Pages

Friday, March 28, 2014

Peringatan RASULULLAH S.A.W: Hiburan HEDONISTIK Menjadikan MANUSIA Umpama KERA Dan BABI







Emosi manusia dipengaruhi oleh apa yang berada di dalam hatinya. Emosi manusia terkadang ceria, sedih, marah, bosan, dan sebagainya. Apa yang didengar dan dilihat oleh manusia akan mempengaruhi emosinya. Hati perlukan ketenangan untuk menjadi ceria dan gembira. Manusia memerlukan hiburan bagi menceriakan dan menggembirakan hati.

Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah SWT, sesuai dan menepati fitrah manusia. Manusia memerlukan hiburan, maka Islam membenarkan manusia berhibur. Namun Islam memberikan garis panduan agar hiburan yang dilihat dan didengar oleh manusia itu, betul-betul mendatangkan manfaat kepada kehidupan manusia.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan, "Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum." (Halal dan haram dalam Islam, hlm. 479)

Seorang sahabat Nabi Muhammad saw bernama Hanzalah al-Usaidi melaporkan, "Pada suatu hari, ketika saya sedang berjalan-jalan, saya bertemu dengan Abu Bakar. Beliau bertanya, 'Apa khabar kamu, wahai Hanzalah?' Saya pun menjawab, 'Hanzalah ini sudah menjadi seperti orang munafik!' Abu Bakar terperanjat, lalu bertanya lagi, 'Maha suci Allah! Kenapa kamu berkata sedemikian wahai Hanzalah?' Saya menjawab, 'Bagaimana saya tidak jadi seperti orang munafik! Apabila kita berada di sisi Nabi Muhammad saw, baginda mengingatkan kita tentang neraka dan syurga sehingga seolah-olahnya kita dapat melihatnya di hadapan mata kita. Tetapi, apabila kita beredar meninggalkan baginda, kita telah dilalaikan dengan anak pinak dan harta benda kita, sehingga kita melupakan peringatan yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad itu.' Abu Bakar menjawab, 'Memang benar apa yang kamu katakan itu wahai Hanzalah. Saya pun merasakan seperti itu.' Selepas itu, kami berdua pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad. Kami duduk di hadapan Nabi Muhammad, lalu saya berkata, 'Wahai Utusan Allah. Hanzalah sudah jadi seperti orang munafik!' Baginda bertanya, 'Apa yang telah kamu lakukan wahai Hanzalah!' Saya pun menjelaskan, 'Wahai Utusan Allah. Apabila kami berada di sisi tuan, tuan mengingatkan kami tentang neraka dan syurga sehingga seolah-olahnya kami dapat melihatnya di hadapan mata kami. Tetapi, apabila kami beredar meninggalkan tuan, kami telah dilalaikan dengan anak pinak dan harta benda kami, sehingga kami melupakan peringatan yang telah disampaikan oleh tuan itu.' Lantas Nabi Muhammad saw bersabda, 'Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya. Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan disamakan dengan malaikat di tempat-tempat duduk kamu dan di jalan-jalan kamu. Tetapi wahai Hanzalah, sesaat begini dan sesaat begitu. Sesaat begini dan sesaat begitu. Sesaat begini dan sesaat begitu.'" (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim.)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis tersebut menunjukkan bahawa sebagai seorang Muslim kita dituntut untuk memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan mengingati serta berhati-hati dengan persoalan akhirat. Namun begitu, pada sela waktu tertentu kita dibenarkan untuk meninggalkan perkara tersebut untuk menikmati nikmat-nikmat yang Allah sediakan di dunia ini (Syarah sahih Muslim, jil. 17, hlm. 65).

Walaupun manusia dibenarkan oleh Allah untuk mencari hiburan agar hati menjadi tenang dan mendatangkan keceriaan serta kegembiraan dalam hidup, namun manusia tidak dibiarkan menentukan apa sahaja atas nama hiburan. Apa yang dilihat dan didengar manusia memerlukan panduan daripada Allah; Tuhan pencipta sekalian alam, yang maha mengetahui apa yang mendatangkan manfaat atau mudarat kepada manusia dan kehidupan. Jika dibiarkan manusia bebas memilih bentuk hiburan yang disukai oleh nafsunya, maka kehidupan akan menjadi rosak dan porak peranda.

Hiburan di zaman moden kini yang berteraskan falsafah hedonisme, telah jauh terpesong daripada garis panduan Islam berkaitan hiburan. Hedonisme merupakan satu aliran falsafah yang menjelaskan bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup. Ia merupakan ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia (http://en.wikipedia.org/wiki/Hedonism).
Aliran falsafah hedonisme mula berkembang di Eropah Barat sekitar kurun 14M dan kemudian menjalar ke seluruh dunia (Wade, I.O, The clandestine organisation and diffusion of philosophic ideas in France from 1700 to 1750, 1967). Pemikiran kafir ini telah lahirkan manusia yang hidup dalam kelalaian, mengamalkan gaya hidup bebas sehingga mengorbankan nilai akhlak mulia yang berteraskan agama.

Hasil pemikiran kafir ini juga melahirkan manusia yang menjadikan keseronokan dan kemewahan yang berlebihan sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian. Konsep hiburan yang lahir daripada hedonisme bukan sahaja gagal memberi ketenangan jiwa dan kedamaian dalam sanubari manusia, bahkan mencetuskan masalah dan kecelaruan dalam kehidupan.

Penganut hedonisme menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan yang disembah. Oleh sebab itu, hiburan hedonistik bukan sahaja gagal mendidik jiwa, malahan mendorong kepada kelalaian, maksiat dan pergaulan bebas yang akhirnya mengundang kepada gejala sosial yang merosakkan kesejahteraan hidup umat Islam. Arak, dadah, dan wanita seksi yang menjadi teras hiburan hedonistik telah menjadikan kehidupan manusia masa kini punah ranah.

Firman Allah SWT dalam al-Quran; Surah al-Jathiyah ayat 23 yang bermaksud, "Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar). Dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?"

Nabi Muhammad saw telah memberikan peringatan, akan ada dalam kalangan orang Islam di akhir zaman yang berhibur melampaui batas agama. Mereka ini dilabel oleh Nabi Muhammad sebagai 'manusia berperangai kera dan babi'. Abu Malik al- Asy’ari melaporkan, "Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Sesungguhnya sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka serta dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi.'” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah)

Oleh itu, umat Islam wajib mengembalikan seluruh aspek kehidupan termasuk hiburan, kepada panduan Islam. Hiburan yang dibenarkan Islam adalah hiburan yang mendatangkan manfaat kepada hidup manusia. Sebaliknya, hiburan yang bertentangan dengan Islam, seperti hiburan hedonistik, adalah hiburan yang mendatangkan mudarat kepada hidup manusia.

Info:
Program hiburan yang dibenarkan menurut Perundangan Islam perlu memenuhi ciri berikut:
1) Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
2) Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.
3) Mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.
4) Tidak disertai oleh perbuatan haram atau maksiat
5) Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan
6) Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam

Ciri persembahan muzik yang dibenarkan:
1) Tidak menimbulkan gerak geri liar
2) Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat
3) Tidak melalaikan

Ciri persembahan artis yang dibenarkan:
1) Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
2) Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam
3) Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
4) Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

Ciri persembahan tarian yang dibenarkan:
1) Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
2) Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
3) Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah. 4) Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan
5) Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan. (JAKIM, Garis Panduan Hiburan Dalam Islam, 2005)

 OLEH:
DR. ARIEFF SALLEH BIN ROSMAN,FELO FATWA

1 comment:

  1. Dr MAZA: Adakah Qasidah Bidaah

    https://www.facebook.com/photo.php?v=753678987976306

    jauhi menghukum orang yang tidak bersependapat dengan kita sebagai bidaah dan sesat.. allah waliyut taufiq

    ReplyDelete