya Allah akan menambah nikmat tersebut dan menjadikan keberkahan padanya. Tetapi sebaliknya sekiranya kita mengkufurinya, takut-takutlah nikmat akan tertahan atau ditarik kembali oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala bahkan mungkin ditukar menjadi adzab.

Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.

Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu menceritakan:
“Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Juma’at. Ketika itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang berdiri berkhutbah. Lelaki itu berkata, “Ya Rasulullah, harta benda binasa dan jalan-jalan tertutup (kerana hujan yang tidak henti-henti). Maka berdoalah kepada Allah agar memberhentikan hujan.”

Maka Rasulullah pun mengangkat kedua tangannya lalu berdoa:
اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan ke atas kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, bukit-bukit, di lembah-lembah dan tempat pokok-pokok.”
Maka berhentilah hujan, dan kami pun keluar bersiar-siar di bawah terik matahari.” (Shahih al-Bukhari, no. 1013)

Atau dalam lafaz yang lain, juga riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, doanya adalah:
اللَّهُمَّ عَلَى رُءُوسِ الجِبَالِ وَالآكَامِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
“Ya Allah, turunkanlah hujan tersebut ke puncak-puncak gunung dan bukit-bukit, lembah-lembah, serta tempat pokok-pokok.” (Shahih al-Bukhari, no. 1017. Bab: Berdoa Apabila Jalan-jalan Terputus Kerana Banyaknya Hujan)

Dari hadis ini dapat kita lihat tentang keutamaan doa bagi tujuan memohon sesuatu. Berdasarkan hadis ini, kita juga dibenarkan untuk meminta orang-orang yang benar kesolehannya supaya berdoa kepada Allah agar hujan yang turun berhenti sekaligus kerja-kerja dapat berjalan dengan lancar. Maka, berdoalah sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.



Sebaliknya Rasulullah tidak pernah mengajarkan kepada kita untuk berjumpa dengan tukang-tukang ramal, bomoh, mahupun dukun bagi menilik-nilik hari. Rasulullah juga tidak mengajarkan kepada kita agar bertemu dengan bomoh dan pawang tertentu untuk melakukan ritual-ritual tertentu atau memasang tangkal-tangkal tertentu agar hujan tidak turun pada hari-hari yang dikehendaki.

Jika diteliti baik-baik, amalan berjumpa dengan bomoh atau pawang mahupun dukun-dukun ini, ia sebenarnya termasuk hal-hal yang mencemarkan kemurniaan aqidah Islam. Malah ia mampu merosakkan amal-amal kebaikan yang pernah kita lakukan akibat dari perbuatan syirik berjumpa dan mempercayai tukang-tukang ramal ini.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 88)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah mengigatkan melalui sabdanya:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
“Sesiapa yang mendatangi seseorang tukang ramal atau dukun, kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, ath-Thabrani, al-Baihaqi, dan al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, al-Haitsami, dan al-Albani)
Dalam hadis yang lain walaupun hanya sekadar mendatangi dan bertanya kepada mereka (tukang-tukang ramal), Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menegaskan:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (Shahih Muslim, no. 2230)
Bahkan selain menggunakan khidmat bomoh-bomoh tolak hujan untuk meramal atau menolak hujan, kebanyakan mereka juga biasanya tidak terlepas dari mengamalkan penggunaan tangkal. Mungkin bukan suatu yang asing di sebahagian masyarakat tertentu, sehingga seluar dalam atau pakaian dalam pengantin pun boleh dijadikan sebagai tangkal diletakkan di atas bumbung-bumbung rumah di tempat diadakan majlis-majlis kenduri perkahwinan dengan anggapan kononnya ia adalah sebagai pendinding dan penangkal yang mampu menahan hujan dari turun.
Dan hakikatnya, perbuatan tangkal-tangkalan seperti ini adalah termasuk syirik, tanda lemahnya kefahaman terhadap aqidah yang benar, dan tanda kebodohan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
“Sesungguhnya jampi serapah, tangkal-tangkal, dan tiwalah adalah syirik.” (Musnad Ahmad, no. 3615. Sunan Abu Daud, no. 3883. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Alhamdulillah, isu berkaitan tangkal ini telah penulis bahaskan secara khusus dan terperinci di tulisan yang lain dengan judul “Menilai Kesaktian di Balik Tangkal”. Para pembaca boleh terus merujuk ke sana.
Wallahu a’lam..

 by on December 9, 2012

No comments:

Post a Comment