Pages

Wednesday, January 23, 2013

MAULID NABI : SATU PENCERAHAN DISISI SUNNAH NABI MUHAMMAD SALLALLAHU`ALAIHIWASALLAM


Oleh : Abu Ayyub Muhammad Fashan b. Ahmad Ziadi

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد:

Antara yang menjadi kebiasaan kaum muslimin hari ini, terutamanya di nusantara apabila tiba tanggal 12 Rabiul Awal mereka mengadakan maulidul Rasul sebagai hari memperingati junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu `Alaihi Wa Sallam. Pelbagai aturcara, program, majlis diatur di masjid-masjid, surau, dan tidak terlepas juga badan-badan kerajaan dan sebagainya. Hal ini telah menjadi tradisi dan amalan turun-temurun masyarakat Melayu Islam di Malaysia dan beberapa negara lain.

Pelbagai aturcara seperti majlis sambutan, marhaban dan berzanji, nasyid, upacara perarakan, poster, sepanduk dan sebagainya diadakan. Kalau ditanya kepada mereka yang menganjurkan program seperti itu, “Mengapa menyambut maulid Nabi?” Jelas mereka menjawab kerana hari ini hari lahir Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam  kita kena sambut untuk memperingati Nabi shallallahu `alaihi wa sallam dan itulah tanda kita menyayangi dan mencintai Nabi Muhammad Sallallahu `Alaihi Wa Sallam.

Tanda Cinta Itu Ikut

Persoalan yang hendak dibangkitkan disini adakah cinta Nabi itu bermusim?,adakah hanya menyambut dan memperingati hari kelahiran Nabi itu dianggap sudah cukup melambangkan kecintaan kita terhadap Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam?. Persoalan ini jika tak dapat dijawab oleh kita bermakna kita selama ini tidak memahami konsep akidah yang dibawa oleh Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam ataupun kita ini buta terhadap perjuangan Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam.

Maksud firman Allah subhanahu wata’ala:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad) “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Ali Imran 3:31)

Berkata Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya:

“Ayat ini menjadi pemutus kepada sesiapa sahaja yang mendakwa mencintai Allah, sedangkan dia tidak berada(mengikuti) syariat Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam maka sesungguhnya dia melakukan pendustaan terhadap dakwaannya sehinggalah dia mengikuti syariat yang dibawa oleh Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam dalam semua aspek sama ada perkataan dan perbuatannya” (Tafsir al-Quran al-`Azhim, Ibn Kathir :2/32)

Cinta Nabi bukanlah perkara yang boleh diangan-angankan tanpa disertai dengan pembuktian. Setiap perkara yang diakui oleh lisan perlu disertai dengan pengakuan hati, amalan perbuatan dan tingkah laku. Allah menyebutkan di dalam firmanNya di atas jika kita mencintai-Nya dan RasulNya maka perlulah mengikut apa yang dibawa oleh RasulNya.

Allah berfirman:

وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan apa yang dibawa oleh Rasul kepada kamu maka hendaklah kamu ambil akan dia,dan apa yang ditegah kepada kamu daripadanya maka hendaklah kamu tinggalkan. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (Al Hasyr 59:7)

Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan perkara ini. Cukup penulis bawakan dua ayat di atas untuk kita renungi bersama.

Dari Mana Asal Usul Maulid Dan Siapa Yang Mula-mula Mengadakannya?

Menurut Muhammad al-Sayim maulid-maulid ialah perkumpulan yang diadakan untuk memuliakan orang-orang terdahulu dari kalangan nabi-nabi dan wali-wali. Asalnya ialah diperingati masa kelahiran seseorang nabi ataupun wali, sebagaimana diadakan untuk Sayid Ahmad al-Badwi dan dikatakan orang yang mula-mula mengadakannya di Kaherah (Mesir) pada era kerajaan (Syiah) Fatimiyyun dalam kurun ke-4. Para khalifah ketika itu dan para ulamanya mengadakan sambutan maulid seperti maulid Nabi, maulid Ali radiyallahu anhu, maulid Fatimah radiyallahu anha, maulid al-Hasan radiyallahu anhu,dan al Husin radiyallahu anhu serta maulid pemerintah-pemerintah. (Sumber: Muhammad al Sayim, Rumah yang disukai oleh Malaikat. Bab rumah-rumah yang menolak segala bid`ah. Terjemahan Syed Zain b.Husin al-Habsyi. Terbitan pustaka Azhar.hlm 172)

Justeru upacara sambutan maulid yang diadakan di masjid dengan mengadakan upacara zikir-zikir yang tidak warid dari Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam berzanji dan marhaban selain tidak pernah diamalkan oleh para sahabat dan para salaf al soleh sedangkan amalan para sahabat lebih dekat dengan Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam dan mereka diakui oleh Allah dan rasulNya.

Sebahagian kita baik alim ulama dan penuntut ilmu dengan mudah berpendapat dalam masalah agama hanya menggunakan akalnya sedangkan kita dilarang untuk mendahului pendapat kita melebihi Allah dan rasul seperti firmanNya:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Hujuraat 49:1)

Islam bukan berdiri di atas pemikiran kita semata-mata, malah Islam adalah agama wahyu. Justeru segala perkara yang hendak disandarkan kepada Islam sama ada baik atau tidak perkara itu ianya tidak boleh dinilai dengan akal dan selera kita semata-mata. Kerana itulah `Ali radiallahu`ahu ketika berkomentar tentang permasalahan menyapu khuf berkata:

لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ

“Kalaulah agama ini berdasarkan akal(pendapat) semata-mata tentulah bahagian bawah khuf(sepatu)lebih patut disapu daripada bahagian atasnya” (HR Abu Daud no:140 ,Shahih)

Walaupun ramai manusia menyatakan amalan tersebut baik dan bermanfaat tetapi cukuplah dengan kenyataan Imam Malik rahimahullah:

من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا.

“Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad Sallallahu `Alaihi Wa Sallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini.” (al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 35.)


Adakah para sahabat tidak cintakan Nabi? Umum mengetahui Abu Bakar, Umar dan para sahabat radiallahua`nhum sanggup berkorban sehingga mereka melebihkan diri Rasulullah ke atas kepentingan mereka. Kalaulah sambutan maulid ini baik dan terpuji tentulah Nabi menyuruh agar para sahabat menyambutnya, dan tentulah para sahabat akan menyambutnya, namun jelas tidak ada langsung di kalangan para sahabat, tabi`in, tabiut tabi`in dan ulama-ulama muktabar yang mengadakan maulid ini kecuali ulama-ulama terkemudian yang meninggalkan petunjuk Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat serta para salaf al soleh.

Pada dasarnya tidak pernah kita menemui dalil-dalil yang sahih menyatakan amalan maulid ini dilakukan oleh para sahabat dan salaf al-Soleh. Abu Bakar, Umar, Utsman, Ali dan para sahabat lain radiallahu`anhum adalah generasi yang paling mencitai Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam namun tidak ada satu pun riwayat hadith yang menyatakan bahawa mereka golongan sahabat, tabi`in dan tabi` tabi`in yang menyambut Maulid Nabi dengan upacara tertentu sedangkan merekalah yang lebih alim, wara` dan paling benar akidah, amalan dan kefahaman berbanding kita.

 Kata ulama salaf:


لو كان خيرا لسبقونه

“Kalaulah perkara itu merupakan kebaikan tentulah mereka(para sahabat) yang akan mendahului(dalam mempraktikkannya)”

Mereka para Salaf as-Soleh adalah generasi yang diakui dan dijamin oleh Allah dan Rasul sepertimana sabda Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

“Sebaik-baik manusia ialah yang berada di kurunku (sahabat), kemudian yang mengikuti mereka (Tabi`in) kemudian yang mengikuti mereka (tabi` tabi`in)” (HR Bukhari no:2458, Muslim no:4601)

Mereka para salaf adalah golongan yang lebih selamat pendapat dan pegangan mereka daripada sesiapa sahaja ulama yang menyelisihi atau menyalahi pendapat dan kefahaman mereka, Firman Allah ta`ala:

وَيَرَى الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ الَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ هُوَ الْحَقَّ وَيَهْدِي إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

“Dan orang-orang yang diberi ilmu berpendapat bahwa wahyu yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itulah yang benar dan menunjuki (manusia) kepada jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji”. (Saba` 34:6)

Berkata al-Imam Qatadah b. Da`aamah rahimahullah (w.177): Mereka adalah sahabat Nabi sallallahu`alaihiwasallam (Lihat : Al-Thobari, Abu Ja`afar Muhammad b.Jarir (w.310H),al-Jaami` al-Bayaan fi takwiil al-Quran.Jilid 20: ms :352)

Malah jika kita teliti susur galur mereka yang mengadakan maulid ialah orang-orang nasrani (kristian) mereka merayakan hari natal atau krismas yang [mereka pilih sebagai] bertepatan dengan hari kelahiran Nabi Isa `alaihisalam yang mereka anggap sebagai anak tuhan[asalmya hari itu adalah sebenarnya son-god].

 Bagi kita umat Muhammad Sallallahu `Alaihi Wa Sallam jelas sekali amarannya terhadap umatnya di dalam hadith yang bermaksud:


لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا لَا تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ وَلَا بِالنَّصَارَى

“Tidak termasuk golongan kami orang yang meniru selain kami, janganlah kamu meniru orang Yahudi dan orang Nasrani” (H.R Tirmidzi 2619,dihasankan oleh al-Albani Silsilah al-Shohihah)

Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wa Sallam juga bersabda:

لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ

“Jangan kamu melampau-lampau memuji terhadap ku sepertimana melampaunya Nasrani terhadap ibn Maryam (Isa a.s) tetapi katakanlah: Muhammad adalah hamba Allah dan rasulNya” (HR Bukhari no:3189)

Malah perbuatan menyambut hari kelahiran atau birthday juga tidak ada asal usulnya dari Islam. Ia hanyalah kebiasaan orang barat yang hari ini kita juga mengikuti jalan mereka. 

Malah perbuatan ini menyalahi petunjuk nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah bercanggah dengan firman Allah subhanahu wata’ala.

“Dan apa yang dibawa oleh Rasul kepada kamu maka hendaklah kamu ambil akan dia, dan apa yang ditegah kepada kamu daripadanya maka hendaklah kamu tinggalkan” (Al Hasyr 59:7)

Kita disuruh oleh Allah agar mengikuti apa yang dibawa dan ditunjuk oleh Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam dalam seluruh kehidupan kita bukan hanya mengingati Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam pada waktu-waktu tertentu dan di majlis-majlis tertentu.  

Penulis bukan berniat untuk mengkritik semua majlis sambutan maulid yang diadakan. Ada juga sesetengah pihak yang mengadakan majlis maulid dengan mengadakan ceramah berkaitan peribadi Nabi dan perjuangan baginda Sallallahu `Alaihi Wa Sallam  bagi penulis itu adalah termasuk dalam majlis ilmu ataupun tazkirah yang memang dituntut oleh Allah dan rasul agar memperingatkan mereka yang lupa. 

 Namun jika majlis yang hanya diadakan dengan berkumpul dan membacakan marhaban, selawat, zikir-zikir dan perarakan itu adalah bertentangan dengan petunjuk al-Quran dan sunnah Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam  Dan berbalik kepada petunjuk NabiSallallahu `Alaihi Wa Sallam dan para sahabat dan para salaf al-Soleh maka lebih baik kita tidak mengkhususkan hari-hari tertentu untuk memperingati nabi bahkan Allah dan rasul perlu diingati dan dilaksankan perintah dan larangan mereka pada setiap waktu dan setiap masa.



Kita perlu mengetahui setiap perkara yang hendak disandarkan pada agama perlu mempunyai dalil daripada al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat radiallahu`anhum. Setiap perkara yang di adakan tanpa ada penetapan di dalam nas al-Quran dan sunnah Rasulullah maka ia ditolak oleh Allah.

Sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wa Sallam:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa membuat perkara baru dalam urusan agama kami ini (Allah dan Rasul) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak” (HR Bukhari no:2499, Muslim:3242)

Maka dijelaskan di sini amalan Maulid adalah perkara baru yang diada-adakan. Maka menjadi tanggungjawab kita sebagai pencinta Allah dan rasulNya untuk meninggalkan perkara yang dilarang oleh kedua-duanya. Dan janganlah kita mengkhususkan hanya hari-hari tertentu untuk memperingati Nabi bahkan perlu kita mencintainya dengan mencintai dan berusaha mempelajari, memahami, mempraktikkan dan menghidupkan sunnah-sunnahnya yang ditinggalkan daripada perkara-perkara kecil hinggalah kepada sebesar-besarnya.

Justeru, marilah kita kembali kepada memahami Islam sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wa Sallam kepada para sahabatnya dan para salaf al-Soleh dan para ulama yang mengikuti manhaj dan kefahaman mereka janganlah kita mengikut kefahaman kita semata-mata yang tidak dijamin oleh Allah akan keselamatannya.

Sepatutnya kita menyerahkan urusan ini kepada Allah dan rasulNya dengan penuh penyerahan seperti firman Allah jalla wa`ala:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.(Al-Nisa` 4:65)

Berkata al-Imam Ibn Syihab al-Zuhri rahimahullah (w 124H):

مِنْ اللَّهِ الرِّسَالَةُ وَعَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَلَاغُ وَعَلَيْنَا التَّسْلِيمُ

“Dari Allah adalah perutusan, dan tanggungjawab Rasul Sallallahu `Alaihi Wa Sallam sallam menyampaikan, dan tanggungjawab kita adalah penerimaan.” (Athar ini diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu`allaq dengan lafaz yang jazam. Shahih al-Bukhari 23/59)

Sekali lagi walaupun majoriti manusia melakukan amalan tersebut, penulis menjawab agama bukan berdasarkan majoriti manusia, banyak atau tidak orang melakukannya bukan menjadi kayu ukuran, agama adalah berdasarkan nas dan dalil. Walaupun ramai dikalangan cerdik pandai, alim ulama`, golongan ustaz yang menyatakan amalan menyambut maulid adalah baik dan bermanfaat penulis tetap bertegas menyatakan perarakan, acara berzanji, marhaban adalah perkara bid`ah yang dilarang oleh agama berdasarkan nas-nas di atas.

Berkata al-Imam al-`Auza`i rahimahullah (w.157H):

عليك بآثار من سلف، وإن رفضك الناس، وإياك وآراء الرجال، وإن زخرفوه لك بالقول

“Hendaklah engkau berpegang dengan athar Salaf as-Soleh (para sahabat dan pengikut mereka) meskipun orang-orang menolaknya dan jauhkanlah dirimu dari pendapat orang walaupun ia hiasi pendapatnya dengan perkataan yang indah” (Al-Zahabi, Siyar al-`Alam an-Nubala` jilid 7:120)

Segala kelemahan adalah kekurangan diri,

Yang Mengharap keredhaan Allah
Abu Ayyub Muhammad Fashan b.Ahmad Ziadi
11 Mac 2009/14 Rabi`ul Awwal 1430H
11:38 a.m
APIUM Nilam Puri
(Penulis artikel ini merupakan Mahasiswa Universiti ISLAM Madinah)

Artikel dipetik dari laman : http://www.1aqidah.net
Blog penulis : http://ibnabiashim89.blogspot.com/

Komen Pena Minang : Agama ni dah sempurna. Buat apa kita nak tambah-tambah? Apa kita lebih faham kaedah beragama dari Nabi Muhammad Sallallahu `Alaihi Wa Sallam? Tinggalkan amalan yang tak pernah dibuat oleh Nabi. Amalkan sunnah yang berlambak-lambak kita tak buat tu.
credeit to : Tuesday, 8 January 2013

No comments:

Post a Comment