Pages

Tuesday, January 15, 2013

Lagi tentang Maulidur Rasul- Kedudukannya dalam Islam dan perbahasannya dari sudurt aqidah(usuluddin) ,UsulFiqah (petnjuk hukun) dan akhlak,Tasawwuf,Rohoni dan pembersihan jiwa

 
 
  Lagi tentang Maulidur Rasul- Kedudukannya dalam Islam dan perbahasannya dari sudurt aqidah(usuluddin) ,UsulFiqah (petnjuk hukun) dan akhlak,Tasawwuf,Rohoni dan pembersihan jiwa
 
Berkenaan dengan masalah Maulud Nabi, sejumlah besar para ulama Islam telah berijtihad bahawa ianya boleh dan tidak menjadi masalah, bahkan mereka memandangnya terpuji dengan syarat-syarat yang ketat. Antara yang berpendapat begini bukanlah calang-calang ulama dalam Islam. Sekiranya diteliti berdasarkan nas-nas al-Qur'an dan as-Sunnah, dan dibandingkan dengan cara mereka memahami amalan Maulud Nabi, alasan-lasan mereka memang boleh diterima.

Persoalan tentang amalan Maulud Nabi ini membabitkan pembahasan tentang 3 perkara yang menjadi teras kepada seluruh ajaran Islam: Pembahasan tentang akidah atau usuluddin, pembahasan tentang kaedah dan adillah (petunjuk-petunjuk) hukum atau dikenal juga sebagai "usul fiqh" dan pemahasan tentang masalah akhlak, kerohanian dan pembersihan jiwa.

1. Adapun pembahasan dari sudut usul agama atau akidah, maka kita menerima amalan Maulud Nabi ini di atas kaedah bahawa ia tidak dii'tiqadkan sebagai perkara ibadat dalam agama yang memiliki "syakal" (bentuk) khas atau kaifiyyah (cara) yang khusus dalam melaksanakannya.

Justeru, kita tidak beri'tiqad (berkeyakinan) bahawa ia memiiliki satu hukum yang ditegaskan oleh dalil-dalil kerana tidak ada walau satu dalil yang menetapkan kewujudannya, mahupun hukumnya dengan perkiraan yang "shariih" (nyata) dan bukannya "ihtimal" (samar-samar).

Kemudian, kita juga tidak beri'tiqad bahawa "matlab" (tujuan dan tuntutan) kepada amalan ini, yakni memperingati Rasul bagi menambah rasa cinta kepada Baginda dalam hati, hanya dilakukan pada satu-satu tarikh tertentu setiap tahun. Sesiapa yang beri'tiqad begini, maka berdasarkan kaedah dalam akidah, dia telah melakukan satu bid'ah dan percaya kepada sesuatu yang bercanggahan dengan apa yang diperintahkan oleh Islam kerana Islam menegaskan kewajiban untuk percaya bahawa Rasul wajib dicintai dan dikasihi sepanjang hidup, tidak "muqayyad" atau "bergantung" kepada tarikh-tarikh tertentu atau tempat-tempat tertentu atau keadaan-keadaan tertentu sahaja.

2. Pembahasan dari sudut kaedah usul pula ialah kita melihat kepada hakikat amalan Maulud itu sendiri dan bagaimana cara ia diamalkan. Pembahasan ini sangat penting bagi memperjelaskan jawapan kepada soalan :

"Sekiranya telah diketahui bahawa tidak ada walau satu dalil yang menetapkan kewujudan amalan ini, mahupun bentuk-bentuk dan kaifiyyahnya dengan perkiraan "shaarih" (jelas), maka bagaimanakah amalan ini boleh dianggap sebagai sebahagian daripada agama? Kerana kita mengetahui kaedah usul Islam bahawa tidak ada amal perbuatan yang boleh dianggap sebahagian daripada agama sekiranya tidak ada dalil daripada al-Kitab mahupun as-Sunnah yang menegaskan begitu?"

Adapun ulama-ulama Islam berpegang kepada kaedah meneliti matlamat, tujuan, alasan, "syakal" (bentuk) serta "kaifiyyah" (cara) kepada amalan Maulud itu sendiri. Di dalam hal ini, matlamat yang dimaksudkan adalah untuk menimbulkan dan menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Jika yang dimaksudkan dengan amalan Maulud ini, bentuknya hanya-lah sekadar mengajak manusia supaya berhimpun dan mendengar tazkirah, ceramah, yang berkisar di sekitar hal-hal sirah dan mengingati perjuangan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para sahabat, maka semua perbuatan ini amat jelas memiliki tuntutannya yang tersendiri di sisi syari'ah Islam.

Justeru, Maulud adalah amalan yang walaupun baharu, namun memiliki usul / asal yang boleh dikembalikan kepada Islam, dengan meneliti kepada matlamat, bentuk dan tujuannya, yakni tuntutan untuk mencintai dan menzahirkan rasa cinta kepada Rasul, dan tuntutan untuk sentiasa berdakwah dan menyampaikan ajaran agama dengan cara memberitahu kisah-kisah sirah perjuangan Rasul dan para sahabat. Kemudian, mengadakan sedikit jamuan makan yang tidak berlebihan dan tidak membawa kepada pembaziran, maka ini juga dituntut kerana ada hadis Nabi yang berbunyi: "Berilah makan dan hubungkanlah silaturrahim".

3. Pembahasan dari sudut tasawwuf, akhlak, kerohanian dan penyucian jiwa ialah perbuatan menyambut Hari Kelahiran Rasul bertujuan untuk mewujudkan rasa cinta kepada Rasul di dalam hati, justeru menyampaikan diri kepada tujuan dan tuntutan yang paling mulia, paling agung dan paling penting dalam bab Tasawwuf, akhlak, kerohanian dan penyucian jiwa, iaitu mencintai Rasul, yang seterusnya menetapkan kecintaan kepada Allah juga. Matlamat kepada penyucian jiwa yang menjadi intipati asal Tasawwuf Islam adalah untuk menghampirkan diri kepada Allah dan tidaklah ada satu jalan yang terlebih mulia dan terlebih baik untuk menghampirkan diri kepada Allah selain mencintai Rasul.

Dengan itu, tidak benar perkataan sebilangan orang yang menentang amalan Maulud ini hanya semata-mata berhujjahkan alasan, ianya adalah bid'ah dan tidak pernah dibuat di zaman Rasul, zaman sahabat mahupun para Salafussoleh kerana melihat kepada pembahasan-pembahasan daripada 3 sudut ini.
Baca dialognya di sini:
 http://www.facebook.com/ahmad.dailami.524/posts/113970605445328
~Oleh: Ahmad Dailami
 

No comments:

Post a Comment