Pages

Wednesday, January 2, 2013

Siapakah Yang Lebih Berilmu








Judul: Siapakah Yang Lebih Berilmu | Judul Asal ('Arab): Fadhlu 'Ilmu as-Salaf 'ala al-Kholaf | Penulis: Imam Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) | Penerbit: Cahaya Tauhid Press | Berat: 150g | Muka Surat: 100m/s. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]

Kata Imam adz-Dzahabi rahimahullah  (Wafat: 748H):
العلم ليس هو بكثرة الرواية، ولكنه نور يقذفه الله في القلب، وشرطه الاتباع، والفرار من الهوى والابتداع
“Ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat, tetapi ia adalah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati, dan syaratnya adalah al-ittiba’ (mengikuti sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), dan melarikan diri dari hawa nafsu serta menjauhi al-ibtida’ (bid’ah).” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 13/323).
Ilmu Yang Bermanfaat
Ilmu yang bermanfaat merujuk kepada dua perkara, iaitu ilmu tentang keagungan Allah Ta’ala yang diketahui melalui nama-nama-Nya yang indah (al-husna) dan sifat-sifat-Nya yang mulia yang menjadi hak-hak-Nya. Dengan mengetahuinya, akan membawa kepada pengangungan, pengabdian hanya kepada-Nya, rasa takut, cinta (mahabbah), harapan, sabar, redha dan tawakkal hanya kepada Allah.
Manakala yang kedua, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang membawa kepada segala apa yang diredhai dan dicintai oleh Allah. Yang dengan ilmu tersebut menjadikan kita menjauhi segala apa yang dibenci dan dilarang oleh-Nya. Ini adalah sebagaimana yang disebut oleh al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) dalam risalahnya yang berjudul Fadhlu ‘Ilmu as-Salaf ‘ala al-Kholaf. Iaitu buku yang sedang dipaparkan ini.
Melalui apa yang diambil daripada beliau ini menunjukkan adanya ilmu yang tidak bermanfaat bagi diri seseorang iaitu apabila ilmu tersebut tidak membawa untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, sebaliknya membawa pula kepada apa yang dibenci oleh Allah. 
Tidak kiralah ilmu tersebut tergolongan dalam ilmu-ilmu yang syar’i lagi wajib atau ilmu-ilmu berbentuk kemahiran kehidupan, sekiranya ia membawa pengamalnya kepada mencari redha Allah, insyaAllah ia adalah ilmu yang bermanfaat.
Sebaliknya, sekiranya ilmu tersebut walaupun ia adalah ilmu-ilmu yang syar’i tetapi tidak diamalkan seiring atas jalan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka ia akan termasuk ke dalam jajaran ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat.
 
Ini dapat difahami antaranya berdasarkan firman-Nya:
Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56)
Di samping itu, terdapat hadis yang mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengatakan:
مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلاَّ لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا، لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Sesiapa yang menuntut ilmu yang sepatutnya untuk mencari wajah Allah ‘Azza wa Jalla, tetapi dia tidak menuntutnya melainkan untuk mencari dunia dengannya, maka pada hari kiamat dia tidak akan dapat mencium aroma Syurga.” (Musnad Ahmad, no. 8457. Sunan Abu Daud, no. 3664. Ibnu Majah, no. 248. Dinilai sahih oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)
Maka atas sebab itulah setiap ilmu yang kita pelajari seharusnya menuju kepada jalan tersebut, iaitu jalan ‘ubudiyyah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apabila kita benar-benar faham bahawa prioriti ilmu yang syar’i lagi bermanfaat adalah ilmu-ilmu yang datang dari al-Qur’an, as-Sunnah, dan kefahaman terhadap keduanya berpandukan manhaj yang benar (iaitu manhaj generasi awal umat Islam khasnya dari kalangan sahabat nabi, tabi'in, dan tabi'ut tabi'an), maka sudah seharusnya kita meletakkan usaha dan keutamaan yang tinggi untuk menekuninya. Itulah yang merupakan tradisi para ulama dan ilmuan Islam dari kalangan salaf (generasi awal Islam) dan para ilmuan yang mengikuti generasi salaf dengan baik.


Mu’adz B. Jabal radhiyallahu ‘anhu berkata:
تعلموا العلم، فإن تعلمه لله خشية، وطلبه عبادة، ومدارسته تسبيح، والبحث عنه جهاده، وتعليمه لمن لا يعلمه صدقه، وبذله لأهله قربة، وهو الأنيس فى الوحدة، والصاحب فى الخلوة
Pelajarilah ilmu, kerana dengan mempelajarinya kerana Allah merupakan tanda takut terhadap-Nya, mencarinya adalah ibadah, menuntutnya adalah tasbih, membahaskannya adalah jihad, mengajarkannya kepada yang belum mengetahui adalah sedekah, usaha memberikannya kepada yang berhak adalah ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah, ilmu adalah teman di saat sendirian dan rakan dalam kesepian.” (Ibnu Qudamah, Mukhtashar Minhajul Qashidin, m/s. 15 – Maktabah Daar al-Bayaan)

Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berpesan:
نَسْأَل اللهَ عِلْماً نَافِعاً، تَدْرِي مَا العِلْمُ النَّافِع؟هُوَ مَا نَزل بِهِ القُرْآنُ، وَفسَّره الرَّسُول - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَوْلاً وَفعلاً، وَلَمْ يَأْت نَهْي عَنْهُ، قَالَ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ: (مَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي، فَلَيْسَ مِنِّي)، فَعَلَيْك يَا أَخِي بتدبُّر كِتَاب اللهِ، وَبإِدمَان النَّظَر فِي (الصَّحِيْحَيْنِ) و(سُنَن النَّسَائِيّ)، وَ(رِيَاض النَّوَاوِي) وَأَذكَاره، تُفْلِحْ وَتُنْجِحْ، وَإِيَّاكَ وَآرَاءَ عُبَّادِ الفَلاَسِفَة، وَوظَائِفِ أَهْلِ الرِّيَاضَات، وَجُوعَ الرُّهبَان، وَخِطَابَ طَيْشِ رُؤُوْسِ أَصْحَابِ الخلوَات، فُكُلُّ الخَيْر فِي مُتَابعَة الحنِيفِيَة السَّمحَة، فَواغوثَاهُ بِاللهِ، اللَّهُمَّ اهدِنَا إِلَى صرَاطك المُسْتقيم
Kita memohon kepada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Qur’an dan ditafsirkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan darinya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” Wahai saudaraku, kamu perlu mempelajari kitab Allah dan menekuni dua kitab Sahih (Shahih al-Bukhari dan Muslim), Sunan an-Nasaa’i, Riyadhus Shalihin, dan al-Adzkar karya Imam an-Nawawi, nescaya kamu akan beruntung dan selamat. Jauhilah syubhat pemikiran ahli falsafah, perbuatan ahli sufi, ajaran para pendeta, dan khayalan orang-orang yang suka menyendiri. Seluruh kebaikan itu adalah dengan mengikuti jalan yang lurus. Mintalah pertolongan kepada Allah. Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami jalan-Mu yang lurus.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340)

Adapun dalam buku ini, Al-Hafiz Ibnu Rejab menjelaskan tentang betapa pentingnya mendalami ilmu yang benar, iaitu ilmu yang bakal menyelamatkan kita di akhirat kelak. 

Kemudian beliau menjelaskan pula apa itu ilmu yang bermanfaat, keutamaan ilmu bahasa 'arab, bahaya ilmu-ilmu ahli bid'ah, ilmu berkaitan sifat-sifat Allah dan prinsip dalam memahaminya, bahaya berlebihan dalam mengikuti akal sehingga melampaui dalil, kesan buruk banyak berdebat dan bertengkar dalam urusan agama, adab dalam berbicara, ilmu yang paling utama, timbangan kebenaran, bahaya bid'ah-bid'ah kaum sufi, siapakah yang benar-benar dikatakan berilmu, ilmu demi mencari dunia, dan banyak lagi kupasan lainnya yang begitu menyentuh hati apabila kita menelusurinya secara cermat. 

 [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]

~ http://atsar.ilmusunnah.com/index.php?route=product%2Fproduct&product_id=553

No comments:

Post a Comment