Pages

Tuesday, March 11, 2014

Apa maksud "banyak bertanya"



Dalam status yang lepas saya ada kemukakan sebuah hadis:

"Allah membenci bagi kalian tiga perkara: Bergossip(Q1ILA WA QAALA), menyia-nyiakan harta dan banyak bertanya".
  (Shahih al-Bukhari, no: 1383/1477).

Lalu ada beberapa sahabat bertanya apa maksud "banyak bertanya" yang Allah benci dalam hadis tersebut?

Jawapannya, bertanya terbahagi kepada tiga jenis:

Pertama, soalan orang yang sudah mengetahui jawapannya tetapi sengaja bertanya agar orang yang ditanya dapat menjelaskan kepada masyarakat. Ini sebagaimana malaikat Jibrail yang menjelma sebagai manusia dan bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apakah Islam, apakah iman dan sebagainya.

Kedua, soalan orang yang tidak tahu dan benar-benar ingin mengetahui. Ini sememangnya dibolehkan dan berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Satu contoh ialah apa yang dirakamkan oleh al-Qur’an:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (dan kepada siapakah) yang akan mereka nafkahkan?” Katakanlah: “Apa jua harta benda yang kamu hendak nafkahkan maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya. [al-Baqarah 2:215]

Ketiga ialah soalan orang yang ingin meremehkan, mempermainkan, memberat-beratkan atau memperkotak-katikkan perintah serta larangan agama. Soalan sebeginilah yang dicela oleh hadis di atas. Satu contoh ialah soalan-soalan kaum Bani Israil apabila mereka diperintahkan untuk menyembelih seekor lembu. Sila rujuk surah al-Baqarah, ayat 67 dan seterusnya.


~ Hafiz Firdaus Abdullah

No comments:

Post a Comment