Pages

Saturday, August 17, 2013

Ambil iktibar daripada tragedi yang melanda Mesir


Ambil iktibar daripada tragedi yang melanda Mesir

Oleh Azman Anuar

KRISIS politik di Mesir memuncak pada Rabu lalu apabila kira-kira 2,200 orang maut selepas polis dan tentera menggempur lokasi ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong bekas Presiden Muhammad Mursi di Kaherah. Kekejaman pasukan keselamatan Mesir itu membangkitkan kecaman dan kutukan daripada pemimpin dan masyarakat dunia.

Walaupun jauh beribu kilometer dari Kaherah, tetapi kita dapat melihat kesan dan iktibar apabila rebutan kuasa politik akhirnya boleh memudaratkan kehidupan rakyat.

Paling membimbangkan jika perang saudara antara kumpulan penyokong Mursi dengan pihak anti-Mursi tercetus.

Sentimen balas dendam bakal menjadi faktor utama dalam pergolakan di Mesir selepas ini, mungkin sama dengan apa yang berlaku kepada Iraq dan Syria sekarang.

Dalam situasi ini, bagaimana nasib lebih 3,000 rakyat dan pelajar Malaysia di sana?

Ketika pergolakan menjatuhkan Hosni Mubarak pada 2011, atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Kerajaan Malaysia menyediakan pengangkutan udara untuk membawa pelajar dan rakyat kita pulang ke tanah air. Syukur, hampir semua pelajar kita yang pulang terselamat daripada tindakan perusuh ketika itu.

Kita tidak lupa bagaimana tindakan sesetengah pihak dan suara-suara sumbang daripada kalangan pemimpin pembangkang yang mempertikaikan bantuan kerajaan itu.

Kali ini, jika operasi menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir dilakukan, utamakan mereka yang sedia menerima bantuan sahaja. Jangan dipaksa ahli dan penyokong parti pembangkang yang berada di Mesir untuk turut serta.

Bukalah mata dan fikiran kita seluas-luasnya. Apa yang berlaku di Syria untuk menjatuhkan Presiden Bashar Assad sejak dua tahun lalu menyebabkan rakyat negara itu hilang rasa selamat. Sekarang rakyat Mesir sedang melalui apa yang dirasai oleh rakyat Iraq dan Syria. Keamanan dan kemakmuran negara mereka sudah diragut oleh dua kumpulan yang saling bermusuhan dan berbunuhan.

Apakah yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq dan negara Islam lain hendak dibiarkan berlaku di Malaysia? Rusuhan, demonstrasi dan menentang undang-undang negara adalah suasana yang digemari oleh penyokong Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkang.

Bersyukurlah kita kerana pasukan polis dan tentera Malaysia tidak sekejam pasukan keselamatan negara lain yang telah kita saksikan cara mereka menyelesaikan penentang kerajaan.

Bersyukur juga kita kerana bermacam-macam strategi dan perhimpunan haram yang diatur oleh hulubalang parti pembangkang berkesudahan dengan kegagalan.

Beberapa kali usaha dan gerakan menghimpunkan ratusan ribu rakyat negara ini seperti yang berlaku di negara Asia Barat tidak berjaya malah ditolak oleh rakyat Malaysia yang mengutamakan keamanan dan kestabilan politik daripada kepentingan peribadi pemimpin pembangkang.

Sungguhpun begitu, puak-puak pembangkang tidak pernah putus asa meracuni pemikiran rakyat. Oleh itu, kerajaan Barisan Nasional yang terus diberi mandat kali ke-13 untuk mentadbir kerajaan Malaysia diharap - jangan berlembut dan terlalu beri muka kepada mana-mana pihak terutama dalam soal keselamatan negara.

Kita yakin, jika dibuat pungutan suara sekalipun, rakyat tidak tergamak untuk bersekongkol meletakkan Malaysia dalam keadaan huru-hara seperti di Mesir atau negara Arab yang bergolak.

Namun ada kegusaran bermain dalam minda rakyat. Selama ini pembunuh paling tinggi di Malaysia antaranya ialah kemalangan maut jalan raya. Tempat itu mungkin diambil alih tidak lama lagi jika kawalan dan pencegahan jenayah pembunuhan tidak dibendung.

Sebelum ini kita cuma tertanya-tanya tentang insiden tembak yang membunuh orang awam di Amerika Syarikat. Tetapi sejak April lalu, kes pembunuhan bagaikan sudah menular ke negara kita pula. Mangsa yang dibunuh pula bukan sahaja berprofil tinggi malah orang biasa seperti guru dan peniaga kecil.

Rakyat amat-amat mengharapkan penyelesaian kes-kes tembak ini dengan segera. Polis kena kuatkan kerja-kerja risikan dan siasatan.

Iktibar daripada tragedi di Mesir dan kes tembak di negara kita, maka kerajaan perlu undang-undang yang lebih tegas untuk menjaga keselamatan diri dan nyawa rakyat Malaysia.

Kerajaan bukan tidak pernah menarik balik undang-undang demi memenuhi kehendak rakyat dan pemimpin pembangkang. Oleh itu, atas faktor utama keselamatan dalam segala aspek maka eloklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) diperkenalkan semula.

Tak usah kerajaan berasa malu kerana bersikap buruk siku. Matlamat utama adalah untuk menyelesaikan krisis jenayah pembunuhan bersenjata api dan membendung jenayah dan gerakan yang menggugat keselamatan awam.

Undang-undang itu sebelum dimansuhkan, bukan bersifat zalim atau disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. Kita tahu kebaikannya dan kini kita sedar keburukannya apabila ia ditiadakan.

No comments:

Post a Comment