Pages

Monday, June 10, 2013

Menghidupkan Sunnah Di Bulan Sya’ban


Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com
BULAN SYA’BAN hampir menutup tirainya manakala Ramadhan pula bakal menjelang. Namun ada sebahagian dari kita kurang memanfaatkan keutamaan bulan Sya’ban ini sebaiknya.

Bulan Sya’ban adalah bulan diangkatnya amal-amal perbuatan ke sisi Allah. Dan bulan Sya’ban juga adalah bulan yang padanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memperbanyakkan ibadah puasa sunnah berbanding bulan-bulan selainnya.

‘Usamah B. Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
“Sya’ban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Rabb semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Musnad Ahmad, no. 21753. Sunan An-Nasaa’i, no. 2357. Dinilai hasan oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha juga pernah mengkhabarkan dengan katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ
“Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah mengetahui beliau lebih banyak berpuasa sunnah selain dari bulan Sya’ban.” (Shahih al-Bukhari, no. 1969)

Di antara hikmah dan faedah lain memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban adalah sebagai salah satu bentuk persiapan memasuki Ramadhan. Iaitu bulan yang padanya umat Islam akan menunaikan keawajiban berpuasa selama sebulan penuh. 

Semoga dengan membiasakan diri berpuasa sunnah di bulan Sya’ban mampu menjadikan tubuh-badan merasa ringan untuk berpuasa penuh di bulan Ramadhan, insyaAllah.


Puasa Penuh Di Bulan Sya’ban
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha memberitahu Abu Salamah:
لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban. Beliau berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya.” (Shahih al-Bukhari, no. 1970)

Para ulama berbeza pendapat dalam memahami hadis ini. Sebahagian daripada mereka menyatakan kadangkala Rasulullah berpuasa penuh, dan adakalanya Rasulullah berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban. Manakala sebahagian lagi berpendapat menyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanya berpuasa sebahagian besar dari bulan Sya’ban dan tidak pernah berpuasa untuk keseluruhan bulan Sya’ban.

Dari perbezaan pendapat yang timbul ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menguatkan pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah hanya berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban dan bukan keseluruhan dari bulan Sya’ban.

 Beliau menukilkan perkataan Imam Ibnul Mubarak rahimahullah:
جائز في كلام العرب إذا صام أكثر الشهر أن يقول صام الشهر كله ويقال قام فلان ليلته أجمع ولعله قد تعشى واشتغل ببعض أمره
“Menurut konteks bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/214)

Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yang lain sebagaimana disebutkan di atas daripada ‘Aisyah, “Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan.” (Shahih al-Bukhari, no. 1969)

Juga berdasarkan kefahaman yang dapat diambil daripada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ini:
لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ
Jangan sekali-kali salah seorang di antara kamu mendahului puasa Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya melainkan bagi orang yang sudah biasa berpuasa pada hari tersebut, maka bolehlah dia berpuasa pada hari tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1914)

Maka dari apa yang dapat difahami di sini kita disunnahkan supaya memperbanyakkan puasa sunnah di dalam bulan Sya’ban berbanding bulan-bulan selainnya. Dan tidak dianjurkan berpuasa sebulan penuh sebagaimana pendapat yang lebih tepat.

Ini adalah sebagai salah satu rangka mengikuti dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka yang bersungguh-sungguh dalam mengikuti dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam maka dia termasuk ke dalam golongan yang mencintai Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sebenar-benarnya.

Adapun amalan lain tertentu di bulan Sya’ban seperti amalan kenduri majlis tahlil yang dilakukan oleh sebahagian kecil masyarakat Islam di negara kita hari ini, wallahu a’lam tidak ditemui satu pun dalil yang menganjurkannya. Bahkan amalan kenduri tahlilan itu sendiri termasuk amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Yang lebih tepat hendaklah ia ditinggalkan dan cukuplah dengan kembali menghidupkan sunnah-sunnah yang telah jelas sahih dalil-dalilnya dan anjurannya.

Nisfu Sya’ban
Sebahagian umat Islam apabila masuknya bulan Sya’ban mereka akan fokus menanti datangnya malam nisfu Sya’ban. Mereka juga akan mengkhususkan malam tersebut dengan beberapa jenis amalan tertentu seperti solat sunnah yang khusus dan bacaan ayat-ayat al-Qur’an tertentu. Sebahagian yang lain pula menganggap malam tersebut sebagai malam ditentukan rezeki dan ajal bagi seseorang.

Wallahu a’lam, di sebalik semua itu wujudkah dalil-dalil yang mendukung keistimewaan malam tersebut secara khusus? Apa sebenarnya keistimewaan malam tersebut? Apa pula kata para ulama berkaitan dengannya?

Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menyebutkan dalam Tafsirnya:
وليس في ليلة النصف من شعبان حديث يعول عليه لا في فضلها ولا في نسخ الآجال فيها
“Berkenaan dengan malam nisfu Sya’ban, padanya tidak terdapat satu hadis pun yang dapat dijadikan sebagai sandaran, sama ada tentang keutamaannya atau tentang pembatalan ajal seseorang.” (Tafsir al-Qurthubi, 16/128)

Pernyataan al-Qurthubi ini turut didukung antaranya oleh al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali dan Imam Abu Syamah.

Walau bagaimanapun di sana terdapat sebuah hadis (yang datang dengan beberapa lafaz) yang diperselisihkan status kesahihannya tentang keutamaan malam nisfu Sya’ban.

 Ia sebagaimana hadis berikut:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
“Sesungguhnya Allah memerhatikan para hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban (pertengahan Sya’ban) lalu Dia mengampuninya kecuali orang-orang musyrik atau orang yang suka bermusuhan.”
Manakala pada sebahagian lafaz menyebutkan, “Sesungguhnya Allah turun pada malam nisfu Sya’ban…”

Sebahagian ulama hadis mensahihkannya, manakala sebahagian lain pula mengingkari kesahihannya. Hadis ini diriwayatkan dari jalur sanad beberapa sahabat, iaitu Mu’adz B. Jabal, Abu Tsa’labah al-Hutsaini, ‘Abdullah B. ‘Umar, Abu Musa al-Ays’ari, Abu Hurairah, Abu Bakar ash-Shiddiq, ‘Auf B. Malik, dan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhum ajma’in. Direkodkan antaranya oleh Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, ath-Thabrani, al-Bazzar, dan al-Mundziri.

Secara umum antara ulama yang mensahihkannya adalah Ibnu Hibban, Ibnu Hajar al-Haitsami, dan al-Albani. Manakala antara yang menjelaskan kedhaifannya adalah Imam al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwadzi bi Syarah Jami’ at-Tirmidzi.

Seandainya sahih sekalipun hadis ini, maka ia hanya menunjukkan keutamaan malam nisfu sya’ban secara umum. Sebagaimana kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, “Dalam hal ini, pendapat yang dipegang oleh majoriti atau sebahagian besar ulama sama ada dari kalangan sahabat kami ataupun dari selainnya, mereka menyatakan bahawa malam nisfu Sya’ban adalah malam yang memiliki keutamaan.” (Iqtidha’ ash-Shirathal Mustaqim, 1/302)

Walau bagaimanapun, hadis tersebut sedikitpun tidak menunjukkan adanya anjuran untuk mengkhususkan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu sama ada dengan berpuasa, bersolat, berdoa, mengkhatamkan al-Qur’an, membaca ayat-ayat al-Qur’an tertentu, atau sebarang bentuk ibadah lainnya. Malah turunnya Allah Tabaraka wa Ta’ala ke langit dunia sebenarnya berlaku di setiap malam. Tidak hanya pada malam nisfu Sya’ban. Ini sebagaimana hadis dalam dua kitab Shahih (al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, sesiapa yang mahu menyatakan adanya amalan khusus tertentu pada malam nisfu Sya’ban hendaklah dia mengemukakan dalil yang sahih. Antara ulama yang menegaskan bahawa tiadanya amalan khusus tertentu pada malam nisfu Sya’ban sama ada dengan solat, puasa, bacaan al-Qur’an atau yang sewaktu dengannya adalah Ulama tabi’in Atha’ B. Rabah (Wafat: 114H) dan Zaid B. Aslam (Wafat: 136H), Imam an-Nawawi, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, Imam as-Suyuthi, Imam az-Zabidi, al-Mubarakfuri, dan Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz.

Untuk penjelasan dengan lebih terperinci dalam bab ini, penulis mencadangkan supaya para pembaca meneliti sebuah kitab hasil thesis milik Syaikh ‘Abdullah B. ‘Abdul ‘Aziz at-Tuwaijiri berjudul al-Bida’ al-Hauliyyah (Bid’ah-bidah Sepanjang Tahun), dan buku ini telah pun diterjemahkan. 

Oleh itu, hendaklah kita menghidupkan amalan-amalan yang telah jelas anjurannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Sebaliknya hendaklah kita meninggalkan amalan-amalan yang tidak memiliki dasarnya sedikitpun. Secara umumnya, meninggalkan amalan (ibadah) yang tidak diamalkan dan tidak pula dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu sendiri adalah termasuk salah satu sunnah, manakala menghidupkannya adalah bid’ah. Wallahu a’lam.

~ http://www.ilmusunnah.com/?p=3396http://www.ilmusunnah.com/?p=3396

No comments:

Post a Comment