Pages

Tuesday, August 6, 2013

Taksub Gajet Mudaratkan Fizikal dan Mental


Taksub Gajet Mudaratkan Fizikal dan Mental

Oleh Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad

Baru-baru ini saya bersama beberapa rakan makan di sebuah restoran dan sementara menunggu hidangan, sempat pula melihat gelagat beberapa kanak-kanak yang asyik dengan gajet masing-masing.

Terlalu asyiknya mereka seolah-olah berada dalam dunia tersendiri. Mereka lebih senang dan ramah berkomunikasi dengan gajet, namun tidak sesama sendiri.

Adakah senario ini menjadi lumrah kehidupan pada zaman digital?

Adakah hubungan keluarga dan proses pembesaran kanak-kanak sedang melalui proses transformasi luar biasa?

Adakah gajet digital meningkatkan kreativiti dan membuatkan dunia sosial kanak-kanak lebih terbuka luas atau gajet itu merampas kesejahteraan zaman kanak-kanak?

Untuk menjawab persoalan di atas, kita perlu mempertimbangkan kebaikan dan keburukan gajet digital. Kita pasti menerima hakikat bahawa Internet, gajet digital dan banyak aplikasi memberi manfaat kepada manusia.

Internet adalah lautan ilmu tanpa sempadan. Maklumat boleh diperoleh di hujung jari secara percuma.

Akibatnya, manusia menjadi lebih bermaklumat, tetapi sama ada mereka berilmu dan beramal yang baik, ini boleh dipersoalkan.

Sistem pendidikan berubah secara drastik. Ramai guru dan pensyarah menggunakan Facebook dan laman web untuk memberi arahan dan berkomunikasi dengan pelajar mereka mengenai tugasan yang perlu disiapkan.

Selain itu, alam siber adalah hadiah kepada manusia yang bersifat ingin tahu yang boleh membawa kepada penerokaan sebenar pada kemudian hari.

Kebanyakan jawapan kepada persoalan kita boleh dijawab melalui gajet digital. Kewujudan Internet, pembelajaran dalam talian, aplikasi rangkaian sosial seperti Twitter, Facebook dan aplikasi lain akan terus menjadi rakan baik generasi digital.

Namun, kebimbangan timbul apabila generasi ini terlalu obses dengan gajet digital mereka sehingga boleh mengakibatkan risiko kesihatan fizikal dan mental.

Keghairahan mereka terhadap gajet menyebab–kan ada yang mengabaikan makan, kurang tidur, lalai menyiapkan kerja sekolah dan kurang berkomunikasi dengan ibu bapa. Melihat skrin gajet dalam jangka panjang tanpa rehat yang cukup boleh mengakibatkan gangguan penglihatan.

Kecenderungan menjadikan hobi berinteraksi dengan gajet digital turut menjadikan kanak-kanak kurang aktif secara fizikal. Ini menyebabkan otot tidak bergerak dan badan tidak berpeluh.

Apabila mereka kurang bersenam, ini akan meningkatkan risiko kegemukan, penyakit jantung dan kencing manis. Ada juga kes kanak-kanak mengalami kekurangan berat badan disebabkan keasyikan bermain permainan video sehingga lupa makan manakala kurang tidur akan menjejaskan emosi, ting–kah laku dan pembelajaran di sekolah.

Terdapat juga ibu bapa yang mendedahkan komputer tablet kepada anak di bawah umur dua tahun. Kajian menunjukkan aplikasi komputer termasuk yang kononnya direka untuk bayi dan kanak-kanak seawal usia dua tahun tidak memberi manfaat pendidikan, sebaliknya menimbulkan risiko pembangunan sosial dan emosi.

Kanak-kanak di bawah usia dua tahun seharusnya belajar membangunkan diri menerusi permainan kreatif dan bereksperimen dengan persekitaran, bukannya skrin gajet komputer.

Pengalaman pendidikan terbaik membabitkan interaksi dengan orang dewasa dan kanak-kanak lain, aktif secara fizikal, meneroka persekitaran dengan menggunakan semua deria dan belajar untuk berkomunikasi.

Untuk mengurangkan risiko kesihatan terhadap kanak-kanak, ibi bapa disarankan supaya mengehadkan masa penggunaan gajet digital kepada satu jam saja setiap kali anak menggunakan gajet. Galakkan anak membuat aktiviti fizikal supaya mereka menerima rangsangan semula jadi untuk pembesaran yang sihat.

Pendidikan anak tang–gungjawab ibu bapa. 
 
 Generasi digital perlu dididik supaya memahami konsep celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sebenar iaitu bijak menggunakan gajet digital, faham konsep keselamatan ICT, mahir menggunakan aplikasi ICT terkini, bijak mengaplikasi pengetahuan ICT untuk kesejahteraan diri, organisasi dan umat sejagat dan praktis amalan terbaik ICT untuk kesihatan sepanjang hayat.

Jika ibu bapa tidak menitikberatkan aspek kesihatan dan keselamatan penggunaan gajet digital terhadap anak mereka, kita bimbang generasi digital ini akan menjadi dewasa dalam keadaan kurang aktiviti fizikal, kurang berinteraksi bersemuka, anggota fizikal yang cacat dan kemungkinan wujud masalah psikososial.

Adakah kita perlu bimbang atau tidak? Terserah kepada anda untuk memikirkannya kerana mung–kin kita sudah tiada lagi untuk menyaksikan generasi ‘zombie’ berkeluarga, bermasyarakat, mentadbir organisasi dan mentadbir dunia.

Penulis ialah bekas Profesor Madya Informatik Kesihatan yang berkhidmat 
 

No comments:

Post a Comment