Pages

Friday, January 4, 2013

Larangan Islam Memenuhi Perut Dan Kaitannya Dengan Sains



Tubuh kita memerlukan makanan untuk membolehkannya berfungsi. Manusia tidak boleh hidup tanpa makanan. Ini kerana makanan memberi manusia tenaga bukan sahaja untuk bekerja tetapi juga untuk membesar, membiak, dan melaksanakan segala proses kelangsungan hayat.

Setiap anggota yang terlibat dalam pemprosesan makanan yang dimakan oleh seseorang individu itu ialah seperti mulut, farinks, esophagus, gaster, usus kecil dan juga usus besar. Manakala organ aksesori sistem pencernaan pula ialah gigi, kelenjar, liur, pundi hempedu, dan pancreas. Setiap organ ini mempunyai tugasnya yang tersendiri dalam memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita tidak membawa bahaya kepada perut kita khususnya.



Manakala makanan yang baik dan seimbang amatlah diperlukan untuk kelangsungan hayat dan kesihatan tubuh badan. Namun makanan yang seimbang sahaja belum mencukupi bagi mereka yang betul-betul ingin menjaga kesihatan, mereka juga perlu manjaga kuantiti makanan yang diambil pada sesuatu masa itu.

 Seseorang yang makan terlalu banyak atau mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak boleh menimbulkan pelbagai penyakit yang memudaratkan tubuh badan, terutama pada bahagian perut. Sesungguhnya hal ini merupakan faktor kemalasan, kuat tidur dan mengabaikan ibadah bagi sesetengah individu tersebut.

Firman Allah s.w.t.dalam Al-Quran pada Surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud :
“Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebihan, sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka orang yang berlebih-lebihan.”


Kesihatan Perut Menurut Perpektif Sains dan Islam

Makanan merupakan keperluan asas pada manusia ,bagaimanapun ia boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada manusia. Hadis Nabi S.a.w yang menyebut tentang penyakit yang berpunca dari perut ,kini dibuktikan dengan penemuan sains .

Islam sejak dahulu mengajar manusia ke arah kebaikan melalui perantaraan Hadis dan al-Quran .Seperti yang disebut dalam firman Allah s.w.t bahawa kerosakan adalah di sebabkan tangan manusia itu sendiri .

Islam mengajar manusia mengenai kebersihan dan tidak berlebihan dalam pemakanan kerana ia mengundang pelbagai penyakit . Pengetahuan sains berlandaskan Al-Quran dan sunnah mampu menarik keluar manusia dari lembah kerosakan .


Proses penghadaman

Penghadaman melibatkan proses mekanikal dan tindak balas kimia .Penghadaman mekanikal bermula di mulut dan perut .Dalam perut, proses pergerakan usus yang dinamakan peristalsis akan mengecut dan menggaulkan makanan sambil memecahkan butiran makanan ke partikel yang lebih luas.

Makanan yang melalui saluran penghadaman kita akan dicernakan dengan bantuan beberapa organ lain seperti hati ,pankreas,dan hempedu .Enzim ialah protein yang akan memecahkan makanan kepada partikel-partikel yang lebih kecil yang akan kecil akan ditukarkan kepada tenaga.

Penghadaman yang melibatkan tindak balas kimia bermula di mulut . Enzim dan asid hidroklorik dalam perut ,serta jus hempedu daripada kalenjar hempedu ,akan menghuraikan makanan yang terdiri daripada struktur kompleks seperti karbohidrat ,protein dan lemak ,ke bentuk nutrien yang ringkas dan mudah diserap ,seperti gula ,asid amino dan asid lemak.


Perut

Salur penghadaman manusia ,kelihatan seperti satu tiub panjang ,jika ia dibentang di atas meja ,panjangnya sehingga 20 kaki .Otot yang mengecut secara berentak , menyebabkan pergerakan peristalsis membantu memindahkan makanan sepanjang salur penghadaman sambil memecahkan saiz makanan.Rupa perut ialah seperti kantung dan ia terletak di bahagian bawah esofagus .Perut mempunyai dinding yang sungguh elastik , dengan banyak lipatan seperti alat muzik akordian ,dinamakan “rugae”.

Perut mampu menampung sehingga 2 liter campuran makanan dan cecair ,Bagi mereka yang tidak mengikut Sunnah Nabi iaitu “makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang “ dan makan secara berlebihan ,tubuh badan akan mengubah suai organ berbentuk kantung ini untuk mengembang . Pada jangka masa panjang , bentuk fizikal organ individu tersebut akan bertambah besar untuk menampung jumlah makanan yang lebih banyak .

Sementara prosea penghadaman ini berlaku , kalenjar dalam perut merembeskan cecair penghadaman perut , iaitu gabungan enzim pepsin, asid hidroklorik dan lendir (mukus) .Cairan perut iaitu pH 2, sangat berasid dan mampu melarutkan paku besi.

Jus gastrik ini membunuh bakteria dalam makanan sambil menghentikan tindakbalas amilase yang menghadamkan karbohidrat dalam mulut .Ikatan dalam karbohidrat diputuskan oleh asid kuat , menyebabkan sedikit aktiviti pencernaan karbohidrat , dapat berlaku di sini.

Dalam perut pepsin akan menghadamkan protein secara menghuraikan ke komponen asas yang lebih kecil ,iaitu asid amino dan polipeptida.

Perut yang mengecut dan mengendur akan menggaulkan makanan hancur dengan cairan , membentuk “Chyme”,iaitu pepejal berair . Chyme ini akan beredar meninggalkan perut ,menuju ke usus kecil untuk proses penghadaman.

Di dalam perut ,lemak akan terapung di dalam cairan perut yang bercampur dengan makanan. Hanya sejumlah kecil lemak yang akan terhadam dalam perut . Lemak adalah komponen makanan terakhir yang akan meninggalkan perut.

Di dalam salur penghadaman kita , wujud tidak kurang 500 spesis miroorganisma . Mikklroflora ini kompleks dan berbeza , bergantung kepada tubuh badan , menurut umur , keadaan kesihatan , pemakanan , daerah , Negara dan benua. Mikroorganisma ini membantu proses penghadaman dan penyerapan sumber makanan , di dalam salur penghadaman kita .ke dalam darah untuk diedarkan ke seluruh badan yang memerlukan nutrient ini.


Falsafah Pemakanan Islam

Dalam soal pemakanan, Islam telah menggariskan beberapa panduan yang perlu diamalkan oleh seluruh umat manusia seperti mana berikut:

• Makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai terlalu kenyang”. (Hadis Riwayat Abu Dawud)

• Memilih makanan yang halal dan baik.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Hak anak ke atas bapa ialah bapa hendaklah memberi nama yang baik, mengasuhnya dengan budi pekerti yang baik, mengajarnya menulis, berenang dan memanah. Janganlah berikan kepadanya rezeki selain yang baik (halal) dan hendaklah mengahwinkannya apabila telah layak berkahwin”. (Hadis Riwayat Hakim)

• Membaca Bismillah, ambil dengan tangan kanan dan makan makanan yang terdekat.
Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“bacalah Bismillah (jika kamu hendak makan), dan makanlah dengan tangan kananmu, dan ambillah makanan yang terdekat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

• Menghormati orang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:
Jikalau seseorang daripada kamu makan bersama-sama dengan orang ramai dan sudah berasa kenyang, maka janganlah kamu mengangkat tangan (berhenti dahulu) sehingga orang ramai sama berhenti (iaitu berhenti makan bersama-sama), ini kerana jika kamu berhenti dahulu sebelum orang lain, hal itu dapat memalukan kawanmu”.

• Tidak membazir
Firman Allah S.W.T., maksudnya:
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.

Maksud berlebih-lebihan di sini ialah janganlah melampaui batas dalam mengambil makanan. Makanan perlu diambil berdasarkan keperluan tubuh badan dan perlu dipastikan agar ianya halal.


Larangan Makan Berlebihan

Islam melarang umatnya makan secara berlebihan berdasarkan sabda Nabi s.a.w., yang bermaksud: “ Orang mukmin itu makan menggunakan sebuah perut; sedangkan orang kafir itu makan dengan menggunakan tujuh buah perut.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w. turut bersabda : “Tiadalah wadah yang disisi anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya sendiri, di mana dia menyangka bahawa dengan beberapa makanan, maka tulang sulbi (kekuatannya) akan dapat tegak kembali. Seandainya dia terpaksa bersikap demikian, maka (isilah perutnya) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan yang sepertiga lagi dikosongkan untuk pernafasan (bernafas).”

Jelas kepada kita dari kedua hadis yang atas, bahawa nabi kita Muhammad s.a.w. telah terlebih dahulu mengetahui akan hal itu, dan mendahului ilmu kedoktoran yang ada masa kini. Dapat disimpulkan dari hadis di atas bahawa perut dijadikan untuk menegakkan tulang sulbi (penegak badan) dengan sebab makan, manakala kenyang pula akan menjadi sesuatu yang buruk, apabila ia boleh membawa kerosakkan pada agama, dan juga kesihatan.

Adalah sesungguhnya saluran utama masuknya syaitan dengan mudah melalui seseorang individu itu ialah disebabkan oleh terlampau banyaknya makan (terlalu kenyang), kerana ia menjadikan seseorang itu berat untuk melakukan ibadah kepada Allah dan mendorong kepada melakukan maksiat-maksiat yang lain. Ini jelas menunjukkan bahawa mudah bagi syaitan untuk menguasai seseorang itu tatkala perutnya dipenuhi dengan makanan.


Bersikap Sewajarnya Dalam Makan Dan Dilarang Makan Terlalu Kenyang

Menurut Tarmizi, Imam Ahmad, Ibn Majah dan an-Nasai, Nabi Muhammad telah bersabda, maksudnya: “Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya”.

Berkenaan dengan hadis di atas, Ibn Qaiyim al-Jauziyah telah menjelaskan di dalam kitab At-Tib an-Nabawi, “Sesungguhnya perut apabila dipenuhi dengan makanan menyempitkan ruang untuk minuman dan sekiranya perut itu dipenuhi oleh minuman, ia menyempitkan ruang untuk nafas dan ketika itu ia terdedah kepada kesakitan dan keletihan. Keadaan seperti ini tidah ubah seperti seorang yang terpaksa memikul barang yang berat dan kesannya menyebabkan kerosakan hati dan mendatangkan kemalasan beribadah. Selain itu, nafsu syahwat berkobar-kobar dan inilah yang sering berlaku apabila kekenyangan menyerang seseorang. Dan sekiranya keadaan ini berterusan, ia sudah tentu memudaratkan, tetapi jika hanya sekali-sekala dibolehkan.

Dari Al-Miqdam bin Ma’adi Yakrib telah berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah seseorang anak Adam memenuhi wadah yang lebih berbahaya daripada memenuhi perutnya sendiri. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap saja untuk menegakkan tulang-tulangnya. Jika terpaksa dirinya mengerjakan lebih dari itu, maka hendaklah sepertiga perut untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk (udara) pernafasannya”.

Dari Ibnu Umar r.a., katanya: Suatu ketika seorang lelaki bersendawa (keluar bunyi dari mulut kerana kekenyangan) di rumah Nabi s.a.w., kemudian baginda bersabda: “Hentikanlah sendawamu dari kami, sesungguhnya orang yang akan mengalami kelaparan yang panjang pada Hari Kiamat adalah mereka yang paling kenyang di dunia”.

Dari Ju’dah r.a.. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. suatu ketika melihat seorang lelaki dengan perut membuncit, kemudian baginda menunjuk (ke arah perut) dengan jarinya sambil bersabda: “Seandainya ini (isi perut) berada tidak di tempat ini, maka tentunya akan lebih baik bagimu”.

Menurut Syaikh Sa’ad Yusuf Abdul Azis, pesanan yang tersirat di dalam hadis di atas ialah agar kita hidup secara bersederhana terhadap makanan serta memberikan apa yang melebihi dari keperluan kita untuk diberikan kepada fakir dan miskin atau kepada kegiatan sosial dimana manfaat tersebut akan kembali semula kepada orang yang memberi bantuan tersebut baik di dunia mahupun di akhirat.


Keharusan Kenyang Sekali-Sekala

Kenyang mengandungi banyak kemudaratan berbanding manfaat. Menurut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, kekenyangan menyebabkan hawa nafsu bergelora dan akhirnya tubuh badan diserang penyakit.

Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. tidak pernah kenyang melainkan sekali-sekala sahaja dalam hidup mereka. Contohnya menurut Tarmizi, Imam Ahmad, Baihaqi dan al-Hakim bahawa Abu Hurairah r.a. meminum susu di sisi Rasulullah s.a.w. sehingga beliau akhirnya berkata, “ Demi Dia yang mengutus kamu dengan hak, aku sudah tidak ada ruang lagi bagi meminumnya”.


Bagaimana Perut Boleh membawa penyakit?

Mungkin pada segelintir masyarakat kita, hubungan manusia dengan makanan seakan “love-hate relationship”. Makanan yang membawa kenikmatan di dalam hidup, secara paradoksnya membawa kesengsaraan melalui penyakit dan memendekkan hayat seseorang . Sumber penyakit yang paling utama berasal dari makanan yang terlalu dari segi kuantiti dan jenisnya.

Nabi kita Rasulullah s.a.w., mengajar umat Islam tabiat pemakanan yang betul , dengan sabda baginda yang mafhumnya yang difahami: “kami adalah satu kaum yang tidak makan kecuali apabila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang”.

Jika kita mengenang kembali budaya rumah terbuka di Malaysia yang menyambut hari raya Aidil fitri selama sebulan setiap tahun , selagi Syawal belum berakhir ,jelas mencabar kemampuan kita untuk mengamalkan saranan hadis iaitu “Makan ketika lapar , berhenti sebelum kenyang”.

Rasulullah SAW bersabda : “Tiada suatu wadah pun yang dipenuhi oleh anak-anak Adam yakni manusia, yang lebik buruk daripada perutnya . Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suapan saja asalkan sudah dapat menegakkan tulang rusuknya . Tetapikalaupun tidak boleh ,tidak harus makan melebihi beberapa suapan , sepertiganya untuk tempat minuman dan sepertiganya lagi untuk kejernihan jiwanya”.

Tidak menghairankan jika dibanding dengan haiwan , manusia diuji dengan pelbagai penyakit perut .Zaman dahulu , kekurangn makanan berleluasa di beberapa negara ; di zaman sekarang , lambakan makanan yang pelbagai jenis dengan harga yang murah , serta mudah diperolehi membawa masalah kesihatan baru .

Umat islam tidak digalakkan memakan secara berlebihan ,berdasarkan kepada ayat Al-Quran, maksudnya: “Makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan ” (Al-a’raf :31)

Selain itu, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “jangan kamu matikan hati dengan banyak makan dan minum, kerana sesunguhnya hati itu adalah seperti tanaman yang akan mati jika disiram terlalu banyak air”


Berdisiplin Dalam Makan Dan Minum

Kebanyakan penyakit yang menimpa manusia berkait rapat dengan makan dan minum mereka. Nabi s.a.w. sering kali mengingatkan umat Islam tentang bahaya perut supaya mereka berwaspada dengannya. Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali telah menyenaraikan tujuh adab sebelum makan dan ia perlu diambil berat:
  •  Memastikan makanan daripada sumber yang halal.
  •  Membasuh tangan.
  • Meletakkan makanan di dalam bekas yang diletakkan di atas lantai kerana ia melatih diri tawaduk. Jika sekiranya makanan di letakkan di atas meja tanpa melampaui batas, ia tidaklah dilarang.
  • Duduk dengan cara yang betul dan dilarang makan sambil berbaring atau bersandar.
  • Berniat supaya makanan itu mendatangkan kekuatan untuk beribadah kepada Allah.
  • Bergembira dengan rezeki yang terhidang dan bersyukur.
  • Berusaha supaya tidak makan seorang diri tetapi bersama-sama dengan orang lain walaupun daripada kalangan keluarga dan anak sendiri.
Selain itu, Imam Ghazali juga turut menyenaraikan beberapa adab ketika makan yang perlu dijaga supaya makanan itu diberkati oleh Allah S.W.T.:
  • Mulakan dengan bismilah dan doa.
  • Makan dengan tangan kanan.
  • Mengunyah dengan baik.
  • Jangan dicaci sebarang makanan.
  • Sebaik-baiknya makan makanan yang paling hampir kecuali buah-buahan.
  • Jangan menghembus di atas makanan yang panas. Tunggulah dengan sabar.
  • Jangan makan secara berlebihan.
  •  Apabila terpaksa minum air, pastikan dalam kadar yang sedikit kecuali dalam keadaan terdesak.
Disamping itu, Imam Ghazali juga turut menggariskan beberapa adab selepas makan:
Berhenti makan sebelum kenyang.
  •  Menjilat jari.
  • Membasuh tangan.
  • Berdoa.
  • Mengeluarkan makanan yang terlekat dicelah gigi atau flossing.
  • Banyak bersyukur kepada Allah S.W.T.
  • Beristighfar supaya diampunkan Allah andainya terdapat unsur-unsur syubhah pada makanan itu.
Hikmah Berpuasa Dalam Menjaga Kesihatan Perut

Puasa Ramadan mempunyai keistimewaan yang tersendiri sebagaimana ibadah-ibadah fardu yang lain, antaranya sebagaimana yang di riwayat oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, ertinya : Segala amalan kebajikan anak Adam dilipat gandakan pahalanya dari sepuluh hingga tujuh ratus ganda, Allah berfirman : kecuali puasa, puasa itu bagi-Ku. Aku memberikan pembalasan (pahala) kepadanya, ia telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya lantaran Aku. Seseorang yang berpuasa memperolehi dua kesukaan : kesukaan dikala berbuka dan kesukaan dikala berhadapan dengan Allah. Dan benar-benar bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi disisi Allah s.w.t. daripada bau kasturi.

Jelaslah dari hadis ini bahawa dengan berpuasa seseorang akan dikurniakan pahala yang berlipat ganda dan memperoleh dua kesukaan terbesar yang tidak akan diperoleh oleh orang-orang yang biasa.

Selain itu, puasa dapat menghindarkan kita dari sebarang penyakit yang berbahaya kepada badan, berpunca dari makanan dan minuman, seperti diabetes, sakit jantung, darah tinggi, obesiti dan lain-lain.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
Uncang makanan itu tempat sarang penyakit dan punca segala penyakit tarbiah dari makanan yang terlalu banyak, juga sabda Baginda yang bermaksud : “ berpuasalah kamu nescaya kamu menjadi sihat.”

Jelas sekali puasa itu dapat menjadi ubat yang paling mujarab bagi penyakit fizikal yang di alami sesetengah individu. Sebagaiman para doktor menasihatkan kepada mereka yang mengidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya itu supaya berpuasa walaupun tidak membuang semua penyakit yang dihidapi itu. Sebenarnya kelebihan dan kebaikan berpuasa itu sudah diakui oleh para saintis, doktor-doktor dan ahli bijaksana sejak dulu lagi.

Puasa turut membersihkan rohani dan jasmani individu yang melakukan amalan tersebut. Kerana dengan berpuasalah terbitnya kesedaran, keinsafan, keadilan, dan sikap timbang rasa kepada sesama saudaranya. Kerana berpuasa jugalah dapat mengelakkan seseorang dari banyak tidur dan sikap malas, serta dikhuatirkan kematian hati, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :
Ertinya : jangan kamu makan banyak, nanti minum pun akan banyak , maka hati kamu akan menjadi keras.

Disamping itu puasa dapat mengingatkan kita bahawa kita adalah hamba Allah yang hina, kerana di saat berpuasa betapa berhajatnya kita kepada makanan dan minuman itu, serta dapat menjaga kita dari terjatuh ke lembah jurang dosa dan maksiat.


Puasa Mengikut Pakar Perubatan Dunia

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa puasa itu mempunyai pelbagai hikmah dan keistimewaan. Hal ini telah diakui oleh mana-mana saintis dan pakar kesihatan dunia.

Sebagai contoh, doktor dari Amerika yang dikenali dengan Doktor Mac Fadon, beliau merupakan salah seorang pakar perubatan yang mengakui bahawa puasa merupakan ubat kepada segala penyakit fizikal manusia. Beliau turut mengarang sebuah buku, dan telah mengeluarkan satu kenyataan yang menarik untuk saya bawakan dalam penulisan saya ini :
“Sesungguhnya semua manusia perlu kepada puasa, sekalipun dia tidak sakit, kerana racun makanan dan ubat terkumpul dalam tubuh, lantas menjadikannya seperti seorang sakit dan memberatkan serta mengurangi kegiatan. Apabila dia berpuasa ringanlah timbangannya dan hilanglah racun itu dari tubuhnya setelah berkumpul didalamnya dan sempurna bersih, dan setelah itu dia dapat mengembalikan berat timbangannya dan memperbaharui tubuhnya dalam waktu tidak lebih dari 20 hari setelah tidak puasa lagi.”

Beliau turut menyebut di halaman yang lain di dalam penulisannya itu :
“Sesungguhnya penyakit yang paling besar pengaruh pengubatannya adalah dengan puasa, iaitu penyakit maidah (penyakit mach). Bagi penyakit ini, puasa adlah bagaikan tongkat sihir yang segera menyembuhkan, sehinggakan orang yang mengalami penyakit tersebut menjadi hairan melihatnya; kemudian itu disusuli pula dengan penyakit darah tinggi dan rematik.”

Manakala Dr. Alaxis Carel yang merupakan salah seorang doktor antarabangsa yang memperoleh anugerah Nobel dalam ilmu kedoktoran turut memperakui kelebihan puasa, dimana beliau sendiri merupakan seorang doktor yang menggunakan cara berpuasa sebagai cara mengubati pesakitnya, dan turut mengarang sebuah buku yang bertajuk ‘Al-Insan zalikal Majhul’ yang kira-kira membawa erti ‘Manusia yag penuh rahsia’.

Antara lain beliau menyebut : “Manusia memerlukan puasa pada waktu-waktu tertentu. Setiap agama membawa manusia kepada wajib berpuasa dan mengurangi makanan. Jika pertama kali dia merasa lapar dan kadang-kadang merasa kejang pada saraf, serta diiringi dengan rasa lemah pada badan, disamping itu terjadi pula gerakan yang tersembunyi yang sangat penting, iaitu bergeraknya gula dalam jantung dan bersamanya bergerak pula minyak yang tersimpan dibawah kulit dan menjalari segala anggota dengan madahnya yang khusus untuk mengekalkan kesederhanaan dalaman dan keselamatan hati. Sesungguhnya puasa akan membersihkan pernafasan kita.”

Seorang Profesor dari England, Goerge Teasdale turut mengakui kehebatan puasa. Beliau turut menegaskan di dalam bukunya yang bertajuk ‘Natural Heal’ bahawa puasa adalah satu ubat yang paling mujarab untuk mengembalikan kesihatan kepada orang yang sakit.

Oleh demikian itu, tidak hairanlah jika banyak bangunan-bangunan klinik yang didirikan yang menggunakan cara pengubatan melalui kaedah puasa ini. Sebagai contoh klinik yang menjalankan kaedah pengubatan dengan cara berpuasa ialah, Klinik Doktor Hazig Lahmann di Amerika Syarikat, Klinik Doktor Barsyabaz dan Klinik Doktor Muler.

Walaupun puasa merupakan satu cara pengubatan yang terbaik bagi sesuatu penyakit, terutamanya penyakit yang berkaitan dengan perut, ia juga boleh membawa kemudaratan kepada pengamalnya jika tidak menjaga pengambilan makanan sewaktu berbuka.

 Oleh demikian itulah, Islam mengajar kepada umatnya supaya bersederhana dalam makan dan minum serta berbelanja, begitu juga yang telah disarankan oleh agama-agama yang lain. Kesederhanaan ini perlu dititik beratkan ketika berbelanja untuk membeli juadah berbuka.

 Kita perlulah ingat bahawa kita membeli ketika perut sedang lapar. Sudah pasti semuanya nampak enak dan lazat. Tetapi setelah berbuka, bila satu demi satu makanan dimakan, akhirnya juadah yang kelihatan begitu enak tadi semakin hilang serinya, apatah lagi nikmatnya. Akhirnya ia dibuang begitu sahaja.

Kita diharuskan mendisiplinkan diri dengan peraturan dan ketertiban pemakanan yang seimbang. Orang yang berpuasa dapat mengikut peraturan dan berdisiplin yang akan dapat membudayakan dirinya dengan pemakanan yang seimbang.

Kebiasaan yang terdapat dalam masyarakat tempatan menyediakan pelbagai jenid makanan untuk tujuan berbuka puasa adalah menyeleweng daripada ajaran puasa yang sebenarnya. Puasa adalah ibadat yang dapat mengawal keinginan nafsu bukan melayaninya walaupun pada waktu-waktu yang diharuskan.

Sesungguhnya amalan puasa yang mengikut semua disiplin dan peraturannya akan memperoleh ganjaran yang terbesar disisi Allah S.A.W.

Sesungguhnya puasa di bulan Ramadan yang diamalkan oleh umat Islam selama sebulan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, terutama sekali dapat merehatkan perutnya atau jentera pencernaan dari bertugas selama sehari suntuk tanpa henti, bahkan kekadang diberi beban yang berlebihan.

Oleh demikian itu, mereka yang berpuasa digalakkan menyederhanakan sahur dan bukanya. Ianya sama sahaja dengan hari-hari tidak berpuasa jika di malam hari (sewaktu berbuka puasa) mengambil makanan terlalu banyak sebagai mengganti perut yang lapar di siang harinya. Jika demikianlah yang terjadi, nescaya hikmah puasa itu tidak akan tercapai.

Oleh demikian itu, puasa di bulan Ramadan dan makan sekadarnya sahaja di luar bulan Ramadan adalah langkah sihat yang mutlak yang harus dibiasakan. Sebagaimana hadis Nabi ada bersabda, maksudnya: “Kami adalah kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidaklah sampai memadatkan perut.”

 http://www.doktormalaya.com/larangan-islam-memenuhi-perut-dan-kaitannya-dengan-sains/#more-631

1 comment: