Pages

Friday, September 6, 2013

Baghdad Kota Rebutan


Baghdad Kota Rebutan


DAHULU wilayah Iraq disebut Mesopotamia, salah satu tempat lahirnya kebudayaan paling tua. Nama Mesopotamia berasal daripada penyebutan orang Yunani terhadap wilayah itu. Di negara itu pernah wujud kerajaan-kerajaan besar seperti Assyria, Babylon dan Parsi. Setelah ditakluki oleh orang Islam, kawasan itu menjadi tempat kekhalifahan Abbasiyah (750-1258) sebelum jatuh ke tangan orang Mongol, Turki dan Inggeris.

Ketika di bawah penguasaan Abbasiyah, Iraq mengalami kemajuan yang cukup pesat seperti dalam bidang ekonomi, ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, kesenian, sastera dan politik. Kemajuan di bidang ekonomi dan perdagangan membawa kepada kemajuan ilmu pengetahuan, falsafah dan kebudayaan Islam.

Kini untuk hari yang ke-16, kota Baghdad dihujani oleh peluru-peluru yang canggih daripada tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya. Dalam catatan sejarah, kota Baghdad yang juga dikenali sebagai `kota perdamaian' kini bertukar rupa menjadi `kota peperangan'.

Khalifah Al Mansur menamai Baghdad dengan sebutan Medinat As-Salam (Kota Perdamaian) nama yang diadaptasikan daripada kehidupan syurga di mana dalam al-Quran disebut Darussalam (surah al-An'am ayat 127).

Baghdad ketika itu dibangun dengan mengambil inspirasi suasana syurga seperti yang digambarkan di dalam al-Quran. Banyak ayat al-Quran (misalnya surah al-Hajj ayat 14, surah al-Ahzab ayat 20 dan surah at-Talaq ayat 11) yang menjelaskan keadaan syurga sebagai tempat bagi orang bertakwa dan beramal soleh yang di bawahnya `mengalir sungai-sungai'.

Realitinya Baghdad tidak lagi sedamai `sungai' (syurga) yang diimpikan oleh semua orang. Sejak tahun 1979, Saddam Hussein menjadi Presiden Iraq dan membawa negara itu dalam kancah peperangan.

Pada 1980-1988, Iraq berperang melawan Iran. Peperangan meletus kerana Saddam ingin mencegah meluasnya revolusi Islam Iran ke Iraq. Peperangan hanya berhenti apabila usul gencatan senjata yang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diterima oleh kedua-dua belah pihak.

Baghdad yang sebelum ini pernah dihancurkan sebanyak tiga kali oleh pihak luar iaitu diserang oleh Hulagu Khan (1217-1265) dari Asia Tengah (Mongol) dalam tahun 1258 dan kemudian diikuti dengan serangan Timur Lenk (1370-1405) selama seabad. Pada tahun 1508 Iraq dikuasai oleh Parsi di bawah pimpinan Ismail Safawi, kemudian Iraq dikuasai oleh Turki Uthmani pada 1683.

Pada 2 Ogos 1990, Iraq menyerang Kuwait. Iraq menuduh Kuwait membanjiri pasaran minyak dunia dan mencuri minyak dari daerah Ruimailia yang masih dipertikaikan kedua-dua negara itu.

Akhirnya pada Januari 1991, peperangan kembali meletus di wilayah Iraq. Pasukan pelbagai negara di bawah pimpinan AS menggempur negara itu kerana menganggap Iraq akan menakluki Kuwait dan ingin menjadikan negara itu sebagai wilayah ke-19. Bahkan ketika Iraq kalah perang, PBB melakukan sekatan ekonomi secara total. Hal itu menyebabkan situasi sosial dan ekonomi Iraq sangat meruncing.

Sebelum itu Iraq sangat makmur. Simpanan minyaknya sekitar 100 juta tong, termasuk yang terbesar di dunia. Situasi ini menciptakan fenomena kebangkitan Islam di Iraq.

Mengingati akan sejarah kejam tentera Tartar ketika menakluki Baghdad, membunuh khalifah, ulama, pemimpin dan kanak-kanak serta orang awam yang tidak berdosa samalah apa yang dilakukan oleh tentera-tentera AS sekarang.

Bayangkan kota Baghdad ketika ditakluki tentera Tartar bertimbunan mayat. Warna buminya berubah dan mengeluarkan bau busuk ke seantero Baghdad. Akibatnya timbul wabak penyakit taun yang menyebabkan banyak lagi kematian.

Kini apakah Baghdad menuju ke arah kehancuran kali kedua oleh serangan AS dan sekutunya? Mengingati nama Baghdad yang berasal daripada bahasa Parsi yang bererti `pemberian Allah' mudah-mudahan ia dapat dipertahankan dan dilindungi Allah daripada kehancuran.

Peperangan yang berlaku antara Iraq dan AS sebenarnya menggambarkan hakikat akan kelemahan umat Islam yang masih tidak mahu bersatu menghadapi musuh yang satu. Realiti ini sebenarnya sesuai seperti mana ramalan Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya yang bermaksud:

Daripada Tsauban r.a berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka''. Maka salah seorang sahabat bertanya: ``Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?'' Nabi s.a.w menjawab, ``Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit `wahan'.'' ``Seorang sahabat bertanya: ``Apakah wahan itu wahai Rasulullah?'' Nabi kita menjawab: ``Cinta pada dunia dan takut pada mati''. (Hadis riwayat Abu Daud).

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah. Umat Islam walaupun mempunyai bilangan yang banyak iaitu 1.3 bilion (satu perlima daripada penduduk dunia) tetapi selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, disakiti, dibunuh dan sebagainya.

Sebenarnya segala kekalahan Muslimin berpunca daripada dalam diri orang Islam itu sendiri, iaitu penyakit `wahan' yang merupakan penyakit campuran daripada dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua iaitu `cinta dunia' dan `takut mati'.

Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. Cinta dunia bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta ke jalan Allah s.w.t .Takut mati pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah s.w.t.

Secara kuantiti mereka banyak, namun mereka lemah dan hidup dalam keadaan terhina kerana bertuhankan syahwat. Kemenangan sesuatu umat tidak bergantung kepada kuantiti tetapi kualitinya.

Demikian juga apa yang berlaku di Iraq sekarang bahawa pencerobohan AS ke atas Iraq adalah kerana inginkan sumber kekayaan minyak yang melimpah-ruah di Iraq. Dalam satu sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, sabdanya yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda; Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di Iraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh 99 daripada 100 orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata, ``mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu''.

Di dalam riwayat lain ada disebutkan; Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barang siapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu.

Hadis ini jelas sekali menerangkan bahawa di kawasan Iraq dan sekitarnya akan berkobar-kobar peperangan yang berpunca daripada merebutkan kekayaan yang ada di sana dan ramai yang terkorban dan pihak masing-masing bercita-cita andainya merekalah yang terselamat.

Kemewahan hidup, sikap fanatik yang menimbulkan konflik antara aliran-aliran Fiqh, sikap zalim penguasa ke atas ulama, sikap mengutamakan kekuasaan daripada penyatuan umat merupakan faktor yang melemahkan umat Islam. Inilah juga faktor utama penyebab jatuhnya kota Baghdad di tangan tentera Tartar selain daripada bantuan musuh dalam selimut iaitu Perdana Menteri Rafadh Ibnu Alqami (pada masa pemerintahan khalifah Mu'tashim) yang mempercepatkan lagi penaklukan itu terjadi.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. (Surah al-Isra' ayat 16).


~Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
 

No comments:

Post a Comment