IMAN adalah kedua-dua : cahaya dan kekuatan ; dengannya manusia meningkat setinggi-tingginya sehingga mencapai nilai yang melayakkannya ke Syurga. Dengan kegelapan KUFUR, ia jatuh serendah-rendah darjat yang membawanya ke Neraka..
Pages
▼
Saturday, March 2, 2013
Perpaduan -jawapannya Akidah bukan Bangsa
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Di mana saja hari ini orang bercakap mengenai perpaduan dan penyatuan. Namun, kadangkala perpaduan dan penyatuan yang diharapkan tidak jelas asasnya. Ada yang bercakap mengenai perpaduan bangsanya sahaja. Ada pula menyentuh perpaduan masyarakat komuniti setempat, perpaduan ahli di dalam parti atau di tempat kerja.
Asas perpaduan bagi umat Islam seperti yang Allah Ta’ala sebutkan di dalam al-Quran, maksudnya: “Hendaklah kamu berpegang teguh pada tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.” (surah Ali Imran, 3: 103)
Salman Al-Farisi datang daripada Parsi bertemu dengan Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam. Datang bangsa Arab dari luar seperti Abu Dzar al-Ghifari dan sebagainya menemui Nabi sesuai dengan firman Allah yang disebutkan di dalam al-Quran, maksudnya:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang paling takwa di antara kamu.” (Surah Al-Hujurat, 49: 13)
Itulah asas Islam. Islam tidak pernah meletakkan bangsa sebagai asas perpaduan tetapi Islam meletakkan pegangan agama sebagai asas. Kerana Allah menyebutkan bahawa orang yang paling mulia di sisi-Nya adalah orang paling bertakwa.
Kita semua perlu faham dan ketahui perpaduan manusia perlu dibina atas asas akidah. Allah menjanjikan di dalam al-Quran, maksudnya:
“Dan Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal soleh bahawa Dia bersungguh akan menjadikan mereka berkuasa di atas muka bumi, sebagaimana Dia menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang direda-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa.” (Surah An-Nur, 24: 55)
Itu adalah janji Allah kepada orang yang beriman dan beramal soleh. Jadi segala bentuk perpaduan, asas perpaduan itu harus terbina atas iman yakni akidah. Kalau kita bina perpaduan atas asas selain akidah, kita akan terperangkap sama ada dalam kepentingan kekuasaan atau harta.
Penghalang perpaduan
Terdapat beberapa perkara yang menjadi penghalang kepada asas perpaduan dan penyatuan yang kita cuba bina.
Imam Ibnu Qayyim ketika menyebut mengenai fitnah (ujian) yang berlaku kepada manusia berkata, ia boleh dibahagikan kepada dua;
pertama fitnah syubhat (kekeliruan),
kedua fitnah syahwat (dorongan hawa nafsu).
Kata Nabi di dalam hadis, maksudnya:
Manusia dengan kehormatan dan lisannya yakni perkataan, apa yang dia makan, ini semua syahwat. Bagaimana fitnah wanita hari ini apabila Nabi gambarkan fitnah paling besar yang ditinggalkan adalah fitnah wanita. Berapa ramai pemimpin dunia jatuh kerana wanita, pornografi, skandal dan sebagainya.
Fitnah harta dan wang
Rasuah, korupsi dan hal seumpamanya sering kali orang merujuknya kepada pemerintah dan pemimpin negara. Hakikatnya rasuah ini berlaku pada semua peringkat dan parti politik. Memang pasti tidak ada mana-mana parti politik yang meletakkan rasuah sebagai dasar parti mereka.
Kemungkaran yang berlaku pada ahli di dalam parti ini, merekalah yang merosakkan gerakan dan menyeleweng daripada tujuan asas perjuangan. Kita perlu adil dalam menghukum, jangan kerana seorang habis semua dipukul rata. Itu bukan caranya kita berbicara kerana agama, kerana Allah dan Rasul.
Nabi memberi perumpamaan orang yang gila kepada dunia, pangkat dan kuasa, harta benda dan wang ringgit seperti serigala yang sedang lapar menerkam kambing. Begitu jugalah manusia dalam mengejar dunia mereka. Di dalam hadis lain Nabi menyatakan bahawa dicampakkan ke dalam hati mereka penyakit al-wahn seperti yang dijelaskan dalam hadis riwayat Imam Abu Dawud.
Nabi pernah menegur seorang sahabatnya, Abu Dzar Al-Ghifari di mana beliau pernah datang menemui Nabi dan meminta agar dirinya dilantik menjadi Gabenor. Kata Nabi, Maksudnya: “Jangan kamu minta untuk menjadi pemimpin, sesungguhnya kamu lemah.” Apakah maksud lemah sedangkan Abu Dzar adalah sahabat Nabi, orang yang memiliki ilmu, berjuang bersama Nabi, tetapi Nabi mengatakan dia lemah.
Ulama membahaskan apa maksud Nabi mengatakan sahabatnya lemah. Ulama berpendapat berkemungkinan beliau mempunyai kekurangan dari sudut pengurusan. Ini cara Nabi mendidik kita dalam berpolitik. Bukan sekadar berilmu, pandai bercakap, dan pandai mengulas.
Kata Nabi di dalam hadis, maksudnya: “Allah tidak mengangkat ilmu itu dengan sekali cabut, tetapi Allah mengangkat ilmu itu dengan mematikan ulama, (lalu) manusia akan mengambil orang yang jahil sebagai pemimpin, lalu mereka ini ditanya dan mereka memberi fatwa tanpa ilmu, maka mereka menjadi sesat dan menyesatkan manusia.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
http://ustazfathulbari.wordpress.com/2013/03/03/dakwaan-kerajaan-sering-berlaku-tidak-adil/
Penulis adalah CEO Ilmuan Malaysia (iLMU)
Artikel ini disiarkan di akhbar pada : 2013/03/01
No comments:
Post a Comment