Pages

Tuesday, January 8, 2013

Imam asy-Syafi'e Wahhabi Kerana Tak Sebut Gelaran 'Sayyidina'?



Imam asy-Syafi'e Wahhabi Kerana Tak Sebut Gelaran 'Sayyidina'?

Fakta: “Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak membaca lafaz ‘Sayyidina’ ketika berselawat ke atas Nabi...”

Penjelasan

Jika demikian takrifan Wahhabi, maka Imam asy-Syafie rahimahullah ialah Wahhabi kerana tidak pernah mengajarkan kepada umat Islam agar membaca lafaz “Saiyyidina” di dalam mana-mana tulisannya yang terkenal, baik kitab al-Umm, kitab al-Risalah mahupun selainnya.

Al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah yang merupakan salah seorang tokoh hadis bermazhab Syafi’e pernah berkata ketika ditanya mengenai perbuatan menambah lafaz “Saiyyidina”, katanya:

“Mengucapkan lafaz-lafaz selawat sebagaimana tersebut dalam riwayat hadis adalah benar. Janganlah sampai ada orang yang mengatakan Nabi tidak menggunakan kata-kata “Sayyid” dalam bacaan selawat hanya disebabkan sikap rendah diri (tawadhuk) sahaja sebagaimana juga tidak layak ketika orang mendengar disebut nama Nabi tidak menyahut dengan ucapan “shallallaahu ‘alaihi wasallam”. Semua orang Islam dianjurkan untuk mengucapkan kata tersebut setiap kali mendengar sebutan nama Nabi.

Saya (Ibnu Hajar) menyatakan bahawa sekiranya benar bahawa ucapan “Sayyid” itu ada (disyariatkan di dalam agama), nescaya disebutkan dalam riwayat dari sahabat radhiallahu ‘anhum dan tabi’in. Akan tetapi, saya (Ibnu Hajar) tidak menemukan adanya riwayat seperti itu dari seorang sahabat atau tabi’in pun, padahal begitu banyak cara bacaan selawat yang diterima dari mereka.

(Malah) asy-Syafi’e rahimahullah sebagai seorang yang paling menghormati Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak menyebutkan (adanya) kata “Sayyidina” dalam awal pembukaan (mukadimah) kitabnya. Padahal (Imam) asy-Syafi’e rahimahullah adalah contoh ikutan para pengikut mazhabnya. Beliau anya menyebutkan (lafaz) “Allahumma shalli ‘ala Muhammad.” [Shifatu Shalati an-Nabiy Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Min at-Takbiri Ila at-Taslim Ka-annaka Taraha karya Syaikh al-Albani, ms. 215-216.]

Sebahagian pihak berpendapat bahawa tidak salah mengucapkan gelaran Sayyidina ke atas Rasulullah, namun hendaklah gelaran itu diucapkan di luar solat. Pendapat ini tertolak dengan dua hujah berikut:

1. Berdasarkan hujah bantahan yang dikemukakan oleh salah seorang tokoh besar bermazhab Syafi’e, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah sebagaimana yang telah dinukilkan di atas.

2. Berdasarkan beberapa hadis Nabi yang melarang umat Islam daripadanya menggelarinya dengan gelaran
Sayyidina, antaranya:

عَنْ مُطَرِّفٍ قَالَ: قَالَ أَبِي انْطَلَقْتُ فِي وَفْدِ بَنِي عَامِرٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْنَا: أَنْتَ سَيِّدُنَا! فَقَالَ: السَّيِّدُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى! قُلْنَا: وَأَفْضَلُنَا فَضْلاً وَأَعْظَمُنَا طَوْلاً. فَقَالَ: قُولُوا بِقَوْلِكُمْ أَوْ بَعْضِ قَوْلِكُمْ وَلاَ يَسْتَجْرِيَنَّكُمْ الشَّيْطَانُ.

Maksudnya: Dari Mutarrrif bin Abdullah radhiallahu‘anhu berkata bahawa ayahnya pernah bersama satu rombongan daripada Bani Amir pergi untuk berjumpa Rasulullah shalallahu‘alaihi wasallam. Apabila mereka tiba, mereka berkata kepada Rasulullah: “Anta Sayyidina’ (Engkau Tuan kami).” (Mendengarkan yang demikian). Rasulullah shalallahu‘alaihi wasallam menjawab: “Tuan kamu ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala!.”
Mereka (Banu Amir) berkata lagi: “Engkau adalah yang paling mulia kemuliaannya dan yang paling besar kemuliaannya.” Rasulullah shalallahu‘alaihi wasallam menjawab: “Berkatalah kamu dengan perkataan itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya!.”
[Shahih Sunan Abu Daud, no. 4806.]

Dalam riwayat yang lain:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا مُحَمَّدُ يَا سَيِّدَنَا وَابْنَ سَيِّدِنَا وَخَيْرَنَا وَابْنَ خَيْرِنَا! فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ! عَلَيْكُمْ بِتَقْوَاكُمْ! وَلاَ يَسْتَهْوِيَنَّكُمْ الشَّيْطَانُ, أَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَاللَّهِ مَا أُحِبُّ أَنْ تَرْفَعُونِي فَوْقَ مَنْزِلَتِي الَّتِي أَنْزَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ.

Maksudnya: Dari Anas bin Malik, berkata seorang lelaki Arab telah datang kepada Rasulullah shalallahu‘alaihi wasallam seraya berkata : “Ya Sayyidina wa ibni Sayyidina”. Rasulullah shalallahu‘alaihi wasallam menjawab: “Wahai manusia! Berkatalah apa yang engkau hendaki, akan tetapi berhati-hatilah kalau-kalau syaitan mempermainkan engkau dan mempengaruhi engkau sehingga menyebabkan engkau melampaui batas! Sesungguhnya aku adalah Muhammad ibnu Abdillah. Dan aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi sedikit pun daripada apa yang telah Allah tentukan bagi aku.” [Musnad Ahmad 3/153, no. 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan.]

Kedua-dua hadis di atas menerangkan bahawa orang yang memanggil baginda dengan gelaran Sayyidina juga berlaku di luar solat. Pun demikian baginda tetap mengingkari perbuatan lelaki tersebut dan memerintahkan agar mereka mengekalkan gelaran Nabi sebagai ‘Abduhu wa Rasuluh (hamba dan pesuruh Allah).
-----------------------------------

Orang yang menjadikan akalnya sebagai dalil agama beralasan "tidak salah kita tambah gelaran 'saiyyidina' sebagai tanda hormat kepada Nabi. Orang yang tidak menyebut gelaran Saiyyidina ialah orang yang biadap kepada baginda." Alasan ini dibantah dengan dua hujah berikut:

1- Sebagai tanda penghormatan kita kepada Nabi ialah, hendaklah kita mengikuti sunnahnya, tidak menokok tambah apa-apa ajarannya serta tidak melanggar segala perintah larangannya. Adapun orang yang menokok tambah ajaran Nabi, seumpama menambah gelaran Saiyyidina dalam selawat, mereka sebenarnya ialah orang yang paling biadap kepada baginda, bahkan juga kepada Allah.

2- Cara menghormati baginda ialah berselawat ke atasnya apabila disebut namanya seumpama dengan lafaz shallallahu 'alaihi wasallam. Inilah cara penghormatan kepada baginda yang diajarkan oleh Allah dan rasul-Nya kepada kita umat Islam.
27Like · ·

No comments:

Post a Comment