IMAN adalah kedua-dua : cahaya dan kekuatan ; dengannya
manusia meningkat setinggi-tingginya sehingga mencapai nilai yang melayakkannya ke Syurga.
Dengan kegelapan KUFUR, ia jatuh serendah-rendah darjat yang membawanya ke Neraka..
Pages
▼
Saturday, June 1, 2013
Dongeng Demokrasi , Pembangkang dan Candu-candunya
DONGENG DEMOKRASI, PEMBANGKANG DAN CANDU-CANDUNYA. Oleh: AZMAN HUSSIN
POLITIK demokrasi adalah berkenaan perebutan kekuasaan untuk memerintah negara.
Apa yang masyarakat awam nampak hanyalah perkara-perkara luaran seperti
ketidakadilan pemerintah, kenaikan harga-harga barangan keperluan, tol,
rasuah pemerintah, kekayaan melampau pemerintah dan suku-sakat mereka,
yang telah menjadi modal politik yang disebar dan diulang-ulang oleh
pihak parti pembangkang.
Tamadun manusia sebenarnya digerakkan
motif ekonomi, perebutan hasil kekayaan, dan semua itu hanya boleh
dicapai dengan memegang kekuasaan negara, dan dengan menjadikan isu-isu
kepentingan rakyat sebagai modal terbesar, agar rakyat menyokong dan
mengangkat mereka ke puncak kekuasaan.
Hakikatnya isu-isu
agama, sosial, keadilan, dan sebagainya hanyalah alat penarik sokongan
daripada rakyat. Isu-isu ini hanya menjadi candu mengkhayalkan dan bahan
hiburan kepada rakyat kebanyakan yang tertekan dalam dunia moden yang
kompleks, yang tidak memahami isu dan keadaan sebenar yang mereka
hadapi. Mereka hanya dieksploitasi untuk memuaskan nafsu besar
sekelompok manusia.
Negara yang maju seperti Amerika Syarikat,
yang menjadi pusat pemerintahan dan kiblat dunia moden, juga dikuasai
secara belakang tabir oleh sekumpulan manusia yang sangat kaya-raya.
Merekalah yang memainkan peranan penting menggerakkan jentera kempen
politik, memberikan dana kewangan, publisiti media, dan pelbagai
sokongan lain lagi. Mereka adalah pelabur dan kapitalis besar yang akan
segera meraih keuntungan jika pihak yang bersekongkol menerima bantuan
mereka menguasai pentadbiran sesebuah kerajaan.
Politikus-politikus yang berkuasa ini hanya akan lebih menjaga dan
memenangkan para pelabur mereka ini, bukannya rakyat terbanyak jika
mereka memerintah. Mereka akan menegakkan dasar-dasar yang memberi
keuntungan lebih kepada pelabur-pelabur politik ini.
Kepentingan-kepentingan rakyat hanya dilakukan untuk mengaburi mata
rakyat dan untuk terus mengekalkan kekuasaan mereka.
Adakah keadaan yang sama juga sedang terjadi di Malaysia?
Politik adalah perniagaan yang besar. Politikuslah yang menentukan
dasar-dasar ekonomi negara, sama ada ia akan merugikan ahli perniagaan
tertentu atau sebaliknya. Politikus boleh bila-bila masa meranapkan atau
membesarkan empayar perniagaan seseorang dengan menukar dasar-dasar
tertentu berkaitan perniagaan.
Perlu difahami, jika anda
memiliki wang yang bertrilion sekalipun, anda tidak dapat membeli
sesebuah bank atau entiti perniagaan tertentu misalnya, kerana ia
tertakluk di bawah undang-undang atau akta sesebuah negara itu. Itulah
yang perlu dirombak. Dan untuk mengubah perkara ini, gergasi-gergasi
kapitalis ini akan berusaha membeli politikus-politikus penggubal dasar
negara.
Dan dalam dunia hari ini, tiada politikus yang akan
berjaya ke takhta kekuasaan tanpa sokongan dan dana kewangan. Di situlah
bermulanya urusniaga mereka.
Dunia ini telah disempitkan
dengan idea globalisasi yang dibawa oleh pihak Barat sebagai peneraju
(sebenarnya sekelompok manusia yang menguasai tamadun Barat) untuk
memudahkan usaha-usaha mereka mengawal dan mengatur sistem dunia ini.
Kerana itulah pemikir-pemikir mereka seperti Thomas L. Friedman menulis
buku-buku berkenaan globalisasi, konsep dunia sama rata, idea-idea
liberal, demokrasi, pluralisme, dan sebagainya untuk membesarkan empayar
perniagaan sekelompok manusia tadi. Banyak buku beliau seperti The
Lexus and the Olive Tree, The World is Flat atau Hot, Flat and Crowded
membawakan idea-idea ini. Hal ini sangat kompleks untuk dijelaskan
secara terperinci.
Barangkali perkara ini boleh difahami melalui analogi seperti di bawah: Katakanlah sekumpulan gergasi korporat telah menguasai pentadbiran Amerika yang mengetuai negara-negara kuasa besar dunia.
Dengan pengaruh kewangan, ketenteraan, media dan sebagainya, mereka
mahu meluaskan kekuasaan ekonomi mereka ke seluruh dunia. Di
negara-negara yang ditadbir diktator, yang menutup pintu dan tidak mesra
perniagaan dengan mereka, mereka menggalakkan revolusi dengan
membekalkan senjata api dan bom kepada para pemberontak untuk
menumbangkan kerajaan sedia ada seperti Libya, Mesir atau Tunisia.
Ini dilakukan untuk meletakkan boneka mereka sebagai pemerintah.
Negara-negara yang menutup pintu seperti Afghanistan akan dibom, dan
mereka mencipta pelbagai alasan melalui media mereka untuk menutup
kekejaman mereka itu di mata masyarakat dunia.
Lihatlah apa
yang telah terjadi kepada negara tersebut sesudah dijatuhkan.
Gergasi-gergasi korporat telah berlumba-lumba memasuki negara tersebut.
Pawagam, rumah pelacuran, butik pakaian moden, dan syarikat gergasi
seperti Coca-cola misalnya, mulai tumbuh.
Sementara itu di
negara-negara lain, yang menjalin hubungan perniagaan dengan mereka,
mereka menyuburkan amalan demokrasi. Demokrasi menjadikan rakyat
berpecah-belah dan kerajaan akan sentiasa berada di dalam keadaan tidak
stabil. Jika dilihat kepada yayasan dan pertubuhan-pertubuhan yang
kononnya bebas, yang memperjuang dan mempromosikan masyarakat terbuka,
demokrasi, kebebasan media, sekelompok orang inilah yang menyalurkan
dana kewangan yang sangat banyak. Mengapakah mereka begitu bermurah hati
dalam hal ini?
Di negara-negara yang mengamalkan demokrasi
ini, mereka menaja tokoh-tokoh parti pembangkang secara tidak langsung
untuk menggugat dan melemahkan kerajaan. Mereka menganjurkan kebebasan
media untuk menghuru-harakan masyarakat. Rakyat akan bebas bersuara dan
mengkritik kerajaan. Apabila sesebuah kerajaan itu lemah, sibuk
menghadapi penentangan dalaman setiap masa, hampir kehabisan dana untuk
kegiatan politik, mereka akan datang mengambil peluang dengan menawarkan
pinjaman wang misalnya.
Sekalipun kerajaan tidak meminjam
pada masa itu, lambat-laun kerajaan tersebut akan kehabisan wang untuk
menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat dalam manifesto PRU mereka.
Jika tidak ditunaikan janji-janji yang terpaksa dibuat untuk menyaingi
janji-janji parti pembangkang, kerajaan tersebut mungkin akan tumbang
pada PRU ke seterusnya ataupun lebih cepat melalui revolusi berdarah.
Pembangkang akan diberikan sokongan wang dan sebagainya. Dengan
tuduhan-tuduhan oleh pembangkang yang kebanyakannya benar seperti
korupsi, penyalahgunaan kuasa, kekayaan dan kemewahan melampau
pemerintah, rakyat akan terhasut untuk bangun melawan, apatah lagi jika
hal ini diulang-ulang. Rakyat akan buta hati melihat penyelewengan
kerajaan yang dibesar-besarkan ini sehingga mereka tidak sedar bahawa
mereka berjuang untuk sekelompok orang tadi.
Sebaliknya pula,
parti pembangkang akan menjanjikan apa sahaja yang kelihatan lebih baik
untuk rakyat dalam manifesto mereka. Misalnya menghapuskan tol,
penurunan harga petrol, harga kereta, pendidikan percuma dan sebagainya.
Mereka menggunakan pelbagai hujah yang mudah dan kelihatan logik untuk
diterima rakyat kebanyakan. Rakyat yang tidak memahami bagaimana situasi
yang berlaku di dalam negara, misalnya kenaikan harga petrol, berkait
rapat dengan dunia luar, akan terpedaya. Rakyat kebanyakan akan mudah
terkesan dan emosional.
Hal-hal ini mudah menawan minda rakyat
kebanyakan yang tidak faham dan hanya memikirkan periuk nasi mereka.
Untuk meredakan kebangkitan rakyat tersebut, pemerintah akan terpaksa
menghabiskan banyak wang, misalnya membahagikan wang segera kepada
rakyat. Kerajaan tidak lagi berfikir untuk kebaikan dan masa depan
rakyat, tetapi terpaksa menuruti kehendak rakyat yang telah dihasut
pembangkang. Negara akan terletak dalam keadaan tidak berduit dan mahu
tidak mahu mereka terpaksa meminjam wang suatu masa nanti dengan kadar
faedah yang tidak mungkin kerajaan tersebut berjaya melunaskan semua
hutang tersebut sehingga negara tersebut akan tergadai.
Dalam
keadaan ini, kerajaan akan terdesak dan diperas ugut untuk
menandatangani perjanjian-perjanjian perdagangan bebas dan sebagainya,
yang akan menyebabkan sekelompok gergasi korporat tadi dapat berleluasa
memasuki negara tersebut untuk meluaskan empayar perniagaan mereka
setelah tembok-tembok penghalang runtuh. Padang permainan telah menjadi
rata.
Sama ada kerajaan bertukar atau tidak, kedua-dua keadaan ini hanya menguntungkan mereka.
Kerana sekelompok manusia ini memilik wang yang sangat banyak,
seolah-olah mereka adalah mesin pencetak wang, mereka dapat membeli apa
sahaja entiti perniagaan, melabur di mana saja jika perdagangan telah
bebas sepenuhnya, maka rakyat sesebuah negara itu akan beralih tuan
daripada kerajaan sedia ada kepada bertuankan sekelompok gergasi
korporat tersebut tadi. Politikus-politikus hanya akan menjadi pentadbir
dan penjaga amanah kepada sekelompok manusia tadi. Hal ini seperti
pepatah Melayu, keluar dari mulut harimau akan masuk ke mulut buaya.
Seperti simbol mata satu Dajjal, semua perusahaan, bank, dan sebagainya
di seluruh dunia, akan bergerak ke arah pergabungan menjadi satu, iaitu
di bawah penguasaan oleh sekelompok manusia yang sangat kaya dan
berpengaruh tadi. Mereka akan menguasai dunia ini dan menggubal
undang-undang dunia untuk menjaga kepentingan mereka, dan memperhamba
seluruh manusia.
No comments:
Post a Comment