Pages

Wednesday, April 16, 2014

Zulkifli Noordin : Kisah Tun Mahathir Di Indonesia

 

 

Zulkifli Noordin : Kisah Tun Mahathir Di Indonesia



Salam 2 all.
Alhamdulillah teman selamat tiba di Kuala Lumpur setelah beberapa hari berada di Jakarta untuk beberapa tugasan termasuk menghadiri pertemuan diantara Tun Mahathir Mohamed dengan Ibu Megawati Sukarnoputri, mantan Presiden Indonesia.

Turut hadir dalam ziarah Tun M ke rumah Ibu Mega ialah Capres Indonesia Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang kini memegang jawatan Gabenor Jakarta. Jokowi adalah pendahulu dalam pertandingan merebut jawatan Presiden bagi mengganti Bapak Susilo Bambang Yudhoyono @ SBY yang akan tamat tempoh pemerintahannya tidak lama lagi.

Saya sangat teruja melihat sambutan luar biasa yang diberikan oleh Kerajaan dan rakyat Indonesia termasuk komuniti korporat mereka terhadap Tun. Ternyata jasa dan kehebatan Tun sangat mereka hargai. Malah ada yang membuat kenyataan mungkin bagus kalau Tun menjadi Presiden Indonesia! Sampai begitu gurauan mereka.

Tun juga mengadakan pertemuan dengan Komite Ekonomi Negara Indonesia yang dipengerusikan oleh tokoh korporat paling berjaya di Indonesia Bapak Chairul Tanjung. Beliau menghoskan makan tengahari untuk Tun dan delegasi dengan makanan istimewa tempatan dikenali sebagai Soto Ayam Lamongan dan Nasi Tumpeng.

Kehadiran wartawan yang begitu ramai dalam tiap program yang dihadiri Tun termasuk pidato awam bertajuk ‘Malaysia Indonesia: Dulu, Kini & Selamanya’ di Auditorium Menara Bank Mega, Jl. Kapt. P. Tendean, Kav 12, Jakarta Selatan yang turut dihadiri ramai para Menteri dan kepimpinan masyarakat Indonesia.

Kupasan Tun mengenai hubungan Malaysia-Indonesia dan saranan Tun agar Malaysia-Indonesia-Brunei menubuhkan satu Gagasan Ekonomi Melayu Serantau (GEMS) sangat diterima baik.

Disebelah malam pula, satu acara makan malam An Evening with Tun Mahathir & Tun Siti Hasmah yang gemilang dianjurkan tokoh korporat Malaysia yang sangat berjaya di Indonesia, Dato’ Dr. Md. Radzi Saleh, Presiden-Direktur K-Link Indonesia di K-Link Tower, Jl. Gatot Subroto, No. 59A, Jakarta Selatan. Majlis diserikan dengan kehadiran Datuk Yusni Hamid dan Dato’ Rossa.

Kelihatan Tun M sangat berbangga dengan kejayaan anak watan Malaysia di bumi Indonesia yang bukan sahaja berjaya melahirkan lebih 2 juta usahawan berjaya di kalangan rakyat Indonesia, malah berjaya membina sebuah menara setinggi 28 tingkat ditengah Bandaraya Jakarta.

Dan yang paling membanggakan, seorang tokoh producer filem yang terkenal di Indonesia, yang telah menghasilkan filem hebat Sukarno telah bersetuju untuk menghasilkan filem mengenai Tun Mahathir. Kata produser filem ini, dunia akan beruntung untuk merakam sejarah seorang negarawan sehebat Tun M.

Agak malang kita di Malaysia kurang memenafa’atkan legasi Tun Mahathir. Saya yang dahulunya sangat anti Tun M akibat ketaksuban politik kebencian yang melampau ditanam oleh Anwar Ibrahim, hari ini memang sangat bangga dan bertuah memikirkan kita punya pemimpin dan negarawan berwawasan dan berwibawa seperti Tun M.

Pernah dahulu kami yang taksub dengan Anwar mendoakan Tun Mahathir panjang umur untuk melihat kehancuran legasinya, tetapi hari ini saya berdoa kepada ALLAH semoga memanjangkan umur Tun Mahathir dan Tun Siti dan memberi mereka kesihatan yang baik kerana dunia, termasuk negara kita dan umat Islam serta bangsa Melayu masih memerlukan Tun Mahathir.

Mungkin tidak keterlaluan untuk saya cadangkan kita menamakan Menara Berkembar Petronas di KLCC dengan nama Menara Tun Mahathir sebagai menghormati dan menghargai jasa Tun yang tidak mungkin dapat kita bayar dengan segala kekayaan negara yang kita ada.
Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias!

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
15 Jamadil Akhir 1435
15 April 2014
zul4kulim.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment