Pages

Saturday, April 13, 2013

Seruan Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)

Multaqa Asatizah & Du'at (MURSHID)'s photo.
Seruan Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)
Menjelang PRU-13 Malaysia


MURSHID adalah perkumpulan asatizah, pendakwah dan ilmuan Islam yang meyakini bahawa pendekatan Islam yang Wasatiyyah merupakan cara yang terbaik untuk umat Islam melaksanakan Syariat Islam di dalam kehidupan mereka. Bertitik tolak dari kesedaran para ilmuwan merupakan guru dan pembimbing masyarakat, MURSHID terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi menjelang PRU-13 sebagai sebahagian dari usaha mendidik dan menasihati masyarakat.

Berpegang kepada prinsip-prinsip fundamental yang telah digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam berkaitan politik, kepimpinan, hak warga yang dipimpin dan juga peranan segenap anggota masyarakat seumpama:

1. Prinsip Amanah

al-Quran: “Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58).

al-Quran (Ali Imran, (3): 103): “Berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…”

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga berpesan: “Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas gembalaanmu” (HR al-Bukhari)

2. Prinsip ‘Adl wa Ihsan

“Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58)

Rasulullah Sallaallahu’alaihi wasallam, di antara lain yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (HR Muslim)

Di dalam hadis lain, baginda juga ada menyebutkan: “Barangsiapa yang berupaya memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya” (HR Muslim);

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga menjanjikan menurut hadis yang disampaikan oleh Abu Hurayrah: “Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim);


3. Prinsip Amar Ma’ruf Nahy Munkar (Mengajak kepada kebaikan melarang kemungkaran)

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Al Imran (3): 110);

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam yang menyentuh persoalan tersebut, antaranya: “Barangsiapa yang nampak kemungkaran hendaklah dia merubahnya dengan tangan, dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia menggunakan lisannya, dan jika tidak mampu hendaklah dia merubahnya dengan hatinya, maka itu adalah selemah-lemah iman” (HR Muslim.)

Di dalam hadis yang lain pula, Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam bersabda: “Ketua para syuhada di syurga ialah Hamzah, dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim dan menasihatinya, dan kemudian dia dibunuh” (Hadis riwayat al-Hakim.)

Baginda juga menyatakan di dalam makna yang sama: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang zalim” (Hadith riwayat al-Tarmidhi, Abu Daud dan Ibn Majah)


4. Prinsip Islah

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasata (satu umat yang pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang menjadi Syuhada (saksi dan pemberi keterangan) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (al-Baqarah (2): 143)

Islah juga merupakan tema asasi perutusan para Nabi dan Rasul. Pendekata, Islam sepertimana yang telah diturunkan oleh Allah SWT ke atas manusia sekeliannya melalaui para Nabi dan Rasul mempromosikan Islah secara hebat. Islah adalah tugas utama para Khalifah di muka bumi sebagai manifestasi kepada pandangan dunia Tawhid mereka. Tanpa Islah, proses ubudiyyah tidak akan berlaku secara berterusan dan diwarisi turun temurun .

5. Prinsip Akhlak Mulia

Allah SWT menegaskan: “Bantu-membantulah kamu di dalam hal kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu bantu-membantu di dalam hal maksiat dan permusuhan…” (Al-Maidah (5): 2)

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam: “Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia (makarim al-akhlaq)” (Riwayat Malik b. Anas.)

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam kepada Abu Bazrah ketika ia berkata kepada beliau: 
Wahai Rasululah, ajarkanlah kepadaku sesuatu yang dengannya Allah memberi manfaat kepadaku.’ Beliau bersabda: “Lihatlah sesuatu yang menyakiti manusia, maka singkirkanlah dari jalan mereka.” (Riwayat Ahmad di dalam Musnad.)


Bertitik tolak dari kesedaran dan prinsip-prinsip yang telah disebutkan, maka MURSHID menyeru:

1) Kepada para warga Malaysia Muslim yang layak mengundi, agar:

a) Menjalankan tanggungjawab mengundi dan hak yang dijamin oleh perlembagaan untuk memilih pemimpin pilihan anda melalui saluran demokrasi yang ada.
b) Membuat pilihan yang tepat berdasarkan maklumat yang lengkap dan adil terhadap calon-calon, parti-parti yang bertanding serta manifesto mereka.
c) Tidak menjadikan sentimen, fitnah, kebencian dan juga hasutan sebagai asas di dalam membuat pilihan ketika membuang undi.
d) Mengeji dan mengelakkan diri dari memberikan sebarang sokongan kepada usaha meraih undi melalui cara siaran gambar atau video berunsur lucah dan tidak bermoral sama ada ia melibatkan ahli atau pemimpin dari apa parti sekalipun. Dilarang juga menyebarluaskan video dan gambar terbabit hatta kalau ia benar sekalipun. Pihak berkuasa yang terlibat juga boleh membuat siasatan seadilnya berdasarkan undang-undang. Hal ini terpakai kepada seluruh warga Malaysia dari semua parti dan bangsa.
e) Memilih mereka yang mempunyai ciri-ciri pemimpin yang boleh menunaikan amanah, bersikap mesra-Islam dan juga mempunyai ciri-ciri pemimpin yang telah disebutkan di atas.
f) Memilih parti yang boleh memartabatkan Islam, berusaha ke arah tadbir urus yang baik (good governance), keadilan dan juga amalan politik yang sihat.
g) Memilih calon yang kuat berpegang dengan agama dan tinggi moralnya, hatta di kalangan bukan Islam sekalipun, kerana pegangan agama dan moral akan lebih menjamin keadilan, amanah dan integriti.
h) Mempertahankan harga diri dengan tidak mengambil rasuah politik, samada, duit, material dan dalam bentuk seumpamanya.
i) Berusaha mencari keyakinan terhadap seseorang calon yang bertanding, partinya dan gabungan bersamanya itu mampu dari sudut 'track record' untuk membawa lebih manfaat lebih baik kepada kebajikan awam. 'Track record' adalah faktor penting bagi menilai kebolehan dan skill calon, parti dan gabungannya untuk mentadbir negara Malaysia.
j) Memahami konteks politik di Malaysia yang mana terdiri dari pelbagai agama, bangsa, parti dan juga memahami jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan persekutuan di Malaysia adalah 112 kerusi parlimen dari 222 seluruh kerusi parlimen. Justeru, pengundi disarankan agar tidak dibazirkan undi masing-masing kepada parti atau calon yang kurang faedah kepada penubuhan kerajaan yang baik dan ditegah dari sengaja merosakkan undi.
k) Menjauhkan diri dari terjebak dalam aktiviti kafir mengkafir secara specifik kepada orang Islam tertentu, ini kerana klasifikasi murtad atau jatuh kafir secara pasti tidak layak diberikan oleh orang awam tanpa perbicaraan yang lengkap.
l) Menggesa agar semua pengundi yang berbeza kecenderungan politik dan parti yang disokong agar tidak (sekiranya tercipta) memanjangkan 'permusuhan', 'sengketa' dan dendam ingin memusnah kepada pihak yang berbeza. Sebaliknya, kembali berbaik dan hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia.

Sehubungan itu juga, MURSHID juga ingin mengingatkan para pengundi sekelian bahawa pilihan yang anda lakukan akan dipersoalkan oleh Allah SWT di padang Mahsyar. Maka, pastikan pilihan anda itu bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.


2) Kepada parti-parti yang bertanding, agar:

a) Tidak berbohong, fitnah, keji, mencaci, politik kebencian dan kotor.
b) Tidak merasuah dan tidak mengamalkan politik wang untuk mendapatkan undi dan kuasa.
c) Tidak menyalahgunakan hak rakyat, wang pembayar cukai, fasiliti milik rakyat yang sepatutnya bukan milik parti, media dan pengaruh sepanjang kempen pilihanraya.
d) Meletakkan calon yang terbaik, berkarisma, mempunyai ciri-ciri yang disebutkan pada (1.e, f dan g) dan meletakkan sifat beragama sebagai asas, hatta di kalangan bukan Islam.
e) Meletakkan kepentingan agama, negara, masyarakat dan alam sekitar sebagai matlamat mendapatkan kuasa dan bukannya demi keuntungan individu, parti ataupun sesetengah kaum dan bangsa semata-mata.
f) Menawarkan tawaran dan manifesto kepada rakyat Malaysia yang mampu dilaksanakan secara realistik.



Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan parti-parti yang bertanding bahawa kuasa adalah amanah, tanggung jawab dan bebanan, anda akan dipersoalkan di akhirat nanti. Maka, pastikan tindakan anda semuanya dan bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.


3) Kepada pihak media penyiaran dan media cetak, agar:

a) Bersikap adil dan memberikan hak dan peluang yang sama kepada setiap parti tanpa pilih kasih serta tidak menzalimi pihak yang lain.
b) Mengamalkan sikap bertanggungjawab dan jurnalisme beretika dengan menjauhi segala fitnah dan adu domba samada untuk tujuan pemasaran mahupun untuk memberikan kelebihan kepada satu pihak dengan menzalimi pihak yang lain.
c) Mengamalkan sikap profesionalisme yang tinggi dan merealisasikan jurnalisme berhemah serta menjaga akhlak dan moral yang tinggi di dalam membuat liputan, laporan dan juga penilaian.
d) Menjadi mata, telinga dan juga suara rakyat sepanjang membuat liputan mengenai pilihanraya, serta mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti-parti tertentu.

Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan pihak media bahawa anda akan dipersoalkan di akhirat nanti di atas apa yang anda laporkan. Maka, pastikan tindakan anda semuanya bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.



4) Kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), agar:

a) Menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat dengan adil, bertanggungjawab, penuh integriti, telus dan bersih.
b) Tidak berpihak, hatta kepada parti yang berkuasa dan sentiasa ingat bahawa akauntabiliti anda adalah kepada rakyat dan bukannya kepada parti yang memerintah sebelum parlimen dibubarkan.
c) Mengutamakan masa depan negara, kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia dan bukannya pihak-pihak tertentu sahaja.
d) Melakukan perkara-perkara yang patut seperti pembersihan senarai pemilih dan bersikap responsive terhadap tuntutan rakyat demi memperbaiki kredebiliti dan imej SPR yang semakin calar dan dipertikaikan.
e) Bertanggungjawab untuk mengembeleng segala usaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada fungsi asal SPR yang bukan sekadar tidak berpihak, tetapi juga wajib dilihat sebagai tidak berpihak.

Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa anda akan dipersoalkan di akhirat nanti di atas tanggungjawab yang anda jalankan. Maka, pastikan perlaksanaan tugas anda semuanya bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.

Dari Kami

Tuan Guru Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Pengerusi Shura)
Dr Zaharuddin Abd Rahman (Presiden & Ahli Shura)
Tuan Guru Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Ahli Shura)
Dr Zahazan Mohamed (Ahli Shura)
Ustaz Roslan Mohamed (Timbalan Presiden & Ahli Shura)
Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahman (Naib Presiden)
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman (Setiausaha Agung)
Ust Muhd Ramadhan Fitri Ellias (Bendahari Agung)


Ahli Jawatankuasa

Dr Maszlee Malik
Dr Ahmad Wifaq Mokhtar
Dr Mohd Sukki Othman
Ustaz Mohd Asyraf Mohd Ridzuan
Ustaz Fauwaz Fadzil
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Ustaz Mohd Aizam Mas’od
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim
Ustaz Mohd Zamri bin Haji Mohd Zainuldin
Ustaz Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang
Xifu Abdul Naser Abdul Rahman

13 April 2013

No comments:

Post a Comment